BBB, 02 Jamadil Akhir 1436 = 23 Mac 2015
(Isnin):
Bidang puisi perlu dilihat secara berasingan
dari hasil-hasil sastera bukan puisi. Ini ialah kerana kelahiran kebanyakan jenis-jenis
puisi di dalam bahasa Melayu kurang jelas untuk dikaitkan dengan tokoh-tokoh
dan tempat-tempat tertentu. Sebaliknya lebih bersifat Nusantara dan diwarisi
sejak tradisi dan milik bersama, kecuali bentuk-bentuk yang jelas penggubah dan
antaranya dikenalpasti berasal dan di bawa dari luar – namun antaranya tidak
diketahui pencipta dan tarikh ciptaan.
Melayu sebagai rumpun yang mendiami kawasan Nusantara
yang kawasannya bersemenanjung dan pulau-pulau berada di kawasan samudera yang
digerak angin dan gelombang ombak dengan permukaan bumi yang subur menghijau
sama memupuk kelembutan jiwa penduduknya. Fenomena alamiahnya mempertajamkan
persepsi masyarakat tradisi tentang elemen persamaan seperti sama tingginya
rumpun padi. Rendahnya bukit berbanding dengan gunung. Berbagainya warna
tumbuhan dipinggir kediaman tentulah menyentuh jiwa bagi yang mempunyai
sentuhan seni. Elemen persamaan, pertentangan, keselarian dan kepelbagaian
dijelmakan misalnya di dalam seni binaan pondok dan laman dan juga terpengaruh
di dalam ungkapan yang bahasa Melayu itu sendiri tersusun dari suku-suku kata
yang boleh disama, bertentang, selari dan kepelbagaian dari segi sebutan yang
menghasilkan sesuatu yang bersifat seni.
Demikianlah lahirnya di dalam bahasa Melayu
puisi yang paling popular, asli dan identik dengan bahasa dan bangsa Melayu,
iaitu pantun. Pada peringkat permulaan adalah bersifat ringkas dan pendek.
Misalnya:
Berakit-rakit ke tepian
Bersakit-sakit untuk senang
Atau:
Padi masak kita ketam
Nasi ditanak kita makan.
Kemudiannya ungkapannya makin berkembang
sebagaimana berlaku di dalam perkembangan pantun. Berbagai pendapat diberi
pengkaji-pengkaji, tapi tiada bukti ianya dari unsur luar dan ternyata ianya
hasil tempatan dan tidak dipastikan ianya bila bermula, tetapi yang pastinya
ianya dihasilkan sejak zaman tradisi dan milik masayarakat Melayu Nusantara.
(Mohd. Yusof Md. Nor & Abd. Rahman Kaeh,
Puisi Melayu Tradisi, Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1991: Vi).
Sebagai bangsa kreatif yang hidup
bermasyarakat, melihat alam berperaturan siang malam, sakit senang, susah
payah, kecil besar, muda tua, baik jahat, derita bahagia maka timbul kesedaran
perlu peraturan di dalam masyarakat, maka ketua, lembaga atau luak yang kreatif
mengungkapkan aturan bermasyarakat, maka lahirlah di tengah masyarakat ungkapan
yang dikenali sebagai teromba sebagaimana berlaku di dalam masyarakat beradat
seperti di Negeri Sembilan. Ianya menjadi lembaga dan panduan bagi masyarakat. Contoh
ungkapan:
Adil jangan memilih kasih
Benar jangan memilih kawan
Baik jangan mencari laba
Elok jangan mengambil muka,
Sayang jangan mengharap upah
Budi jangan mengharap dipuji.
(Mohd Rosli Saludin, Teromba, Hubungan Dengan
Pendidikan Kesusasteraan, Karisma Publications Sdn. Bhd., Shah Alam, 2009: 37).
Teromba sebagaimana pantun lahir dari bumi
masyarakat yang memupuknya, Cuma pantun lebih luas, manakala teromba dalam
masyarakat khusus dan lebih tertutup yang dikenali masyarakat beradat – Adat
Perpatih. Ungkapannya adalah indah, berirama yang mencerminkan masyarakat yang
beradat dan berperaturan.
Satu lagi jenis puisi yang lahir di dalam
bahasa Melayu, ialah `gurindam`, iaitu puisi berirama di dalam dua baris yang
kadang-kadang bersyarat dan jawab syarat, perutusannya lengkap. Hujung bagi
setiap baris bersamaan. Isinya mengandungi kebenaran dan nasihat dan dekat
dengan sifat pepatah dan peribahasa. (S.Takdir Ali Sjahbana, Puisi Lama, Zaman
Baru Limited, Petaling Jaya, Selangor, 1965: 77).
Tetapi pada Raja Ali Haji gurindam yang
asalnya bertema gurau senda dan main-main digunakan untuk menyampaikan dakwah
dan nasihat sebagaimana terkenalnya beliau dengan Gurindam Dua Belasnya: Contoh
(Gurindan Keenam):
Cahari olehmu akan sahabat – yang boleh
dijadikan ubat
Cahari olehmu akan guru – yang boleh tahukan
setiap seteru
Cahari olehmu akan isteri – yang boleh
menyerahkan diri
Cahari olehmu akan kawan – pilih segala orang
setiawan
Cahari olehmu akan abdi – yang ada baik
sedikit budi.
(Abu Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 280).
Terdapat beberapa lagi puisi asli dan tempatan
yang mencerminkan kreativiti msyarakatnya seperti seloka, teka teki, talibun
dan mantera yang diungkapkan secara berirama, berseni dan berciri sastera.
(Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 366-525).
Pendeknya sastera Melayu kaya dengan puisi
tradisi yang tumbuh dan berkembang di tengah masyarakat tradisi yang bukan saja
bersifat sastera, tetapi mendidik masyarakatnya dengan nilai dan peradaban yang
tinggi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment