March 8, 2015

Takmilah Membina Keunggulan: Cabaran Masa Depan


BBB, 16 Rabiul Akhir 1436 = 07 Mac 2015 (Sabtu):


Dalam beberapa makalah yang lepas kita bernostalgik tentang bahasa dan orang Melayu. Bukti-bukti menunjukkan bahawa mereka adalah pribumi dan pewaris yang berhak. Tetapi itu adalah dambaan kepada kesilaman dan kepurbaan. Dengan realiti kini Melayu bersama masyarakat majmuk perlu bersama menghadapi kekinian bagi menggaris masa depan di dalam menentukan nasib bersama.
Membina masa depan, kita mencari-cari model terbaik kini bagi membina masa depan negara kita. Setelah kita bersama bangkit setara dengan negara-negara maju dan rasa rendah diri telah terlempar jauh, sebenarnya kita lihat, tidak ada negara yang dikatakan maju untuk diikuti, kecuali aspek-aspek tertentu. Itupun belum tentu sesuai, apalagi jika kepelbgaian dari tempat-tempat berlainan. Terbaik kita membina identiti yang sesuai dengan iklim tempatan sendiri.
Sebenarnya negara kita unik, sejak dari silam kita menerima kebijaksanaan buah fikiran filosof-filosof luaran sebagaimana berlaku juga bagi negara-negara jiran dan terakhir menerima lebih sempurna perutusan terakhir dari rangkaian hidayat yang bertalian dari moyang kita - Adam, antaranya Ibrahim hingga kepada Muhammad dari wilayah-wilayah tertua dikenali kewujudan manusia dan mencapai tamadun awal – Wilayah yang menjadi negara Nabi-Nabi yang akhirnya hidayah sama mengalir ke muara jiwa kita. Kita menjadi bijaksana memilih mutiara. Secara berterusan kita menerima penentuan sejarah berada dalam masyarakat majmuk yang unik yang seharusnya diterima secara positif.
Di dalam keadaan sekarang kita hendaklah menerima realiti positif dengan melihat pada masa depan yang positif, kerana kepelbagaian itu jauh lebih baik dari persendirian. Penulis melihat `Teori Takmilah` adalah releven bagi masa depan dan seharusnya bergerak bersama dalam pelbagaian dan kekecualian.
                                                        Takmilah
Dari segi pendekatan ialah mengunggul dan Memperkasakan bukan meleburkan identiti untuk disatukan, tetapi adalah kepelbagaian adalah dinamika bagi memperkasakan semua, tetapi tidak ada paksaan dari segi pegangan keyakinan.
Puncak Takmilah  yang menjadi Piawayan  tertinggi adalah Pembinaan Tamadun Dan Peradaban berasakan Islam dan semasa mirip kini. Menurut skema Takmilah, bagi membina tamadun dan peradaban negara kita ialah dengan memberi penekanan terhadap keilmuan bagi peningkatan kualiti yang melibatkan semua pihak.  Malaysia mampu mencapai keunggulan pendidikan dan menjadi hub pendidikan bertaraf dunia yang dapat menarik pelajar-pelajar menimba ilmu pengetahuan dan membina keilmuan di negara ini. Malaysia juga seharusnya berusaha meletakkan diri menjadi pusat Pengajian Islam bertaraf dunia yang pelajar-pelajar dan pengkaji-pengkaji lebih berminat mempelajari dan membina keilmuan Islam di sini yang seharusnya menjadi identiti pengajian di sini. Di dalam kata lain semua pihak baik yang Islam dan bukan Islam berhak dan mempunyai ruang di dalam mendalam dan membina keilmuan. Dalam pada itu usaha hendaklah digandakan bagi memperlihatkan keistimewaan dan kebaikan Islam dengan tujuan untuk mereka sama menimati kebaikan dan keistimewaan Islam.
Satu aspek yang penting yang menjadi identiti negara, nilai budaya dan imej pendidikan negara  ialah penggunaan bahasa yang barangkali tidak tepat menggunakan istilah `bahasa pengantar`, tetapi bahasa keilmuan yang diperlukan. Universiti seharusnya menerima pelajar yang lulus bahasa rasmi dan menggunakan bahasa rasmi negara di dalam subjek-subjek yang dimastikan bagi semua universiti sehingga setiap orang pelajar mampu bercakap dan menulis dalam bahasa berkenan dengan baik. Ini penting sebagai nilai dan jati diri dan rupa bangsa Malaysia.  Ada pun bagi kursus-kursus yang lain menurut keperluan bahasa bagi keilmuan berkenaan. Misalnya bagi bidang keislaman seharusnya menguasai bahasa Arab dengan baik. Begitu juga dengan bidang-bidang yang memerlukan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa yang lain. Pelajar-pelajar di universiti dari segi idealnya seharusnya menguasai tidak kurang dari tiga  bahasa dengan baik. Aspek bahasa rasmi menjadi identiti pengajian tinggi dan imej negara. Adapun di dalam bidang pentadbiran dan segala urusan yang lain hendaklah menggunakan bahasa rasmi. Berbagai pihak, terutama bagi agensi yang bertanggungjawab hendaklah menanamkan ke jiwa masyarakat rasa megah dan cinta kepada bahasa negara dan status berkenaan hendaklah diperkasakan oleh negara. Adapun bahasa etnik perlu dipelihara sebagai identiti yang mencirikan budaya.
Bagi mencapai kedudukan berkenaan Malaysia perlu menyediakan institusi pendidikan di dalam berbagai bidang, termasuk di dalam bidang keislaman bertaraf dunia. Kita yakin hasrat ini dapat dicapai memandang kewujudan universiti-universiti berjenama Islam menunjukkan taraf yang baik dan mampu dipertingkatkan dan universiti-universiti awam menunjukkan prestasi yang baik dan berada pada ranking universiti-universiti terkemuka di dunia. Universiti-universiti swasta juga perelu turut berperanan di dalam menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Di dalam hal ini universiti-universiti di Malaysia hendaklah mewujudkan tenaga-tenaga manusia yang pakar di dalam bidang-bidang keilmuan yang dihormati di dalam bidang akademik dan diakui bertaraf dunia. Universiti-universiti hendaklah mengeluarkan pelajar-pelajar yang tinggi mutu. Pelajar-pelajar luar juga berprestasi tinggi dan menjadi duta pengajian dan keilmuan dari universiti-universiti di Malaysia.
Tiang seri yang penting bagi Takmilah ialah aspek nilai yang merujuk kepada estetika, budaya, falsafah, nilai keilmuan, elemen kerohanian, kemanusiaan dan kealaman. Aspek-aspek ini memperkukuhkan jiwa dan kemanisan di dalam pembinaan ilmu dan nilai yang dapat membangunkan tamadun dan peradaban. Misalnya melalui pengajian bahasa dan sastera dapat menghayati kehalusan dan keindahan yang didukung oleh karya-karya. Demikian juga bidang budaya dapat memahami cara hidup dan nilai kelompok yang dapat menarik minat dan mengkagumi nilai-nilai kehalusan dan kemanusiaan. Nilai sedemikian dapat ditonjolkan untuk dihayati oleh berbagai pihak dan mereka turut menghargai nilai-nilai berkenaan. Manakala falsafah dan nilai keilmuan ialah dapat menikmati hikmat dan kebenaran yang ditonjol falsafah dan keilmuan yang ianya merupakan satu keindahan dan kelazatan sebagai wadah intelektual dan jiwa. Demikian juga elemen kerohanian ialah merupakan penghayatan peringkat tertinggi yang mampu dicapai oleh yang terlibat di dalam bidang berkenaan, tetapi ia adalah dimensi yang perlu diteroka bagi mengenali dan mencapai peringkat ini agar pihak lain dapat memahami, kalaupun tidak mencapainya. Kesedaran dari segi kemanusiaan mungkin dapat dicapai oleh peringkat biasa yang kesedaran ini dapat dicapai oleh orang awam nescaya dapat membentuk manusia dengan nilai murni seperti kasih sayang dan nemupuk nilai-nilai kemanusiaan yang baik. Begitu juga kesedaran kealaman merupakan nilai perlu ditanam, melalui nilai dan kesedaran ini pencerobohan dan kerosakan alam dapat dikawal, lebih-lebih lagi kesedaran ini diharap juga timbul dari kalangan awam yang dengan demikian dapat mengurangkan pencemaran, kerosakan hutan dan permukaan alam dan timbul kasih sayang untuk menjaga dan memelihara alam sebagai rumah kita semua.
Sebenarnya pengajian peringkat pengajian tinggi, bahkan apa jua pengajian, bukan untuk mencari pekerjaan dan kedudukan, tetapi seharusnya bagi menggali rahsia Tuhan, menyedari hikmat kejadian, menimbulkan rasa kemanusiaan, keinsafan dan kesedaran serta kepatuhan pada Tuhan, bagi menyemai bakti kepada masyarakat dan kemanusiaan serta pembelaan kepada kehidupan sejagat.
Tapi adakah ideal keilmuan ini dapat dicapai ? Seharusnya falsafah pendidikan dan matlamat keilmuan perlu disusun sedemikian rupa sehingga falsafah dan matlamat unggul pendidikan dapat dicapai. Keunggulan yang dibina melibatkan semua yang kegetiran sama diderita dan kemanisan sama dirasa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment