BBB, 25 Rabiul Akhir 1436 = 04 Mac 2015
(Rabu):
Demikianlah proses kecintaan terhadap bahasa
terus terbina melalui pendidikan dan pelajaran. Secara kebetulan kecintaan berkenaan
terpupuk selari dengan pihak pembela bahasa dan agensi-agensi berwibawa adalah
memperjuangkan pembinaan bahasa. Kemudian turut menyemarak sama mendukung pembukaan
Universiti Kebangsaan Malaysia. Namun antara
harapan terbinanya keunggulan bahasa dan pendiikan melalui bahasa berkenaan ada
kebimbangan tatkala terlihat semacam ada pengabaian terhadapnya dan tiada
kesungguhan oleh agensi-agensi dan institusi-institusi pendidikan yang
seharusnya semakin memperkasakannya, kecintaan yang terpupuk terhadap bahasa
adalah amat mencabar. Usaha pembinaan bahasa selama setengah abad amat singkat
dan bahasa yang dicintai belum mantap. Dari setengah abad berkenaan hanya tiga
dekad pertama menampakkan kesungguhan dan keberhasilan, manakala selebih
berikutnya menampakkan hilang kesungguhan, tiada plan strategik diketengahkan
yang menjadi landasan panduan perlaksanaan. Usaha-usaha yang baik yang dulu
dilakukan diabaikan dan banyak bidang yang boleh diteroki tidak dilakukan.
Kita bertanya, kemanakah perginya kerjasama
serantau MABBIM (Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia) yang menjadi
mekanisme pembinaan bahasa Nusantara serumpun itu ? Sepatutnya badan ini
menjadi lebih perkasa dan berwibawa bagi pembinaan bahasa serumpun berkenaan.
Banyak kegiatan yang dapat dilaksanakan
bagi kepentingan bersama. Ada harapan agar bahasa senusantara ini menjadi
bahasa perantaraan antara negara-negara Asean, tetapi apakah langkah positif
yang diambil ? Kerjasama antara pusat-pusat pengajian tinggi di antara
negara-negara di Nusaantara dulu pernah berlaku, tetapi kini kurang kedengaran.
Tidakkah wajar kerjasama secara berstrategik dan bermatlamat unggul perlu
diterus dan dipertingkatkan ? Adakah Kementerian Pelajaran merasakan ini tidak
penting, sedangkan cakap-cakap mau meletakkan pendidikan di Malaysia bertaraf
dunia diwar-warkan ? Tidakkah wajar wibawa pendidikan pada peringkat Nusantara
dan Asean juga perlu diberi perhatian ?
Berbicara mengenai pendidikan, khususnya
pengajian tinggi, bukan maksud kita medium pengajian semestinya di dalam bahasa
Melayu atau Nusantara semata-mata, di dalam kehidupan moden yang dunia tiada
sempadan, kita perlu bersifat terbuka dan peka perlu mengantarabangsakan diri,
terutama di dalam berkemahiran berbagai bahasa, tetapi di dalam masa yang sama
kita perlu peka dan menjaga kepentingan `rumahtangga` kita, nilai dan budaya
kita dengan penuh cinta. Dalam kata lain bersikap antarabangsa tidak bererti
membiar dan mengabaikan pemilikan kita yang berharga yang menjadi identiti dan
jati diri kita. Pengantarabangsa dan kecintaan terhadap nilai dan budaya kita
seharusnya serentak dan beriringan, bahkan menjadi keutamaan.
Bercakap berkenaan dengan kegiatan institusi
yang menjaga tentang perkembangan bahasa dan sastera, menurut penilaian kita dari
luar, bukan saja MABBIM yang dikendalikan oleh DBP bagi pihak kerajaan Malaysia
tidak berjalan, tetapi kegiatan-kegiatan badan-badan bahasa dan sastera,
persatuan-persatuan penulis peringkat negeri dan daerah seperti tidak
kedengaran. Dengan demikian kegiatan-kegiatan bahasa dan sastera yang dilakukan
oleh badan-badan dan persatuan turut tidak berjalan. Hadiah-hadiah dan insentif
yang biasanya dijalankan oleh badan dan persatuan tidak lagi berjalan, jika ada
satu dua kegiatan bagai tidak bermaya. Mengapakan berbagai majalah yang
membicarakan soal bahasa, sastera, budaya, seni, bahkan agama dan juga majalah
bagi peringkat sekolah rendah dan menengah yang dulu dengan mudah didapati
dipasaran, kini tiada kedapatan lagi. Sesungguhnya penerbitan-penerbitan nadi
bagi kegiatan bahasa dan sastera. Dengan tiada penerbitan ruang bagi
penulis-penulis menulis dan lebih penting kegiatan-kegiatan bahasa dan sastera
kehilangan ruang.
Yang menjadi pertanyaan mengapakan selepas
1990an segala yang berhubung dengan kegiatan bahasa dan sastera semacam hilang
dan lumpuh ? Ini termasuk fakulti-fakulti, institut dan jabatan yang
menyemarakkan perkembangan bahasa dan sastera kini semacam layu dan kurang
kedengaran ? Sindrom apakah yang menyebabkan semuanya terbantut dan lumpuh ?
Tidak jelas ke manakah dasar pelajaran hendak dibawa. Semakin majukah kita atau
sebenarnya tidak ke mana !
Apa yang dilihat negara kita tidak mempunyai
falsafah yang dituju, setiap hari kita disebok
dan dimabukkan oleh berita perebutan kuasa oleh orang-orang politik dan jenayah
oleh orang-orang yang tentunya hilang pedoman. Kita seharusnya lebih banyak
membicarakan tentang ilmu dan kebahasaan bagi mendidik masyarakat berpegang
pada kebenaran, mendidik mereka dengan nilai-nilai kemanusiaan agar mereka
menjadi orang budiman dan berpegang pada agama agar mereka benar-benar
orang-orang beriman.
Sekian.
No comments:
Post a Comment