BBB, 18 Jamadil Akhir 1436 = 09 Mac 2015
(Isnin):
Walaupun tulisan Jawi terawal mula digunakan
di Terengganu, tetapi setakat ini tiada bukti dalam masa berdekatan selepas
penggunaan tulisan Jawi, diwarisi hasil persuratan, khususnya bersifat
keagamaan di negeri Terengganu. Sebagaimana dikatakan
bahawa tulisan Jawi pertama dilahirkan di Terengganu ini sebenarnya
penggunaannya tidak terhad di Terengganu, tetapi di dalam masa berdekatan
meluas penggunaannya di kawasan Alam Melayu, khususnya di tempat-tempat awal
menerima Islam. Salah sebuah negeri yang terawal menerima Islam ialah Pasai.
Bukti menunjukkan ialah terdapatnya catatan pada batu nisan Sultan Malikul
Salih bertarikh 1297M. Tarikh ini lebih awal dari tarikh Batu Bersurat
Terengganu. Tarikh pada batu nisan ialah tarikh meninggalnya Sultan Malikul Salih. Ini bererti tarikh
pengislaman adalah lebih awal daripada itu.
Malikul Salih yang nama asalnya ialah Merah
Sulu yang memerintah negeri Samudera Pasai dikatakan telah bermimpi di datangi
seorang tua yang mengajar dalam mimpinya mengucap dua kalimah syahadah menerima
Islam. Keesokan harinya tiba kapal membawa pendakwah Shaykh Ismail bersama
Faqir Muhammad mengajarkan Malikul Salih hal ehwal Islam dan melantik beliau
sebagai Raja bagi kerajaan Samudera Pasai. Berikut dari itu turut menerima
Islam kawasan-kawasan yang berdekatan dengan Samudera Pasai, bahkan meluas ke
seluruh Sumatera.
(Abdullah Haji Musa Lubis,Hikayat Raja-Raja
Pasai, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 27-37).
Hikayat Raja-Raja Pasai adalah karya pertama
bertulisan Jawi lahir di negeri Pasai selepas menerima Islam, bahkan adalah
karya terawal diketahui dihasilkan selepas kedatangan agama Islam dan
penerimaan tulisan Jawi. Ini bermakna
penerimaan dan penggunan tulisan Jawi popular dan berkembang di Pasai dan di
kawasan-kawasan yang telah menerima Islam. Hikayat Raja-Raja Pasai menceritakan
sejarah pembukaan samudera Pasai yang dikaitkan dengan Sultan Malikul Salih menerima Islam. Penceritaan
dalam bahasa Melayu yang mudah sebagai karya pertama dihasilkan. Sebagai karya
lama, maka ianya banyak mengandungi unsur mitos dan legenda di samping
mengandungi fakta-fakta benar.
Bahasa di dalam Hikayat Raja-Raja Pasai yang
menceritakan tentang pengislaman Pasai adalah bahasa Melayu. Pengkaji-pengkaji
meletakkan Hikayat Raja-Raja Pasai sebagai karya sejarah tertua. Menurut Liaw
Yock Fang, di dalam bukunya, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik 2, bahawa:
``Hikayat Raja-Raja Pasai adalah hasil sastera
sejarah yang tertua. Ia menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku antara
1250-1350, iaitu dari zaman Malikul Salih hingga sampai ditaklukkan oleh
Majapahit pada tahun 1350.``
(Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu
Klasik 2, Penerbit Erlangga, Jakarta, 1993: 89).
Jika di Terengganu memulakan tulisan jawi
dengan tulisan pada Batu Bersurat, maka dari Pasai yang sezaman dengan
pengislaman Terengganu dan mempunyai hubungan rapat dengan Terengganu dari segi
penyibaran agama Islam dan penulisan (Terdapat Kampung Pasai dan kuburan orang
Pasai di Hulu Terengganu yang menandakan hubungan rapat dari segi dakwah
keislaman dan perniagaan), maka Pasai meninggalkan warisan dari segi
persuratan, bahasa dan pensejarahan melalui Hikayat Raja-Raja Pasai. Dalam
proses dakwah keislaman, pada zaman Terengganu dan Pasai sudah tentulah banyak
pengajaran keislaman yang disampaikan oleh guru-guru dan pendakwah-pendakwah di
kedua-dua tempat. Yang menjadi pertanyaan sekian lama pengajaran telah
disampaikan pada kedua-dua tempat ini, apakah bahan-bahan pengajaran – maksud kitab-kitab
atau bahan-bahan penulisan yang digunakan bagi menyampaikan pengajaran
keislaman, baik kepada pihak istana atau di kalangan orang ramai. Yang sudah
pasti pendakwah-pendakwah ini tentulah membawa naskhah atau naskhah-naskhah
Al-Qur`an atau dalam bentuk Muqaddam di dalam menyampaikan dakwah mereka.
Adalah dijangka pada masa itu sudah ada kertas-kertas diguna, walaupun bukan
bahan yang lumrah dan mudah didapati, lantaran membuat kertas sudah digunakan
sejak zaman kerajaan Baghdad dalam hubungan dengan negeri Cina yang kaedah
membuat kertas dipelajari dari sana.
Adalah dijangka bahwa pengajaran agama Islam
dan penggunaan bahasa Melayu berjalan secara serentak dengan cara tidak formal.
Bermaksud pengajaran keilmuan Islam diajar oleh guru-guru pada pengajian di
istana, masjid dan pusat-pusat pengajian dengan berpandukan antara tek-teks
keilmun di dalam bahasa Arab. Pengajian ini merupakan pengajian peringkat
tinggi, guru-guru adalah kalangan orang alim yang antaranya datang dari luar
sebagai pendakwah. Guru-guru selaku pendakwah adalah memahami bahasa Arab dan
mampu mengajar berpandukan teks-teks di dalam bahasa Arab yang diterjemah
secara spontan. Kaedah pengajaran sedemikian masih dilakukan di dalam
pengajian-pengajian, khususnya secara tradisi.
Pada peringkat rendah, anak-anak dihantar
mengaji Al-Qur`an secara beramai-ramai kepada guru Al-Qur`an. Semasa mengajar
disertai pengajaran keilmuan-keilmuan Islam secara asas. Mereka juga diajar
mengenal huruf dan menulis keilmuan berhubung dengan tajwid, tauhid, fiqh dan
akhlak. Dengan cara ini dalam mana pada peringkat tinggi bagi kalangan orang
tua mempelajari agama di masjid dan di surau, manakala anak-anak mengaji
Al-Qur`an di rumah-rumah guru-guru Islam. Dengan cara ini keilmuan Islam dan
kaedah menulis dapat diperluaskan ke tengah masyarakat.
Walaupun kaedah pengajian dan pembelajaran di
atas dapat disifatkan sebagai tradisional dan kurang menggunakan peralatan
mengajar, maka di dalam konteks zaman tradisi, ia sebenarnya merupakan satu pendekatan baru di dalam
pendidikan ibu bapa dan anak-anak di dalam menyampaikan keilmuan yang dapat
menjadi panduan dan amalan yang sebenarnya jauh lebih maju dari zaman tradisi
dan lama yang tidak tahu menulis dan membaca. Islam membawa perubahan radikal
kepada masyarakat dari kejahilan kepada celik keilmuan yang menjadi panduan
hidup mati seseorang Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment