March 11, 2015

Melaka Pusat Perkembangan Islam Di Nusantara


BBB.  19 Rabiul Akhir 1436 = 10 Mac 2015 (Selasa):

Pusat perkembangan Islam dan persuratan Melayu selepas kedatangan Islam ialah Melaka. Melaka meningkat menjadi Bandar Pelabuhan selepas peneriman Islam oleh Sultan Muhammad Shah di Melaka. Kemajuan Melaka antaranya dengan sokongan pedagang-pedagang Islam yang menguasai jalan dagang dari Asia Barat ke Gujerat hingga ke Melaka dan kepulauan di Nusantara. Melaka menjadi satu-satunya pelabuhan dagang, khususnya selepas malapnya Pasai yang jatuh ke bawah pemerintahan Majapahit pada tahun 1350. Kemajuan Melaka meningkat pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah pada pertengahan abad ke 15 dengan Bendaharanya Seri Wak Raja. Sejarah Melayu menggambarkan tentang kemakmuran Melaka:
``Sultan Muhammad Shah itu selama di atas kerajaan terlalu sekali adil baginda pada memeliharakan segala manusia. Maka negeri Melaka pun besarlah dan jajahan Melaka pun makin banyak, yang arah ke barat hingga ke Beruas Ujung Karang, arah ke timur had Terengganu. Maka masyhurlah pada segala negeri dan bawah angin datang ke atas angin bahawa negeri Melaka terlalu besar lagi dengan makmurnya.``


(Sejarah Melayu, Edisi W.G. Shellabear, Oxford University Press, Kuala Lumpurt, 1967:  79-80).
Sultan Muhammad mengatur aturan daistiadat, termasuklah menjalankan upacara keagamaan seperti menyambut kedatangan Ramadhan secara besar-besaran yang dipanggil upacara `Mengarak Sejadah Ke Masjid` untuk baginda bersolat tarawih, begitu juga adat mengarak serban bagi sambutan hariraya.
(Sejarah Melayu, 1967, hilm. 79).
Melaka meningkat maju pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah (1459-1477) . Baginda memerintah dengan dibantu oleh seorang Bendahara yang bijaksana, iaitu Tun Perak. Sultan Mansur Shah sendiri mempelajari ilmu keagamaan dengan guru Maulana Abu Bakar yang datang dari Makkah, pengajian berterusan kepada zaman pemerintahan Sultan Mahmud pada akhir abad k 15 dengan berguru kepada Maulana Yusuf. Pada masa tersebut terdapat jawatan kadhi yang diketuai seorang yang berilmu antaranys Maulana Kadhi Munawir. Sejarah Melayu juga memaklumkan seorang sufi di Makkah iaitu Maulana Ishak telah menghantar sebuah kitab bersama Maulana Abu Bakar untuk dipelajari di Melaka, iaitu Kitab Al- Durr al-Manzum (Untaian Mutiara). Kitab berhubung dengan persoalan falsafah Islam yang mengandungi persoalan Usuluddin dan Tasawuf, iaitu mengenai persoalan tiga serangkani mengenai Dhat, sifat dan af`al. Kitab ini dipelajari di istana Melaka. Dikatakan pada peringkat awal pengajar dan pelajar tidak memahami kandungan kitab ini dan terpaksa dirujuk ke Pasai untuk memahami kandungannya. Kitab ini juga diminta Makhdum Patakan `ulama Pasai menterjemahkannya ke bahasa Melayu.  Kedudukan Pasai dari segi ilmu pada peringkat permulaan mengatasi Melaka.
Selain dari pengajian berlangsung diistana, pengajian juga berlangsung di luar istana, iaitu di masjid dan surau. Terdapat pusat pengajian khusus bagi pelajar-pelajar, termasuk dari luar Melaka. Tempat tersebut ialah di Pulau Upih. Sebagai sebuah pelabuhan enterpot, Melaka di datangai peniaga-peniaga dari kawasan Sumatera, Patani,Brunei, Jawa dan Sulawesi. Yang turut datang ialah pendakwah dan pelajar-pelajar yang antaranya belajar di Pulau Upih. Mereka pulang dan berdakwah antaranya di Pulau Jawa yang peringkat awal Islam tiba di Gresek yang dakwahnya dilakukan oleh Malik Ibrahim. Hasil dari pengaruh Melaka Islam bertapak di Demak, Sulawesi dan Filipina. Pada satu peringkat berlaku peperangan yang menyebabkan penganut-penganut Hindu melarikan diri seperti di Bali.
Sebagaimana ditimbulkan pengislaman Terengganu dan Pasai tidak meninggalkan warisan kitab agama yang dikarang oleh ulama` tempatan, begitu juga dengan pengajian agama di Melaka yang bertaraf lebih tinggi, juga tidak ada menyebut sebarang kitab yang dikarang oleh ulama` tempatan. Yang disebutkan ialah kitab dari luar iaitu Al-Durr al-Manzum yang diterjemah oleh Makhdum Patakan, namun kitab terjemahan ini juga tidak diwarisi (hilang ?) Mungkin masayarakat  dari zaman Terengganu, Pasai dan Melaka berpendapat, bahawa mengarang kitab adalah sesuatu yang besar dan semestinya dari ulama yang benar-benar alim di dalam bidang masing-masing. Semasa di Terengganu dan di Pasai dijangka bahawa pelajar-pelajar keislaman pada zaman tersebut belajar dengan menggunakan kitab-kitab berbahasa Arab dengan menterjemahkan dalam pengajaran dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Cara ini terus digunakan dari zaman tradisi hingga kini. Walau bagaimana untuk memahami bahasa Arab ini pelajar-pelajar dikehendaki mempelajari nahu dan juga saraf di samping mempelajari bidang-bidang keislaman yang lain. Sejarah Melayu menyebutkan antara pelajar-pelajar keilmuan Islam ialah Tun Bijawangsa, Tun Isap Misai dan Tun Muhammad yang alim dalam bidang nahu, saraf dan fiqah. Ini menunjukkan pelajar pada masa itu mempelajari bahasa Arab sebab itu mereka mempelajari ilmu nahu dan saraf. Ini membuktikan mereka menggunakan kitab-kitab bahasa Arab bagi mempelajari barbagai-bagai keilmuan Islam yang juga menandakan bahawa mereka belajar adalah pada peringkat tinggi, di samping wujudnya peringkat rendah dan biasa.
(Shafie Abu Bakar, Melaka Sebagai Lambang Keagungan Bangsa Melayu, dlm. Pertemuan Dunia Melayu `82, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987: 122-140).



Pemerintah Melaka, khususnya pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah mempunyai kesedaran keilmuan yang tinggi dan penghormatan terhadap Ilmu dan ulama juga tinggi. Misalnya  apabila kitab Al-Durrul Manzum yang dikirim Maulana Ishak dari Makkah bersama guru Maulana Abu Bakar, maka kitab dan guru berkenaan diberi penghormatan, kata Sejarah Melayu.
``Telah berapa lama di laut, maka sampailah ke Melaka, maka sangat dipermulia oleh Sultan Mansur Syah dan kitab Durrul Manzum disuruh baginda arak lalu ke Balai Rong. Maka Sultan Mansur Syah pun berguru pada Maulana Abu Bakar ...Maka segala orang besar-besar Melaka sekaliannya berguru pada Maulana Abu Bakar.``
(Sejarah Melayu, 1967: 149).
Guru bukan saja dihormati tetapi menegur Sultan. Misalnya Sultan Mahmud yang berguru dengan Maulana Yusof (bapa Kadhi Munawir) belajar Kitab Maklumat datang belajar dengan pakaian kebesaran Sultan, Baginda ditegur oleh Maulana Yusof, jika mau belajar kena ikut etika dan pakaian pelajar. Teguran dipatuhi Sultan Mahmud, baginda kembali menukar pakaian kepada pakaian pelajar, baru diterima belajar oleh Kadhi Yusof.
Sultan Mansur Syah mendalam dari segi keilmuan dan keislaman, ketika hampir ajalnya Baginda mewasiatkan puteranya, katanya:
``Ketahui olehmu hai anakku bahawa yang dunia ini tiada akan kekal adanya. Yang hidup itu akan mati juga sudahnya. Iman yang sempurna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal, disebut orang selama-lamanya. Adapun peninggalanku ini, hai anakku, hendaklah engkau berbuat sabar serta adil sangat-sangat.``(Sejarah Melayu, 1967: 164).
Selain dari pengajian keislaman yang tinggi berlaku di Melaka, Melaka mempunyai kebudayaan dan ciri senibina Islam yang unik, iaitu masjid-masjid tradisi di negeri Melaka seperti Trankira, Masjid Alai, Masjid Kg. Hulu dan banyak tempat yang lain dikatakan mengambil contoh dari seni bina ala Cina berbentuk paguda, iaitu secara bertingkat yang menandakan pengislaman Melaka ada hubungan budaya dengan negeri Cina.  Bahkan Masjid Negeri kini, Masjid Al-Azim juga mengambil ciri-ciri seni bina masjid-masjid tradisi.
Masjid ini juga sebenarnya membuktikan bahawa pengajian kerohanian tasawuf pada zaman tradisi amat berpengaruh. Tingkat-tingkat pada masjid juga melambangkan peringkat kerohanian yang dipelajari oleh pelajar yang mempelajari ilmu tasawuf-tarikat iaitu:  Syariat, Tarikat, Haqiqat dan Ma`rifat. Pengajian kerohanian dan pembahagian sedemikian begitu popular di Alam Melayu pada zaman tradisi. Selain dari mencerminkan pengajian kerohanian masjid Melaka ini juga mempunyai keistimewaan dari segi senibina tradisi, kerana dengan bertingkat sedemikian memberi ruang udara keluar masuk dan cahaya masuk menerangi ruang dalam masjid, selain daripada itu ianya mempunyai daya tarikan dan unik dari segi seni bina.
 Sesungguhnya apa yang dicarakan di atas membukti dan mengukuhkan ciri keislaman di Melaka yang harus diberi perhatian dan perlu dijadikan identiti utama dan kukuh bagi negeri Melaka.

Sekian.

No comments:

Post a Comment