BBB, 22 Rabiul Akhir 1436 = 13 Mac 2015
(Juma`at):
Kerajaan Melayu, khususnya Melaka adalah
kerajaan bertamadun dan berperadaban. Perjalanan pemerintahan melibatkan
pentadbiran, urusan perdagangan dan perniagaan dengan pihak tempatan dan juga
luar negara, pentadbiran keagaman dan juga hubungan luar. Bagi melicinkan
pentdbiaran memerlukan aturan dan undang-undang. Sejak awal dari penubuhan
kerajaan Melaka kesedaran kepada adanya peraturan dan undang-undang telah
timbul. Selepas menerima Islam dan Sultan Muhammad Shah dilantik menjadi Sultan
(1422-1444) oleh Sayyid Abdul Aziz yang turun dari Makkah Baginda telah
menggubal aturan-aturan. Iaitu dengan melantik Bendahara (Seri Wak Raja). Perdana
Menteri (Raden Anum) bergelar Seri Amar Diraja, Penghulu Bendahari (Raja Kecil
Muda) bergelar Seri Nara Diraja. Seterusnya Sejarah Melayu merakamkan bahawa:
``Syahadan Bagindalah yang pertama-tama
meletakkan kekuningan larangan, tiada dapat dipakai orang keluaran dan diambil
akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir, dan ulasan bantal besar
dan tilam, dan bungkus barang apa-apa, dan akan karang-karangan benda; dan
tiada dapat diambil akan perhiasan rumah; dan lain daripada itu pun tiada jua
dapat, melainkan kain, baju, dan destar, tiga perkara ini juga yang dapat
dipakai. Dan larangan berbuat rumah bepermanjungan bertiang gantung tiada
terletak ke tanah, dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; dan jikalau
perahu bertingkap berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk, dan
teterapan keris; sebenar-benar orang keluaran tiada dapat bergelang kaki emas,
dan jikalau berkeroncongan emas berkepala perak ke atas boleh.``
(Sejarah Melayu, Edisi Shellabear, 1967: 74).
Termasuk larang memakai emas, walau sekaya
mana, kecuali diiberi keizinan Raja dapatlah dipakai selama-lamanya. Larangan
juga daripada masuk ke dalam istana jika tiada kain beroancong dan berkeris
dihadapan dan bersebai, tiada boleh masuk ke dalam; dan apabila masuk berkeris
di belakang masuk ke dalam dirampas oleh penunggu pintu.`` (Ibid.).
Demikinlah larangan-larangan bertujuan untuk
membezakan antara pihak bangsawan dengan rakyat, di samping untuk keselamatan.
Aturan Diraja ini mengalami penambahan dan pembaikan semasa pemerintahan Sultan
Muzaffar Syah (1445-1458) sebagaimana tercatat di dalam Sejarah Melayu:
``Syahadan adalah Sultan Muzaffar Shah di atas
kerajaan terlalu baik fi`il baginda, dengan adil dan murah dan saksama pada
memeriksa segala rakyat; dan ialah menyuruh membuat undang-undang supaya jangan
lagi bersalahan adat segala hukum menterinya.`` (Sejarah Melayu, 1967: 86).
Pada zaman kerajaan Melaka juga penggubalan
undang-undang makin canggih dan bermutu. iaitu mengenai Undang-Undang Melaka
yang juga bersamanya :
Undang-Undang Laut
Hukum Perkahwinan Islam
Hukum Perdagangan;
Undang-Undang Melaka mengandungi 44 fasal dalam
mana fasal 1 hingga 23 ialah intisari undang-Undang Melaka iaitu antara yang
utama ialah mengenai tugas orang-orang besar dari Bendahara kepada Perdana Menteri,Temenggong dan penghulu
Bendahari. Antara larangan diraja seperti pakaian dan warna kuning. Juga hukum
penggunaan bahasa seperti titah, patik, murka, kurnia dan anugerah tidak boleh
dipakai dikalangan rakyat. Hukum seterusnya mengenai jenayah seperti orang
mengamuk boleh dibunuh, hukum membunuh, mencuri, hukum kecurangan lelaki dan
perempuan yang boleh didenda dan yang lebih berat direjam, hukum mengenai kesalahan
hamba, hukum mengenai tuduhan, hukum meminjam hamba untuk pekerjaan, hak
bersahabat, hukum bertanam di tanah mati dan hidup, hukum ganggun pemeliharaan
binatang di jalan lalu lalang. Hukum membakar - pencemaran dan memagari ladang
seterusnya termasuk hukum perkahwinan dan rumah tangga.
Berhubung dengan Undang-Undang Laut adalah
merupakan undang-undang penting yang
disumbang oleh Melaka di Nusantara. Undang-Undang Laut Melaka ini digubal pada
zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1428-1528). Ia merupakan bahagian kedua
dari Undang-Undang Melaka.
Antara kandungan ialah mengenai tugas segala
nakhoda dan anak perahu.
Hukum orang berzina dengan isteri orang dalam
jong dibunuh, hak nakhoda terhadap harta yang didapati.
Kesalahan-kesalahan di dalam jong. Orang
berhutang dan ikatannya dengan jong jika
tak lunas hutang. Hukum muallim yang lalai hingga menyebabkan perlanggaran.
Tindakan yang perlu diambil nakhoda bila berlaku ribut taufan. Adab yang perlu
dipatuhi anak perahu, kewajipan menjaga jong dari kebakaran. Apabila jong tiba
ke pelabuhan maka keutamaan tiga hari terawal diberi kepada nakhoda untuk
berniaga. Jika tempoh belayar sudah berlalu dan tidak juga belayar, maka nakhoda
mesti memulangkan sewa tapak.
Di samping undang-undang di atas terdapat
pecahan khusus mengenai undang-undang belayar dan undang-undang perahu.
Undang-Undang Melaka ialah undang-undang yang
menjadi panduan bagi pihak pemerintah menjalankan pemerintahan, manakala
Undang-Undang Laut ialah bagi panduan peniaga-peniaga yang bergerak dengan perahu
dan jung agar mengikut peraturan undang-undang supaya perusahaan dan perniagan
dapat berjalan dengan baik.
(Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu
Klasik 2, Penerbit Erlangga,, Jakarta, 1993:165-177).
Jika kita perhati didapati perkembangan
undang-undang di Melaka makin canggih dari undang-undang yang berhubung dengan
istana pada zaman Sultan Muhammad, kepada undang-undang yang perlu ditunaikan
oleh pembesar-pembesar negeri pada zaman Sultan Muzaffar Shah. Kemudian
berkembang kepada Hukum Kanun Melaka, iaitu undang-undang melibatkan
pentadbiran negera Melaka seterusnya kepada yang lebih canggih, iaitu
Undang-Undang Laut pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud, sesuai dengan Melaka
sebagai sebuah negara Maritim. Undang-undang ini tidak terhad kepada Melaka,
tetapi berkembang dan diguna seperti di Aceh, Patani, Johor dan berbagai
pelabuhan di Nusantara.
Jelaslah Melaka bukan setakat negara, tetapi bertaraf
sebagai sebuah empayar yang besar yang mempunyai kawasan dan jajahan serta
pengaruh luaran. Ianya ditadbir secara undang-undang dan dengan kemajuan yang
dicapai Melaka adalah tamadun dan peradaban Melayu unggul yang dibanggakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment