BBB, 26
Rabiul Akhir 1436 = 05 Mac 2015 (Khamis):
Kewujudan Melayu adalah di Semenanjung Tanah
Melayu dari Segenting Kra ke Selatan hingga Ke Riau dan Sumatera juga Jawa. Bukti
kewujudan mereka ialah sebagaimana terbukti penemuan `Perak Man` di Lenggong. `Perak Man` wujud sejak zaman
pra-sejarah lagi. Dilihat dari kawasan secara luas dan mempunyai pertalian
keturunan adalah keseluruhan kawasan yang dinamakan `Malay Archipelago`. Antara
jaringan sejarah kewujudan Melayu antara sejarawan mengaitkan dengan Funan, Sriwijaya dan Langkasuka.
Kewujudan Melayu sejak zaman neolithik
dikenali sebagai Jakun yang mereka adalah sebagai `Proto Malay`. Tentang
kewujudan mereka ini, antaranya catatan terawal dari pelayar Cina dan India
yang berlaku sejak awal abad Masihi menyebut:
``We have seen that it was undoubtedly These
Malays of the coast to whom the Chinese and Indian seamen applied the names
K`u-lun and Dvipantara.``
(Coedes, G. The Indianized States of Southeast
Asia, University of Malaya Press, Kuala Lumpur-Singapore, 1968: 12).
Dari segi penyebutan Melayu diperkukuhkan
lagi rujukan nama ini berkait dengan
satu kawasan yang dikenali sebagai
palimbang. Pada abad ke 7M. Palimbang sudah terkenal. Menurut maklumat:
``In 644-45 almost the same time as the first
embassy of Ho-ling in 640, The New History of the T`ang mentions the first
embassy of Mo-loyu. This name refer to the country of Malayu situated on the
east coast of Sumatra and centred in the region of Jambi.``
Maklumat ini diperkukuh dengan kehadiran
I-Ching yang singgah pada 671M. Dalam perjalanannya ke Nalanda, India sebagai
pusat pengajian agama Buddha di sana. (Coedes, 1968: 79-80).
Maklumat ini sesuai dengan maklumat tempatan
yang menyebut bahawa Sultan Iskandar anak Sang Nila Utama keturunan Demang Lebar Daun dari Palembang
dirajakan di Melaka.
(Shellabear, W.G. Sejarah Melayu, Oxford
University Press, Kuala Lumpur, 1967: 70-71).
Dari penggaluran di atas menunjukkan bahawa `Melayu`
sudah wujud sejak zaman pra-sejarah. Rentetan daripada itu terdapat catatan mengenainya
di dalam catatan Cina dan India. Walau bagaimana merujuk kepada fakta sejarah,
pada abad ke 7 ini juga adalah wujudnya kerajaan yang besar iaitu Kerajaan Sriwijaya
di Sumatera dan berkekalan hingga abad ke 12. Dapatlah dijangka, walaupun Melayu
sebagai kerajaan telah wujud hampir bersamaan dengan kenaikan kerajaan
Sriwijaya, tetapi pengaruh Palembang
terlindung oleh kebesaran Kerajaan Sriwijaya yang pada hakikatnya juga kerajaan
Melayu secara luas.
Kenaikan Melayu secara menonjol sebagai
kerajaan berwibawa sebgai lanjutan dari Palimbang selepas perpindahan raja dari
Palembang melalui Singapura dan membuka Melaka pada akhir abad ke 14M.
Dengan kewujudan Melayu yang berasal dari
Palembang dan dirujuk juga kepada kawasan Jambi, maka dapatlah dipastikan
bahawa bahasa Melayu telah digunakan pada masa itu, sebagaimana bahasa tersebut
digunakan pada hari ini – sudah tentulah dengan perubahan.
Dilihat dari segi dokumen bahasa, tiada
kedapatan warisan penulisan yang berkait dengan Palembang dan juga dengan
pembukaan awal Melaka, kecuali dalam bentuk ukiran-ukiran batu tinggalan
candi-candi yang agak banyak sebagaimana terdapat di Muzium Palembang. Prasasti
awal yang ada hubungan dengan bahasa Melayu ialah Prasasti Minye Tujuh
bertarikh Jumaat 14 Zulhijjah 791H./1389M. Iaitu mengenai tarikh kematian Imam
Warda. Ini bermakna pada masa itu Islam telah bertempat di Minye Tujuh yang ada
kaitan dengan keislaman Pasai. Namun tulisan pada Batu Nisan Minye Tujuh ini
menggunakan huruf Pallava. Walaupun begitu kata-kata yang digunakan adalah
kata-kata `Melayu` klasik yang dapat difahami, walaupun ada campuran
istilah-istilah Sanskrit. Contoh antara kata:
Hijrah Nabi,
yang. Tujuh ratus, puluh, Raja Imam, hak, Kedah, tanah, samuha (semua),
taruh, dalam, Tuhan.
(Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu
Sepanjang Abad, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam,
1995: 110).
Dapat diambil kesimpulan, bahawa hingga kepada
masa itu masih belum ada tulisan khas bagi bahasa Melayu bertempat di
Palembang, walaupun Palembang berstatus sebuah negeri yang mempunyai hubungan
diplomatik dengan negeri China. Adalah dijangka tulisan yang digunakan ialah
tulisan Pallava – Sanskrit sebagaimana digunakan oleh kerajaan Srivijaya
sebagai kerajaan besar di Sumatera. Bahkan kawasan ini sebenarnya hingga kepada
perpindahan ke Melaka masih kuat dengan pegangan agama Hindu sebagaimana
digambarkan dalam sejarah Melayu yang mengaitkan turunan Raja yang datang ke
Singapura (Sang Nila Utama) sebagai keturunan Raja Chulan.
Jelaslah, walaupun disebutkan bahawa Melayu
adalah dari Palembang (Bukit Seguntang), tetapi kelompok-kelompok di tempat
lain yang sudah wujud penduduknya seperti Johor, Terengganu. Pahang, Kedah, Kelang,
Patani ke Segenting Kra dan sebagainya adalah Melayu. Bila Melayu menjadi
unggul oleh berbagai faktor, maka nama Melayu meluas kepada kawasan yang
dikenali sebagai `Malay Archipalago`. Termasuk Jawa yang pernah mempunyai
kerajaan besar seperti Kerajaan Majapahit dan beberapa kerajaan yang lain. Ini
dicatat oleh pelayar-pelayar Barat dan di dalam peta-peta rujukan `Kepulauan Melayu`
- Malay Archipalago.
Melayu pada hakikatnya telah wujud di kawasan
terutamanya Semenanjung sejak zaman pra sejarah sebagaimana terbukti dengan
penemuan Perak Man dan antara lanjutan mereka dikenali sebagai orang Jakun,
Seman, Sakai, Orang Laut, Seletar dan sebagainya. Mereka lebih unggul apabila
wujudnya pemerintah-pemerintah di kawasan-kawasan yang kemudian dikenali dengan
negeri. Identiti Melayu menjadi kukuh, terutama selepas kenaikan Melaka yang
dikenali sebagai `Emporium of the East`. Lantas Semenanjung dan kawasan kepulauan di kenali
sebagai `Kepulauan Melayu`.
Sekian.
No comments:
Post a Comment