October 22, 2015

Nabi Ibrahim A.S. Dari Tradisi Besar


BBB, 08 Muharram 1437 = 21 Oktober 2015 (Rabu):



Sejarah dan Sirah Rasul-Rasul banyak memberi sumbangan bagi kita memahami tentang bukan saja kerasulan juga kenabian, tetapi juga sejarah peradaban dan tamadun kemanusiaan itu. Dari kitab-kitab suci, termasuk dari Al-Qur`an kita mendapat makluman bahawa asal-usul manusia dari segi biologi berketurunan dari Nabi Adam dan Hawa.
Al-Qur`an menampilkan satu surah yang berjudul Surah Ibrahim, iaitu  surah ke (14) yang diturunkan di Makkah yang mengandungi 52 ayat.  
Sebelum membicarakan kandungan surah tersebut kita melihat kepada latar tempat dan budaya yang melahirkan Nabi Ibrahim. Bahawa kawasan yang merupakan pertemuan antara benua, iaitu barat bagi Asia, timur-selatan bagi Eropah dan utara bagi Afrika, ialah antara kawasan awal bagi tamadun manusia. Dari kawasan ini bermula Adam dan Hawa diturunkan. Misalnya Arafah dikenali sebagai tempat pertemuan mereka berdua. Maka dari sinilah bermula berkembang zuriat turunan manusia.
Dari kawasan di sini juga lahirnya secara ketara tamadun dan peradaban manusia, iaitu tamadun Babylonia- Mesopotamia di pinggir sungai Dajlah-Furat yang dikesan sejak 10,000 tahun lepas, begitu juga dengan tamadun Mesir purba di pinggir sungai Nil sejak 5,000 tahun lepas dan juga negara Palestin yang menjadi kota Suci sebagai tempat kelahiran dan negara bagi nabi-nabi. Nabi Ibrahim bin Azar adalah lahir dari belahan tamadun yang berpusat dari kawasan tiga segi emas tamadun dan peradaban berkenaan. Menurut Profesor Ismail Faruqi di dalam bukunya berjudul `Atlas Budaya Islam` Nabi Ibrahim wujud pada zaman pemerintahan Namrud pada awal tahun 2,000 S.M. (Ismail R. Al-Faruqi dan Lois Lamya Al-Faruqi, Atlas Budaya Islam, Terjemahan Mohd. Ridzuan Othman, Mohd. Sidin Ishak dan Khairuddin Harun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992: 12).
Pada sekitar tahun 2,000 tahun sebelum Masihi itu sudah wujud budaya Tamadun dan peradaban seperti wujudnya hubungan dagang antara negara Sham-Palestin dengan Mesir dan Afrika, hubungan dengan Yaman dan ke timur yang jalan rentas ini turut melalui Makkah-Madinah sebagai tempat persinggahan ulang alik perdagangan. Bahasa yang berkembang di kawasan ini berasal dari satu rumpun bahasa yang dikenali sebagai Bahasa Semit yang pada bahagian timur Semenanjung Tanah Arab dikenali sebagai bahasa Akkadia atau Babylon Assyria, pada bahagian utara dikenali dengan bahasa Aramaik dengan beberapa kepelbagaian ke timur seperti bahasa Syria, Madain dan Nabaten dan ke barat seperti Samaritan, Yahudi, Aramaik dan Palmyra. Pada bahagian barat ialah Phoenisia. Yahudi Injil dan loghat Kanaan.
Manakala tergolong separuh bahagian selatan Tanah Arab, ialah bahasa Arab yang pada bahagian utara ialah bahasa Arab sendiri, manakala bahagian selatan ialah bahasa Sabak dan Himyar. Hingga 1400 S.M. terbukti tulisan pada batu oleh orang Amarna. Hingga pada masa tersebut bahasa Akkadia merupakan bahasa perhubungan yang terpenting dituturkan dan ditulis sama ada oleh penduduk setempat atau pemerintah berketurunan Mesir. Bahasa Aramanik mula menggunakan bahasa Akkadia selepas 1200 tahun sebelum Masihi dan berkembang dengan beberapa loghat seperti bahasa Aramaik digunakan oleh Yahudi seperti di Kanaan seterusnya menjadi bahasa rasmi orang-orang Yahudi di Asia Barat, seperti tulisan di papyrus orang Mesir sehinggalah kedatangan Islam. Dan dengan kedatangan Islam bahasa Arab kemudiannya menggantikan bahasa Aramaik sebagai bahasa terpenting seluruh rantau Asia Barat (Al-Faruqi: hlm. 232-24).
Tahun 2000 sebelum Masihi sebagaimana telah disebut adalah zaman kewujudan Nabi Allah Ibrahim a.s. yang pemerintah pada masa itu ialah Raja Namrud. Nabi Ibrahim adalah watak kukuh yang tidak menetap hanya pada satu kawasan di sekitar Kanaan dan Baitul Maqdis, tetapi baginda bergerak hingga ke Makkah, bahkan sampai ke Mesir. Baginda sendiri berkahwin dengan Saidatina Sarah dari keturunan tempatan sekitar Kanaan-Baitul Maqdis yang darinya beliau mendapat anak Ishaq dan beliau juga adalah berkahwin dengan seorang lagi isteri Saidatuna Hajar yang berketurunan Mesir yang dari perkahwinan ini melahirkan Ismail. Mereka berdua ditempatkan oleh Ibrahim di Makkah, iaitu sekitar Masjid al-Haram kini.
Nama Ibrahim, bahkan Ismail bukan menurut loghat bahasa Arab, bahkan lebih mirip sebutan loghat Ajam. Tentang Ibrahim Al-Qur`an menegaskan bahawa bermaksud:
``Tidaklah Ibrahim itu Yahudi, tidak juga Nasrani, tetapi dia tetap di atas dasar tauhid seorang yang Hanif lagi muslim dan bukan dari kalangan musyrikin (Aali Imran: 67).
Hajar yang tinggal bersama anaknya di kawasan Masjid al-Haram turut didatangi sama antaranya keturunan Arab dari suku Jurhum. Mereka meminta izin dari keluarga Hajar untuk turut menetap di situ dengan mengakui zamzam adalah milik dan di bawah jagaan keluarga Hajar. Ismail berkahwin dengan anak perempuan dari kabilah Arab Jurhum berkenaan dan dari perkahwinan ini melahirkan turunan Arab yang lanjutan dari keturunan Arab Jurhum ini sampai kepada turunan Kabilah Adnan sebagai turunan Quraysy yang kepada Adnan ini diketahui susur galur turunan Nabi Muhammad s.a.w. yang turut menjaga kepentingan dan kebajikan berhubung dengan air Zamzam yang menjadi punca utama bagi kemakmuran Makkah.
Nabi Ibrahim sebagai tokoh penting adalah dimegahi bagi yang mempunyai galur turunan bersambung kepada Nabi Ibrahim. Orang-orang Yahudi mendakwa mereka adalah turunan dari Nabi Ibrahim melalui pertalian antaranya melalui Nabi Yusuf bin Ya`kub bin Ishaq bin Ibrahim, turut juga mendakwa mereka yang beragama Kristian melalui Nabi Isa a.s. dan tentulah juga kalangan berketurunan Arab melalui galur keturunan melalui Nabi Ismail a.s. bin Ibrahim a.s., tetapi sebagaimana ditegaskan oleh ayat Al-Qur`an di atas, bahawa Nabi Ibrahim tidak boleh didakwa sebagai seorang Yahudi atau Kristian, tetapi Baginda adalah seorang berpegang pada aqidah tauhid yang hanif lagi muslim. Apa jua menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim adalah Tokoh Besar, Rasul Besar dan pembawa agama Hanif yang darinya bertalian dengan kelahiran agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Sebagai kesimpulan Nabi Ibrahim adalah lahir dari belahan tamadun dan peradaban besar yang wujud di Asia Barat yang bukan saja menjadi sentral dari segi kedudukan geografi, tetapi juga keturunan penting di dalam tamadun dan peradaban manusia. Lebih mulia dan istimewa baginda yang berada di tengah-tengah masyarakat yang terseleweng dari pegangan aqidah, Baginda bangkit sebagai Rasulullah memperbetulkan aqidah dan pegangan masyarakat pada zamannya dan ini diteruskan oleh turunannya yang antaranya dari kalangan rasul-rasul dan nabi-nabi dari turunannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment