March 1, 2016

Makna `Aqa`id Al-Uluhiyyah - Istighna` Dan Iftiqar


BBB,  20 Jamadil Awwal 1437 = 29 Februari 2016 (Isnin):


Selepas membicarakan tentang sifat yang wajib bagi Allah, mustahil dan harus dan demikian juga bagi rasul-rasul, maka dibicarakan satu lagi pendekatan bagi pembahagian sifat-sifat berkenaan.
Kata Muhammad bin Yusuf al-Sanusi di dalam Matan Umm al-Barahin:
``Dan terhimpun makna-makna akidah-akidah keseluruhan di bawah kata `La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah, kerana makna ketuhannan itu ialah Kaya Tuhan daripada setiap  apa yang selain dariNya dan berhajat tiap-tiap apa selain dariNya kepadaNya. Maka makna `La ilaha illa Allah`, tidak terkaya daripada tiap-tiap apa selain dariNya dan berhajat kepadaNya tiap-tiap apa selainNya melainkan kepada Allah.
Ia juga bermakna sebagai kata Muhammad bin Yusuf al-Sanusi::
``La ma`bud bi haqq maujud ghayr Allah illa Allah)
Bermaksud bahawa:
Tidak ada yang disembah dengan sebenar yang maujud selain daripada Allah melainkan Allah.
Juga dalam ibarat yang lain dikatakan: ``Tidak terkaya oleh tiap-tiap suatu  selainNya dan berhajat kepadaNya oleh tiap-tiap suatu selainnya melainkan kepadaNya -  Allah.
Dalam hal ini diungkapkan
``Tidak berhak diibadatkan selain dari Allah Ta`ala. Dan
``Tidak ada yang disembah dengan sebenar selain daripada Allah Ta`ala`  yang bererti
`Tidak ada yang wajib wujud yang berhak disembah selain daripada Allah Ta`ala`
Shaykh Muhammad bin Yusuf al-Sanusi memaksud dan membahagi sifat-sifat  yang telah dibicarakan kepada:
Sifat-sifat Istighna`, iaitu:
Wujud, qidam, baqa`, Mukhalafatuhu Ta`ala li al-hawadith, qiyamuhu bi nafsih, sama`, basar dan kalam, kerana sekiranya tidak wajib bagi Allah Ta`ala sifat-sifat ini, nescaya Ia berharap kepada yang membaharu atau tempat atau siapa yang  menahan dari kekurangan.
Mengulas Shaykh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin:
``Bahawasa makna ketuhanan yang Esa Ia dengan dia itu dua makna
Suatu Istighna`
Dan Kedua: Iftiqar.
Bermula yang masuk pada Istighna` itu sebelas sifat daripada sifat dua puluh yang wajib:
Satu sifat Nafsiyyah, iaitu wujud dan
Empat sifat Salbiyyah, iaitu qidam, baqa`, mukhalafatuhu li al-hawadith dan qiyamuhu bi nafsih dan
Tiga sifat Ma`ani, iaitu sama`, basar dan kalam dan
Tiga sifat Ma`nawiyyah, iaitu samian, basiran dan mutakalliman
Dan lawan pula sebelas daripada yang mustahil, maka jadi perhimpunannya dua puluh dua.
Dan  dikira dari Istighna, iaitu Maha Suci Allah daripada a`rad pada perbuatanNya dan hukumNya, jikalau tidak berhajat Allah Ta`ala kepada barang yang menghasilkan akan kehendaknya, pada hal Allah Ta`ala `Azza wa Jalla terkaya daripada apa yang selain dariNya.
Dan termasuk di bawah Istighna` juga bahawasanya tidak wajib bagi Allah Ta`ala membuat sesuatu daripada mumkinat dan tidak pada meninggalkannya, kerana kalaulah wajib ke atas Allah Ta`ala sesuatu daripadanya pada akal seperti memberi pahala, nescaya Allah `Azza wa Jalla berhajat kepada sesuatu yang menyempurnakan dengannya, sesungguhnya tidak wajib pada haq Ta`ala, melainkan apa yang sempurna bagiNya. Dan Dia adalah `Azza wa Jalla yang Kaya daripada sesuatu selainNya.
Dan adapun Iftiqar tiap-tiap selain daripadaNya kepada Jalla wa `Azza, maka wajib bagiNya Ta`ala:
Al-Hayat, umum Qudrat, iradat, ilmu, kerana jikalau ternafi satu daripadanya, maka tidak mungkin terdapat sesuatu daripada yang baharu, maka tidak berhajat kepadanya oleh sesuatu, pada hal berhajat kepadanya tiap-tiap sesuatu selain daripadaNya.
Menghuraikannya oleh Shaykh Muhammad Zain, termasuklah di bawahnya hayyan, qadiran, muridan dan aliman., maka ini delapan dan lawannya delapan pula menjadikanperhimpunan enam belas.
Dan termasuk juga di bawahnya wahdaniyyah, kerana kalau bersamaNya kedua daripada ketuhanan, nescaya berhajat kepadaNya sesuatu dan melazimkan lemah keduanya pada masa itu, bagaimana sedangkan berhajat kepada Allah Ta`ala tiap-tiap sesuatu selain dariNya.
Juga termasuk di bawah iftiqar juga ialah baharunya alam sekaliannya, jika sekiranya  adalah sesuatu daripadanya qadim, nescaya sesuatu ini terkaya daripadanya Allah Ta`ala, bagaimana demikian pada hal Allah Ta`ala  yang wajib memerlukan kepadaNya oleh sekalian yang lain.
Demikian juga termasuk di dalam kategori iftiqar ialah tidak ada ta`thir bagi sesuatu daripada ka`inat daripada sebarang kesan, dan jika tidak melazimkan terkaya ithar tersebut daripada Maulana `Azza wa Jalla, pada hal kepadaNya memerlui kepadaNya oleh  setiap apa yang selainNya secara keseluruhan, walau bagaimana kalau berkuasa sesuatu daripada ka`inat kesan dengan tabiatnya, atau diberi kuasa kesan dengan kekuatan yang dijadikan Allah Ta`ala ke atasnya sebagaimana dijangka oleh kebanyakan yang jahil, maka yang demikian juga mustahil, kerana jadilah ketika itu Maulana Jalla wa `Azza berhajat bagi mengadakan setengah daripada pekerjaan kepada perantaraan, yang demikian adalah batal sebagaimana engkau ketahui daripada wajibnya istighna`nya Allah Jalla wa `Azza daripada apa yang selain dariNya..
Shaykh Muhammad bin Yusuif al-Sanusi nampaknya menghadkan  pembicaraan di dalam Matan Umm al-Barahin kepada dua kalimah shahadah sahaja, terutama shahadah pada bahagian pertama. Adapun shahadah pada bahagian kedua, Shaykh Muhammad bin Yusuf al-Sanusi merumuskan:
``Adapun kata kami tentang Muhammad Rasul Allah, maka termasuk di bawahnya iman dengan  segala nabi, malaikat alayhim al-salat wa al-salam, kitab-kitab yang diturun dari langit dan Hari Akhirat, maka bahawasanya Rasul kita Nabi Muhammad s.a.w. datang membenarkan  yang demikian seluruhnya.
Demikian huraian terhadap kandungan dua kalimah shahadah.

Sekian.


No comments:

Post a Comment