February 29, 2016

Kerasulan Dalam Komponan Akidah Utama


BBB, 12 Jamadil Awwal 1437 = 21 Februari 2016 (Ahad):


Kepercayaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebahagian dari komponan utama  dalam dua kalimah shahadat, iaitu selepas pengakuan dan penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan pengakuan dan penyaksian bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah Rasulullah. Sebagaimana ada pendekatan akidah tentang ketuhanan, iaitu mengenaliNya dengan sifat yang wajib 20 sifat, lawannya yang mustahil 20 sifat dan harus satu sifat dengan bukti dan dalil-dalil, maka demikian juga dengan kepercayaan dan penyaksian terhadap Rasulullah s.a.w. mempunyai pendekatan akidah selari dengan pendekatan akidah terhadap Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Kata Shaykh Muhammad bin Yusuf al-Sanusi di dalam Matan Umm al-Barahin,
``Dan adapun sekalian Rasul Allah `alayhim al-salam, maka wajib bagi Dhat mereka itu tiga perkara (pertama) Benar (dan kedua) Kepercayaan (dan ketiga) Menyampaikan  barang yang disuruh akan  mereka itu dengan menyampaikan bagi sekalian makhluk (Penulis – Satu lagi sifat yang wajib bagi Rasul-Rasul ialah Fatanah, iaitu cerdik). Perhatikan bahawa pihak pengarang matan menyebut `kewajipan pada `haq mereka itu – diberi istilah oleh penghurai kepada maksud `dhat` rasul, yang boleh difahamkan sebagai `diri`)
Menurut penghurai bagi matan, iaitu Shaykh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin,
``(Dan inilah) bahagi yang kedua setengah daripada barang yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengenal dia dan iaitu ta`alluq sekalian Rasul `alayhim al-salat wa al-salam dan iaitu barang yang wajib pada hak mereka itu dan barang yang mustahil dan barang yang harus, iaitu tiga sifat sebagaimana disebut oleh pengarang matan. Penghurai menambah,
``Bahawasanya sekalian Rasul Allah itu wajib bersifat mereka itu pada yang lain daripada tiga ini akan sekalian sifat kamalat yang tiada baginya terhingga dan berkesudahan, tetapi yang demikian itu atas  sekira-kira kamalat yang baharu dan wajib pula atas tiap-tiap mukallaf mengetahui yang demikian itu, tetapi atas jalan perhimpunan.
Sebagaimana pola bagi sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah, maka demikian pula selepas membicarakan tentang sifat-sifat wajib bagi Rasul, maka dibicarakan sifat-sifat mustahil kepada mereka. Kata pengarang matan,
``Dan yang mustahil bagi dhat mereka itu `alayhim al-salat wa al-salam segala lawan sifat yang tiga itu.
(Yang Pertama) Dusta
(Dan Yang Kedua) Khianat dengan berbuat sesuatu daripada barang yang ditegahkan daripadanya tegah yang haram dan tegah yang makruh.
(Dan Yang Ketiga) Menyembunyi sesuatu daripada barang yang disuruhkan mereka itu dengan menyampaikan dia bagi segala makhluk. (Bagi yang mewajibkan empat sifat, maka lawan bagi sifat cerdik ialah mustahil Rasul bodoh),
Sebagaimana pola sifat-sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah, maka demikianlah bagi Rasul, kata penyusun matan,
``Dan harus pada hak (dhat) mereka itu `alayhim al-salat wa al-salam barang yang ia daripada kelakuan anak Adam yang tiada memabawa kepada kekurangan pada martabat mereka itu yang maha tinggi seperti sakit dan seumpamanya.
Berikut dari membicarakan sifat-sifat yang wajib bagi Rasul, mustahil dan harus, maka penyusun matan mengukuhkan sifat-sifat wajib berkenaan dengan `burhan.
Bagi sifat benar kata penyusun matan:
``Adapun burhan wajib `Benar` bagi Rasul-Rasul `alayhim al-salat wa al-salam, kerana kalau mereka itu tidak benar, maka lazim mereka itu dusta pada khabarnya Allah Ta`ala bagi membenarkan mereka dengan mu`jizat yang diturunkan sebagaimana turunnya firman Allah Ta`ala membenarkan hambanya bagi setiap yang disampaikan. Huraian lanjut daripada penghurai bahawa tidak berlaku dusta pada pihak Rasul,. Maka jikalau harus di sana pada hak sekalian Rasul nescaya harus pula di sana pada hak Allah Ta`ala, kerana membenarkan yang dusta itu dusta pula seperti dia dan mustahil, kerana bahawasnya dusta atas Allah Ta`ala itu kekurangan dan Maha Suci Allah Ta`ala daripada kekurangan.
Berhubung dengan sifat amanah kata Shaykh Muhammad bin Yusuf al-Sanusi, ``Adapun burhan wujud amanah bagi mereka itu `alayhim al-salat wa al-salam, kerana jikalau mereka itu khianat dengan membuat perkara haram atau makruh akan bertukar perkara haram dan makruh sebagai ketaatan pada hak mereka itu `alayhim al-salat wa al-salam kerana Allah Subhanahu wa Ta`ala sesungguhnya telah menyuruh kita dengan menurut mereka itu pada kata-kata dan perbuatan mereka, Dan Allah Ta`ala tidak menyuruh melakukan perkara haram dan tidak perkara makruh dan ini dengan `ainnya ia adalah burhan dengan wujubnya amanah. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. terpelihara dari perkara yang haram dan makruh dan perbuatan Nabi kita berkisar pada perbuatan wajib, sunat dan harus.
Dan burhan bagi sifat tabligh, bahawa jika Rasulullah tidak menyampaikan, sudah tentu tidak sampai pengajaran Islam yang kita terima dan amalkan, tetapi kita adalah menerima pengajaran melalui Al-Qur`an yang dengan amanah disampaikan oleh Rasulullah dan juga Hadith-Hadith yang sampai kepada kita yang dengan keduanya menjadi pegangan bagi Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
Dan burhan bagi Rasul bersifat dengan sifat  fatanah, terbukti jika Baginda tidak bersifat fatanah, Baginda tidak dipilih dalam peristiwa Tahkim sebagai pendamai ketika berlaku pertikaian antara kabilah untuk meletakkan kembali hajarul aswad bila Ka`bah dibaiki ketika zaman remaja Baginda dan kalau tidak fatanah, maka Baginda tidak dipercayai oleh Khadijah membawa dagangan  ke Sham dan terpenting jika tidak fatanah maka tanggungjawab kerasulan tidak berlaku, tetapi berjalan dengan baik dan Islam tersebar dengan sempurna.
Berhunung dengan sifat harus bagi Rasul yang disebut oleh Muhammad Yusuf al-Sanusi dan diterjemah oleh  Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin bahawa,
Dan adapun dalil harus a`rad bashariyyah (sifat-sifat kemanusiaan) atas mereka itu `alayhim al-salat wa al-salam, maka dilihat jatuhnya  dengan mereka itu ada kalanya kerana membesarkan pahala mereka itu atau kerana mengajar atau kerana sabar daripada dunia dan kerana mengingatkan bagi kekejian  kadar dunia pada Allah Subhanahu wa Ta`ala dan ketiadaan reda Allah Ta`ala dengan dia akan negeri membalas bagi sekalian auliya`Nya dengan sekira-kira bagi kelakuan mereka itu di dalamnya `alayhim al-salat wa al-salam. Peristiwa yang merakamkan sifat dan perjalanan Nabi sebagai bukti sifat kemanusiaannya terakam di dalam Al-Qur`an dan Hadith-Hadith Baginda yang diriwayatkan secara mutawatir. Keharusan bagi Rasul ialah seperti makan, minum, tidur, berkahwin, gembira, sakit  dan sebagainya.
Dengan pembicaraan sifat harus bagi Rasul-Rasul ini genaplah huraian bagi kandungan sifat-sifat wajib, mustahi dan harus bagi Allah dan Rasul yang terkandung di dalam dua kalimah shahadah.

Sekian.


No comments:

Post a Comment