February 17, 2016

Mereka Yang Dimurkai Allah - Khatam Kitab


BBB, 07 Jamadil Awwal 1437 = 16 Februari 2016 (Selasa):


Selepas membicarakan kalangan yang diredai Allah seperti Khulafa` al-Rashidin, para sahabat terdekat dan para `ulama` yang berwibawa yang menjadikan padangan terhadap mereka sebahagian dari kepercayaan di dalam akidah, maka bagi mengakhiri pembicaraan bukunya yang berjudul `Al-Iqtisad fi al-I`tiqad`, maka dibicarakan pada peringkat penutup ialah mereka yang dimurkai Allah. Penulis sengaja memilih istilah yang lebih lembut dari istilah yang digunakan oleh Al-Ghazali `Golongan yang wajib dikafirkan`. Al-Ghazali mengingatkan bahawa ada golongan yang kafir mengkafirkan antara mereka. Hukum kafir mengkafir adalah hukum yang berkait dengan masalah fiqhiyyah yang dibuktikan dengan nyata seperti melalui kata-kata dan dilanjutkan dengan perbuatan. Ianya pula kadang-kadang diketahui dengan dalili-dalil sam`iyyat dan kadang-kadang secara zan dan ijtihad. Dan tidak ada dalil akal semata-mata. Menghukum kafir mempunyai implikasi berhubung dengan qisas, perkahwinan dan lain-lain lagi dari segi hukum. Di sebalik daripada itu tuduhan mungkin berlaku dengan sebab jahil dan juga disebabkan oleh dusta.
Persoalan kafir mengkafir adalah perkara besar dan tidak boleh dipermainkan. Tuduhan kafir jika tidak benar boleh mengembalikan tuduhan kepada yang menuduh. Kufur tidak lain balasan melainkan di dalam neraka. Sebab itu hati-hati dari segi percakapan dan jangan menuduh sembarangan.
Kufur menurut Al-Ghazali mempunyai martabat-martabat:
Martabat Pertama
Dusta Yahudi dan Nasara, dan ahli-ahli agama (selain daripada Islam) daripada Majusi dan penyembah berhala-berhala keseluruhan dan lain daripada mereka itu. Mengkufurkan mereka itu berasaskan nas-nas – Al-Qur`an, Al-Hadith dan ijma`
Martabat Kedua
Pendustaan  berahmin-berahmin yang ingkar terhadap keaslian Nubuwwah, golongan al-Dahriyyin (berpendapat kekal alam). Mereka ingkar terhadap Pencipta Alam (Allah).
Martabat Ketiga
Golongan yang membenarkan wujudnya Pencipta Alam dan kenabian Rasulullah s.a.w. akan tetapi mereka mempunyai pegangan yang bersalahan dengan nas-nas shara` seperti wajib Allah melakukan islah. Contoh mematikan anak kecil lebih baik dari  menjadi dewasa yang membawanya kufur dan contoh-contoh  yang lain. Mereka dimaksudkan oleh Al-Ghazali adalah golongan ahli falsafah. Menurut Al-Ghazali kufur ahli falsafah dalam tiga perkara: pertama: Mereka mengingkari himpunan jasad-jasad di Padang Mahshar dan mengazab mereka dengan api neraka. Mereka ingkar nikmat syurga dengan bidadari, makan minum dan pakaian yang mewah-mewah. Dan Kedua: Kata mereka bahawa Allah tidak mengetahui perkara yang juz`iyyat (kecil-kecil) dan peristiwa semasa. Dia hanya mengetahui secara keseluruhan. Adapun perkara-perkara yang juz`iyyah diketahui oleh malaikat di langit dan ketiga kata mereka bahawa alam adalah qadim dan Allah mendahului alam secara seturut seperti mendahului `illah ke atas ma`lul.
Martabat Keempat
Golongan Mu`tazilah dan yang seumpamanya dan puak-puak sedemikian (selain dari falsafah). Mereka membenarkan dan tidak mengharuskan pendustaan kerana muslihat atau tanpa muslihat. Mereka ini adalah salah dari segi ta`wil. Misalnya dalam persoalan melihat Tuhan. Mereka mengatakan tidak mungkin dapat melihat Tuhan dengan mata kepada. Tidak mungkin berlaku antara qadim dengan yang baharu.  Juga permasalahan `tempat` antara dua tempat.
Martabat Kelima
Mereka yang meninggalkan pendustaan secara terang-terang, tetapi mengingkari asal dari usul-usul shariat secara mutawatir daripada Rasulullah s.a.w. ,  seperti mereka mengatakan, ``Solat lima waktu tidak wajib. Apabila dibaca ayat Al-Qur`an mengenai solat dan juga Hadith, maka katanya, ``Aku tidak tahu dari Rasulullah s.a,w, mungkin dia silap atau tersalah. Dan contoh-contoh yang dari segi ungkapan yang boleh membawa kepada kekufuran.
Martabat Keenam
Tidak ketara dengan kedustaan, dia tidak mendusta dengan perkara-perkara maklum secara putus (qat`i) dengan mutawatir pada persoalan usuluddin, akan tetapi dia ingkar apa yang diketahui kebenarannya, melainkan dengan ijma`. Dia mempersoalkan, tidak mustahil berlakunya kesalahan dengan ijmak`
Sebagai kesimpulan konsep Iqtisad Dalam I`tiqad al-Ghazali, bahawa persoalan yang dibicarakan adalah terhad iaitu mengenai Dhat, Sifat dan Af`al Allah dan mengithbatkan Rasulullah sebagai Rasul Dia tidak membicarakan rukun-rukun iman yang lain seperti malaikat, kitab, kiamat dan qada` dan qadar.
Al-Ghazali nampaknya banyak menggunakan aspek-aspek logik dan pembuktian yang dibuat. Sepatutnya hujah akli disertai naqli.
Al-Ghazali jelas pendukung Ahli al-Sunnah wa al-Jama`ah, khususnya menurut aliran Ash`ari.
Dengan pendekatan yang dibuat jelas bahawa Al-Ghazali adalah dari golongan khalaf dan bukan salaf.
Pada peringkat permulaan Al-Ghazali mengkagumi pemikiran falsafah, tetapi menyedari penyelewengan dan ancaman terhadap akidah, sebab itu beliau menentangnya. Ternyata serangan sedemian banyak terdapat di dalam `Al-Iqtisad fi al-I`tiqad`, Ini menandakan bahawa kitab `Al-Iqtisad fi al-I`tiqad` adalah hasil karangan pada peringkat akhir hayatnya atau sekurang-kurang selepas penyerangannya terhadap falsafah.
Al-Ghazali mendukung mazhab secara harmoni, bermaksud, bermazhab Shafie dari segi fiqh dan bernmazhab Ash`ari dari segi akidah  adalah selari dan tidak bercanggah, jika fiqh  bermazhab Hanafi tetapi aqidah bermazhab Ash`ari, kurang selari (walaupun tidak salah).
Al-Ghazali terkenal sebagai tokoh sufi, tetapi beliau juga menguasai bidang-bidang yang lain termasuk akidah.

Sekian.


No comments:

Post a Comment