February 15, 2016

Kepimpinan Menjadi Sebahagian Daripada Akidah


BBB, 05 Jamadil Awwal 1437 = 14  Februari 2016 (Ahad):


Rasulullah s.a.w. yang dibangkitkan menjadi Rasul pada hakikatnya adalah juga  Pemimpin bagi umat baik dalam bidang agama, maupun dalam bidang pentadbiran, keselamatan dan juga kebajikan umat. Ada ulama` yang melihat bahawa konsep kepimpinan adalah sebahagian dari aspek akidah di dalam Islam, lantaran dengan kepimpinan dapat menyempurnakan dakwah dan pentadbiran Islam, bahkan lebih sempurnanya perjalanan Islam di dalam negara umat Islam, sebagaimana kepimpinan Rasulullah s.a.w. di Madinah. Kepimpinan dilihat bukan saja pada zaman Rasulullah s.a.w., tetapi juga Khulafa` Al-Rashidan dan para sahabat. Ulama` Aqidah Salaf seperti Al-Tahawi membicarakan tentang kepimpinan khulafa`al-Rashidin dan juga para sahabat. Al-Ghazali juga membicarakan kepimpinan sebahagian dari akidah. Di dalam bukunya Al-Iqtisad fi al-I`tiqad yang sedang dibicarakan bahawa beliau memperuntukkan satu bab bagi bukunya ini membicarakan persoalan kepimpinan (al-Imamah), bahkan selain daripada itu Al-Ghazali juga mengarang berkenaan pemerintahan iaitu Nasihat Kepada Raja-Raja, di samping `ulama seperti Al-Mawardi (m. 450 H.) juga mengarang kitab berhubung dengan politik pemerintahan dengan bukunya yang berjudul Al-Ahkam al-Sultaniyyah.
Di dalam Al-Iqtisad fi al-I`tiqad dalam membicarakan persoalan al-Imamah, Al-Ghazali memecahkan pembahagian tentang kepimpinan kepada tiga:
1)      Wajibnya Melantik Pemimpin
2)      Siapakah Yang Layak Dilantik Menjadi Pemimpin ?
3)      Akidah Ahl al-Sunnah Tentang Kepimpinan Sahabat dan Khulafa` al-Rashidin.
Megapa Wajib Melantik Pemimpin ?
Tentang kewajipan melantik kepimpinan ini juga Al-Ghazali menggunakan kaedah logik kata Al-Ghazali,
Wajib dari segi shara` melantik pemimpin kerana ianya bermanfaat menjaga kepentingan ummah
Jika tidak dilantik kepimpinan dalam Islam, maka ianya memberi mudarat kepada ummah
Oleh itu tidak dingkari melantik kepimpinan wajib shar`i bagi menjaga kepentingan ummah.
Iaitu dengan adanya kepimpinan banyak memberi faedah bagi  kepentingan rakyat di dalam kehidupan mereka.
Al-Ghazali menggunakan pendekatan logik yang lain dengan mengatakan:
Tidak menghasilkan peraturan agama dan pemerintahan melainkan dengan Imam yang ditaati
Menghasilkan pemimpin ditaati bagi  pentadbiran agama dan pemerintahan adalah wajib
Maka menghasilkan kepimpinan yang ditaati adalah wajib.
Dalam huraian diulas bahawa  peraturan agama tidak sempurna terhasil melainkan dengan peraturan  tersusun
Dan peraturan agama tidak dapat dihasilkan dengan pimpinan yang tidak ditaati.
Konsep keperluan peraturan dunia tersusun tidak bercanggah dengan kepentingan akhirat.
Ditimbulkan hujah bahawa keamanan tidak saja bergantung pada peraturan pemerintahan, tetapi juga pada keselamatan ruh, badan, harta, tempat tinggal, makan minum dan keperluan-keperluan yang lain. Dijawab bahawa, `Dengan memerintah menghasilkan peraturan, adalah bermaksud, bahawa dengan kekuasaan dari segi pemerintahan adalah menjadi kewajipan bagi pemerintahan menjaga keperluan dan kepentingan rakyat dari segi kehidupan dan menjaga keselamatan dan pertahanan negara dari pencerubuhan musuh..
Ditimbulkan bahawa sejauhmanakah kepimpinan dapat mempertahankan peraturan yang boleh menjaminkan keamanan jiwa, harta, sedangkan berlaku huruhara dengan kematian pemimpin, berlakunya perampasan kuasa dan pemberontakan yang merosakkan ternakan, pertanian dan perusahaan, bahkan merosakkan suasana kehidupan beribadah dan keilmuan.
Dijawab bahawa, keamanan dengan adanya pemerintah ditaati
Tiada ketaatan dengan tiadanya kepimpinan yang ditaati
Sebab itu  ketaatan hendaklah menjadi faktor  kepimpinan.
Dihurai juga pemimpin perlu bersifat lembut, rahmat dan adil. Lembut ialah merahmati rakyat dengan melakukan kebajikan kepada mereka, kasih sayang dan memberi bantuan, beserta sikap adil, tetapi pada waktu lain pula perlu tegas dan keras terhadap musuh agar tidak timbul penentangan dan penderhakaan.
Dalam membicarakan tentang kepimpinan ini sebagaimana pada bahagian-bahagian yang lain Al-Ghazali begitu  taassub dengan perbahasan secara rasional dengan menggunakan kaedah logik, sehingga menimbulkqan tandatanya, mengapa Al-Ghazali tidak menggunakan hujah-hujah dari segi kepimpinan dengan merujuk kepada dalil-dalil naqli. Memang banyak dalil-dalil naqli untuk dipetik.  Dari segi kepimpinan terdapat ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada pemerintah  di kalangan kamu.`` (Al-Nisa`: 59).
Dari segi pentadbiran misalnya ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan mereka menyuruh membuat ma`ruf dan menegah dari pada perkara munkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.`` (Al-Hajj: 41).
Antara ciri kepimpinan hendaklah bersifat amanah dan adil dalam pemerintahan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menghukum di kalangan manusia, maka hendaklah kamu menghukum dengan adil.`` (Al-Nisa` : 58)
Dengan menyertakan dalil naqli dan akli sesungguhnya mengukuhkan sesuatu persoalan yang dibicarakan – khususnya mengenai kepimpinan. Namun  itulah pendekatan dan ciri pengarangan yang diambil Al-Ghazali di dalam kitabnya `Al-Iqtisad fi al-I`tiqad.``

Sekian.


No comments:

Post a Comment