February 14, 2016

Wajib Mentasdiqkan Apa Yang Dibawa Shara`


BBB, 04 Jamadi Awwal 1437 =  13 Februari 2016 (Sabtu):


Selepas membicarakan tentang mengithbatkan kenabian Nabi Muhammad s.a.w., maka dibicarakan  oleh Al-Ghazali tentang, `Wajib mentasdiqkan dengan apa yang dibawa oleh syara`.
Menurut Al-Ghazali dalam muqaddimah bagi bab ini, iaitu tentang sesuatu yang tidak diketahui secara biasa (daruri) terbahagi kepada  iaitu:
1)      Sesuatu yang dapat diketahui dengan dalil akli, tidak dengan syara`. Seperti tentang baharunya alam
2)      Sesuatu yang dimaklumi dengan syara` tidak dengan akal seperti dihimpun dan dihisab di Padang Mahshar.
3)      Perkara maklum dengan akal dan syara`seperti mengithbatkan Kalam Allah dengan masalah ru`yah.
Mengenai  perkara pertama, bukan bererti perkara berkenaan tidak disebut di dalam Al-Qur`an, tetapi tidak melibatkan hukum - bukanlah menjadi sesuatu syar`i mengetahui tentang perubahan alam, misalnya tentang perubahan malam kepada siang, dan sebaliknya, daripada keadaan  muka bumi yang baik, kepada kerosakan dan gempa. Namun fenomena alam ini dapat difahami oleh akal, lantaran perubahan, kerosakan dan sebagainya menjadi bukti tentang baharu alam dan ianya menjadi dalil kias membuktikan baharunya alam yang membuktikan wujudnya Pencipta yang berkuasa. Walaupun fenomena alamiah ini adalah ciri yang berlaku pada bumi misalnya, bagi memahaminya memerlukan kefahaman akli. Hujah akli sedemikian diterima dalam kaedah logik dan ilmiah di dalam membuktikan Ketuhanan.
Mengenai perkara dua, bahawa maklumat mengenainya disampaikan oleh syara` sebagaimana terdapat di dalam ayat-ayat Al-Qur`an. Kata Al-Ghazali bahawa maklumat adalah melalui pendengaran perantaraan wahyu daripada Allah Ta`ala dan kita mengetahui seperti peristiwa di padang mahshar.
Contoh ayat tentang kekuasaan Allah membangkitkan insan pada hari kiamat ayat bermaksud:
``Dan Aku bersumpah dengan nafsu `al-lawwamah`, ``Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati.``.
Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)
Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya (tulang yang lebih halus dari yang lain).`` (Al-Qiyamah: 2-4).
Pada tempat lain digambarkan di dalam ayat bermaksud:
``Dan pada hari ditiup sangkakala, lalu  kamu (bangkit hudup) serta datang berpuak-puak (ke padang mahshar)`` (al-Naba`: 18).
Melalui apa yang disampaikan secara syara` ini kita terima dan mengimaninya.
Permasalahan yang sama bagi perkara ini termasuklah persoalan tentang azab kubur, sirat al-mustaqim, dan tentang mizan,. Semuanya terbukti dengan dalil-dalil sam`iyyat.
Berhubung dengan perkara ketiga, iaitu perkara maklum dengan keduanya, iaitu shara` dan akal. Contoh yang lebih mudah yang tidak perlu menggunakan kaedah logik, bahawa maklumat tentang pahala dan ganjaran baik serta tentang dosa dan balasan jahat adalah sesuatu yang dimaklumkan melalui al-Qur`an. Antaranya ayat-ayat bermaksud:
``Setelah berlaku demikian (kiamat), maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing). Adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, maka ia berada di dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya  ialah `Hawiyah` (neraka) `` (Al-Qari`ah: 6-9).
Gambaran balas baik dengan syurga dan balas baik baik adalah perkara sam`iyyat dan diberitahu melalui wahyu al-Qur`an kepada nabi Muhammad s.a.w., maka perkara-perkara sam`iyyat ini wajib diterima dan diimani. Dan persoalan yang berhubung dengan amal baik dibalas dengan syurga dan amalan jahat dibalas dengan neraka adalah perkara yang dapat diterima akal di samping mempunyai dalil sam`iyyat.
Adapun contoh yang dibawa oleh Al-Ghazali tentang ithbat kalam Allah dan mengaitkannya dengan persoalan melihat Allah adalah contoh yang sukar. Bahawa tentang kalam Allah adalah sesuatu yang thabit dengan dalil sam`iyyat. Contoh sebagaimana ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan Allah bercakap dengan Musa sebagai percakapan.`` ( Al-Nisa`: 164 ).
Dan persoalan yang berkait dengan persoalan melihat Tuhan, memang terdapat Ayat Al-Qur`an berhubung melihat ini, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Pada hari akhirat itu muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri, melihat kepada Tuhannya.`` (Al-Qiyamah: 22-23).
Melihat Tuhan di akhirat adalah perkara yang diterima bagi Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, sebaliknya bagi Mu`tazilah berpendapat tidak dapat melihat antara yang baqa` dengan yang baharu.
Menurut Al-Ghazali jika maklumat adalah dengan sam`iyyat dan akal, tetapi jika Al-Sam`iyyat ini tidak dapat diterima akal nyata, contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan tangan Allah di atas tangan-tangan  mereka itu.`` (Al-Fath: 10),
Maka ianya membuka ruang bagi takwil. Seperti ayat di atas bermaksud, `Kekuasaan Allah mengatasi kekuasaan mereka itu
Demikian ayat Al-Qur`an bermaksud:
`Ke mana saja kamu mengarah, maka kamu berdepan wajah Allah.`` (Al-Baqarah: 115).
Dalam maksud Allah melihat dan mengetahui.
Sebagaimana disebut Al-Ghazali bahawa kita perlu menerima dan mentasdiqkan dengan perkara yang dibawa oleh syara` melalui ayat-ayat A-Qur`an. Ayat-ayat Al-Qur`an terbahagi kepada ayat muhkamat dan mutashabihat, (Ali Imran: 7). Ayat-ayat Al-Qur`an semuanya benar, jika ada sesuautu yang mengelirukan, antaranya ditakwilkan, tetapi pentakwilan bukan boleh sembarangan. Ia perlu ditakwil oleh ulama` yang memahami bidang berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment