BBB, 01 Jamadil Awwal 1437 = 10 Februari 2016
(Rabu):
Alam berubah-rubah
Tiap yang berubah-rubah baharu
Sebab itu alam baharu
Kaedah di atas dapat dilanjutkan kepada
lapisan kedua, iaitu:
Alam baharu
Tiap baharu ada yang membaharunya
Alam ada pembaharu
Natijah diperpanjangkan hingga terhasil kesimpulan, bahawa Pembaharu,
Pencipta, Perubah tidak lain dari Allah Ta`ala.
Terdapat 19 kaedah premis kias digunakan di
dalam kaedah logik. Namun terdapat huraian yang lebih luas daripada itu.
Contoh oleh Dr. Abdul Mun`im Hafni dalam
Al-Mausu`ah al-Falsafiyyah, Dar Ibn Zaidun, Beirut dan Maktabah al-Madbuli,
Al-Qahirah, tt: 448- 470).
Penggunaan kaedah logik memang satu ciri di
dalam kitab-kitab akidah atau ilmu al-Kalam, termasuklah kitab-kitab akidah
tradisi di dalam bahasa Melayu (kitab jawi).
Penggunaan kaedah logik mempunyai pertalian
dengan keilmuan logik Aristotle (384-322
S.M.) dari Yunani yang masuk ke dalam pemikiran Islam melalui tradisi
terjemahan seperti yang dilakukan oleh Al-Kindi (803-873M.), Al-Farabi (873-953M.)
dan lain-lain yang kemudian diolah dan digunakan di dalam ilmu al-kalam,
termasuklah aliran Al-Ash`ari dan Al-Maturidi. Ini bererti walaupun aliran
Al-Ash`ari dan al-Maturidi yang dikira sebagai aliran ahlu al-Sunnah dan Jamaah
adalah bersifat tolerans terhadap pengaruh luar yang tidak bercanggah dan
mengkuhkan keilmuan akidah.
Di dalam paparan keempat Al-Ghazali
menggunakan kaedah logik sebagai kaedah dan dalil akli di dalam membahaskan
persoalan akidah, khususnya Ketuhanan.
Al-Ghazali menggunakan tiga manhaj kias bagi
mencapai natijah.
Manhaj Pertama
1) Menyebut dua pecahan. Salah satu membatalkan satu daripadanya
menghasilkan tetap yang kedua. Contoh:
Alam sama ada baharu dan sama
ada qadim (Sedia)
Tapi mustahil alam qadim
Sebab itu alam baharu.
Manhaj Kedua:
2) Menyusun dua yang asal di atas wajah yang lain. Contoh:
Tiap-tiap sesuatu yang tidak
sunyi dari baharu, maka adalah baharu
Alam tidak sunyi daripada
baharu
Sebab itu alam baharu.
Manhaj Ketiga:
3) Tidak membentang dakwaan, tetapi mendakwa mustahil dalam premis. Apa
yang membawa kepada mustahil, maka adalah mustahil. Contoh:
Putaran falak tiada
penghujung
Tetapi ia bertentang dengan
kelaziman (baharu -rosak)
Sebab itu ia adalah mustahil
(tiada penghujung).
Sementara itu menurut Al-Ghazali pembuktian
dapat dicapai dengan enam kaedah.
1) Secara hissi:
Iaitu yang dapat dijamah
dengan indera rasa seperti menjamah dan merasa. Misalnya kasar dan kesatnya
batang kayu atau lembutnya kain sutera dan sebagainya.
2) Secara akal semata:
Maksud tanggapan adalah
melalui rasional akal.
Contoh, alam sama ada sedia
atau baharu.
Tapi alam adalah baharu dan
tidak sedia
3) Secara mutawatir
Maklumat yang diterima secara
bersambung dan berterusan dan tidak terputus dan meyakinkan dan ilmiah. (Antara
kaedah digunakan dalam keiilmuan Hadith).
4) Keaslian sesuatu dengan mengkiaskan yang lain.
Seperti contoh sesuatu yang
hissi , misalnya satu keping besi terbukti berat, maka besi yang lain secara
logik juga adalah berat.
5) Melalui kaedah Pendengaran
Maklumat melalui pendengaran
Kaedah ini misalnya
penerimaan Al-Qur`an dan Al-Hadith secara pendengaran.
Daripada kaedah ini timbul
istilah `Sam`iyyat` di dalam keilmuan Hadith, juga di dalam akidah. Sebagai
contoh bukti keesaan Allah dengan bukti sam`iyyat ialah ayat-ayat dalam`Surah
al-Ikhlas`.
6) Yang asal diambil daripada lawan
Misalnya pengakuan seteru,
tentang amanah dan bercakap benarnya Baginda.Rasulullah s.a.w.
Jika musuh sendiri mengaku,
lebih mengukuhkan apa yang dikatakan.
Apa yang dibentangkan dalam empat paparan atau
tamhidatnya, ialah sebagai asas mencari dan membuktikan kebenaran yang menjadi
sebahagian dari kaedah pembicaraan pada bahagian-bahagian akan datang. Trend
dan ciri pembicaraan oleh Al-Ghazali adalah sebagaimana pendekatan
Ash`ari-Maturidi yang tergolong sebagai pendekatan Ahlu al-Sunnah wa
al-Jama`ah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment