February 2, 2016

Masih Berkenaan Khalifah - Perlantikan


BBB, 22 Rabiul Akhir 1437 = 01 Februari 2016 (Isnain):


Berkata Al-Tahawi:
100 (Kemudian Khalifah `Uthman r.a.).
Srh.  Bukhari menghuraikan panjang lebar berkenaan perlantikan Sayyiduna `Uthman Ibn Affan ke jawatan khalifah selepas terbunuhnya Sayyidua `Umar Ibn al-Khattab. Menurut kisah dari Al-Bukhari, bahawa selepas dikebumikan Sayyiduna `Umar ada tiga calon disebut sebagai khalifah  yang dicadangkan oleh:
Al-Zubayr mecadangkan Sayyiduna Ali
Talhah mencadangkan `Uthman
Dan Sa`ad mencadangkan  Abdul Rahman Ibn `Auf.
Setelah berunding, Uthman dipilih dan dimubaya`ah termasuk oleh Sayyiduna Ali dan diikuti yang lain. Antara keistimewaan `Uthman bahawa baginda berkahwin dengan dua anak Rasulullah dan lantaran itu baginda dikenali dengan Dhu al-Nurayn – Mempunyai dua cahaya.
Berkata Al-Tahawi:
101 (Kemudia khalifah bagi Ali bin Abi Talib r.a.).
Srh. Selepas Sayyiduna `Uthman terbunuh, maka dilantik menjadi khalifah ialah Sayyiduna `Ali. Beliau dianggap Khalifah yang Haqq dan wajib ditaat.
Berkata Al-Tahawi:
102 (Dan mereka itu Khulafa` al-Rashidin dan imam-imam  yang mendapat pertunjuk).
Srh. Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Kamu hendaklah mengikut SunnahKu dan Sunnah Khulafa` al-Rashidin yang mendapat pertunjuk selepasKu. Berpeganglah kamu dengannya dan gigitlah dengan gusi-gusi, Jaga-jaga diperingatkan daripada melakukan perkara-perkara baru, kerana setiap yang bid`ah adalah sesat.``
Berkata Al-Tahawi:
103 (Dan sepuluh yang dinamakan mereka itu oleh Rasulullah s.a.w. dan digembirakan mereka itu dengan syurga, di atas apa yang disaksikan kepada mereka itu oleh Rasulullah s.a.w. dan sabdanya adalah benar. Dan mereka itu ialah Abu Bakar, dan `Umar, dan `Uthman, dan `Ali, dan Talhah, dan Al-Zubayr, dan Sa`ad, dan Sa`id, dan `Abdul Rahman bin `Auf, dan Abu `Ubaidah bin al-Jarrah, dan dia (mereka) adalah amin bagi umat r.`anhum ajma`in).
Srh. Dan sepakat Ahlu al-Sunnah pada memuliakan  mereka yang sepuluh dan mendepankan mereka bila menyebut tentang kelebihan dan manaqib mereka.
Berkata Al-Tahawi:
104 (Dan `Ulama` salaf dari yang lepas dan yang selepas dari mereka dari kalangan tabi`in, Ahlu al-Khabar dan al-Athar, dan ahlu al-Fiqh dan peneliti, tidak disebut melainkan yang elok. Siapa yang menyebut mereka dengan kejahatan, maka dia bukan di atas jalan yang betul
Srh. Firman Allah bermaksud:
``Dan siapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan  ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang mu`min , Kami akan memberikannya kuasa untuk melakuka (kesesatan) yang dipilihnya. Dan (pada hari akhirat kelak) kami akan memasukkan ke dalam neraka jahannam. Itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.`` (Al-Nisa`: 115).
Dan berkata Al-Tahawi:
105 (Dan kami tidak melebihkan seorang dari awliya` di atas seorang dari nabi-nabi alaihim al-salam. Dan kami berkata, ``Seorang Nabi lebih afdal dari keseluruh awliya``).
Srh. lantaran maqam al-Nubuwwah adalah tertinggi maqam menurut ittifaq ahl al-Sunnah.
Dan berkata Al-Tahawi:
106: Dan kami beriman dengan apa yang datang (berlaku) dari keramat mereka, dan sah dari segi kepercayaan dari riwayat-riwayat mereka).
Srh. Karamah ialah perkara-perkara yang berlaku pada wali-wali secara menyimpang (mencarik adat) dari kebiasaan.
Di dalam hal ini Allah berfirman bermaksud:
``Siapa yang takut kepada Allah, maka diberikannya jalan keluar dan diberi rezekinya sebagai luar jangka dari perkiraan.`` (Al-Talaq: 2 -3)
Dan firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman ! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya ia mengadakan bagi kamu (pertunjuk), yang membezakan antara yang benar dengan yang salah.`` (al-Anfal: 29).
Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, ``Takutlah kamu firasat orang-orang mukmin, kerana bahawasanya ia melihat dengan Nur Allah. Sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud, `` ``Sesungguhnya pada yang demikian  adalah tanda-tanda bagi orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya.`` (Al-Hijr:: 75).`` Riwayat Al-Tirmidhi.
Dalam sebuah Hadith Qudsi yang sahih daripada Rasulillah s.a.w, bahawasnya Allah Ta`ala berfirman bermaksud, ``Siapa yang menyeteruiKu sebagai Wali, maka nyata  bagiku untuk memeranginya. Tidaklah menghampiri kepadaku oleh hambaKu dengan seperti menunaikan apa yang Ku fardu ke atasnya. Dan sentiasalah hambaKU mendekati kepadaKu dengan sunat-sunat (nawafil) sehingga Aku mengasihinya, maka apabila aku mengasihinya, maka Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, dan penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan tangannya yang dia menjamah dengannya dan kakinya yang dia berjalan dengannya, dan jika dia memohon dari Ku nescaya Ku memberi kepadanya dan jika dia memohon perlindungan nescaya Ku melindunginya.``

Sekian.


No comments:

Post a Comment