BBB, 02 Jamadil Awwal 1437 = 11 Februari 2016
(Khamis):
Maka bagi topik pertama, iaitu tentang Dhat
Allah Ta`ala ditimbulkan sepuluh persoalan :
Topik pertama.
Ia itu tentang wujudnya Allah Ta`ala dan
mentaqdiskanNya
Di
bawahnya ada 10 persoalan:
Pertama:
Alam adalah baharu, iaitu baharu segala yang lain dari Allah Ta`ala.
Dapat disaksikan dengan mata lahiri dan
inderawi. Dan terbukti dengan dalil dan burhan, sama ada secara akli dan naqli.
Kedua: Persoalan Penafian Tasalsul
Menafikan hujah kalau yang baharu memerlukan
yang membaharu dan yang membaharu seterusnya tiada kesudahan.
Pembaharu-pembaharu sedemikian tidak qadim, tetapi wujud Allah tiada pendahulu
(Qadim), tidak timbul persoalan tasalsul berangkaian cipta.
Ketiga: Persoalan Pencipta Alam dengan keadaan
wujudNya adalah berterusan kekal (Baqin), kerana tiap yang thabit sedianya
(Qidam), mustahil akan ketiadaanNya
Keempat: Penolakan Dhat Allah sebagai jauhar,
kerana yang demikian menyamai alam, jika alam baharu, maka ianya juga baharu,
Dengan demikian mustahil Dhat Tuhan sebagai jauhar.
Kelima: Bahawa Allah bukan jisim, kerana
sekiranya Ia jisim, maka dianya tersusun daripada jauhar-jauhar. Apabila
mustahil bahawa dia adalah jauhar, maka mustahil dia adalah jisim.
Keenam: Menolak bahawa Pencipta adalah `arad,
kerana kalau `arad, nescaya memerlukan jisim atau jauhar yang kedua-dua baharu.
Maka Mustahil Pencipta adalah baharu.
Ketujuh: Menolak bahawa Pencipta adalah berada
pada arah (jihat), seperti di hadapan, di belakang, di kiri dan kanan atau di
atas dan di bawah. Ini menggambarkan Pencipta sebagai jisim yang mengambil
jirim yang boleh ditentukan arah. Ini adalah bersifat alam yang baharu,
mustahil Pencipta bersifat baharu.
Kelapan: Menolak bahawa Allah Ta`ala bersih
(munazzah) daripada yang disifatkan sebagai berterusan di atas `arasy (Taha: 5) , kerana membawa konotasi bertempat.
Gambaran sedemikian adalah sebagai bahasa isti`arah yang melambangkan
kekuasaan. Ciri isti`arah juga seperti contoh ayat al-Qur`an bermaksud:
``Dia bersama kamu di mana kamu berada (Al-Hadid:
5).
Kesembilan: Persoalan Melihat Tuhan. Ahlu
al-Sunnah menerima konsep melihat dengan secara yang layak bagiNya. Berlainman
Mu`tazilah yang menolak konsep melihat Tuhan kerana bagi Mu`tazilah tidak
mungkin yang bersifat baharu dapat melihat Tuhan yang bersifat qidam dan baqa`.
Bagi Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, ialah melihat yang layak bagiNya. Di alam ini
sendiri ada konsep lihat dengan mata, melihat dengan mata hati dan melihat
dengan mata akal.
Kesepuluh Persoalan Tunggalnya Tuhan.
Ditimbulkan tidakkah ia berupa sifat yang bertambah di atas Dhat. Jawapan dijawab
bahawa Tunggal adalah menolak dari sesuatu yang boleh dibahagi, iaitu tiada kammiyyah, tiada juz` dan tiada kadar bahagian.
Lantaran itu dipanggil Wujud yang nafsiyyah.
Topik Kedua:
Tentang Sifat:
Sebagaimana pegangan Ahlu al-Sunnah wa
al-Jamaah, seperti Al-Ash`ari dan Al-Maturid maka demikian Al-Ghazali berpegang
dengan akidah bahawa Tuhan adalah bersifat. Yang disebut dengan hujah-hujah
logik ialah:
Pertama:
Sifat Qudrat
Kedua:
Sifat Ilmu
Ketiga :
Sifat Al-Hayat
Keempat: Sifat Al-Iradat
Kelima: Sifat Sama`
Keenam:
Sifat Basar
Ketujuh: Sifat Al-Kalam
Sifat-sifat yang tujuh ini dikategorikn
sebagai Sifat Ma`ani (Ash`ari-Maturidi)
Dan keadaan bagi jumlah bagi sifat yang sama
dikenali sebagai sifat ma`nawiyyah (Ash`ari-Maturidi).
Perbicaraan tentang Dhat dan Sifat Allah,
sebenarnya tiada beza dari pegangan secara tradisi di kalangan umat Islam
berpegang pada mazhab Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, bahawa Allah mempunyai Dhat
yang wujud yang bersifat dikenali:
1. Nafsiyyah: Wujud
2. Salbiyyah: qidam, baqa`,
mukhalafatuhu li al-Hawadith, Qiyamuhu bi nafsih dan wahdaniyyah.
3. Ma`ani: Qudrat, iradat, ilmu,
hayat , sama`, basar dan kalam.
4. Ma`nawiyyah: Kaunuhu – Keadaan bagi suifat tujuh di atas).
Menjadikan jumlah sifat wajib diketahui 20
secara tradisional. Cuma Al-Ghazali membawa kaedah hujah-hujah tersendiri yang
tujuannya adalah bersamaan.
Bagi topik (paksi) ketiga, ialah tentang ` Af`al Allah` -
Perbuatan Allah yang tergolong di bawah kategori `Harus`. Bermaksud, harus bagi
Allah untuk mencipta atau tidak dan harus baginya untuk meniadakan. Allah
mempunyai kebebasan yang penuh dan tiada paksaan ke atasNya. Sebagaimana bagi
topik-topik lain demikian dengan topik `Af`al Allah` turut ditimbulkan 7
persoalan yang dihujah secara logik dan
disimpulkan `Harusnya Allah mencipta dan meniadakan sesuatu`.
Sekian.
No comments:
Post a Comment