February 27, 2016

Mustahil: Perkara Tiada, Berbanding Dengan Ada - Harus Bebas Bagi AllahMembuat Pilihan


BBB, 10 Jamadil Awwal 1437 = 19 Februari 2016 (Juma`at):


Di dalam kehidupan kita sering berdepan dengan keperluan membuat pertimbangan dan keputusan tentang benar atau tidak sesuatu maklumat seperti kenyataan yang bercanggah dengan realiti. Misalnya dinyatakan kematian seseorang yang  jelas masih hidup, kita saksikan dengan mata kepala kita, maka ternyata berita itu adalah palsu. Atau kenyataan yang mengatakan bahawa kambing melahirkan anak kucing, maka kenyataan itu jelas bercanggah dengan logik dan bersifat mustahil.
Dari pernyataan sedemikian menuntut jawapan sama ada benar atau tidak dan mustahil. Kenyataan seperti di atas menuntut:
1)       Pemeriksaan fakta
2)      Ada unsur perbandingan
3)      Penggunaan akal yang rasional
4)      Realiti yang dihadapi
5)      Keputusan
Bagi membuktikan kebenaran maklumat di dalam ilmu usuluddin ada kaedah pertimbangan yang membuktikan bahawa apa yang dinyatakan itu adalah benar atau salah, atau dari segi nilai akan di katakan mustahil, harus atau wajib. Bagi  nenpertimbangkan fakta, maka ada penilaian yang diletak di dalam neraca `Hukum Akal` yang dapat mencapai keputusan sama ada mustahil, wajib atau harus.
Demikianlah di dalam membuktikan sifat-sifat wajib bagi Allah Ta`ala yang dua puluh sifat ada menggunakan unsur yang lima di atas. Misalnya Allah bersifat `Qudrat`, ia adalah fakta yang di ketengahkan. Perbandingan dibuat wajar atau tidak . Akal membuat pertimbangan dan dikaitkan dengan realiti dengan Qudrat Allah menghasilkan alam ini maka bukti realiti, bahkan dengan kaedah lojik maka terbukti Allah mesti (wajib) berkuasa, kalau tidak berkuasa tidak ada  alam ini. Tetapi alam ada. Ini membuktikan Allah bersifat Qudrat. Di sebalik daripada itu juga bahawa jika dikatakan Allah lemah, maka dengan penilaian di atas ternyata adalah mustahil, tetapi alam ini ada bererti mustahil yang mencipta alam ini adalah lemah.
Dengan melihat pada sisi wajib, secara langsung timbul nilai perbandingan pada sebelah pihak lain yang berlawanan. Jika pada sebelah sisi, kita namakan positif, iaitu dikenali dengan wajib, maka pada sisi yang berlainan bersifat negatif yang dikenali dengan mustahil. Natijahnya wajib ialah  sesuatu yang mesti ada dan lawannya sesuatu yang tiada yang dikenali dengan `Mustahil`
``Mustahil. Ialah barang yang tidak diterima akan adanya.``
Sebagai lawan bagi sifat wajib bagi Allah Ta`ala, maka sejumlah dua puluh sifat lawan adalah sifat yang mustahil kepada Allah.
Kata pengarang Matan  Umm al-Barahin, Muhammad Yusuf al-Sanusi:
``Dan daripada yang mustahil pada haqqnya Allah Ta`ala dua puluh sifat, iaitu lawan bagi dua puluh yang awal – yang wajib.``.  Kedudukannya sebagai mana berikut:
              Wajib            Lawan           Mustahil
1.       Wujud              ,                  Tiada   (Adam)
2.       Qidam           ,       ,             Baharu (Huduth)
3.       Baqa`             ,       ,             Fana`   (Binasa)
4.       Mukhalafah  ,      ,              Bersamaam  (Mumathalah)
5.       Qiyamuhu bi nafsih           Harapkan yang lain (Ihtiyaj ila ghairih)
6.       Wahdaniyyat                      Berbilang (Ta`addud)
7.       Qudrat                                 Lemah  (`Ajz)
8.       Iradat                                   Dipaksa (Ikrah)
9.       Ilmu                                      Jahil
10.   Hayat                                    Maut
11.   Sama`                                   Tuli 
12.   Basar                                    Buta
13.   Kalam                                   Kelu
(Dan tujuh bagi sifat Ma`nawiyyah sebagai keadaan bagi wajib, maka demikianlah bagi mustahil, menjadikan semuanya berjumlah 20 sifat)
Setiap sifat yang mustahil didirikan hujah-hujah logik yang membuktikan sifat mustahil. Sebagai contoh bagi No. (2):
Mustahil Allah Ta`ala bersifat dengan sifat baharu
Dengan bersifat baharu memerlukan pembaharuan berterusan
Maka bererti Ia kekurangan
Mustahil bagi Allah bersifat kekurangan
Contoh bagi (5): Jika tiada berdiri dengan sendiri, iaitu lawan Qiyamuhu bi nafsih,
Maka bererti ia berdiri dengan Dhat yang lain atau berkehendak kepada yang menjadikan Dia,
Maka iaitu mustahil
Begitu juga dengan bil (6) Wahdaniyyat dengan lawannya berbilang-bilang.
Mustahil Allah Ta`ala itu bahawa tiada Ia esa seperti bahawa adalah Ia bersusun pada DhatNya atau adalah bagiNya yang menyerupai pada DhatNya dan sifatNya  atau adalah sertanya pada menjadikan sesuatu memberi bekas pada perbuatan daripada segala yang lain daripada Allah. Ertinya mustahil atas Allah Ta`ala itu bahawa DhatNya bersusun daripada dua jauhar atau lebih dan Dhat yang lain seperti Dhat Allah.
Dan mustahil pula  ada bagi Allah Ta`ala (7 & 8) dua qudrat dan dua iradat dan yang bersifat Dhat yang lain daripada Allah dengan sifat Allah.
Bagi sifat-sifat yang lain dapatlah dikiaskan berbanding dengan sifat yang wajib bagi Allah yang membuktikan mustahil  atas Allah sifat-sifat mustahil berkenaan.
Kemudian antara sifat wajib dan mustahil ialah satu sifat yang dikenali dengan harus bagi Allah menjadikan mumkin atau meninggalkannya. Dia adalah bebas menurut kemahuanNya, kerana jika Dia tidak bebas, bererti Dia terpaksa, dan jika Dia terpaksa bererti Dia digagahi. Ini bererti lemah dan mustahil bagi Allah dipaksa dan bersifat lemah.

Sekian.                         


No comments:

Post a Comment