February 25, 2016

Konsep Sifat Ma`ani Dan Ma`nawiyyah


BBB, 15 Jamadil Awwal 1437 = 24 Februari 2016 (Rabu):


Kelompok ketiga dan keempat yang ada hubungan keduanya dikategorikan daripada sifat 20 ialah kelompok yang dikenali dengan sifat  Ma`ani dan Ma`nawiyyah. Terkandung sifat-sifat di dalam kelompok Ma`ani ini ialah qudrat, iradat, ilmu, hayat, sama`, basar dan kalam. Daripada sifat ini menerbitkan sifat Ma`nawiyyah yang jumlahnya sama, iaitu disifatkan sebagai hal, iaitu kaunuhu qadiran, muridan, aliman hayyan, sami`an, basiran dan mutakalliman.
Mengapa sifat-sifat  di dalam kelompok ini dinamakan sifat ma`ani ?
Menurut Shaykh Muhammad Zain bin Al-Faqih Jalaluddin dinamakan sifat-sifat di atas dengan sifat ma`ani ialah:
``Bermula  makna sifat ma`ani itu, iaitu tiap-tiap sifat yang maujudah berdiri ia dengan yang maujud methabitkan baginya hukum.``
Bagaimana pula dengan sifat Ma`nawiyyah ? Sifat Ma`ani dan Ma`nawiyyah mempunyai kaitan rapat.
Menurut Shaykh Muhammad Yusuf al-Sanusi di dalam kitabnya berjudul, Sharh al-Sanusiyyah al-Kubra,
``Tertentu sifat yang tujuh ini (Ma`ani), kerana ia melazimkan makna-makna yang berdiri pada Dhat Allah Ta`ala sebagai contoh sifat kudrat sebagai sifat pada Dhat – melazimkan makna dengan kuasa itu melazimkan `Kaunuhu Qadiran` sebagai illat dan ma`lul. Kata Shaykh Muhammad Yusif penglahiran makna dari ma`ani kepada ma`nawiyyah ini (ma`nawiyyah) adalah sifat yang thabit bagi Dhat yang tidak disifatkan ada atau tiada. Dia adalah ma`lul, iaitu berdiri dengan Dhat. Yakni:
Sebagaimana sifat ma`ani bagi qudrat mema`lul kepada qadiran
Sebagaimana sifat ma`ani bagi iradat mema`lul kepada muridan
Sebagaimana sifat ma`ani bagi ilmu mema`lul kepada aliman
Sebagaimana sifat ma`ani bagi hayat mema`lul kepada Hayyan
Sebagaimana sifat ma`ani bagi sama` mema`lul kepada sami`an
Sebagaimana sifat ma`ani bagi  basar mema`lul kepada basiran
Sebagaimana sifat ma`ani bagi kalam mema`lul kepada mutakalliman.
Kata Shaykh Muhammad Yusuf al-Sanusi, ``Inilah (sifat-sifat ma`ani), iaitu sifat-sifat yang maujud yang berdiri di atas Dhat yang membawa kepada mewajibkan lahirnya hukum. (Yakni – kaunuhu – Keadaan). Iaitu  menghasilkan sifat-sifat Maknawiyyah.
Namun pendapat mengenai menglahirkan makna dari sifat-sifat ma`ani kepada sifat-sifat Ma`nawiyyah, bukannya pendapat yang solid di dalam kalangan ulama` usuluddin. Ada pendapat yang menafikan pendapat tentang sifat ma`nawiyah, lantaran ianya tidak lain dari Dhat dan sifat-sifat ma`ani yang wujud. Dan tidak ada makna di kalangan mereka dengan, contoh kaunuhu `aliman dan qadiran melainkan berdiri padanya ilmu dan qudrat dengannya, dan tidak ada `hal` di kalangan mereka, bahkan tidak ada ma`nawiyyah dan tidak ada Nafsiyyah !
Lantaran itu pendapat kalangan mutakallimun terbahagi kepada dua pihak,
1)      Pihak yang menafikan `hal` (kaunuhu)
2)      Pihak yang menthabitkan `hal` (kaunuhu).
(Konsep hal ialah sifat yang diithbatkan, tetapi tidak disifatkan dengan ada dan tiada !).
Kalangan pertama kelompok yang menafikan hal (ahwal) ialah Shaykh Abu Hasan al-Ash`ari dan ramai dari kalangan muhaqqiqin, yang berpendapat, tiada apa yang disifatkan sifat (Ma`nawiyyah), melainkan hanya sifat-sifat ma`ani.
Kalangan kedua kelompok yang menthabitkan hal (ahwal –kaunuhu) ialah Kadhi Al-Baqillani dan Imam Al-Haramayni al-Juwaini dan pengikut-pengikut mereka.
Mereka yang menthabitkan melihat  pertama (Ma`ani) sebagai hal nafsiyyah dan kedua  adalah `hal ma`nawiyyah``. 
Namun di samping ada yang tidak mengkategorikan sifat Ma`nawiyyah, di sana terdapat pula yang menambahkan pecahan-pecahan sifat 20 berkenaan kepada enam kategori, iaitu:
1)      Nafsiyyah
2)      Salbiyyah
3)      Ma`ani
4)      Ma`nawiyyah
5)      Sifat al-Af`al
6)      Al-Sifat al-Jami`ah
Adapun sifat Nafsiyyah, ialah ibarat daripada tiap-tiap hal yang thabit bagi Dhat tanpa `illah juga tanpa tambahan bagi Dhat, lantaran ia adalah sesuatu yang satu.
Adapun sifat Salbiyyah, iaitu ibarat daripada tiap-tiap sesuatu yang menegah disifatkan dengannya kepada Allah Ta`ala. Hakikatnya ialah ibarat menafikan tiap-tiap sesuatu yang menegah dengannya Allah Ta`ala seperti, menafikan syirik dan sebagainya
Adapun sifat Ma`ani, maka ia adalah ibarat daripada setiap sifat yang berdiri sebagai sifat yang wajib
Adapun sifat Ma`nawiyyah, maka ianya ibarat daripada setiap hal yang thabit dengan Dhat sebagai  ma`lul yang bermakna berdiri dengan Dhat.
Manakala Sifat Af`al, ialah melihat kepada ciptaan dan perbuatan Allah seperti memberi rezeki, menghidup dan mematikan dan sebagainya.
Dan terakhir Al-Sifat al-Jami`ah ialah Kemuliaan, Jalal, Kebesaran, Qahhar dan JamalNya Allah Ta`ala.   
Demikianlah konsepsi-konsepsi sifat dihuraikan terhadap entiti berfakta yang diistilahkan sebagai  `Dhat` bagi kefahaman dan keyakinan tentang Kewujudan Allah bagi memperkukuhkan keimanan dan menumpukan kepatuan kepadaNya.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          


No comments:

Post a Comment