February 13, 2016

Topik Keempat: Bab Berkenaan Nabi Dan Beberapa Bab Lain


BBB, 03 Jamadil Awwalo 1437 = 12 Februari 2016 (Jumaat):
Selepas membicarakan tentang dhat, sifat dan af`al Allah, Al-Ghazali membicarakan tentang qutub (topik) keempat. Dalam topik ini dibahagikan kepada empat bab, iaitu:
Bab Pertama: Pada mengithbatkan kenabian Nabi Muhammad  s.a.w.
Bab Kedua: Pada menyatakan perhimpunan hari kiamat dan padang mahshar, tentang sirat al-Mustaqim, timbangan, azab kubur yang benar.
Bab Katiga: Tentang kepimpinan (imamah)
Bab Keempat: Tentang mengkafirkan puak-puak tertentu.
Melihat pada kandungan bagi topik terakhir, walaupun Al-Ghazali lebih memberi tumpuan di dalam Al-Iqtisad fi al-I`tiqad  pada topik mengenai dhat, sifat dan af`al Allah, dan tidak menyeluruh merangkumi rukun iman yang enam, tetapi dengan kandungan bagi topik keempat terdapat pembicaraan tentang Nabi Muhammad s.a.w., tentang hari kiamat, iaitu tiga daripada rukun iman. Tiga lagi, iaitu mengenai malaikat, kitab dan qada` dan qadar tidak dibicarakan.
Berhubung dengan kenabian Nabi Muhammad s.a.w.  bahawa Baginda adalah Nabi Khatam al-Anbiya` (Pengakhiran Nabi) sebagaimana terbukti dengan turunnya Al-Qur`an kepada Baginda dan secara khususnya menyebut kerasulan Baginda. Contoh ayat-ayat bermaksud:
``Tidaklah Muhammad itu melainkan seorang Rasul dan telah berlalu sebelumnya rasul-rasul (Ali `Imran: 144)
``Pada hari ini aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku cukupkan ke atas kamu nikmatku dan Aku redakan bagi kamu Islam sebagai agama (Al-Ma`idah: 3).
Dan banyak ayat lain yang menyebutkan tentang kenabian Baginda.
Dalam bab ini Al-Ghazali menolak pendapat tiga puak, iaitu:
Puak Pertama:
Puak `Isawiyyah, puak ini mengatakan yang Nabi Muhammad dibangkitkan hanya kepada bangsa Arab sahaja, tidak kepada yang lain daripada mereka itu. Menurut Al-Ghazali dakwaan sedemikian ternyata batal, pada hal mereka mengakui yang Nabi Muhammad adalah Rasul sebenar, dan mereka maklum bahawa Rasul tidak bercakap dusta. Baginda mendakwa dibangkitkan kepada manusia dan jin (al-thaqalain) dan dalam sejarah, Baginda telah menghantar perutusan mendakwah kepada Islam kepada Raja Kisra (Parsi) dan Kaisar (Rum) dan kepada ramai daripada raja-raja `ajam (bukan Arab), berita ini adalah secara mutawatir perutusan dari Baginda dengan bukti-bukti dokumen surat-surat masih diwarisi hingga kini. Apa yang mereka katakan adalah mustahil dan bertentangan. Dalam hal pembuktian tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. ini juga dibuktikan dengan bahasa yang menggunakan kaedah logik.
Puak Kedua
Al-Ghazali juga menolak dakwaan pihak Yahudi yang mengingkari kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. Keingkaran mereka bukan secara khusus terhadap Nabi Muhammad dan mu`jizat-mu`jizat yang dibawanya, tetapi secara umum, bahawa mereka menyangka dan berpendapat, bahawa tidak ada Nabi selepas Nabi Musa a.s. Mereka mengingkari kenabian Nabi `Isa dan Nabi Muhammad s.a.w.. Jika ingkar mereka terhadap Isa yang diturunkan kepadanya Injil, menunjukkan mereka mendustakan diri mereka dengan maklumat yang nyata, jadi tidak hairanlah aspek yang sama tanggapan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Ini menunjukkan mereka adalah mempunyai tanggapan yang salah secara berlapis yang bukan lagi tidak betul. Tetapi adalah sesat.
Puak Ketiga
Dapat distilahkan dengan puak yang enggan, walaupun mereka berdepan dengan bukti-bukti kenyataan.
Misalnya mereka mengaku dan menerima keistimewaan Al-Qur`an yang menjadi bukti Mu`jizat Nabi Muhammad s.a.w.. Misalnya pada zaman permulaan dibangkitkan Nabi, masyarakat `Arab amat menyanjung tinggi terhadap kalangan sasterawan, khususnya penyair-penyair di kalangan mereka, bahkan bagi menyanjung mereka di adakan pertandingan mencipta puisi dan mana-mana puisi yang menang diberi penghormatan digantung di dinding Ka`abah.. Dengan suasana masyarakat Arab yang menyanjung tinggi terhadap tokoh-tokoh mereka yang pandai berbahasa dan bersastera, maka Nabi Muhammad dibangkit dengan Al-Qur`an yang begitu tinggi nilainya baik dari segi bahasa dan sastera. Golongan Quraisy yang berkedudukan dalam bidang bahasa dan sastera mengakui keistimewaan Al-Qur`an dan menuduh sebagai berunsur sihir, namun sebahagian mereka menerima kenyataan tapi enggan  menerima Islam. Mereka juga mengakui tentang keistimewaan Nabi dan mu`jizat Baginda. Keengganan mereka antaranya bersifat ego dan sebahagian melihat ianya sebagai gugatan terhadap nilai budaya yang dipegang mereka selama ini dan dilihat apa yang dibawa Nabi adalah ancaman terhadap budaya dan nilai mereka.
Sikap menerima keistimewaan dan enggan memberi pengakuan ini bukan saja wujud pada zaman Nabi dan juga pada zaman Al-Ghazali, tetapi juga di dalam zaman moden ini. Ada kalangan pengkaji seperti kalangan orientalis dan pengkaji-pengkaji tentang kepimpinan, membuat kajian dan menerima tentang keistimewaan Nabi yang muncul dengan keistimewaan-keistimewaan yang dibawa dan mengakui tentang perubahan-perubahan nilai, pegangan dan kebenaran yang dibawa, tetapi mereka melihat dia adalah sebagai salah satu individu genius yang lahir pada zaman dan pengubah zamannya. Mereka tidak meletakkan Baginda sebagai Nabi dan Rasul yang akhir sebagai Khatam al-Anbiya` . Sikap dan pandangan sedemikian sebagai mereka yang lihat dari luar dan tidak masuk dan terlibat sama dengan apa yang dibawa. Sikap yang seumpama ini tentulah bercanggah dengan Islam dan boleh menggugat keislaman.
Pendekatan yang diambil Al-Ghazali dalam membicarakan tentang Nabi ini, lebih melihat apa yang dikata oleh terutama musuh dari luar, tetapi tidak menjelaskan dari dalam berhubung dengan perutusan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan kandungan serta kebenaran-kebenaran yang dibawa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment