February 16, 2016

Kepimpinan Menurut Ahlu Al-Sunnah Wa Al-Jama`ah: Al-Ghazali

  
BBB, 06 Jamadil Awwal 1437 = 15 Februari 2016 (Isnin):


Tentang perlantikan kepimpinan, seseorang yang hendak dilantik itu perlu ada keistimewaan dari segi kepimpinan berkenaan yang ia mengatasi yang lain. Keistimewaan ini khas ada pada dirinya dan  pada pandangan yang lain terhadapnya. Keistimewaan pada dirinya, dia berkemampuan mentadbir dan mempunyai visi dan misi terhadap yang dipimpin. Dia berkemampuan, berilmu dan warak. Ada ditambah dari keturunan Quraisy dalam konteks zaman itu. Adapun dari pandangan yang lain, dia dilihat berkemampuan oleh ummah dengan karisma dan kepimpinan, keilmuan dan keperibadiannya yang tinggi sehingga mampu mendapat ketaatan dari mereka.
Kedudukan ulama` di dalam masyarakat, bahkan di dalam politik pemerintahan begitu dipandang tinggi. Ulama` di sini bukan mereka yang mengangkat dan menggelar diri mereka sebagai `ulama dan bukan mendalam dalam bidang keilmuan `agama` secara terhad, tetapi ulama` pada zaman tradisi menguasai banyak bidang ilmu yang berkembang pada zamannya. Di dalam hal ini, jika timbul calon kepimpinan lebih dari seorang (kepimpinan tertinggi), maka selain dari calon mendapat jumlah ketaatan (sokongan), maka keputusannya ditentukan oleh ulama`.
Al-Ghazali banyak menyebut kepimpinan perlu mendapat ketaatan ramai, tetapi tidak menyebut tentang mekanisme yang menentukan jumlah dan bilangan ketaatan yang diterima. Di dalam hal ini di dalam konteks zaman moden kini, maka pilihanraya adalah merupakan salah satu mekanisme bagi mencapai jumlah dan majoriti penyokong (ketaatan) bagi kepimpinan. Konsep pilihanraya ini juga mendekati maksud dipilih dan dibai`ah orang ramai sebagaimana berlaku kepada pemilihan Khulafa` al-Rashidin.
Al-Ghazali menyorot ke belakang, tentang kepimpinan pada zaman Rasulullah bagi generasi selepas Baginda, apakah wajib dengan nas daripada Nabi s.a.w.  sebagaimana pendapat tentang keimaman sebagaimana didakwa oleh setengah pihak, pada hal tiada terdapat nas yang jelas berkenaannya. Menurut Al-Ghazali mereka yang mendakwa sedemikian sebagai jahil, bahkan antara sahabat menyifatkannya sebagai dusta. Mereka berpendapat bahawa bai`ah terhadap Abu Bakar sebagai khalifah pertama dapat memadamkan perselisihan dan mendapat kepercayaan. Al-Ghazali menerima perlantikan seturut Khulafa` al-Rashidin mulai dari Abu Bakar, Umar, `Uthman dan `Ali sebagaimana berlaku di dalam sejarah dan ianya merupakan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Adapun berhubung dengan para sahabat, kata Al-Ghazali, ``Ketahui olehmu bahawa Kitab Allah mengandungi pujian terhadap al-Muhajirin dan al-Ansar dan dengan khabar yang mutawatir bahawa Rasulullah s.a.w. membersihkan mereka dengan berbagai lafaz – sebagai Hadith.
Antara bukti daripada Al- Qur`an (bukan dari petikan Al-Ghazali) bahawa Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman bermaksud:
``Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan dia, serta Ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.`` (Al-Taubah: 100).
Tentang Hadith Al-Ghazali memetik beberapa Hadith, bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. sebagai bersabda bermaksud:
``Sahabat-sahabatku sebagai bintang-bintang, dengan mana satu kamu ikuti, kamu dapat pertunjukan``
   (Dicatat sebagai Hadith Maudhu`).
Demikian dengan Hadith Baginda yang bermaksud:
``Sebaik-baik manusia, mereka yang berada pada kurunku, kemudian mereka yang mengikuti mereka itu.`` (Riwayat Muslim).
Maka kita perlu menyanjungi kebaikan mereka (sahabat-sahabat) dan jangan berburuk sangka terhadap mereka sekiranya ada  maklumat-maklumat yang tidak menyenangkan. Al-Ghazali menyebut, mereka tidak terlepas dari kesilapan dan kelalaian.
Penerimaan cara  jelas terhadap para sahabat yang utama, ialah terhadap empat Khulafa` al-Rashidun`, dan tiada taraf penerimaan seperti mereka di kalangan  sahabat.
Berhubung dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku terhadap sahabat seperti pertikaian antara Ali dan Mu`wiyah di dalam  merebut kepimpinan oleh Mu`awiyah dan keterlibatan A`ishah ke Basrah yang tujuan asalnya untuk memadamkan fitnah tetapi terlibat di dalam peperangan Siffin yang pada pihak lain ialah Sayyiduna Ali dan juga bagi pihak Mu`awiyah Al-Ghazali nampkanya bersikap skeptis dengan mengatakan, bahawa yang diriwayatkan adalah campuran yang benar dengan kebatilan - bercampur baur dengan rekaan dari puak Rawafid, Khawarij dan sebagainya, maka sayugia kita mengingkari perkara yang tidak benar. Lebih daripada itu kita adalah menyerah kepada Allah Ta`ala dari segi kebenaran dan hakikat sebenar kerana Dialah Yang Maha Mengetahui.
Sebagai kesimpulan bahawa konsep kepimpinan yang diterima sebagai sebahagian dari pegangan akidah adalah kepimpinan Khulafa`al-Rashidin. Mereka pemimpin yang diterima di dalam Islam, khususnya dari kalangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Mereka juga adalah dari kalangan sahabat yang terdekat. Adapun kepimpinan mulai dari zaman Mu`awiyah tidak dikira, walaupun Muawiyah dan keturunannya menggunakan kepimpinan sebagai khalifah, tetapi konsep kepimpinan khalifah dan cirinya sudah berubah, khalifah sudah merupakan satu yang diwarisi. Kedudukan yang dihormati selepas Khulafa` al-Rashidin ialah sahabat-sahabat paling utama, seperti sahabat-sahabat 10 yang diakui mereka sebagai ahli-ahli syurga. Selepas dari sahabat-sahabat ialah para u`lama` yang memang `ulama` berwibawa. Kedudukan `ulama`  dan kedudukan martabat mereka yang tinggi memang banyak disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur`an. Tentang kedudukan para pemerintah yang diminta dipatuhi memang juga disebut di dalam Al-Qur`an, tetapi dari segi pemerintah bukan semua pemerintah mesti dipatuhi. Ada pemerintah-pemerintah menepati ciri-ciri yang dimaksudkan dan ada yang sebaliknya.
Jadi konsep akidah di samping rukun iman yang enam, ada pertalian dengan konsep kepimpinan, kerana dengan kepimpinan dapat menegakkan Islam, tanpa kepimpinan sedemikianm melemahkan Islam.
Sekian..

No comments:

Post a Comment