February 26, 2016

Konsep Ta`alluq Bagi Sifat-Sifat Ma`ani


BBB, 16 Jamadil Awwal 1437 = 25 Februari 2016 (Khamis):


Sifat-sifat di dalam kumpulan Ma`ani, sebagaimana disusun oleh ulama` usuluddin atau ahlu al-kalam mempunyai variasi dan pecahan dari segi pengolahan. Selain dari sifat-sifat dalam kumpulan Ma`ani mentransformkan sifat-sifat berkenaan kepada sifat-sifat Maknawiyyah, tetapi sebagaimana kata Shaykh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin ``tetapi tiada maujud`, maka dilihat sifat-sifat di dalam kumpulan Ma`ani ini juga mempunyai ta`alluq (kecuali sifat hayat).
Apakah itu ta`alluq ?
Menurut Shaykh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin pengarang kitab Bidayat al-Hidayah,
``Bermula makna ta`alluq itu, iaitu menuntut sifat itu akan pekerjaan yang lebih atas berdiri sifat dengan tempatnya, maka sifat itu melazimkan Dhat yang berdiri dengan dia, maka jika menuntut sifat itu akan yang lebih atas dirinya pada Dhat, maka dinamai akan dia muta`alliqah seperti qudrat yang menuntut ia akan mumkinat mengadakan dan metiadakan dia dan iradat yang menuntut ia akan mumkinat dengan menentukan dia dengan setengah barang yang harus atasnya.``
Di dalam kata lain bahawa sifat-sifat di dalam kumpulan Ma`ani secara ma`qul difahami melangkaui dari sifat pada Dhat semata-mata kepada penghasilan yang lain sebagai manifestasi dari sifat Ma`ani ini yang menunjukkan hal sifat (Ma`nawiyyah) pada penghasilan tersebut.
Tetapi konsep ta`alluq bagi sifat-sifat di dalam kumpulan Ma`ani ini ada berlainan:
1)      Qudrat
Ta`alluq dengan yang mumkinat dan bersifat harus seperti mengada dan meniadakan makhluk.
2)      Iradat
Ta`alluq dengan mumkinat bersifat harus seperti mau menunaikan do`a hamba atau sebaliknya
3)      Ilmu
Ta`alluq dengan segala yang wajib, harus dan mustahil. Lantaran ia adalah sifat yang menyatakan dengan dia segala yang maklum
4)      Hayat
Tidak ta`alluq dengan sesuatu lantaran tidak menuntut akan pekerjaan lebih atas dirinya dengan tempatnya.
5)      Sama`
Ta`alluq dengan sekalian yang maujudat – yang wajib dan harus dan tidak pada yang mustahil
6)      Basar
Ta`alluq dengan segala yang maujudat – yang wajib dan harus dan tidak pada yang mustahil.
7)      Kalam
Yang tidak berhuruf dan tidak bersuara dan ta`alluqnya kepada seperti ta`aalluq ilmu, iaitu pada yang wajib, harus dan mustahil.
Berhubung dengan kalam Shaykh Muhammad Zain membincangkan dengan panjang lebar, bahawa kalam yang dibangsakan bagi Allah Ta`ala, iaitu makna yang berdiri dengan DhatNya ta`alluq ia dengan barang yang  ta`alluq dengan dia oleh ilmu dan iaitu tiap-tiap yang wajib seperti firmannya: (La ilaha illa Ana) Ertinya `Aku Allah, tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya yang lain daripada Aku`.
Dan tiap-tiap yang harus seperti firmanNya (Wa Allah khalaqakum wa ma ta`malun) Ertinya `Dan Allah Ta`ala menjadikan Ia akan sekalian kamu dan sekalian perbuatan kamu`. Dan tiap-tiap yang mustahil seperti firmanNya (Inna Allah thalith thalathah) Ertinya `Bahawa Allah Ta`ala itu satu daripada tiga`.
Bermula Allah Ta`ala itu  berkata dengan tiada lidah dan tuturNya itu Maha Suci daripada huruf dan suara dan terdahulu dan terkemudian dan tersalah dan berbaris dan sekalian bagai yang berubah, kerana sekalian ini daripada sifat baharu dan kalam Allah Qadim dan yang Qadim itu tiada bersifat dengan sifat baharu.
Maka adalah kalam Allah itu ada kalanya dibahasakan dengan bahasa `Arab, maka dinamai akan dia Qur`an, dan ada kalanya dibahasakan dengan bahasa Siruyani, maka dinamai akan dia Injil dan ada kalanya dibahasakan  dengan bahasa `Ibrani, maka dinamai akan dia Taurat. Dan yang keturunan  Qur`an Penghulu kita Nabi Muhammad salla Allah `alayh wa sallam dan yang keturunan Injil  Nabi `Isa `alayh al-salam dan yang keturunan Taurat Nabi Musa `alayh al-salam dan tiap-tiap satu daripada yang tiga ini bersalah-salahan lafaz dan bacaannya dengan sebab bersalah-salahan bahasa. Adapun yang dibahasakan itu, maka iaitu satu jua, tiada bersalah-salahan, iaiitu Kalam Qadim yang tiada beroleh bercerai dengan DhatNya.
Maka nyatalah bagi kamu bahawasanya segala huruf Qur`an, iaitu baharu, kerana yang bersifat  dengan sifat yang baharu itu baharu pula dan huruf dan baris dan panjang dan pendek dan lainnya itu daripada sifat yang baharu dan dibangsakan dengan huruf Qur`an itu Qadim, iaitu makna yang berdiri pada Dhat Ta`ala, maka bacaannya dan suratannya dan lafaznya itu satu daripada tiga ini baharu jua dan barang yang menunjukkan atas bacaan dan suratan dan lafaz itu tiap-tiap satu daripada tiga ini baharu jua dan barang yang menunjukkan atas bacaan dan suratan dan lafaz itu tiap-tiap satu daripada tiga ini Qadim dan bandingnya seperti menyebut Allah, maka bahawasanya sebutan itu baharu, kerana ia tarkib bersusun daripada beberapa huruf dan barang yang menunjukkan atas sebutan itu Qadim, iaitu Dhat Allah Subhanahu wa Ta`ala Tuhan sekalian alam.
Demikian huraian panjang lebar secara halus dan detail oleh Shaykh Muhammad Zain tentang Kalam Allah.
Demikianlah perbahasan tentang sifat-sifat dalam kumpulanm Ma`ani yang istimewa dengan ta`alluq dan transformasinya kepada sifat Ma`nawiyyah yang disifatkan oleh Shaykh Muhammad Zain sebagai, ``Barang yang tiada maujud pada zahir dan tiada ma`dum pada akal.``   Perbahasan mengenainya secara khusus dan bagi bidang akidah secara luas adalah bersifat logik dan waras.

Sekian.              


3 comments:

  1. Imam Syafiee dan Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan huruf, sebutan dan lafaz Al Quran adalah KALAMULLAH bermaksud ianya QADEEM.


    Imam Ahmad bin Hanbal kata ajaran kononnya Lafaz Al Quran itu makhluk adalah tidak berbeza dgn fahaman Al Quran itu makhluk.

    Kedua2 nya berasal dari Jahmiyyah.

    Bukan ahlus Sunnah

    ReplyDelete
  2. Berkata Imam Ahmad bin Hanbal:


    سألت أبي رحمه الله عن قوم يقولون لما كلم الله عز وجل موسى لم يتكلم بصوت فقال أبي بلى إن ربك عزوجل تكلم بصوت هذه الاحاديث نرويها كما جاءت

    Juga Imam Ahmad bin Hanbal berkata sesiapa yang menafikan Allah SWT berkata-kata tanpa suara dsbnya adalah kafir:

    وقال أبي رحمه الله حديث ابن مسعود رضي الله عنه إذا تكلم الله عز وجل سمع له صوت كجر السلسلة على الصفوان قال أبي وهذا الجهمية تنكره وقال أبي هؤلاء كفار يريدون ان يموهوا على الناس من زعم أن الله عز وجل لم يتكلم فهو كافر ألا إنا نروي هذه الاحاديث كما جاءت

    ReplyDelete
  3. Kalau ikut Imam Ahmad bin Hanbal, Yusuf As Sanusi ni adalah kafir

    ReplyDelete