June 8, 2016

Rumusan: Persoalan-Persoalan Dalam Akidah


BBB, 02  Ramadhan 1437 =  07 Jun 2016 (Selawsa):
Daripada perbincangan yang telah dibuat tentang akidah Islam   mempastikan pegangan akidah Islam yang benar bagi umat Islam. Apa yang dibicarakan di dalam akidah antaranya tentang `Pandangan Wujud` yang benar di dalam kewujudan. Pandangan yang  paling utama ialah tentang ketuhanan, iaitu Allah Subhanahu wa Ta`ala. `Pandangan wujud` ini ialah berdasarkan sumber yang utama ia-iti dari kandungan Al-Qur`an, Hadith Nabi dan penilaian akal fikiran. Semua kandungan di dalam akidah ini disusun menurut marataibnya. `Pembicaraan  utama  akidah melibatkan kandungan dua kalimah shahadah dan semua rukun Islam, tetapi juga melibatkan pandangan-pandangan wujud yang lain, misalnya tentang sahabat, tabi`in, pensejarahan mereka, juga   melibatkan `Pandangan Wujud`  tentang manusia dan alam, bahkan aliran `Pandangan Wujud` mereka. Antara ciri dan menjadi identiti perbahasan akidah ialah perbahasan secara bersifat  rasional.
Topik-Topik  Paling Utama
1)      Allah
Allah ialah topik paling utama di dalam pembicaraan akidah Islam.Ianya adalah komponan utama di dalam shahadah.  Sudah tentulah maklumat yang paling utama tentang ketuhanan ialah dari dalam Al-Qur`an sendiri. Ayat-ayat berkenaaan ketuhanan ini begitu banyak. Daripada ayat-ayat  dan maklumat berkenaan dibina  sebagai `Pandangan Wujud`. Selain  dari bukti-bukti naqliah turut sama dilengkapkan  dengan  perbahasan-perbahasan yang bersifat akliah.  Dari perbahasan-perbahasan membawa kepada kepelbagaian pendapat yang melahirkan pendapat-pendapat dan mazhab-mazhab. Kelainan pendapat tidak dapat dielak sehingga ada perbatasan dan piawayan yang digolong kepada pendapat yang dapat diterima seperti Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah` dan yang lain daripadanya yang antaranya  tidak dapat diterima.
Perbahasan mengenai ketuhanan adalah induk bagi ilmu akidah. Akidah Tauhid adalah pegangan utama mengenai ketuhanan. Rukun-rukun Iman yang lain dan juga pandangan wujud selain daripadanya adalah menyelaras diri bersesuaian dengan pegangan akidah ketuhanan tersebut.
2. Kerasulan
Adalah topik kedua penting lantaran ianya adalah komponen kedua di dalam shahadah dan sebagai rukun iman. Kerasulan utama dimaksudkan ialah kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., tetapi juga melibatkan kesemua rasul-rasul yang wajib diketahui (25 orang) dan jumlah secara ijmali 313 atau 314 orang dan juga kepercayaan tentang nabi-nabi.  Persoalan utama yang dibicarakan tentang rasul-rasul ialah tentang perutusan   membawa Islam dan jihad dan perjuangan yang ditempuhi mereka. Kerasulan sebenarnya  adalah pencetus  tamadun dan peradaban manusia pada zaman   bahari dan silam. Dengan maklumat-maklumat kerasulan dan  penemuan-penemuan sejarah dan kajian terus dibuat sebenarnya dapat direkonstruksi kembali tentang sejarah manusia, kerasulan dan zaman keberadaan mereka. Berikut dari kerasulan adalah  pembicaraan rukun iman yang lain, iaitu malaikat, kitab, kiamat dan qadha`  dan qadar.
3. Alam
Alam melibatkan segala yang wujud dan  diketahui sebagai ilmu. Ianya boleh bersifat konsepsi seperti `Alam Ketuhanan, juga disebut `Alam Jabarut`, dan `Alam Lahut`  yang tidak bererti Tuhan bertempat.  Juga alam makhluk yang kena jadi dan bersifat  baharu.
Alam adalah aspek yang penting di dalam ilmu akidah, walaupun persoalan alam bukan sebagai sebahagian dari rukun iman secara formal dan tercatat. Alam adalah sebagai latar bagi semua persoalan. Misalnya bila membicarakan tentang sifat-sifat Allah yang bersifat Qidam – Sedia, maka sebagai bandingan maka makhluk seperti bumi adalah tidak sedia, yakni baharu, maka maksud baharu diterangkan dari segi berlakunya perubahan dan kerosakan. Begitu juga bila membicarakan tentang sifat Allah `Baqa` = Kekal` maka makhluk dan sekalian kejadian dicakerawala wujud ini tidak kekal. Demikian juga dengan contoh-contoh sifat yang lain.
Lebih daripada alam yang bersifat akidah dikaitkan dengan zaman rasul-rasaul tertentu, tentang tempat dakwah bagi perkembangan agama atau peristiwa tentang musuh atau contoh tauladan yang berlaku di sesuatu tempat. Bahkan dakwah Rasulullah dan perkembangan agama Islam  dari Makkah dan Madinah dan kemudian meluas ke seluruh dunia juga melibatkan latar alam. Alam yang bersifat tempat juga melibatkan alam-alam yang akan datang seperti alam akhirat, syurga dan neraka dan sebagainya.
4. Manusia
Paling penting di dalam pembicaraan ilmu akidah. Manusia adalah makhluk pilihan kejadian Tuhan. Manusia dberi status khalifah dibumi. Kebangkitan rasul-rasul dari manusia dan diutuskan kepada manusia. Manusialah yang dididik agar menjadi makhluk berguna dan bertanggungjawab di dunia ini, tetapi manusia juga bercanggah sifat dan menjadi penentang dan penghalang bagi kebaikan. Rasul-rasul dibangkitkan bagi memperbaiki mereka dan dalam masa yang sama juga mereka menjadi penentang dan musuh bagi kebaikan. Manusialah terus berkembang dan tersebar luas di seluruh muka bumi. Kepada mereka ditujukan dakwah, tetapi dalam sejarah tidak pernah berlaku sekata. Pertarungan antara seruan yang baik dari rasul menerima tetangan dari yang jahat. Dari kalangan mereka berlaku perpecahan dan berbagai pembawaan dan aliran. Dalam akidah Islam sendiri berlaku perpecahan pendapat dan aliran. Dakwah ke arah kebaikan dan menyekat dari kejahatan, tetapi manusia dengan kedinamikannya terus bertentang dan  adalah menjadi cabaran bagi yang berusaha mendakwah ke arah akidah tauhid keislaman.
5.  Masa
Adalah nisbi kepada pergerakan cakerawala  yang mewujudkan siang dan malam dan terus berlaku perubahan, sebagaimana manusia terikat dengan tempat dan ruang, maka dia juga tidak keluar dari ikatan masa dan zaman. Dengan masa dkira usia dunia dan segala kejadian. Dari masa ke masa kerasulan diperutuskan dan dalam masa juga bertukar dan berganti datang perutusan kerasulan dan dalam masa juga wujud kelompok, bangsa dan umat yang dikaitkan dengan tempat-tempat mereka berada. Dalam masa juga masyarakat dan umat menerima dakwah dan kerasulan dan di dalam pertukaran masa Al-Qur`an menceritakan umat-umat terdahulu dan dakwah kerasulan yang dapat dijadikan tauladan bagi umat kini. Dalam masa juga kita bergerak ke hadapan dengan keyakinan dan harapan masa depan.
Terdapat elemen-elemen yang lain yang dapat ditambah. Semuanya membuktikan bahawa pembinaan akidah adalah merupakan penelitian terhadap kewujudan dan alam keliling yang dengan bukti, dalil dan burhan persoalan kewujudan dibicarakan dan tegak sebagai ilmu  akidah  yang dikenali  dengan akidah tauhid.

Sekian.

No comments:

Post a Comment