May 10, 2018

PERTEMUAN DENGAN PENGERUSI=PENGERUSI SURAU DIJANGKA DI BAWAH MASJID AL-UMM



BBB, 23 Sha`ban 1439H. = 09 Mei 2018 (Rabu):
Sebagaimana dimaklumkan, bahawa bagi masjid ada di bawahnya surau-surau menurut sempadan dengan masjid lain.  Telah dimaklumkan bahawa Masjid Al-Umm pertama kali  mengadakan pertemuan dengan pengerusi-pengerusi surau yang  dijangka di bawahnya sebanyak 15 surau. Pertemuan pertama dengan pengerusi-pngerusi surau ialah pada 17 Januari 2017 bersamaan 18 Rabi`ul Akhir 1438H. Pertemuan ini  selepas diadakan pertemuan terlebih dahulu dengan Masjid Al-Umm membincangkan persempadan Masjid Al-Hasanah dan surau-surau di bawahnya dan persempadan Surau Al-Umm dan surau-surau di bawahnya. Pembahagian ini telah dimaklumkan kepada pihak PAID yang pada dasarnya diterima secara tidak rasmi. Penentuan sebenarnya akan dibuat setelah Masjid Al-Umm mendapat CCC dan penyerahan dan permohonan pendaftaran kepada JAIS dan keizinan beroperasi.
Dengan penangguhan perasmian Masjid Al-Umm yang dijangka pada 8 Ramadhan 1438 bersamaan 3 Jun 2017 itu, maka melalui mesyuaratnya  Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm berpendapat, maklumat penangguhan ini perlu disampaikan kepada orang ramai, maka mekanisme bagi menyampaikan maklumat ini paling utama ialah kepada pengerusi-pengerusi surau-surau di bawah Masjid Al-Umm. Bagi melaksanakan keputusan maka persetujuan diambil bahawa Pertemuan dan Taklimat kepada pengerusi-pengerusi  yang merupakan kali kedua diadakan pada 22 Sha`ban 1438H. bersamaan 9 Mei 2017, iaitu betul-betul setahun yang lepas bertempat di bilik mesyuarat sementara di Masjid Al-Umm.
Kehadiran pengerusi-pengerusi atau wakil-wakil tidaklah menggalakkan. Daripada 15 pengerusi atau wakil yang hadir hanyalah 6 orang sahaja dari empat surau, iaitu:
1)      Haji Che` Ros bin Pin dari Surau Al-Ittihad
2)      En. Samsuddin Mamat dari Surau Al-Ittihad
3)      Haji Ramli bin Mahmud dari Surau Al-Ihsan
4)      En. Ramlan bin Othman dari Surau Al-Mawaddah
5)      En. Khairuddin bin Yahya dari Surau Al-Mawaddah
6)      Haji Mohd. Bin Haji Abdul Hamid dari Surau Al-`Ibrah
Dalam pertemuan itu pengerusi-pengerusi surau-surau dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimaahan Masjid Al-Umm, bahawa Masjid Al-Umm yang dijangka dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 8 Ramadhan 1438H. bersamaan 3 Jun 2017 tidak dapat dilaksanakan kerana Masjid Al-Umm masih belum siap dan belum mendapat CCC sebagaimana disyaratkan untuk melayakkannya beroperasi.
Pengerusi-pengerusi surau juga dimaklumkan hasrat menggunakan Masjid Al-Umm secara terhad – bersolat berjama`ah di ruang utama juga tidak dapat dilaksanakan.
Pengerusi-pengerusi surau-surau juga diberitahu antara halangan bagi menyegerakan siapnya masjid, ialah kekurangan kewangan, setengah kerja tertangguh, lantaran itu pihak Masjid Al-Umm memohon kerjasama dari pengerusi-pengerusi surau dapat memberi kerjasama bagi mendapatkan dana dari orang ramai.
Dalam mesyuarat itu Pengerusi memaklumkan untuk persediaan penggunaan Masjid Al-Umm perlu diadakan jawatan kuasa – jawatankuasa kecil bagi mengendalikan kegiatan masjid, misalnya jawatankuasa ibadat dan pendidikan, kebersihan, muslimat, pemuda, ekonomi dan sebagainya, pengerusi mengharapkan ianya akan diisi bukan saja dari satu surau, tetapi juga oleh berbagai surau. Mereka juga adalah sebagai pelapis yang kelak bakal mengambilalih  pentadbiran dan perjalanan masjid. Beliau mengharapkan pihak surau-surau dapat mengenalpasti mereka yang aktif yang dapat mengisi jawatan-jawatan yang bersesuaian. Bila masjid beroperasi, kita telah menyediakan tenaga berkenaan dan tidak perlu tercari-cari.
Pertemuan dapat menyampaikan maklumat, walaupun tidak menyeluruh.
Sekian.

No comments:

Post a Comment