August 31, 2018

DI PAGI ULANG TAHUN KEMERDEKAAN - 2018


DI PAGI ULANG TAHUN KEMERDEKAAN - 2018
Di pagi ulang tahun kemerdekaan ini
Aku seorang tua, walaupun pesara
Tidak pernah lekang dari kerja
Aku bersyukur masih dapat menghirup
Nyaman dan damai udara kemerdekaan
Walaupun di tengah berbagai kekecohan
Aku berdo`a Tuhan masih memberi kesihatan
Untukku meneruskan kerja-kerja terancang
Ke batas kemampuan.

Menyambut kemerdekaan itu mengimbau kenangan
Pertama pengisytiharan 31 Ogos 1957
Aku seorang penuntut di Sekolah `Arab  Kuala Berang
(Menghuni di Madrasah Islahiyyah Tok Faqih)
Di pinggir Sungai Terengganu – Sungai Berang
Lokasi Batu Bersurat ditemukan
Rakaman kenangan sambutan masih tersimpan
Aku bersama seorang sahabat bergambar
Di depan pintu gerbang kemerdekaan
Berhias bendera di Padang
Pejabat Daerah, Kuala Berang.

Menyambut kemerdekaan
Aku anak muda (1942-1957) dahaga pelajaran
Melayari cita-cita ke Madrasah Thanawi Zainal Abidin
Dan bekerja menyimpan cita-cita menyambung pengajian
Belajar kelas malam hingga ke STPM
Mendapat tawaran `Pelajar Sulung`  UKM
Meskipun sudah berkeluarga tanpa jaminan belanja
Menerima tawaran dan keluar secara cemerlang.

Dalam kemerdekaan dan berpelajaran
Aku memahami situasi negara dan perjuangan
Mengangkat martabat bangsa dan agama
Melalui pendidikan tinggi dapat kudaki.
Kudapati politik perjuangan negara-bangsa
Tidak pernah sempurna menyebabkan aku
Bersama seketika dalam perjuangan politik
Menjadi ADUN  Kajang dan Bangi
Dalam zaman kemerdekaan
Di tengah slogan pembangunan
Namun masalah moral isu dominan
menjatuh dan menaikkan pimpinan
Isu  masih tidak diberi perhatian
Hingga kini dikatakan zaman baru
Masalah korupsi moral berterusan
Ditengah sayup janji makin menghilang
Kita rindu sebuah negara cemerlang
Bersih dari segala yang memalukan
Wibawanya merentasi  zaman.
Bandar Baru Bangi,
31 Ogos 2018.

August 30, 2018

KETUA BAGI PIMPINAN MASJID


KETUA BAGI PIMPINAN MASJID
BBB, 17 Zulhijjah 1439H. = 29 Ogos 2018M. (Rabu):
Di  dalam sebuah kumpulan, masyarakat, sebuah organisasi, institusi dan kelompok perlu ada ketua yang dapat memimpin dan menjadi jurucakap bagi kumpulan berkenaan. Tanpa ada ketua  kumpulan berkenaan tiada kesatuan, tiada arah dan pendapat yang dapat dijadikan panduan. Ketua di sini ialah orang yang  memimpin atau yang dapat mewakili kumpulan. Ketua ada berbagai-bagai mengikut kumpulan atau institusi yang dipimpin. Ianya mungkin dikenali sebagai ketua kampung atau penghulu bagi kelompok masyarakat bagi sesuatu kawasan. Ia mungkin  adun dan ahli dewan rakyat sebagai pemimpin bagi politik dan mungkin nazir  misalnya bagi sesebuah masjid dan pengerusi bagi sebuah surau dan sebagainya.
Di dalam konteks pembicaraan kita ialah kepimpinan bagi sebuah masjid yang dikenali dengan `Nazir`. Dalam maksud sekarang nazir, ialah orang yang ada keupayaan memimpin dan memberi perhatian tentang perjalanan pentadbiran sesebuah masjid yang di bawahnya dibenar melantik jawatankuasa sejumlah  20 orang dan dibenarkan juga melantik biro-biro sehingga sepuluh biro atau lebih jika diperlukan. Jawatan nazir dan jawatankuasanya dilantik oleh ahli  kariah dari berbagai surau di bawah  zon bagi sesebuah masjid itu.
Apakah kriteria yang diperlukan bagi jawatan sebagai nazir ?
Ia boleh dikatakan biasa dan boleh dikatakan mencabar.
Jika perlantikan nazir dan jawatankuasa sebagai satu yang biasa. Bermaksud kerana memenuhi enakmen yang diperlukan sebagaimana dikehendaki oleh peraturan yang disediakan oleh JAIS sebagai peraturan di bawah undang-undang Kerajaan Negeri, maka ianya dapat dijalankan sebagai biasa  seperti menyelia perjalanan dan kegiatan masjid sebagaimana biasa seperti:
·         Memastikan masjid ada imam dan pegawai-pegawai masjid yang dilantik yang mereka ada elaun dengan jumlah tertentu.
·         Memastikan  imam memimpin dan mendirikan solat Juma`at dan solat lima waktu.
·         Bersama menghidupkan majlis ilmu yang diatur oleh pihak nazir dan jawatankuasa.
·         Nazir dan jawatankuasa mengatur  dan menjayakan sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti sambutan Hariraya Eidul-Fitri dan Hari Raya Eidul-Adhha, mengadakan sambutran Maulid al-Rasul, Isra` Mi`raj dan mengihya` Ramadhan dan berbagai kegiatan kemasyarakatan,
·         Mengurus soal kematian ahli kariah  dan segala perkara yang berhubung dengan kematian.
·         Mengambil perhatian terhadap keadaan ahli kariah dari segi keagamaan dan kebajikan bagi mereka yang susah bersama penghulu atau ketua kampung.
·         Mengadakan berbagai kegiatan kemasyarakatan seperti hari terbuka masjid, sukan bagi golongan muda dan lawatan.
·         Menunaikan kehendak masyarakat dari segi keagamaan seperti menghadiri, majlis  kahwin, tahlil, kenduri, aqiqah dan sebagainya.
·         Menjadi penghubung antara pihak ahli kariah dengan piha kerajaan dan atasan.
·         Berbagai fungsi lagi yang releven.
Itu  adalah rutin biasa yang dialami oleh nazir, kakitangan dan pegawai-pegawai masjid. Jika perkara-perkara di atas dapat dijalankan dengan baik, maka pentadbiran dan perjalanan sesebuah masjid itu boleh  dikategorikan sebagai cemerlang atau biasa.
Rutin pentadbiran dan perjalanan masjid seperti di atas adalah dianggap seperti biasa. Adalah menjadi pendapat dan pegangan umum, bahawa kerja untuk masjid adalah kerja dan tugas biasa dan danggap sebagai kerja kebajikan dan tidak ada paksaan, sesiapa boleh berkhidmat dengan masjid, walaupun dia bukan dilantik sebagai ahli jawatankuasa atau pegawai masjid. Dalam hal ini baik nazir dan jawatankuasa tidak perlu berlebih-lebihan dan tidak perlu adakan paksaan. Masjid hak bersama dan sama-sama menjaganya. Jawatankuasa yang dilantik kerana memenuhi tuntutan peraturan pihak atasan.
Dalam keadaan biasa dan perjalanan biasa masjid adalah pusat kerjamasa dan membuat kebajikan dan sama-sama mengihya`kannya dan memang masjid dalam suasana tradisi dan tidak membedakan antara ahli jawatankuasa dan jamaah biasa, kecuali mereka dikehendaki dilantik, maka mereka dihormati dengan kedudukan dan sama dalam pergaulan. Maka masjid secara tradisi berterusan harmoni dan bagi mereka tidak perlu kepada perubahan yang akan menggugat kehormonian yang dinikmati selama ini.
Tetapi apakah masjid tidak perlu kepada dinamika perubahan ?
Sekian.

August 29, 2018

PEMBANGUNAN INSAN PERLU PLAN PERANCANGAN TELITI DAN MELENGKAPI



PEMBANGUNAN INSAN PERLU PLAN PERANCANGAN TELITI DAN MELENGKAPI
BBB, 16 Zulhijjah 1439H. = 28 Ogos 2018M. (Selasa):
Konsep Ilmu dan Amal tidak lain dari berfokus kepada `Pembinaan Insan` melalui masjid. Jika pembangunan masjid, pada peringkat awalnya ialah memerlukan kepada pembinaan bangunan fizikal dan diikuti dengan pengimarahan, maka bagi pembangunan fizikal pada peringkat awalnya perlu kepada plan fizikal yang sempurna bagi merealisasikan bangunan yang dikehendaki. Sebagai contoh bagi pembangunan fizikal Masjid Al-Umm, perkara utama dan terawal ialah menyediakan plan bagi pembangunan fizikal Masjid Al-Umm. Bagi penyediaan plan fizikal Masjid Al-Umm ini memerlukan masa antara awal 2012-Disember 2013 (termasuk masa pembaikan dan hingga kelulusan). Dan lebih pentingnya manusia yang menghasilkan plan berkenaan (arkitek).
Plan ialah gambaran rangka binaan yang lengkap. Ianya dilakar oleh arkitek yang pada awalnya dari imagenasi dan contoh-contoh awal dari berbagai model yang pernah dilihat atau memang ada yang dicontohi tetapi bukan mnenirunya, contoh yang ada melahirkan plan yang dikehendaki. Bagi seorang pencipta, pereka atau penggubah yang kreatif memerlukan keaslian kreasi dan kreativiti. Adalah pantang bagi seorang ahli seni dan penggubah sesuatu yang kreatif meniru sesuatu bagi ciptaan secara bulat-bulat. Dia perlu mencari keaslian, tetapi sebagaimana pernah dibincangkan dia tidak lari dari konvensi sesuatu jenis rekacipta. Maksudnya kalau yang mau dihasilkan sebuah masjid, maka ianya tidak boleh lari dari konvensi sebuah masjid, kalau ianya menyimpang jauh, maka ianya mungkin tidak lagi plan sebuah masjid. Pendek kata plan bagi masjid ada dasar binaan sebagai konvensi sebuah masjid dan ada padanya kreasi dan kreativiti  arkitektur sebuah masjid, tetapi ada padanya kreativiti  arkitek. Sebagai contoh Masjid Al-Umm dikenali sebagai sebuah masjid, kerana ianya tidak lari dan konvensi masjid yang ada padanya ciri –citi masjid dari tempat-tempat yang lain, tetapi Masjid Al-Umm sebagai sebuah masjid yang tersendiri di Bandar Baru Bangi, tidak ada sebuah yang persis sama dengannya. Maka Masjid Al-Umm adalah hasil kreativiti arkitek  sehingga masjid yang dihasilkan adalah asli dan menurut kreativiti arkiteknya.
Demikian perbandingan dengan pembinaan insan `Ilmu dan amal seimbang secara berkualiti tinggi adalah memerlukan perancangan secara teliti dan tentunya dari mereka yang berkebolehan tinggi dan berkeilmuan di dalam bidang pengimarahan. Sesugguhnya jika mau dilaksanakan keperluan biasa sebagaimana diamalkan di masjid dan surau secara konvensi dan tidak mau kepada perubahan, maka secara mudah ikut saja segala konvensi yang sedia ada, iaitu menurut apa yang disediakan oleh JAIS. Bila siap masjid, dan mendapat CCC, maka pendaftaran masjid dibuat di JAIS.
Kemudian dipatuhi apa yang ada  dalam Enakmen  Masjid dan Surau  seperti  perlantikan Nazir dan jawatankuasa di bawahnya dan boleh melantik jawatankuasa kecil biasany sepuluh jawatankuasa kecil atau lebih jika difikirkan perlu. Maka dengan adanya pegawai-pegawai masjid dari imam membawalah kepada siak, maka masjid berfungsi dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang diperlukan oleh sesuatu masjid dan surau. Maka berlakulah kegiatan sebagaimana biasa seperti mengadakan solat waktu dan Juma`at pada hari Juma`at. Di samping itu diadakan kegiatan kebajikan, khairat kematian.Kegiatan berlaku sebagaimana biasa yang polanya sama dengan kegiatan-kegiatan di masjid dan surau yang lain.
Semua program dan kegiatan yang dilaksanakan adalah menurut konvensi yang sedia ada. Ianya merupakan plan standard dari segi pengimarahan sesebuah masjid dan surau. Apa yang mau ditekankan di sini sebagaimana plan fizikal bagi sesebuah masjid berpandukan konvensi masjid yang ada dan terhasilnya paln masjid yang boleh disifatkan sebagai biasa dan demikian pula dengan plan pengimarahan berdasarkan konvensi yang sedia  ada.
Di alam menghasilkan sebuah plan di samping mengikut konvensi, di sana banyak ruang dan peluang bagi arkitek memasukkan elemen kreasi dan kreativitinya yang menghasilkan kelainan  secara kreatif, menjadikannya berbeza dan berkreatif, tetapi tidak sampai menyimpang dari asas dan konvensi masjid.
Bermaksud bagi pembinaan insan seimbang antara ilmu dan amal yang dipertingkatkan yang melibatkan semua peringkat dari anak membawa kepada murid dan pelajar, kepada belia dan orang muda, seterusnya kepada orang dewa dan adalah memerlukan plan lengkap da menyeluruh yang melibatkan semua pihak dan lapisan. Dengan plan ini diharap ianya membawa pembaharuan dan kreativiti yang dapat meningkat semua pihak di dalam berbagai kategori masyarakat. Hasrat masjid menjadi wasilah yang aktif yang dapat meningkatkan masyarakat kepada masyarakat yang sempurna ilmu dan beramal dengan ilmu kepada perimngkat kualiti tertinggi dan terpancar  darinya manusia berilmu beramal dengan ilmu sejajar dengan Bangi Bandar Ilmu. Harapan ini menuntut plan dan pendekatan  yang benar-benar teratur disulami dengan elemen kreatif dan inovatif.
Sekian.

August 28, 2018

MASJID BUKAN UNTUK ORANG TUA SAHAJA


MASJID BUKAN UNTUK ORANG TUA SAHAJA
BBB, 15 Zulhijjah 1439H. = 27 Ogos 2018M. (Isnin):
Adalah menjadi tanggapan umum dan  menjadi realiti bagi setengah masjid yang seolah-olah masjid  sebahagian besar pengunjung atau  yang menjadi para jama`ah adalah terdiri dari kalangan orang tua – yang sebahagian daripada mereka adalah  orang yang telah bersara dan tiada aktiviti tetap, lantaran itu mereka hadir menjadi jama`ah masjid. Kalangan yang berpencen dan yang lanjut usia yang hadir ke masjid bagi memenuhi masa lapang sementara sebelum meninggal yang tempohnya semakin mendekat. Pandangan ini jika sebahagiannya benar, perlu dirubah dan ditambah.
Dalam konsep Takmilah antara `Ilmu Dan `Amal`  wujud konsep `Keseimbangan` seperti antara ilmu sebagai mengetahui sesuatu, maka dengan ilmu itu dia dapat melakukan sesuatu amal itu dengan betul dan menepati apa yang diketahui melalui ilmu berkenaan. Dengan demikian ilmu yang dipelajari dapat dipraktik dan dimanfaatkan dan kualiti amalan adalah meningkat.
Konsep keseimbangan juga perlu bagi semua mereka yang hadir ke masjid. Yang hadir  tidak semata-mata dari kalangan orang tua. Masjid adalah institusi ummah dan masyarakat. Ianya adalah mempunyai tempat dari anak kecil, anak sekolah rendah, sekolah menengah, para remaja – lelaki dan perempuan, ibu bapa, para pekerja dari yang biasa membawalah kepada professional, orang awam membawalah kepada pemimpin, ahli dan pemimpin persatuan dan NGO, guru, `ulama`, imam hinggalah kepada kalangan  berumur dan orang-orang tua.
Soalnya bagaimana masjid dari segi Takmilah keseimbangan dapat memberi tempat dan ruang kepada semua kategori masyarakat dan penduduk yang diperkatakan di atas dan soalnya juga bagaimana seharusnya semua kategori umat dan masyarakat di atas mengambil peluang dan ruang berpartipisati di dalam mengimarahkan masjid. Perlu ada daya menggerakkan secara bertimbalbalik.
Fungsi Masjid terhadap umat dan mesyarakat, bukanlah sesuatu yang baru, ianya lebih merupakan kembali kepada fungsi asal masjid. Menelusuri sejarah dan fungsi masjid dapat ditelusuri kepada sejak permulaan masjid didirikan di dalam Islam.  Masjid Quba`, lebih-lebih lagi Masjid Madinah yang dikenali dengan Masjid Nabawi, maka fungsi Masjid Madinah ini mempunyai fungsi yang luas.
Masjid Madinah adalah Pusat Ibadat, Pusat Pendidikan, Pusat Da`wah, Pusat Pentadbiran, Pusat Kebajikan, Pusat Kaunseling, Pusat Pertahanan dan  Pusat Kemasyarakatan.
Dalam kata lain masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. bukan sebagai tempat solat dan beribadat semata-mata, tetapi pusat bagi kepelbagaian  tujuan membina masyarakat dan negara Islam yang pertama – Negara Madinah.
Memanglah diakui dalam konteks zaman kini, kepelbagaian fungsi di atas dipisah  dan mempunyai bahagian yang berasing dari masjid, misalnya soal pentadbiran negara dan pertahanan negara mempunyai bahagian khusus di dalam pentadbiran negara, begitu juga dengan pertahanan negara. Tetapi masjid tetap mempunyai fungsi penting dan dominan dalam hubungannya dengan umat dan masyarakat, bahkan sehingga masa kini dan terkini. Masjid masih menjadi pusat yang dapat dilibatkan semua lapisan masyarakat.
Soalnya bagaimanakah  pendekatan dan penyusunan yang dapat melibatkan  umat dan masyarakat.
Berinspirasi  sirah dan sejarah umat Islam dan kekinian masjid,  khususnya Masjid Al-Umm hendaklah berfungsi sebagai institusi yang menjangkau seluas mungkin bidang pendidikan, pengibadatan, da`wah, kaunseling dan bimbingan, kebajikan dan kemasyarakatan. Ianya hendaklah melibatkan semua kategori dan lapisan masyarakat sebagaimana telah dibincangkan.
Bagi melibatkan semua pihak perlu ada persediaan dan pendekatan yang releven yang menarik, meyenang bahkan menggembirakan pihak berkenaan. Sebagaimana orang tua disediakan di masjid misalnya ilmu-ilmu yang dapat membetul dan mendekatkan diri dengan Allah, demikian dengan  pihak-pihak yang lain. Misalnya bagi Anak sekolah selain dari pendidikan dan amalan agama, disediakan bimbingan dan kelas tuisyen, juga kegiatan bersifat kreasi dan sukan. Bagi golongan remaja diadaklan kursus-kursus yang bersifat kerjaya dan bimbingan serta kerja-kerja yang bersifat gotong royong dan kebajikan.
Bagi golongan ibu dan suri rumah tangga diberi kursus yang berhubung dengan ekonomi dan rumah tangga, konsep keluarga bahagia, manakala bagi golongan dewasa ditambah dengan keilmuan  yang meningkatkan kerjaya mereka sebagai mereka yang berjaya. Masjid juga perlu dan sering mengadakan kegiatan kemasyarakatan yang menarik semua seperti Hari Keluarga, Hari Ilmu, sambutan berbagai-bagai hari perayaan yang melibatkan semua dan berbagai kegiatan kemasyarakatan yang lain.
Perkara yang penting yang perlu difikirkan, bagaimana mendapat tenaga bagi menyusun semua  pengajian,pendekatan,  penyusunan  kursus, bimbingan  dan berbagai aktiviti yang hendak dilaksanakan.
Sekian.

August 27, 2018

KONSEP TAKMILAH ILMU DAN AMAL


KONSEP TAKMILAH  ILMU DAN  AMAL
BBB, 14 Zul-Hijjah 1439H. = 26 Ogos 2018M. (Ahad):
Di dalam tulisan-tulisan yang lepas kita telah membicarakan tentang Takmilah dari segi plan Masjid Al-Umm, kita juga telah membicarakan Takmilah dari segi Pembinaan Fizikal dan kita juga telah membicarakan tentang Takmilah dari segi architechture, bahkan dari segi estetika. Kalau kita lihat Takmilah yang dibicarakan di atas semuanya adalah tertuju kepada fizikal Masjid Al-Umm. Sesungguhnya pembinaan fizikal Masjid Al-Umm yang memakan masa lima tahun itu telah tiba kepada peringkat Takmilah dalam ketidak Takmilah. Bermaksud dari satu segi dilihat kepada binaan Masjid Al-Umm telah mencapai peringkat lengkap dalam tidak lengkap. Lengkap dilihat dari segi keseluruhan yang dipandang ` `Lengkap dan Indah`, bahkan mengkagumkan. Demikian pandangan mereka yang berkunjung dan melihat kepada bangunan Masjid Al-Umm. Tetapi pada hakikatnya ada yang tidak sempurna. Misalnya plan yang mengabaikan keselamatan dan sifat terbuka dengan berbagai ruang yang dapat dimasuki oleh penceroboh dan binatang seperti kucing, anjing dan sebagainya. Kubah yang sepatutnya menjadi daya tarikan utama Masjid Al-Umm tidak pernah sempurna dan lampunya yang sepatutnya bergemerlapan pada waktu malam, tidak pernah sempurna menyala, hanya sebahagian kecil yang berfungsi menyala dan amat menyakitkan hati. Terowong yang dibina sebagai tambahan  pada ruang masuk di pintu gerbang utama, merosakkan pandangan. Kerana ia tambahan yang tidak harmoni dengan seni bina asal dan nampak jelas bersifat sementara. Tujuan asalnya, kononnya untuk mengel;ak dari tempias, sebenarnya tidak sempurna dari segi maksud, kerana ianya bocor dan turut basah bahagian hadapan apabila hujan. Sebenarnya tidak perlu takut pada tempias dan basah, kerana pada bahagian lantai sudah direndahkan pada bahagian yang boleh tempias yang membolehkan air mengalir dan membersihkan ruang masuk. Keadaan yang sama berlaku pada skylight yan sebenarnya pada asalnya dikosongkan pada bahagian atas sebagai ruang terbuka bagi kemasukan cahaya, udara dan juga untuk air hujan turun pada bahagian berkenaan yang tidak memasalahkan dan memang disegajakan. Tiba ada pendapat yang mengatakan ianya mengundang tempias, yang sebenarnya memberi kesejukan, lantas ditambah penutup bagi kawasan yang luas dan penutup dan dekorasinya tidak memberi kebaikan. Dia menutup ruang cahaya, udara dan hujan. Penutup berkenaan pernah jatuh ke bawah, mujur tiada manusia pada masa jatuh. Kiranya ada boleh mencederakan. Penutupan yang telah dibuat tak mantap, walaupun ditambah dengan screw dan ikatan, bahagian tambahan yang tidak asli ini tidak kukuh dan boleh berlaku `jatuh` dan sebagainya. Demikianlah banyak lagi kekurangan jika hendak diperkatakan. Ianya ibarat sebuah taman yang dilihat dalam keseluruhan adalah indah, tetapi di sana ada lopak dan longkang, pohon mati dan sebagainya yang merosakkan keindahan, tetapi melihat pada keseluruhan adalah indah, yang tidak indah tenggelam dalam keindahan.  Maka demikianlah Masjid Al-Umm dilihat secara menyeluruh  adalah sempurna dan indah, tetapi jika diteliti kepada kekurangan-kekurangan dan kelemahan , antaranya sebagaimana diperkatakan adalah sempurna dan indah, walaupun ada bahagian-bahagian yang tidak indah, ianya tenggelam dalam kesempurnaan dan indah.

Sesungguhnya pembinaan fizikal adalah fasa dari berbagai-bagai fasa yang perlu dihadapi dalam membangunkan sebuah masjid. Fasa yang lebih penting  yang bersifat berterusan dan berlamaan ialah fasa pengimarahan. Fasa ini juga telah dibicarakan sebagai Takmilah bagi pembangunan Masjid Al-Umm dari segi fizikal dan dari segi pengimarahan. Sebagaimana pembinaan fizikal bersifat Takmilah dalam ketidak Takmilah, demikianlah dari segi pengimarahan  kerana banyak perkara yang patut dibicarakan, tetapi tidak dibicarakan, kerana dianggap tidak penting atau kerana kelemahan dan kejahilan pembicara sendiri, jadi ianya bersifat Takmilah dalam ketidak Takmilah.
Jika  Pembicaraan terhadap bangunan, maka ianya lebih kepada yang bersifat benda yang dapat dilihat dengan mata kepala, dan pengimarahan ialah rangka kegiatan yang antaranya bersifat objektif dan bersifat subjektif dan semuanya masih  bersifat rangka pendekatan, kaedah-kaedah bagi pengisian yang amat bergantung pada inisiatif perlaksanaan dan ianya mungkin berjaya, separuh berjaya dan mungkin tidak berjaya.
Persoalan yang hendak dibicarakan tentang `Takmilah Ilmu Dan Amal` ialah fokus pada manusia yang menggunakan Masjid Al-Umm dan menerima kaedah pengimarahan yang mungkin berjaya dan gagal itu.
Takmilah Ilmu dan Amal, ialah melihat kesan pada manusia yang melalui acuan masjid dan  elemen pengimahan dapat atau tidak memberi kesan pada diri, shakhsiah, fizikal, rohan, pembawaan dan kesan pada kelilingan. Semuanya ini adalah cabaran yang sukar dilaksanakan jika mau dilihat impak maksimum yang harus terhasil dari masjid, tetapi ianya boleh diambil ringan, jika masjid sekadar tempat datang bersolat dan beribadat bagi golongan tua yang sedang menunggu maut dan mengharapkan kebaikan dengan datang ke masjid ada kebaikan berbanding dengan menghabiskan masa di luar masjid.
Masjid seharusnya menawarkan peningkatan ilmu kepada jamaah, bahkam masyarakat, dengan Takmilah ilmu mentakmilahkan amalan dan meningkatkan jama`ah dan masyarakat.
Sekian.

August 26, 2018

TAKMILAH ILMU DAN `AMAL MELALUI MASJID


TAKMILAH  ILMU  DAN AMAL  MELALUI  MASJID
BBB, 13 Zul-Hijjah 1439H. = 25 Ogos 2018M. (Sabtu):
Masjid Al-Umm dapat dikatakan telah siap sepenuhnya. Kelulusan terakhir yang penting ialah mendapat kelulusan pemeriksaan bomba dan kelulusan didapati. Masalah yang dihadapi sekarang ialah sesuatu yang kurang dijangka, iaitu tindakan dari kontrektor tidak mau membuat pengakuan dan tidak mau menmgeluarkan certificate kelulusan oleh kerana terdapatnya baki hutang yang belum dilunaskan (masih terhutang RM2 juta). Tindakan ini bukan saja dilakukan oleh pihak main-contractor, tetapi juga oleh pihak sub-sub contractor yang enggan membaiki kerosakan-kerosakan, selagi tidak membayar baki hutang. Apabila kita sanggup mau bayar bagi bahagian tertentu yang disyaratkan sebelum dapat dikeluarkan certificate dan penyerahan kunci (contohnya lift), tetapi apabila hendak dibayar, pihak main contractor membantah dan meminta membayarnya melaluinya sebagai main contractir. Dengan membayar kepadanya, mungkin duit itu tidak diperturunkan kepada sub contractor dan dikira bayaran sebahagian daripada hutang terhadap main contractor. Akhirnya dibuat syarat, jika bayaran hendak dibuat terhadap sub contractor, maka hendaklah dalam jumlah tertentu, lebih dari bayaran kepada sub contractor hendaklah dibayar. Ianya sebagai  syarat menyerahkan kelulusan dan kunci dilakukan secara langsung (penterahan secara berdepan).
Sebenarnya selepas penggunaan masjid selama lapan bulan, maka selepas lengkap dengan kelulusan dari bomba, penggunaan masjid adalah mencapai sepenuhnya. Perkembangan penggunaan adalah secara bertahap. Bermula dengan penggunaan ruang utama masjid bagi solat waktu berjama`ah, kecuali solat Juma`at. Kemudian kepada penggunaan bilik mesyuarat bagi mesyuarat bulanan dan mesyuarat lain yang penting. Berikut penggunaan bilik seminar bagi seminar bulanan Masjid Al-Umm sejak Januari 2018 dan kini digunakan berbagai tujuan, antaranya disewakan untuk  mesyuarat, taklimat dan kursus. Berikutnya ialah penggunaan bilik-bilik kuliah dan pengajaran, termasuk oleh guru-guru masjid dan pihak luar yang menyewa. Puncak dari penggunaan ruang ialah penyewaan Dewan Serbaguna pada aras bawah tanah, dengan penggunaan permulaan bagi majlis perkahwinan dan jamuan pada akhir Julai baru-baru ini. Dewan ini kemudian digunakan bagi jamuan sop dari qurban yang dianjurkan oleh Masjid Al;-Umm pada hari Khamis 11 Zulhijjah sebagai sebahagian dari sambutan Eidul-Adhha yang merupakan pertama kali diadakan di Masjid Al-Umm.
Walau bagaimana adalah dijangka  tidak berapa lama lagi pihak Masjid Al-Umm  akan menerima CCC  di dalam masa terdekat. Dengan penerimaan CCC  melayakkan Masjid Ai-Umm,  mendaftar diri kepada pihak JAIS yang melayakkannya, selepas mendapat keizinan bagi mendirikan solat Juma`at. Dengan kelulusan, insya Allah pihak Masjid Al-Umm akan dapat mendirikan Juma`at secara mingguan. Bila solat Juma`at dapat dijalankan, maka aliran derma akan bertambah. Insya Allah.
Dengan pertambahan derma, maka lebihan dari perbelanjaan operasi masjid, akan dapat  digunakan bagi membayar hutang masjid, di samping  sumber kewangan yang lain.
Siap bangunan fizikal Masjid Al-Umm adalah merupakan siap satu fasa dari pembangunan Masjid Al-Umm. Penyiapan pada dasarnya adalah memuaskan baik dari segi fizikal, architecture dan pesiapam dalaman. Apa yang lebih penting selepas persiapan  pada peringkat fizikal, ialah pengisian  dari segi pengimarahan. Sungguhpun selama ini telah dijalankan berbagai kegiatan, dapat dikatakan ianya adalah secara adhoc dan semuanya adalah pada tahap ujian. Al-Hamdulillah tempoh penggunaan selama lapan bulan yang disifatkan sebagai tahap ujian adalah didapati  berjalan dengan baik dan tidak menimbulkan masalah, baik dari segi keselamatan,  perjalanan operasi dan pegimarahan. Tahap percubaan dan operasi berterusan sehingga mendapat kelulusan CCC dan penftaran di JAIS. Untuk menunggu tempoh penting itu, persiapan tahap dua yang penting ialah persediaan bagi menggerakkan operasi dan pengimarahan bagi Masjid Al-Umm.
Masjid Al-Umm adalah diharapkan bukan semata-mata sebagai pusat ibadah, tetapi diharap membawa  pembaharuan dengan pendekatan   `Takmilah Ilmu dan `Amal`.
Motto `Takmilah Ilmu dan `Amal` ini akan menjadi bidang yang akan diolah selanjutnya.
Sekian.

August 25, 2018

PERLU MEMAHAMI FALSAFAH QURBAN - - USTAZ HARRYANTO RIZAL


PERLU MEMAHAMI  FALSAFAH  QURBAN – USTAZ HARRYANTO RIZAL
BBB, 12 Zulhijjah 1439H. = 24 Ogos 2018M. (Juma`at):
Sempena dengan ibadat qurban di Masjid Al-Umm pada Khamis 11 Zul-hijjah bersamaan 22 Ogos, maka pada malamnya diadakan dua acara yang berkait dengan qurba. Iaitu baca Yasin dan jamuan makan malam selepas solat `Isya`. Tetapi beberapa hari sebelum tiba hari qurban bagi Masjid Al-Umm, pihak Jawatankuasa Masjid dimaklumkan, bahawa sebuah Syarikat Travel & Tours  yang dikenali dengan UHR (Ustaz Harryanto Rizal), Travel & Tours Sdn. Bhd. Syarikat yang menawarkan pakej Haji dan Umrah dan juga pelancungan ke berbagai  destinasi, sebuah syarikat yang baru ditubuhkan dan baru pula mengadakan cawangan di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi (berdekatan Masjid Al-Hasanah) menempah bilik seminar di Masjid Al-Umm bagi menyampaikan penerangan kepada peserta-peserta yang mengikuti pakejnya dan juga kepada orang ramai mengikuti secara percuma pada hari Sabtu 25 Ogos 2018 (Hari ini).



Dalam masa pegawainya di Cawangan Bandar Baru Bangi  berurusan dengan Pejabat Masjid Al-Umm, pihak Masjid Al-Umm menanyakan kemungkinan Ustaz Harryanto dapat menyampaikan ceramaha di Masjid Al-Umm sebagai mempromosikan juga syarikatnya yang baru ditubuh. Ustaz Harryanto bersetuju meyampaikan ceramah pada  malam hari (Khamis malam Juma`at) pada hari Masjid Al-Umm melaksanakan ibadat qurban yang pada malamnya kami adakan jamuan.
Dalam ceramah yang disampaikan selepas  Maghrib hingga jam 9.30 malam itu, Ustaz Harryanto bercakap tentang Falsafah Qurban. Menurut Ustaz Harryanto yang berasal dari Sungai Buluh itu yang terkenal berceramah menurut gaya Ustaz Ismail Kamus itu, bahawa kebanyakan kita memahami konsep qurban secara selapis sahaja, iaitu menyembelih binatang qurban dengan niat qurban dan membahagikan daging-daging menurut bahagian-bahagian yang diperuntukkan.
Menurut Ustaz Harryanto, aspek hikmah dan falsafah dari segi qurban kurang dihayati. Menurut Ustaz Harryanto yang berkali-kali menekankan, bahaya amalan qurban adalah simbolik yang mempunyai perlapisan makna di sebalik makna lahir meyembelih binatang qurba semata-mata. Beliau mengambil bukti dari ayat Al-Qur`an tentang qurban yang bermaksud:
``Daging dan darah binatang qurban itu atau hadiah itu tidak sekali-kali  akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.`` (Al-Hajj : 37).


Menurutnya qurban sebagai sunnat muakkad digalakkan bagi mereka yang mampu sekurang-kurangnya  ada yang berkorban dari setiap keluarga setiap tahun.
Tetapi simbolik dari qurba yang menumpahkan darah dan diberi pahla ganjaran oleh Allah, kita kurang menghayati dari simbolik qurban yang meminta umat Islam berqurban bagi menegakkan agama Islam, jika dengan qurban meyembelih binatang seekor lembu dengan harga RM5,000/= . Bayangkan jika  korban dilakukan melibatkan  500,000 binatang ternakan seluruh negara Malaysia, bererti kita membelanjakan untuk berkorban adalah sebanyak RM2,500,000,000 iaitu satu jumlah yang besar yang dibelanjakan oleh umat Islam.
Tetapi di sana banyak tuntutan qurban sebagai falsafah dari semangat qurban itu. Beliau meyebut banyak perkara yang diperlukan oleh umat yang menuntut umat berkorban sebagai contoh:
Berapa banyak masjid dan surau yang kekurangan dana dan tidak dapat menyiapkan bangunan, kerana ketiadaan wang.
Berapa banyak dari ma`had tahfiz dan sekolah-sekolah agama yang daif yang mengharapkan dama dari masyarakat.
Berapa banyak dari  kalangan anak-anak yang memerlukan bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian.
Berapa ramai mereka yang terlantar sakit yang memerlukan kewangan bagi mendapat rawatan.
Bahkan berbagai lagi kesusahan yang dihadapi masyarakat yang memerlukan pengorbanan dari umat.
Menurut Ustaz Harryanto yang mendapat pendidikan di Universit Yarmuk di Jordan itu, Umat Islam  perlu menghayati falsafah qurban dan perlu menterjemahkannya kepada yayasan  atau apa saja nama badan qurban yang dapat membela umat dan mengukuhkan agama Islam sebagai agama yang dihormati dan mensejahterakan umat dunia dan akhirat.
Sekian.

August 24, 2018

USAHA MENUNAIKAN QURBAN PARA JAMA`AH


USAHA MENUNAIKAN QURBAN PARA JAMAAH
BBB,  11 Zul-Hijjah 1439H. = 23 Ogos 201`8M. (Khamis):
Sebagaimana telah disebutkan Masjid Al-Umm buat pertama kali menganjurkan ibadat qurban kepada para jama`ah yang ingin menyertainya. Mesyuarat telah diadakan sebulan lebih awal dan mengambil keputusan, buat permulaan Masjid Al-Umm menganjurkan qurban dengan lima ekor lembu  untuk disertai. Al-Hamdulillah jumlah penyertaan dapat dipenuhi pada awal Zulhijjah dan bayaran dapat dibuat keseluruhannya seminggu sebelum tiba tarikh qurban (11 Zul-Hijjah = 23 Ogos).
Sebelum dari tibanya Hariraya Eidul-Adhha, semua persediaan dilakukan dari pemasangan khemah di kawasan lapang pada sebelah kiri masjid dan semua peralatan bagi memotong daging dan pengagihan . Juga bagi mengadakan jamuan malam juga disediakan.
Sejak jam 7.00 pagi Tuan Haji Annuar bin Nordin dengan beberapa pembantu telah bertolak ke Penyembelihan High Tech.  di Pekan Bangi – Pembekal lembu-kambing dan mempunyai tempat penyembelihan yang canggih. Penulis juga dengan beberapa yang lain turut ke tempat penyembelihan. Menurut Tuan Haji Zainuddin Pemilik Syarikat yang membekalkan ternakan lembu-kambing, pada hari ini dikhaskan bagi penyembelihan dari Masjid Al-Umm sahaja. Jadi tidak perlu berebut, bagi mendapat giliran lebih awal. Lebih kurang 15 orang yang datang ke rumah penyembelihan bagi membantu membawa balik sembelihan.
Adalah dilihat bahawa lembu-lembu yang disediakan kali ini adalah agak besar dan gemuk. Tiap ekor ditimbang selepas dilapah kulit seberat antara 120 – 140 kilo. Penyembelihan melalui kaedah mesin dan dilakukan penyembelihan oleh Tuan Haji Zainuddin sendiri. Terdapat 10 orang pembantunya yang mengurus dari mengiringi lembu ke tempat sembelihan dan melapah. Penyembelihan pertama dapat disiapkan kira-kira jam 9.00 pagi dan diikuti seekor demi seekor, lebih kurang setengah jam selepas satu-satu.
Manakala di kawasan masjid di bawah khemah terdapat 40 pekerja gotong royong menunggu untuk membantu melapah kepada bahagian yang lebih kecil. Manakala pada bahagian dapur terdapat 10 muslimat yang menyediakan bahan-bahan untuk memasak.
Untuk kerja melapah di masjid tidak perlu tunggu kesemua lima ekor disembelih kesemua untuk diangkut daging sembelihan. Sebaliknya bila siap dua ekor dilapah dan dipotong bahagian-bahagian utama, terutama tulang, maka untuk dua ekor pertama penulis danpengiring membawa pulaang terlebih dahulu ke masjid (jam 10.30), kemudian berpatah balik dipandu oleh yang lain mengangkut kali kedua dengan sebuah lagi kenderaan . Kira-kira jam 11.30 semua daging korban dapat dibawa pulang.
Semasa menunggu urusan penyembelelihan mereka yang datang dibekalkan dengan makanan dan minuman oleh pihak Syarikat, demikian juga mereka yang menunggu melapah daging di pekarangan masjid disediakan  oleh masjid. Kerja melapah dengan peserta lebihkurang 30 orang dapat disiapkan sebelum solat zohor. Pembahagian daging kepada yang berkorban, faqir miskin dan hadiah  juga dapat dilakukan sebelum solat zohor. Kerja-kerja dapat dijalankan dengan licin berdasarkan kepada pengalaman yang lepas yang pengurusan dilakukan oleh Tuan Haji Annuar bin Nordin yang juga Timbalan Bendahari Masjid. Manakala pembantu-pembantu sepertyi Tuan Haji Din dan Ustaz Anas dari segi pembahagian  dapat  dijalankan dengan licin. Pendek kata sebelum solat zohor pengagihan selesai dilakukan. Manakala pada sebelah petang, kalangan muslimat dan pembantu-pembantu menguruskan masakan bagi majlis pada malam nanti.


Mulai maghrib para jama`ah mengikuti kuliah sehingga selepas `Isya` (9.30 malam). Berikut dari itu para jama`ah dijemput ke aras bawah tanah bagi menyertai makan malam yang menu utamanya ialah sop, di samping nasi atau roti dengan bahan-bahan makanan tambahan yang lain.
Tergambar terutama kepada ahli jawatankuasa dan petugas-petugas dan mereka yang hadir ke jamuan rasa puas, bahkan mesra antara satu sama lain.


Pendek kata program qurban yang kali pertama dianjur di Masjid Al-Umm berjalan lancar dan memuaskan.
Sekian.

August 23, 2018

EIDUL-ADHHA DI MASJID AL-UMM


EIDUL ADHHA DI MASJID AL-UMM
BBB, 10 Zulhijjah 1439H. = 22 Ogos 2018M. (Rabu):
Sebagaimana disebutkan sejak Masjid Al-Umm diimarahkan (16.12.2017), maka sambutan Eidul Adhha ini adalah peristiwa ketiga penting di Masjid Al-Umm, iaitu selepas sambutan Maulid al-Rasul 1439/2019 dan sambutan Ramadhan dan pengisian dan sambutan Eidul Fitri.


Sebagaimana persediaan telah dibuat dan pengalaman menyambut Eidul-Fitri, maka sambutan Eidul-Adhha tidaklah berbeza sangat. Agenda mesyuarat tentangnya tidaklah banyak dibicarakan berbanding dengan persediaan bagi mengadakan ibadat qurban. Cuma pada pagi Isnin 20 Ogos 2018 Penulis selaku Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm meminta saudara Adham bin Anuar Setiausaha Kerja Jawatankuasa Masjid agar membuat `print out` teks khutbah Eidul Adhha JAIS  bagi tahun ini untuk diserah kepada khatib yang akan membacanya pada solat Eidul Adhha.
Pada petang 9 Zulhijjah semalam ruang solat disusun kembali bagi memuat  jama`ah yang akan bertambah, iaitu dengan menganjak ruang solat rapat kepada mihrab, yang selama ini di belakangkan sedikit. Manakala pada bahagian belakang, lengkongan bagi kawasan muslimat diperluaskan memenuhi bahagian belakang ruang utama masjid, di samping ruang khas muslimat pada aras satu, lantaran pada solat Eidul Fitri yang lepas ruang bawah dan atas dipenuhi jama`ah muslimat.
Pada malam 9 Zulkaedah (Selasa malam Rabu), selepas solat Maghrib dan takbir  para jama`ah diulangi makluman, selain dari maklumat ada pada skrin letronik  maklumat masjid, bahawa solat Eidul Adhha akan diadakan mulai jam 8.30  pagi. Pada malam raya ini,  jadual kuliah  pada petang tersebut ditangguhkan dan masa dari selepas solat Maghrib hingga `Isya` diisi dengan takbir dari jama`ah.


Pagi solat Eidul Adhha kehadiran para jama`ah sebagaimana pada solat Eidul Fitri adalah memenuhi ruang masjid dari ruang utama, kedua-dua belah serambi dan aras satu bagi muslimat. Jumlah kehadiran adalah dalam lingkungan 2,500 jama`ah. Jumlah penduduk yang pulang ke kampung berkurang berbanding dengan raya Eidul Fitri. Bagi merakam peristiwa terawal dan bersejarah bagi Masjid Al-Umm, sebagaimana sambutan Eidul Fitri, maka demikian juga pada kali ini saudara Tuan Haji  Azizi Adnan, Juru Foto rasmi Masjid Al-Umm dijemput bagi merakam peristiwa bersejarah bagi Masjid Al-Umm berkenaan.


Sementara tiba waktu solat, jama`ah bertakbir menurut bimbingan mereka yang mengepalai takbir. Sepuluh minit sebelum waktu solat Eidul Fitri, Peulis selaku Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm berucap ringkas, iaitubertakbir  dan  bersyukur kepada Allah, kerana sekali lagi para jama`ah dapat  mengimarahkan Masjid Al-Umm dengan bersolat Eidul Fitri. Di atas sokongan para jama`ah yang selama ini telah menderma, maka Masjid Al-Umm pada hakikatnya sudah siap sepenuhnya. Selama lapan bulan digunakan, tidak ada masalah yang dihadapi – semuanya berjalan dengan licin. Walau bagaimana kata Penulis, usaha kita untuk mendirikan solat Juma`at hingga kini masih belum dapat dilakukan. Untuk mendirikan solat Juma`at Masjid hendaklah didaftar  terlebih dahulu  kepada JAIS, tetapi untuk mendaftar dikehendaki ,mendapat kelulusan CCC terlebih dahulu. Masalahnya kita masih berhutang dengan kontrektor sejumalh RM2 juta. Sejak kita gunakan masjid, kita telah melunaskan hutang sebanyak RM0.5 juta. Kini pihak kontrektor dan Jawatankuasa semacam dalam keadaan `tarik tali`, bahawa mereka tidak akan mengeluarkan certificate kelulusan, selagi hutang yang dituntut tidak dijelas. Dalam  ucapan Penulis memaklumkan, di samping usaha-usaha bagi mendapat sumber kewangan bagi melunaskan hutang, Penulis bagi pihak Jawatankuasa menyeru kepada dermawan sama menghayati semangat qurban, antaranya dengan menderma kepada Masjid Al-Umm yang merupakan sebagai saham akhirat. Penulis bagi pihak Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm memohon ma`af, jika ada kesalahan yang berlaku selama ini dan mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan sumbangan derma yang diberi oleh para jama`ah selama ini.


Imam yang memimpin solat Eidul Adhha ialah  Imam Rahmat dan khutbah disampaikan oleh Imam Ghazie, yang antaranya para jama`ah diingatkan dengan peristiwa antara Nabi Inrahim dan anaknya  Ismail yang mempunyai jiwa qurban yang tinggi, maka demikianlah umat Islam diminta berkorban harta dan jiwa raga bagi menegakkan agama Islam.
Dengan jama`ah yang ramai, memberi peluang kepada masjid mendapat derma dengan kadar yang lebih banyak. Hari ini para jama`ah menyampaikan derma melalui tabung-tabung derma masjid lebih dari RM3,000/=. Sekiranya solat Jumaat dapat diadakan kutipan mingguan adalah dalam jumlah sedemikian. Operasi Masjid Al-Umm selama ini adalah bergantung pada derma harian yang diberi  oleh para jama`h. Terima kasih kerana menghulur derma secara berterusan. Terima kasih.
Sekian.

August 22, 2018

PERSEDIAAN MENYAMBUT EIDUL-ADHHA


PERSEDIAAN MENYAMBUT EIDUL AL-ADHHA
BBB, 09 Zul-Hijjah 1439H. = 21 Ogos 2018M. (Selasa):
Sejak penggunaan Masjid Al-Umm pada 16 Disember 2017, beberapa program penting telah diadakan di Masjid Al-Umm, bermula dengan Sambutan Maulid al-Rasul pada 16 Disember 2017 bersamaan dengan 27 Rabi`ul-Awwal 1439H., berikutnya diimeriahkan dengan sambutan Ramadhan 1439/ Jun2018 dan mengadakan solat Eidul Fitri berikutnya.
Kini diadakan pula Sambutan Eidul Adhha yang akan jatuh pada 10 Zul-Hijjah 1439H. bersamaan  22 Ogos 2018.
Bagi persediaan menyambut Eidul Adhha termasuk mengadakan ibadat qurban, bagi  persediaan menyambut Eidul-Adhha maka lebih dari sebulan sebelumnya telah diadakan persediaan. Misalnya pihak Jawatankuasa Ibadat telah mengadakan mesyuarat awal bagi persediaan ialah pada 17 Julai 2018 bersamaan 3 Zulkaedah 1439H. Turut dijemput wakil dari Jawatankuasa Induk, Bahagian Ibadat, termasuk imam-imam, pemuda, muslimat dan mereka yang sebelumnya terlibat dengan tugas-tugas berqurban di Surau Al-Umm. Perkara yang dibincangkan ialah berkenaan mengadakan solat Eidul Adhha yang melibatkan tarikh, khatib dan imam dan masa. Dengan adanya solat Eidul Adhha, maka wajar turut diadakan ibadat qurban yang selama ini setiap tahun diadakan semasa di bawah Surau Al-Umm, maka dengan adanya  solat Eidul Adhha di Masjid Al-Umm tidaklah munasabah tidak ada ibadat Qurban. sebagaimana  tradisi di Surau Al-Umm mengadakan ibadat qurban pada hari kedua Raya Eidul Adhha, maka demikian  Sambutan Eidul Adhha bagi pertama kali di Masjid Al-Umm juga diadakan ibadat qurban. Adalah disetujui jumlah lembu yang akan dibuka untuk disertai mereka yang mau berqurban ialah 5 ekor. Tuan Haji Annuar bin Haji Nordin yang selama ini mengurus pembelian lembu yang kini sebagai Timbalan Bendahari Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm ditugaskan membuat kepastian dari segi harga lembu dan berapa harga bagi satu bahagian qurban. Selepas itu beliau telah menghubungi pihak High Tech Syarikat di Pekan Bangi bahawa seekor lembu berharga RM4,900/=. Ini bererti harga bagi satu bahagian ialah RM700/= dengan tambahan RM50/= untuk pengurusan bagi setiap bahagian. Ini bererti bayaran bagi setiap bahagian ialah sebanyak RM750/=. Berikut dari keputusan itu, pihak Jawatankuasa Ibadat telah mengiklankan  jumlah lembu dan pemiliihan (7 bahagian) bagi setiap lembu. Al-Hamdulillah hingga minggu terakhir semua bahagian dipilih oleh peserta-peserta. Tempat penyembelihan dan pemotongan secara kasar dilakukan di High Tech Peyembelihan. Kemudian bahagian-bahagian lembu yang disembelih diangkut – bawa pulang ke Masjid Al-Umm.
Perkara lain yang dibincangkan ialah mengenai peralatan,  gotong royong bagi melapah daging, kategori pembahagian dan penghantaran.  Tempat melapah dan pembahagian adalah di bahagian aras bawah tanah bagi Masjid Al-Umm. Satu pasukan kerja bagi melapah, membuat kategori pembahagian dan pembahagian serta penghantaran dikenalpasti. Mereka adalah pasukan yang berpengalaman yang mengendalikan pengurusan qurban pada setiap tahun.
Adalah dibincangkan juga, sebahagiankecil dari daging dan tulang akan diminta keizinan dari mereka yang berkorban untuk dimasak sop untuk jamuan. Adalah secara kebetulan hari qurban pada tahun ini (Raya Eidul Adhha Kedua) jatuh pada hari Khamis dan pada malam Juma`at menjadi kebiasaan ada jamuan kecil di Masjid Al-Umm selepas baca Yasin dan Tahlil selepas Maghrib. Maka pada siang hari Khamis pihak muslimat dan muslimin membantu gotong royong memasak yang pada malam Juma`at selepas Isya` akan diadakan jamuan. Tempat jamuan akan diadakah di Dewan Serbaguna Aras Bawah Tanah. Makanan tambahan juga diadakan.
Apa yang dimesyuaratkan  di atas dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm bagi mendapat kelulusan. Mesyuarat pada Selasa 24 Julai 2018. Mesyuarak Kali Kedua, bagi mempastikan segala persediaan berjalan lancar diadakan pada 14 Ogos 2018 (Selasa) bersamaan 2 Zulhijjah 1439. Pada mesyuarat ini semua yang mengambil bahagian qurban (dua orang ber`aqiqah = 3 bahagian dari 35 bahagian) diminta datang bagi urusan mewakilkan aqad jual beli dan penyembelihan kepada Tuan Haji Annuar  bin Haji Nordin. Ini bererti yang mengambil bahagian qurban tidak perlu hadir ke tempat penyembelihan, tetapi kiranya mereka mau sama hadir adalah dialu-alukan. Mereka perlu hadir ke masjid untuk mengambil daging bahagian qurban dan digalak sama hadir pada malam jamuan untuk sama bertakbir an mengihya`kan sambutan Eidul Adhha.
Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepada pihak AJK Masjid Al-Umm menguruskan urusan qurban secara khusus dan Sambutan Eidul Adhha secara  menyeluruh.
Sekian.

August 21, 2018

CADANGAN PERKEMBANGAN FIZIKAL MASJID AL-UMM: PERLU PENELITIAN


CADANGAN PERKEMBANGAN FIZIKAL MASJID AL-UMM:  PERLU PENELITIAN
BBB, 08 Zulhijjah 1439H. = 20 Ogos 2018M. (Isnin):
Sebagaimana telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, bahawa Masjid Al-Umm yang berorientasikan ilmu pada masa depan seharusnya menjadi sebagai Masjid Institusi Ilmu. Hasil dari perbincangan sejak 2015 itu sebuah buku tentang perkembangan fizikal Masjid Al-Umm telah disediakan oleh Syarikat Consultan  Ir. Haji Ghazali bin Husin setebal 32 helai.
Proposal yang disetujui bahawa, kawasan yang terlibat dengan pembangunan tamabahan termasuk kawasan Medan Selera (Usahawan), Padang Awam dan kawasan Pasar Basah Bandar Baru Bangi.
Dalam bahagian pengenalan  dicatat, bahawa secara keseluruhan melibatkan tiga tapak yang disebut di atas. Pembangunan dicadangkan:
A.      Kompleks Ilmu
Satu blok 3 tingkat yang  mengandungi:
Aras bawah:  Dataran serbaguna, dewan serbaguna, kelas pengajian, dewan makan dan bilik perbincangan
Aras Satu: Perpustakaan, pentadbiran, kelas pengajian, kelas hafazan Al-Qur`an
Aras Dua: Asrama pelajar muslimin, asrama pelajar muslimat, ruang hafazan dan utiliti.
B.      Kondominium
Satu blok bangunan 19 tingkat yang mengandungi:
Aras Bawah:  Lobi, retail outlet
Aras  1 – 3,  Tempat letak kereta bertingkat,
Aras 4, Kediaman condominium dan sky park
Aras 5 – 7, Kediaman kondominium
Aras 8, Kolam mandi, sky garden, gimnisium, dewan serbaguna, dan kemudahan eksklusif kondominium.
Aras 9 – 18: Kediaman kondominium
C.      Pusat Komersil
Satu blok bangunan 3 tingkat yang mengandungi:
Aras Bawah:  Pasar basah
Aras Satu: Gerai makan
Aras Dua: Kedai
Reka bentuk pembinaan bertujuan mewujudkan kompleks ilmu bagi meluaskan pengajian masjid
Mewujudkan  bahagian kediaman yang melibatkan pelajar, kakitangan dan bahagian komersil bagi menggantikan kawasan pasar sekarang dengan cara yang lebih teratur dan lebih bersih.
Reka bentuk bangunan bagi ketiga-tiga kawasan yang mengalamai perubahan (Medan Selera, kawasan padang dan kawasan pasar).
Kos bagi pembangunan yang dicadangkan adalah sebanyak RM100 juta.
Untuk membangunkan bangunan yang dicadangkan akan melibatkan pihak PKNS bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor. Ianya mungkin melibatkan pihak swasta.
Walau bagaimana perancangan yang dicadangkan oleh pihak consultant dilihat agak luar dari kemampuan masjid.
Cadangan yang lebih realistik ialah berusaha untuk mendapat milik tanah Medan Selera bagi dijadikan bagunan antara sepuluh hingga 15 tingkat yang disambung dengan jambatan ke masjid, kosnya dijangka melibatkan RM 70 juta. Pada bangunan ini ada:
1)      Bilik kuliah,  tutorial dan tahfiz
2)      Bilik-bilik  pensyarah
3)      Aras pentadbiran
4)      Perpustakaan, Bilik IT, dan Bilik pelajar
5)      Asrama pelajar
6)      Kedai buku dan peralatan, pakaian dan berbagai kemudahan pelajar.
7)      Kedai-kedai awam,  restoram dan kedai-kedai makan.
Pasar basah tidak diganggu, terpulang kepada pihak berkuasa tempatan bagi mengangkat tarafnya.
Padang awam juga tidak diganggu, tetapi dipertingkatkan dari segi fizikal bagi diguna oleh pihak masjid dan orang awam.
Perbincangan dan perundingan lanjut perlu dilakukan bagi perkembangan masa hadapan tidak saja melibatkan bangunan fizikal tetapi lebih-lebih lagi dari konsep pengajian agar ianya releven, sesuai dengan keperluan umat dan mendapat sambutan masyarakat.
Sekian.

August 20, 2018

VISI MASA DEPAN MASJID AL-UMM SEBAGAI INSTITUSI ILMU


VISI  MASA DEPAN MASJID AL-UMM SEBAGAI INSTITUSI ILMU
BBB, 07 Zulhijjah 1439H. = 19 Ogos 2018M. (Ahad):
Pada bangunan fizikal Masjid Al-Umm dibina sebagai masjid berorientasikan ilmu dalam mana pada sebahagian besar dari ruang masjid dapat digunakan bagi kegiatan keilmuan. Ianya melibatkan ruang utama bagi solat – termasuk dua serambi kanan dan kiri yang dapat digunakan sebagai ruang terbuka bagi pengajian ilmu. Begitu dengan ruang serbaguna di bawah tanah dapat digunakan sebagai ruang konvensyen bila jumlah kehadiran dalam jumlah yang besar, memuat dalm lingkungan 1,000 secara berkerusi. Selain daripada itu terdapat bilik seminar (dua bilik boleh disatukan), dua bilik kuliah, bilik IT (bilik tahfiz) dan perpustakaan. Bilik mesyuarat juga dapat dijadikan bilik seminar yang dapat memuatkan 100 orang.
Ruang-ruang berkenaan adalah bagi menampung kegiatan keilmuan harian dan pengajian hujung minggu, pengajian berpakej, pengajian tahfiz, seminar bulanan, konvensyen dwi-tahunan, pengajian-pengajian secara kerjasama dengan dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang banyak terdapat di sekitar Bangi dan sebagainya.
Di samping itu Masjid Al-Umm mempunyai visi dan misi masa depan. Dalam perancangannya Masjid Al-Umm berhasrat untuk mencapai tahap masjid berorientasikan ilmu pada tahap `Al-Jami`ah` sebagaimana yang dialami oleh Masjid Al-Qairawan di Maghribi dan Al-Azhar di Mesir yang kedua-dua pusat pengajian Islam ini adalah bermula dengan masjid. Di dalam perkembangannya pengajian akan diubahsuai dengan perkembangan keilmuan moden.
Sebagai sebuah Al-Jami`ah yang bertaraf universiti yang akan menganjurklan berbagai-bagai pengajian bertaraf universiti dengan pelajar-pelajar diterima dari dalam dan luar negara, sudah tentulah ruang yang disediakan di Masjid Al-Umm tidak mencukupi bagi menampung keperluan ruang bagi sebuah pengajian pada peringkat Al-Jami`ah.
Perkara ini disedari oleh Jawatankuasa pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, sebagaimana kesedaran menjadikan Masjid Al-Umm sebagai sebuah masjid berorientasikan ilmu, pada peringkat permulaan dengan menyediakan ruang-ruanmg bagi kegiatan-kegiatan keilmuan, demikian kesedaran mau menjadikan Masjid Al-Umm telah wujud dalam perbincangan berhubung dengan perkembangan fizikal Masjid Al-Umm dan  keperluan kepada perkembangan kepada taraf Al-Jami`ah. Ini dibincangkan serentak dengan pembinaan fizikal Masjid Al-Umm sejak 2015.
Bagi mengisi keperluan di atas memerlukan ruang bagi perkembangan fizikal bagi konsep Al-Jami`ah. Adalah disedari dan timbul cadangan bagi pihak Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimatahan Masjid Al-Umm melihat dua kawasan tanah berdekatan dengan Masjid Al-Umm. Tanah berkenaan ialah:
1)      Tanah bagi kawasan Medan Selera (Medan Usahawan) pada bahagian depan – kanan bagi Masjid Al-Umm yang luasnya lebih kurang  setengah ekar.
2)      Kawasan padang  awam pada bahagian kanan bagi Masjid Al-Umm yang luasnya seluas kawasan Masjid Al-Umm, sebanyak dua ekar. Konsep padang tidak diubah, tetapi dibina sedemikian rupa hingga ianya menjadi konsep padang dan sukan secara teratur di samping ada kompleks bersama dengannya.
Bagi mendapat keizinan bagi penggunaan kedua-dua ruang ini pihak Masjid Al-Umm perlu berbincang dengan pihak  JAIS,  PKNS, Pejabat Daerah dan Kerajaan Negeri Selangor berhubung
dengan cadangan bagi meningkatkan status Masjid Al-Umm sebagai `Masjid Institusi` dan menggunakan ruang Medan Selera dan Padang menjadi sebahagian dari perkembangan Masjid Al-Umm kepada sebuah Jami`ah.
Cadangan ini bukan setakat bermesyuarat, tetapi Plan Pembangunan Fizikal bagi Jami`ah Al-Umm telah diminta oleh Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan, kepada  Syarikat Consultant Haji Ghazali bin Husin menyediakan kertas proposal dan plan pembangunan fizikal bagi kedua tapak berkenaan  dan bersifat integrated dengan Masjid Al-Umm. Peruntukan RM5,000 telah dikeluarkan
bagi menyiapkan  plan berkenaan.
Sekian.

August 19, 2018

PERKARA-PERKARA PENTING DITIMBULKAN DALAM PERBINCANGAN


PERKARA-PERKARA PENTING DITIMBULKAN DALAM PERBINCANGAN
BBB, 06 Zulhijjah 1439H. = 18 Ogos 2018M. (Sabtu):
Pada akhir pembentangan kertaskerja  `Komunikasi Masjid: Satu Penilaian`` oleh Prof. Dr. Mohd. Yusof bin Hussein dan ualasan yang dibuat oleh Prof. Dr. Mahyuddin Yahya, seminar dibuka kepada pertanyaan dan perbincangan.
Ada beberapa perkara ditimbulkan, iaitu tentang bagaimana menarik jama`ah supaya lebih ramai datang ke Masjid Al-Umm.
Cadangan: Meningkatkan mutu pengajaran dengan mejemput guru-guru mursyid.
Jawapan: Memang dijemput. Namun guru-guru mursyid dan popular ini terlalu banyak jemputan. Mereka memang datang menurut jadual yang ditentukan, tetapi selepas beberapa kali, bahkan sekali datang,  mereka tidak lagi datang, walaupun diingatkan. Kemungkinan:
Kurang jama`ah, tidak ketara dari segi pertambahan jama`ah. Ini mungkin mengurangkan semangat untuk mereka hadir seterusnya. Mungkin juga saguhati yang diberi tidak memuaskan. Kita hanya member sekadar RM200/= untuk tempoh pengajaran antara selepas Maghrib hingga Isya`. Sedang seorang guru popular biasanya dibayar antara RM300/= hingga RM500/= bagi sekali kehadiran. Kita tak mampu menyediakan bayaran tinggi. Masjid masih menanggung beban hutang pembinaan.
Faktor yang lain, keliling Masjid Al-Umm ada 6 buah surau yang masing-masing menarik jama`ah, khususnya setempat. Masjid Al-Umm memang menyediakan tempat yang selesa dan menjemput guru-guru setiap hari antara Maghrib-Isya` dan waktu-waktu lain. Kemampuan dari segi kewangan menjadi kekangan untuk membuat bayaran yang di luar dari kemampuan.
Turut ditimbulkan kurangnya kalangan belia terlibat dengan masjid.
Dicadangkan antaranya mengadakan kegiatan sukan.
Kita mempunyai Jawatankuasa Belia. Jawatankuasa yang agak aktif. Sukan seperti badminton dan cadangan table tennis diadakan. Mereka memang giat dan banyak mengadakan kerja-kerja amal kebajikan.
Cadangan mengadakan konsep `Twin-mosque`  sebagaimana kata seorang peserta berkata, sebagaimana diadakan di Amerika.
Cadangan yang baik, mungkin akan dibawa  sebagai salah satu  item dalam mesyuarat.
Ada cadanga supaya masjid  tidak saja menekankan pada pengajian agama dengan menggunakan kitab-kitab sahaja, tetapi patut membincangkan persoalan-persoalan semasa dengan menggunakan buku-buku termasuk tentang Islam secara semasa.  Termasuk menggunakan buku-buku dalam bahasa Inggeris yang dianggap terbaik di dalam membincangkan tentang Islam, bahkan patut juga penyampaian dalam bahasa Inggeris, selain dari bahasa `Arab.
Kita memamngnya menyediakan ruang, bilik seminar, bilik-bilik kuliah dan dewan konvensyen. Kita memang berhasrat mengadakan seminar, kuliah dan konvensyen dan memang berusaha ke arah itu. Bandar Baru Bangi memang mempunyai ramai pakar di dalam berbagai bidang dan kita memang berusaha mau meningkatkan kegiatan ilmiah di Masjid Al-Umm. Namun setakat ini kehadiran bagi seminar bulanan adalah bersifat sederhana. Kita berusaha bagi meningkat jama`ah masjid dan mereka yang meyertai kegiatan-kegiatan ilmiah yang  kita adakan.
Ada cadangan menggunakan laman web bagi mengiklankan kegiatan.
Memang kita menggunakan  media letronik dalam mengiklan kegiatan masjid. Mungkin akan dipertingkatkan dengan kerjasama dengan pihak lain.
Cadangan ditingkatkan mutu khiutbah dan ada badan penapis dan penilai.
Masjid-masjid dikehendakli m,engikuti khutbah yang disediakan oleh JAIS. Kita belum mengadakan solat Juma`at. Kita akan mematuhi peraturan yang dikehendaki apabila dapat mendirikan Juma`at Insya Allah.
Sebagai kesimpulan Seminar `Komunikasi Masjid: Satu Penilaian` adalah berjaya dan banyak maklumat yang disampaikan. Buah-buah fikiran yang disampaikan, begitu juga cadangan-cadangan akan diambil perhatian – Insya Allah. Terima kasih
Sekian.

August 18, 2018

KONSEP KEPELBAGAIAN KEMAJUAN


KONSEP KEPELBAGAIAN KEMAJUAN
BBB, 05 Zulhijjah 1439H. = 17 Ogos 2018M. (Juma`at):
Dalam pembicaraan Prof. Dr. Mahyuddin terhadap kertaskerja Prof. Dr. Yusof Hussein dan kegiatan ilmiah yang dianjurkan oleh pihak Masjid Al-Umm, beliau menimbulkan tujuan kegiatan – termasuk yang berkaitan dengannya, misalnya kegiatan ilmiah di pengajian tinggi, beliau menimbulkan tujuan  -  Visi dan misi dari kegiatan sedemikian.
Dengan menimbulkan persoalan yang sedemikian, beliau memberi pandangan berhubung dengan tujuan adalah bagi mencetuskan  apa yang disifatkan sebagai kemajuan. Beliau bertanya, banyak istilah yang memaksudkan dengan kemajuan antaranya katanya ialah:
Hadharah, peradaban, tamadun dan `umran (`imarah).
Menurut Profesor Dr. Mahyuddin, sepanjang kajiannya dan terlibat membicarakan kemajuan-kemajuan yang dicapai kelompok, bangsa dan umat.
Beliau berpendapat dan menyatakan sokongan dengan apa yang diistilahkan oleh Ibn Khaldun di dalam bukunya Muqaddimah yang menggunakan istilah kemajuan ialah ``Umran`. Ibn Khaldun  menggunakan istilah ``Umran` bagi menggambarkan kemajuan yang dicapai oleh negara bangsa yang  dia mengkajinya. Beliau berpendapat istilah yang digunakan oleh Ibn Khaldun ini lebih tepat bagi menggambarkan kemajuan dicapai oleh kelompok, puak, negara dan bangsa. Menurutnya beliau kini menggunakan istilah ini di dalam membicarakan kemajuan  negara bangsa – termasuk bagi umat Islam.
Walau bagaimana pendapat berkenaan adalah pendapat peribadi Profesor Dr. Mahyuddin.
Sebenarnya di sana terdapat berbagai istilah yang mencerminkan kemajuan yang setiap satunya mencerminkan sifat dan ciri kemajuan berkenaan. Istilah-istilah seperti:
Hadharah, tamadun, peradaban dan `imarah
Adalah merujuk kepada kemajuan yang  dicapai, tetapi setiap satu mempunyai ciri an perbezaan yang seharusnya digunakan pada tempatnya yang sesuai.
Menyebut hadharah kita teringat dengan istilah `Islam Hadhari` yang digunakan pada zaman  Tun Abdullah Badawi pada zaman beliau mnjadi Perdana Malaysia – Zaman antara Tun Mahadhir pada peringkat pertama hingga zaman  kenaikan Dato` Seri Najib Tun Razak`
Konsep Hadhari lebih memaksudkan kemajuan  kini (hadharah = kini, hadir sekarang). Islam Hadhari ialah `Kemajuan Islam Terkini` yang seharusnya sentiasa segar. Bermaksud juga kemajuan keislaman yang dicapai hingga kekinian.
Adapun tamadun, adalah dapat diasosiasikan dengan istilah `Madinah` yang merujuk kepada `Madinah al-Munawwarah` dan juga kepada sebarang bandar.
Status yang dikatakan Madinah, ialah satu kependudukan yang penduduknya hidup menurut peraturan dan teratur, khususnya dari segi fizikal. Termasuk kemajuan yang dicapai ialah kemajuan peraturan, undang-undang dan kaedah kehidupan yang maju dan adil. Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w. mencapai ciri tamadun lahiri dan rohani yang dilambangkan dengan nama Madinah.
Adapun istilah `Peradaban`  lebih merujuk kepada kemajuan nilai yang dicapai seperti kemajuan keilmuan, etika dan peraturan  yang memaksudkan dengan pencapaian masyarakat berada di dalam kemajuan dan kebahagiaan (bersifat nilai).
Adapun `umran (`Imarah) yang dari pecahan dari istilah ini ialah imarah. Maksud lahir dari istilah ini ialah kemajuan negara kota dengan binaan secara teratur yang melambangkan kemajuan. Tentulah bersamanya ada aturan, nilai dan budaya hidup, agama dan kepercayaan. Ciri sedemikian digambar oleh Ibn Khaldun dalam menggambarkan negara kota  yang disifatkan sebagai kemajuan secara `Imran`.
Masjid Al-Umm menggunakan istikah `mengimarahkan masjid` . Iaitu mengadakan berbagai-bagai kemajuan dari segi ibadat, pengajian dan kegiatan kemasyarakatan yang mana dengan kegiatan ini kita sifatkan mengimarahkan masjid.
Walau bagaimana kita tidak setuju dengan Pengulas yang terpesona dengan istilah `Umran Ibn Khaldun dan mau memasukkan semua kegiatan dan kemajuan di bawah istilah `Umran. Kita berpendapat berbagai istilah ada makna yang membezakannya dari istilah yang memaksudkan kepada kemajuan dan berciri sendiri. Banyaknya istilah berkenaan mencerminkan banyaknya ciri kemajuan dan berpelbagaian yang sekaligun mencerminkan kekayaan tamaduan dan peradaban umm,ah.
Sekian.

August 17, 2018

KONSEP KOMUNIKASI DALAM ISLAM MENURUT PENGULAS


KONSEP KOMUNIKASI DALAM ISLAM MENURUT PENGULAS
BBB,  04 ZulHijah 1439H. = 16 Ogos 2018M. (Khamis):
Profesor Dr. Mahyuddin Yahaya sebagai Pengulas terhadap kertaskerja `Komunikasi Masjid` Satu Penilaian` oleh Prof. Dr. Haji Yusof Hussain. Pembentang Prof. Dr. Yusof melihat komunikasi masjid adalah bersifat dua hala, khususnya antara khatib dan penceramah terhadap jama`ah atau masyarakat.. Bagi prof. Dr Mahyuddin bahawa komunikasi di dalam Islam adalah lebih dari dua hala. Beliau menyebut konsep komunikasi di dalam Islam  dengan merujuk kepada konsep `Hablun min All;ah` dan  konsep  `Hablun min al-Nas`. Menurut beliau konsep komunikasi di dalam Islam ialah komunikasi:
1)      Konsep komunikasi dari Allah
2)      Konsep komunikasi sesama insan
3)      Konsep komunikasi dengan alam sekitar
Pengulas menggunakan istilah komunikasi dengan alam sekitar, iaitu komunikasi bi`ah.
Menurut Prof. Dr. Mahyuddin, komunikasi dari Allah, ialah segala ajaran Islam , baik suruh dan larang yang diterima  dari Kitab Allah dan Sunnah Rasul adalah sesuatu yang  sebati dalam jiwa seseorang Islam. Sebarang komunikasi berlaku ianya melalui tapisan nilai keislaman yang berada di dalam diri seorang. Ianya bukan saja bersifat dua hala, tetapi banyak hala yang interaksi terhadap banyak hala ini juga melalui tapisan  nilai keislaman di dalam diri seorang. Misalnya bila seseorang muslim mau bercakap, dia bercakap benar, kerana tapisan nilai yang berada di dalam diri seorang muslim itu. Dalam kata lain komunikasi seorang muslim membawa nilai dan peribadinya yang menjadi ciri dan perabadi diri, bahkan menjadi identiti baginya. Seorang penceramah muslim msalnya, ianya disanjung dan dihormati kerana ilmu dan peribainya yang diyakini.
Seorang yang tidak dihormati dan tidak diyakini, antaranya  kerana lemah ilmunya dan  tiada diyakini kemampuan dan kebenaran apa yang dibawa. Dalam erti kata  yang lain, lemah nilai komunikasinya kerana rendah kemampuan dan kredibilitinya.
Komunikasi dua hala antara seorang dengan seorang yang lain dan juga dengan jama`ah atau khalayak yang ramai, sebenarnya adalah komunikasi nyata antara dua hala berkenaan, tetapi dari segi dalaman, ia juga komukasi yang membawa bersama nilai yang ada pada  pencermah. Dirinya diketahui oleh jama`ah, misalnya dari  segi kemampuan ilmunya dan dari segi kemampuan menarik jama`ah yang secara dalaman sudah dinilai masyarakat terhadapnya selaman ini. Manakala pencermah adalah menyampaikan sesuatu dengan  perkara dan keadaan yang sesuai yang  ada paka khalayak sama ada dari segi ilmu dan pengalaman yang ada pada jama`ah atau khalayak.
 Adapun komunikasi secara bi`ah – didikan dan pandangan terhadap alam sekitar dan sekeliling  adalah kesedaran yang tinggi terhadap alam sekitar yang seharusnya  diberi perhatian di dalam komunikasi. Alam sekitar dapatlah diibaratkan sebagai diri besar bagi seseorang yang dia hidup di dalam lingkungannya. Hidupnya adalah hidup dengan lingkungannya. Ia tidak dapat memisahkan diri dari lingkungan. Rosak lingkungan bererti rosak dirinya. Dari kesedaran ini menimbulkan kesedaran bahawa, alam sekitar haruslah dijaga dan dipelihara. Alam sekitar yang baik dan sihat memberi kebaikan dan kesihatan bagi seseorang. Kemusnahan alam sekitar, misalnya  kelil;ingan yang beracun atau kelilingan yang boleh rosak misalnya berlaku gempa dan sebagainya merosakkan seseorang. Kesedaran kini makin jelas dan timbul pada masyarakat tentang perlunya dipelihara alam sekitar. Misalnya alam sekitar yang kotor merosakkan kesiahatan yang berada di dalamnya. Penggondolan terhadap muka bumi misalnya dengan menebang hutan-hutan dan menggodol bukit bukau mengundang kepanasan dan juga banjir yang membawa kemusnahan pada manusia.
Nampaknya konsep komunikasi yang dibawa oleh Pengulas, bukan setakat komunikasi yang menggunakan bahasa semata-mata, tetapi  bersifat keilmuan dan kesedaran yang seharus ada pada masyarakat. Dengan kesedaran sedemikian mencorak cara dan gaya yang seharusnya masyarakat bertindak. Dalam kata yang lain, konsep komunikasi adalah kesedaran yang berlapis, iaitu:
Kesedaran dari nilai tertinggi yang mencorak dan memandunya bertindak terhadap manusia dan alam keliling.
Komunikasi lisan adalah luaran yang keluar bersama di dalam komunikasi lisan ialah nilai, keilmuan dan pengalaman yang disampaikan kepada khalayak yang mempunyai ciri-ciri sedemikian yang menjadikan mereka mengerti dan faham dan bertindak secara bersesuaian.
Alam keliling adalah diri kita luaran yang kita tidak terpisah dengannya. Baik buruk diri adalah bersama baik buruk luaran, sebab itu hubungan dengannya hendaklah baik agar hubungan dengan yang lain dapat berlaku dengan baik.
Sekian.