August 2, 2018

KOMUNIKASI KEPERLUAN KEHIDUPAN


KOMUNIKASI  KEPERLUAN KEHIDUPAN
BBB, 19 Zulkaedah 1439H. = 01 Ogos 2018 (Rabu):
Manusia yang hidup bermasyarakat tidak terkeluar dari berkomunikasi. Komunikasi berlaku misalnya antara seorang dengan kawannya, dengan keluarga, dengan sama sepelajar, dengan yang sama sekerja, dengan sama sejama`ah di masjid dan di mana saja. Komunikasi berlaku adalah menurut normal aturan sosial.  Misalnya komunikasi seorang kawan dengan kawannya mungkin secara santai, ada elemen gurauan, ketawa, bersahaja dan sebagainya. Komunikasi seorang anak dengan ibubapa adalah secara hormat dan mesra, manakala komunikasi seorang guru dengan pelajar adalah dengan cara terus terang, menjelaskan dan mesra. Dan berbagai-bagai komunikasi yang lain yang antara satu dengan yang lain  ada kelainan bergantung misalnya dengan kedudukan dan taraf sosial, norma dan nilai antara dua hala atau berbagai hala yang dihadapi atau dialami oleh mereka yang berinteraksi.
Penerapan nilai di dalam berkomunikasi adalah ditentu dan dipengaruhi oleh taraf, adat, nilai,aturan dan prinsip-prinsip pegangan keagamaan.
Komunikasi antara sahabat dengan sahabat yang lain secara spontan, bersahaja, santai, tiada tekanan dan mesra kerana ada keterbukaan, tiada batas halangan sosial dan jujur di dalam konteks `kawan benar`.Berlainan dengan komunikasi `Tuan Rumah` dengan orang gaji yang berstatus sosial berlainan. Tuan rumah mungkin bersifat tegas mengarahkan orang gaji melakukan sesuatu pekerjaan seperti menggosok, mencuci pinggang mangkuk, membajai pokok-pokok bunga dan menyiram. Orang gaji yang berstatus sosial lebih rendah dari Tuan Rumah adalah menghormati Tuan Rumah, akur dengan segala suruhan dan menyempurnakannya.
Di dalam masyarakat beradat, maksud adat adalah aturan dan nilai yang baku dan dterima pakai di dalam masyarakat sebagai aturan dan nilai  adat. Misalnya adat yang mengutamakan anak perempuan dari anak lelaki di dalam pembahagian harta pesaka, larangan berkahwin sesama  sepupu di dalam adat Perpatih di Negeri Sembilan yang masih dipakai, walaupun dilihat bercanggah dengan nilai Islam.
Dari segi nilai yang bersifat universal misalnya anak menghormati ibu bapa dan ibu bapa menzahirkan kasih sayang terhadap anak-anak dan keluarga, Nilai-nilai sedemikian terlahir di dalam komunikasi, misalnya seorang anak berlemah lembut bercakap dengan ibu bapa dengan penuh hormat dan ibu bapa pula berinteraksi dengan penuh kasih sayang.
 Adapun dari segi `aturan` bahkan `undang-undang`, ia adalah bersifat formal kerana terikat dan perlu mematuhi aturan-aturan yang ditentukan. Misalnya komunikasi dengan pihak trafik di jalan raya yang mengawal lalulintas. Isyarat-isyarat yang dilakukan oleh pihak trafik lalulintas perlu difahami dan dipatuhi. Jika tidak dipatuhi dan bertindak bercanggah dengan aturan boleh berlaklu kemalangan yang bukan saja terhadap yang tidak mematuhi aturan jalanraya, tetapi juga terhadap pemandu-pemandu lain dan juga orang ramai. Jika tidakpun berlaku kemalangan pemandu yang melakukan kesalahan atau tidak mematuhi aturan  boleh diambil tindakan dengan dikenakan hukuman denda dan sebagainya. Dapatlah dikiaskan dengan peraturan-peraturan yang lain bila berdepan dengan penguatkuasa, maka berlaku pematuhan pada aturan atau sebaliknya dengan dikenakan hukuman dan sebagainya. Di sini dapat difahami bahawa komunikasi tidak hanya melalui saluran percakapan, tetapi juga isyarat atau memahami keadaan situasi tertentu yang memerlukan seorang bersikap dan bertindak secara tertentu.
Islam adalah `Din`  cara hidup dan mati bagi individu dan masyarakat Islam, baik hubungan sesama Islam dan hubungan dengan bukan Islam. Konsep komunikasi di dalam Islam dikenali dengan konsep;
Hablun min Allah, dan
Hablun min al-nas,
Iaitu Hubungan dengan Allah seperti ibadat dan kerohanian yang tidak dibicarakan di sini.
Yang lebih diberi tumpuan di sini, ialah `Hubungan dengan manusia`. Namun dalam hubungan dengan manusia itu tidak terpisah dari  `Nilai Tertinggi`, kerana nilai-nilai keislaman adalah menurut hukum dan nilai keislaman sebagaimana terakam di dalam Al-Qur`an dan Hadith Nabi. Kosep nilai dan hubungan terdapat di dalam Al-Qur`an.  Misalnya hubungan individu dengan  pemerintah, dengan keluarga dan ibu bapa, hubungan dengan guru, dengan pekerja, sesama kawan dan hubungan dengan haiwan dan alam  terdapat aturan yang digariskan oleh Islam. Komunikasi Masjid adalah komunikasi berasaskan nilai Islam  yang berhubung dengan masjid
Sekian.

No comments:

Post a Comment