August 28, 2018

MASJID BUKAN UNTUK ORANG TUA SAHAJA


MASJID BUKAN UNTUK ORANG TUA SAHAJA
BBB, 15 Zulhijjah 1439H. = 27 Ogos 2018M. (Isnin):
Adalah menjadi tanggapan umum dan  menjadi realiti bagi setengah masjid yang seolah-olah masjid  sebahagian besar pengunjung atau  yang menjadi para jama`ah adalah terdiri dari kalangan orang tua – yang sebahagian daripada mereka adalah  orang yang telah bersara dan tiada aktiviti tetap, lantaran itu mereka hadir menjadi jama`ah masjid. Kalangan yang berpencen dan yang lanjut usia yang hadir ke masjid bagi memenuhi masa lapang sementara sebelum meninggal yang tempohnya semakin mendekat. Pandangan ini jika sebahagiannya benar, perlu dirubah dan ditambah.
Dalam konsep Takmilah antara `Ilmu Dan `Amal`  wujud konsep `Keseimbangan` seperti antara ilmu sebagai mengetahui sesuatu, maka dengan ilmu itu dia dapat melakukan sesuatu amal itu dengan betul dan menepati apa yang diketahui melalui ilmu berkenaan. Dengan demikian ilmu yang dipelajari dapat dipraktik dan dimanfaatkan dan kualiti amalan adalah meningkat.
Konsep keseimbangan juga perlu bagi semua mereka yang hadir ke masjid. Yang hadir  tidak semata-mata dari kalangan orang tua. Masjid adalah institusi ummah dan masyarakat. Ianya adalah mempunyai tempat dari anak kecil, anak sekolah rendah, sekolah menengah, para remaja – lelaki dan perempuan, ibu bapa, para pekerja dari yang biasa membawalah kepada professional, orang awam membawalah kepada pemimpin, ahli dan pemimpin persatuan dan NGO, guru, `ulama`, imam hinggalah kepada kalangan  berumur dan orang-orang tua.
Soalnya bagaimana masjid dari segi Takmilah keseimbangan dapat memberi tempat dan ruang kepada semua kategori masyarakat dan penduduk yang diperkatakan di atas dan soalnya juga bagaimana seharusnya semua kategori umat dan masyarakat di atas mengambil peluang dan ruang berpartipisati di dalam mengimarahkan masjid. Perlu ada daya menggerakkan secara bertimbalbalik.
Fungsi Masjid terhadap umat dan mesyarakat, bukanlah sesuatu yang baru, ianya lebih merupakan kembali kepada fungsi asal masjid. Menelusuri sejarah dan fungsi masjid dapat ditelusuri kepada sejak permulaan masjid didirikan di dalam Islam.  Masjid Quba`, lebih-lebih lagi Masjid Madinah yang dikenali dengan Masjid Nabawi, maka fungsi Masjid Madinah ini mempunyai fungsi yang luas.
Masjid Madinah adalah Pusat Ibadat, Pusat Pendidikan, Pusat Da`wah, Pusat Pentadbiran, Pusat Kebajikan, Pusat Kaunseling, Pusat Pertahanan dan  Pusat Kemasyarakatan.
Dalam kata lain masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. bukan sebagai tempat solat dan beribadat semata-mata, tetapi pusat bagi kepelbagaian  tujuan membina masyarakat dan negara Islam yang pertama – Negara Madinah.
Memanglah diakui dalam konteks zaman kini, kepelbagaian fungsi di atas dipisah  dan mempunyai bahagian yang berasing dari masjid, misalnya soal pentadbiran negara dan pertahanan negara mempunyai bahagian khusus di dalam pentadbiran negara, begitu juga dengan pertahanan negara. Tetapi masjid tetap mempunyai fungsi penting dan dominan dalam hubungannya dengan umat dan masyarakat, bahkan sehingga masa kini dan terkini. Masjid masih menjadi pusat yang dapat dilibatkan semua lapisan masyarakat.
Soalnya bagaimanakah  pendekatan dan penyusunan yang dapat melibatkan  umat dan masyarakat.
Berinspirasi  sirah dan sejarah umat Islam dan kekinian masjid,  khususnya Masjid Al-Umm hendaklah berfungsi sebagai institusi yang menjangkau seluas mungkin bidang pendidikan, pengibadatan, da`wah, kaunseling dan bimbingan, kebajikan dan kemasyarakatan. Ianya hendaklah melibatkan semua kategori dan lapisan masyarakat sebagaimana telah dibincangkan.
Bagi melibatkan semua pihak perlu ada persediaan dan pendekatan yang releven yang menarik, meyenang bahkan menggembirakan pihak berkenaan. Sebagaimana orang tua disediakan di masjid misalnya ilmu-ilmu yang dapat membetul dan mendekatkan diri dengan Allah, demikian dengan  pihak-pihak yang lain. Misalnya bagi Anak sekolah selain dari pendidikan dan amalan agama, disediakan bimbingan dan kelas tuisyen, juga kegiatan bersifat kreasi dan sukan. Bagi golongan remaja diadaklan kursus-kursus yang bersifat kerjaya dan bimbingan serta kerja-kerja yang bersifat gotong royong dan kebajikan.
Bagi golongan ibu dan suri rumah tangga diberi kursus yang berhubung dengan ekonomi dan rumah tangga, konsep keluarga bahagia, manakala bagi golongan dewasa ditambah dengan keilmuan  yang meningkatkan kerjaya mereka sebagai mereka yang berjaya. Masjid juga perlu dan sering mengadakan kegiatan kemasyarakatan yang menarik semua seperti Hari Keluarga, Hari Ilmu, sambutan berbagai-bagai hari perayaan yang melibatkan semua dan berbagai kegiatan kemasyarakatan yang lain.
Perkara yang penting yang perlu difikirkan, bagaimana mendapat tenaga bagi menyusun semua  pengajian,pendekatan,  penyusunan  kursus, bimbingan  dan berbagai aktiviti yang hendak dilaksanakan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment