September 7, 2012

Urut, Akupunktur Dan Orthopedic Dibawa Ke Pusat Khidmat Masyarakat

Pasar Kwantung, Sungai Chua, 14 Syawal 1433 = 01 September 2012 (Sabtu):

Bagi seorang Adun dan juga Ahli Parlimen adalah menjadi kemastian mengadakan pejabat khidmat masyarakat di kawasannya. Melalui pejabat atau pusat khidmat masyarakat ini, Adun atau Ahli Parlimen menyalurkan maklumat dan perkhidmatan terhadap masyarakat dan masyarakat pula dapat membuat aduan, mendapat khidmat dan bantuan sama ada dari Adun atau Ahli Parlimen. Bagi Ahli Parlimen dan juga Adun, kadang-kadang ada lebih dari satu Pusat Khidmat Masyarakat. Ini memudahkan hubungan dua hala antara Ahli Parlimen atau Adun dengan masyarakat. Selain dari itu berbagai cara memberi khidmat masyarakat.

Antara cara khidmat masyarakat yang biasa Pejabat Adun menjadi tempat pengaduan, permohonan, mendapat maklumat dan menyalurkan bantuan. Khidmat masyarakat juga ialah menyediakan perkhidmatan dan turun padang mengadakan kegiatan seperti Mesra Rakyat, Hari Keluarga, Karnival rakyat, Sukan dan sambutan-sambutan seperti Hariraya dan sambutan bagi tahun baru.

Satu cara perkhidmatan masyarakat ialah mengadakan Hari Kesihatan bagi masyarakat, terutama warga emas, berpeluang memeriksa kesihatan masing-masing. Pemeriksaan kesihatan ini kadang-kadang menjadi sebahagian dari Mesra Rakyat, Hari Keluarga dan Karnival. Namun bagi Hari Kesihatan yang lengkap diadakan khusus Hari Kesihatan dengan berbagai perkhimatan. Biasanya memeriksa darah, gula , kencing manis, berat badan, nasihat permakanan dan sebagainya.

Pada 01 September 2012 (Sabtu) lepas Adun turun ke Pasar Kwantung Sungai Chua bagi menjemput masyarakat ke Hari Terbuka Eidul Fitri, secara kebetulan pada pagi hari tersebut juga YB Cikgu Lee Kim Sin Adun Kajang juga mengadakan Khidmat Masyarakat di Pusat Khidmat Masyarakat Adun Kajang berdekatan dengan Pasar Kwantung yang agak strategic. Khidmat mesyarakat yang ditawarkan khas dan unik iaitu urut, akupunktur dan orthopedic. Selepas daripada mengedarkan kad jemputan Hariraya kepada orang ramai di Pasar Kwantung, Adun Bangi mengambil kesempatan melawat ke Pusat Khidmat Masyarakat dan tawaran khidmat kesihatan.

Tibanya Adun di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat Adun Kajang berdekatan Pasar Kwantung didapati begitu ramai yang datang untuk mendapat khidmat, terutama dari kalangan warga emas. Mereka berbaris mendaftar dan menunggu giliran, sedangkan Pengurut, Pengamal Akupunktur dan Orthopedic sedang menjalankan tugas. Antaranya Pengurut mengurut kaki dan betis, lengan, bahu dan belakang. Sebahagian menerima rawatan secara mencucuk jarum akupunktur dan bahagian orthopedic merawat anggota-anggota badan pesakit-pengunjug.

Adun diperkenalkan dengan Pengamal Akupunktur dan orthopedic iaitu iaitu En Ng Po Min dari Jalan Kuchai Lama dan kumpulannya dan Puan Yvone Chang Pengamal Urut perempuan dari Taman Seri Langat. Semua sebok menjalankan tugas dengan tekun dan bagi mempastikan pelanggan puas hati (percuma). Tiap yang datang diberi no giliran bagi menunggu. Sempena lawatan itu Adun mengambil peluang menghulurkan tangan dan lengan untuk diurut oleh En. Ng Po Min. Adun bukan diurut setakat lengan, tetapi membawa kepada bahu dan belakang. Walaupun diurut dalam masa 15 minit, tetapi terasa ringan tubuh badan dan kembali cergas.

Dalam percakapan Adun dengan Encik NG, bahawa perkhidmatan mereka adalah pada dasarnya percuma. Namun bagi sekali datang kami memerlukan peruntukan. Jumlah RM1,000 peruntukan perbelanjaan. Adun berpendapat bayaran seumpama ini bagi perkhidmatan sedemikian adalah murah. Mungkin Adun Bangi juga berhasrat menjemput Tukang Urut, Akpunktur dan orthopedic bagi menjalankan kegiatan sukarelawan. Pada akhir lawatan Adun, YB Cikgu Lee kim Sin baru tiba. Secara bergurau Adun kata, ``Kami datang menceroboh – Tuan Rumah tak ada ! Jawab YB Cikgu Lee, ``Tak apa, ini rumah rakyat, sesiapa boleh datang dan boleh mendapat perkhidmatan.` Dilihat dari wajah mereka yang menerima perkhidmatan kelihatan lega dan cergas kembali.

Sesungguhnya dengan Urut, Akupunktur dan orthopedic dapat memulihkan urat-sarap dan dapat mengembalikan kecergasan. Ia adalah satu perkhidmatan yang baik.

Sekian.

September 6, 2012

Operasi Pembersihan Dan Penyampaian Bantuan

Sungai Ramal Luar, 18 Syawal 1433 = 05 September 2012 (Rabu):

Banjir yang berlaku di Sungai Ramal Luar adalah lebih serius berbanding tempat-tempat lain di Dun Bangi. Sungai Tangkas tempat yang selalu berlaku banjir, kali ini tidak banjir, walaupun Jalan Reko dan Sungai Ramal Dalam juga banjir.Walau bagaimana banjir di Sungai Ramal ini mulai surut dan kembali normal pada sebelah pagi. Tetapi 60 buah rumah terjejas. Rumah-rumah berkenaan berlaku kerosakan perabut, tv, peti sejuk, carpet, pakaian, kenderaan bahkan buku-buku kerana terendam dalam air dan tak sempat diselamatkan.

Mulai pada malam tadi pihak Unit Amal dan pasukannya membuat survey bagi menentukan kerosakan dan tindakan yang patut diambil mulai pagi hari ini. Pihak MPKj dan Kebajikan masyarakat dan JPS telah dimaklumi sejak malam tadi. Beberapa keluarga berpindah antaranya ke Sekolah Leftenan Adnan (17 orang) bagi membolehkan rumah mereka dibersih ada yang bermalam di Bangunan Masjid Lama Haji Mat Saman.

Pagi ini Adun Bangi turun ke Kampong Paya, Sungai Ramal Dalam dan mendapati air telah surut. Ramai pekerja-pekerja sedang bekerja membersih barang-barang yang basah dan rosak yang dikeluarkan oleh pemilik-pemilik rumah seperti carpet, kerusi meja dan almari yang mau dibuang, pakaian-pakaian dan berbagai peralatan. Pihak yang paling ramai yang datang pada pagi ini ialah dari MPKj yang menghantar dua lori pengangkut dengan pekerja-pekerja lebih kurang 20 orang. Turut membantu kerja-kerja mengangkat barang-barang yang mau dibuang dan sebagai sampah ialah 20 orang dari unit Amal yang diketuai oleh saudara Safarin. Pas Kawasan Serdang juga menghantar tenaga yang diketuai oleh Ustaz Shafie Ngah dan juga tenaga dari Pejabat Adun Bangi. Turut menghantar beberapa tenaga ialah dari Islamic Relief Malaysia dan Kumpulan IKRAM.

Adalah didapati air banjir tidak membawa lumpur, oleh itu rancangan awal untuk mendapatkan `water jack` dirasakan tidak perlu. Pihak Pas dan Pejabat Adun Bangi dengan kerjasama Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir mengatur tiga tahap bantuan, iaitu:
Pada sebelah pagi ialah dengan menghantar kepada penduduk yang mengalami kebanjiran di Kampong Paya makanan dan minuman pagi termasuk juga kepada pekerja-pekerja yang sedang melakukan pembersihan. Kerja-kerja pembersihan ini progress hingga ke tengahari. Satu yang mengejutkan kami seorang nenek (nama sengaja dirahsiakan

untuk keselamatan) telah membuang barang-barang emas (rantai emas kasar beserta medal dari emas sempena persaraan al-Marhum suaminya setelah berkhidmat 35 tahun dengan TNB (nama suaminya juga dirahsiakan untuk keselamatan). Nenek yang membuang barang-barang rosak terbuang dengan tidak sedar kotak barang kemasnya turut terbuang. Kemudian beliau teringat dan mencari kembali dalam longgokan sampah dalam lori MPKj. Al-Hamdulillah kotak bagi rantai emas kasar dengan medal emas ini ditemui. Barang kemas ini ditunjuk kepada kami. Adalah ditaksirkan harganya tidak kurang dari RM10,000. Bagi nenek berkenaan barang soveineer ini yang sentimental sifatnya, tentulah lebih mahal lagi bagi dirinya. Nenek ini berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada Adun, walaupun yang menjumpai kembali beliau sendiri.

Pada tengahari pihak Pas dan Pejabat Adun Bangi dengan kerjasama Ketua Kampong menyediakan makanan tengahari. Tetapi untuk menjimatkan tenaga dan agar tidak berulang kali mengunjungi rumah ke rumah, maka penyampaian makanan tengahari disekalikan dengan penyampaian bantuan yang terdiri dari beras, mee dan barangan masak dan makanan yang lain. Barang-barang ini dihantar oleh kerajaan negeri sempena Hari Raya Eidul Fitri. Barang-barang ini di packed di Masjid Sungai Ramal Luar dan selepas solat zohor tenaga kerja sukarela mengagihkan makan tengahari dan bantuan barangan dari rumah ke rumah. Turut sama turun muslimat dan pelajar-pelajar UIAM. Komen yang banyak diberi bahawa perparitan di Sungai Ramal Luar Dalam terutama Kampong Paya perlu diperdalam dan diluaskan – termasuk membersih sungai. Tanpa pembaikan, maka banjir kelak akan berulang.

Selepas bantuan diberi kepada mangsa-mangsa banjir di Sungai Ramal Dalam, maka selepas Asar pasukan sukarela ini bergerak ke Sungai Ramal Dalam. 30 buah rumah terlibat dengan banjir ringan, tetapi terdapat kerosakan dan sampah-sampah yang mau dibuang. Lori MPKj sudah tidak ada, maka dua buah kereta Hilux digunakan bagi mengangkut sampah-sampah keluar dari perumahan sungai Ramal Dalam yang mengalami banjir, terutama di Jalan Nazir. Untuk kerja-kerja pembersihan di Sungai Ramal Dalam sekumpulan pelajar lelaki UIAM yang baru tiba membantu kerja-kerja pembersihan. Turut sama disampaikan bantuan kebajikan bagi mangsa banjir Sungai Ramal Dalam yang layak. Satu peristiwa lucu, kita mendapat maklumat pihak TV 1, Satu Malaysia ada datang untuk membuat liputan, tetapi bila ditanya dan didapati kawasan banjir di Kampong Paya ini di bawah Dun Bangi, bukan di bawah BN, pemberita berkenaan cabut lari dan tak muncul. Kita tak panggil mereka dan kita tidak mengharapkan liputan darinya. Kalau diinterview pun tidak diberi tempat – menghabiskan masa saja. Kita lebih dari tahu tabiat diskriminasi mereka.

Sekian.

September 5, 2012

Hujan Amat Lebat, Banjir Banyak Tempat: Melawat Sungai Ramal Luar Dan Dalam

BBB, 17 Syawal 1433 = 04 September 2012 (Selasa):
Hujan mulai turun secara nipis, semasa Adun pulang dari Shah Alam bersama saudara Azizi, namun setiba kami ke Pejabat di Bangi ketika bang Asar mulai didengungkan, maka hujan mulai lebat dan bertambah lebat hingga waktu Maghrib. Walau bagaimana terasa adalah sebagaimana biasa yang kini setiap petang sering hujan. Namun sebaik azan Isya` dikumandangkan, Adun menerima telefon dari Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, bahawa Sungai Ramal Luar mengalami banjir dan tempat yang paling teruk katanya ialah Kampong Paya.

Adun mengucap terima kasih di atas maklumat yang diberi dan berjanji akan pergi ke Sungai Ramal Luar. Setelah selesai menunaikan fardu Isya` Adun bertolak berseorangan menuju ke Kajang Utama, setelah membuat hubungan dengan saudara Azizi untuk mengajaknya sama ke Sungai Ramal Luar. Adun bertolak untuk ke Kajang Utama melalui Jalan Reko. Tiba berhadapan dengan Seksyen 4 Tambahan, Adun menerima telefon dari saudara Azizi, ``Jangan lalu ikut Jalan Reko, banjir, banyak kereta terperangkap !`` Lantas Adun membuat U Turn ke Bulatan Cempaka melalui Seksyen 7 dan terus ke Taman Putra Kajang dan melalui tol dan U Turn ke Kajang Utama. Persepsi Adun dalam minda bahawa banjir tak seberapa, dan berpendapat, memang biasalah Kampong Paya banjir, kerana kampong berkenaan bertanah lembah dan rendah berubah bila mendapat maklumat bahawa Jalan Reko juga banjir.

Tiba di hadapan Madrasah Talabiah (Surau), kelihatan kereta-kereta berjejar di tepi jalan, kerana pemilik-pemiliknya mengalih ke tepi jalan untuk mengelak dari tenggelam.
Orang ramai juga berada dijalan antara Madrasah Talabiah sehingga jalan ke Masjid Sungai Ramal Dalam. Adun menemui dan bersalam dengan orang kampong yang sebahagian adalah mangsa-mangsa banjir, kerana rumah mereka ditenggelami air dan tak dapat berada di dalam rumah untuk keselamatan.
Adun menemui Ketua Kampong yang kelihatan basah kuyup berhujan dan mengharungi ke rumah-rumah ditenggelami air.

Ketika ditanya anggaran rumah yang mengalamiu banjir di Kampong Paya, menurut Ketua Kampong, ``60 buah rumah,`` tambahnya, yang paling teruk ialah rumah-rumah di Lorong 2 dan 3, kerana di situ tanah rendah dan bersebelahan dengan Sungai bagi Sungai Ramal. Adun dibawa melihat rumah-rumah yang mengalami banjir diikuti saudara Azizi. Lorong 2 paling teruk. 8 buah rumah kebanjiran dan di Lorong 3 sebanyak 10 buah rumah, manakala yang lain tidak seteruk sebagaimana rumah di Lorong 2 dan 3.
Menurut Hajjah Surani pemilik rumah bahagian hadapan Jalan 2, air dalam rumahnya sampai ke dada. Menurutnya, `Tidak sempat angkat dan selamat barang-barang, semuanya tenggelam.` Kerosakan sedemikian dialami hampir semua rumah yang berada terutama di Lorong 2 dan 3.`
Menurut Tuan Haji Mohd Yasin bin Haji Ahmad, `Ini pertama kali banjir besar setelah lama tidak banjir sebegini. Iaitu sejak tahun 1965.``
Adun juga melihat larian air di bawah jambatan Sungai Ramal yang meluncur garang dengan gemuruh bunyinya meredah laluan.

Difahamkan air banjir di sini datangnya dari kawasan UPM dan Balakong melalui Sungai Ramal bagi menuju ke Sungai Langat. Banjir di sini antaranya disebabkan tanah Kampong Paya ini rendah sama level dengan aras sungai. Jadi bila aras sungai naik, maka larian air terhenti, bahkan menolak air masuk ke dalam. Sebab itu air di kawasan perumahan Kampong Paya, kelihatan tidak berlari, ditambah dengan setengahnya membina pagar konkrit. Di samping itu perparitan di sini bersifat bottleneck yang seharusnya diperluas dan diperdalamkan.

Adun berbincang dengan Ketua Kampong sebelum tiba ke sini dan bersetuju untuk membekalkan nasi bungkus kepada penduduk yang mengalami banjir. Kami akan menggunakan peruntukan yang sesuai. Menurut Ketua Kampong 300 bungkus nasi telah disorder dari kedai. Adun bersama ketua Kampong sempat membahagikan nasi bungkus berkenaan. Selepas ini tindakan lanjut akan diambil.

Sementara itu Adun menerima maklumat Sungai Ramal Dalam juga mengalami banjir, Adun bersama saudara Azizi dan saudara Abu Bakar yang tiba berasingan bertolak bersama ke Sungai Ramal Dalam. Di sana ada Tok Latif Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam. Turut ada bersama Ustaz Shafie Ngah, Encik Yusof Bachek yang kedua-duanya Ahli MPKj, saudara Shukor Atan dan penduduk setempat. Rumah yang teruk mengalami banjir ialah rumah Ustaz Asnami dan rumah-rumah berdekatan. Ada halangan culvert di Lot 1658 yang menyekat larian air yang wajar dipecahkan oleh pihak JPS. Menurut Tok Latif Ketua Kampong, ``Terdapat 30 buah rumah di Jalan Nazir yang mengalami banjir ringan, tapi kini sudah surut.

Sementara itu dimaklumkan 6 buah kenderaan terperangkap di Jalan Reko yang mengalami banjir kilat, sementara Highway Plus dilempahi air dari kolam takungan UPM di tepi Highwayberhadapan dengan kawasan Perumahan Country Height menyebabkan laluan Highway berkenaan terganggu.``
Kampong-kampong yang turut mengalami banjir, iualah West Country di Jalan Reko dan Kampong Jambu di pinggir Pekan Kajang.

Sementara itu Adun yang tiba di rumah jam 11.30 malam dapati anakanda Adun yang pulang dari bertugas di Hospital Kuala Lumpur (G.H.) baru tiba ke rumah sebelum sedikit dari masa Adun tiba. Beliau terperangkap dalam perjalanan pulang selama 6 jam !
Sekian.

September 4, 2012

Tanah Bangi Subur Dengan Berbagai Benih Idealisme Perjuangan

BBB, 16 Syawal 1433 = 03 September 2012 (Isnin):


Selang sehari berturut-turut Adun Bangi dibuat temujanji dan dijemput oleh dua badan yang kedua-duanya mendakwa berjuang melalui badan masing-masing untuk menegakkan Islam. Pada 30 Ogos 2012 = 12 Syawal 1433 Adun dikunjungi oleh Presiden Hizbut Tahrir saudara Abdul Hakim bin Othman bersama sahabatnya saudara Abu Hafiz yang merupakan AJK Hizbut Tahrir. Kemudian pada 01 September 2012 bersamaan 14 Syawal 1433 Adun dijemput oleh pihak Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada 01 September 2012 bagi merasmikan Pejabat ISMA di Taman Putera Kajang.

Kehadiran Presiden Hizbut Tahrir dan sahabatnya Abu Hafiz ke Pejabat Adun bertujuan kunjungan hormat dan bertukar-tukar fikiran. Dalam percakapan dapatlah difahami, bahawa Hizbut-Tahrir adalah bertujuan untuk menegakkan Islam menurut sistem Khalifah dan tidak bersetuju dengan sistem pilihanraya, kerana menurutnya cara mengundi bukan dari Sunnah Rasulullah. Ketika ditanya, bagaimana hendak memerintah tanpa pilihanraya ? Adakah melalui revolusi, rampas kuasa? Saudara Abdul Hakim tidak dapat memberi jawapan, kerana menurutnya perlu kepada pertemuan khas untuk penerangan. Menurutnya Hizbut-Tahrir ditubuhkan di Palestin oleh Syeikh Taqiyyuddin An-Nabhani dari Quds dan Aqsa Ash-Sharif Palestin. (1996). Menurut saudara Abdul Hakim, Hizbut Tahrir mempunyai cawangan di 40 buah Negara di dunia dan di Malaysia terdapat pejabat bagi setiap negeri. Pejabat di Bangi adalah induk bagi yang lain. Mereka membuat kegiatan dengan pendidikan, ceramah dan dakwah. Saudara Abdul Hakim meninggalkan kepada Adun risalah Saut An-Nahdah yang diedarkan oleh Hizbut Tahrir secara bersiri dari masa ke masa. Sebagai balasan Adun menghadiahkan kepada setiap dari mereka berdua buku "Bangi Bandar Ilmu".


Manakala pada 01 September Adun merasmikan Pejabat ISMA yang baru beralamat di Lot. No. 22, Aras 2, Jalan Putra 3, Taman Putera Kajang. ISMA mempunyai pejabat asal di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi, Majlis Perasmian bermula dengan bacaan Quran oleh seorang pelajar. Ucapan YDP ISMA saudara M. Nor Azid bin Asmangi yang mengalu-ngalukan para hadirin dan menekankan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat. Adun Bangi dalam ucapan mengucap tahniah kepada ISMA yang mempunyai pejabat kedua selepas Pejabat Utama di Seksyen Sembilan yang merupakan Pejabat Pentadbiran utama. Di sana pejabat Presiden ISMA saudara Abdullah Zaik Abdul Rahman. Adun memuji hasrat ISMA yang juga berusaha menegakkan Islam, tetapi Adun melahirkan pendapat alangkah baik berbagai-bagai badan yang bertujuan mau menegakkan Islam ini bersatu dalam ikatan longgar untuk sama menegakkan Islam. Adun bersifat terbuka selama tujuan murni dilaksanakan, tetapi tidak memberi masalah kepada yang lain. Selepas ucapan, Adun menandatangani plug tanda perasmian dan membuat lawatan ke Pejabat yang baru dibuka. Fokus ISMA nampaknya kepada pendidikan dan dakwah bagi banyak peringkat. Yang ditekankan ialah mau Melayu Sepakat, maka Islam Berdaulat. ISMA mempunyai cawangan-cawangan di dalam Negara dan luar negara


Satu yang menarik, bukan saja Hizbut-Tahrir dan ISMA yang memilih Bangi sebagai Ibu Pejabat dan Pusat kegiatan, tetapi banyak lagi badan dan pertubuhan yang memilih dan menjadikan Bangi sebagai pusat operasi mereka. Ini ialah kerana Bangi Bandar Ilmu & Islam yang disuburkan oleh Pas yang mendapat mandat dari rakyat. Badan-badan yang lain ialah:



  1. Aman Palestin yang disertai oleh Dr Hafizi. Pejabatnya ialah di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. Fokus utama bagi membela Palestin dengan memungut derma dan menghantar bantuan dan mendirikan bangunan di Palestin.

  2. Ikram nama yang menggantikan nama JIM. Pejabatnya ialah di Sungai Tangkas Bandar Baru Bangi. Antara tumpuan utama ialah pendidikan seperti Sekolah Al-Amin di Sungai Tangkas Bandar Baru Bangi.

  3. ABIM lahir sejak 1970an dan kini bertapak di Sungai Ramal Dalam. Pendekatan utama ialah pendidikan, di samping intelektual dan dakwah

  4. Excel Bangi, yang pakar dari segi motivasi dan pejabatnya di Seksyen 9 berhadapan dengan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi

  5. Dar Ash-Shifa` yang diasaskan oleh Yang Berbahagia Dato` Dr. Haron Din di Bangi sejak 1980-an. Dar Ash-Shifa` menumpukan kegiatan pada perubatan Islam dan dakwah dengan Pusat Utamanya di Bangi dan kini mempunyai cawangan-cawangan di Selangor dan negeri-negeri yang lain.

  6. Jamaah Tabligh, walaupun tidak berpusat di Bangi, tetapi mempunyai pengikut-pengikut di Bangi dan menjalankan kegiatan-kegiatan yang ketara di Bangi.

  7. ISIUKM adalah badan yang dianggotai pelajar UKM yang bergiat bagi menegakkan Islam terutama di kalangan mahasiswa.

  8. PKPIM yang dianggotai pelajar-pelajar dari berbagai pengajian tinggi. Bangi adalah menjadi salah satu tempat kegiatan bagi mendidik dan membentuk pelajar berjiwa Islam.

  9. Persatuan Alumni UKM (JASA) yang menjadi badan bagi pelajar-pelajar yang baru keluar dari UKM bergiat dan dipimpin oleh bekas pimpinan mahasiswa di kampus. Lebih bergiat untuk kepentingan dan kebajikan bekas pelajar UKM. Ahli-ahli lebih erat pada peringkat permulaan tamat pengajian. Kemudian lebih jauh apabila masing-masing mendapat pekerjaan, kecuali yang komited dengan persatuan (longgar). Biasanya ada perhimpunan dan mesyuarat tahunan dan pemilihan pimpinan. Adun sering dijemput ke majlis sedemikian.

  10. Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang menjadi induk bagi persatuan-persatuan taman di Bandar Baru Bangi. Tujuan untuk memelihara kebajikan penduduk. Berjuang bagi menegakkan wibawa Melayu-Islam.
Jelas terbukti dengan 12 badan yang bergiat di Bangi bahawa Bangi menjadi tempat subur bagi berbagai badan bersifat keislaman menegakkan idealisme keislaman mereka. Bangi bersifat terbuka - sebagai Bandar Ilmu dan Islam yang menggalakkan kegiatan intelektual dan keislaman yang menjadi identiti bagi Bandar Baru Bangi. Namun sebagaimana Adun Bangi berucap semasa membuka Pejabat Baru ISMA di Taman Putera Kajang, Bangi:

"Alangkah elok jika berbagai badan yang semuanya beridealisme menegakkan Islam ini bersatu di dalam 'Ikatan Longgar' bagi menyatukan tenaga dan fikiran bagi kepentingan umat dan Islam itu sendiri."

Bangi terbuka bagi berbagai-bagai badan beridealisme menegakkan Islam sesuai Bangi sebagai Bandar Ilmu dan Islam.

Sekian.

September 3, 2012

Istimewanya Sambutan Eidul Fitri Dun Bangi Dan Kawasan Serdang Kali Ini

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 15 Syawal 1433 = 02 September 2012 (Ahad):

Sambutan Eidul Fitri bagi Dun Bangi dan Kawasan Serdang bagi tahun 1433/2012 adalah dianggap istimewa, kerana pada penghujung Majlis sambutan jam 3.30 petang tiba dua orang Tokoh Jemputan Istimewa Pas pada peringkat Negeri Selangor, iaitu YB Khalid Samad Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor Ahli Parlimen Shah Alam yang baru tiba dari Lapangan Terbang Subang sekembalinya dari Sabah kerana menyertai Perhimpunan Hijau di sana. Lebih kurang 10 minit dari ketibaan YB Khalid Samad sampai pula Tamu Yang Lebih istimewa, iaitu YB Dr. Abd. Rani Osman Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor yang juga Adun Meru yang dalam siri kunjungan raya – termasuk ke Semenyih dan terus ke Bangi. Majlis yang kelihatan reda dengan kehadiran pengunjung selepas hujan lebat pada jam 2.00 petang itu menjadi cergas kembali dengan kehadiran kedua-dua tokoh berkenaan.

YB Khalid ketika diminta bercakap, mengulas apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir bahawa lebih baik memilih syaitan yang kita kenal dari malaikat yang kita tidak kenal. Mahathir menurutnya mengiktiraf tentang kesyaitanan pihak BN, sebaliknya beliau mempersoalkan tentang Pas yang telah begitu lama dalam politik Negara, apakah masyarakat masih tidak mengenalinya. Mahathir bercakap sesuatu yang memasalahkan BN yang sepatutnya lebih baik diam dari bercakap daripada memasalahkan pemerintahan BN. Beliau juga mempersoalkan pendapat Mahathir bahawa Putrajaya dibangunkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan pihak Pakatan Rakyat adalah tidak layak menduduki Putrajaya. Beliau mempersoalkan duit siapa digunakan, adakah duit Mahathir sendiri ?

YB Dr. Abd. Rani Osman yang dijemput bercakap selepas YB. Khalid Samad (beliau tiba semasa YB Khalid sedang berucap) menyebut tentang isu semasa. Misalnya masalah hudud, beliau berpendapat isu ini sengaja ditimbulkan oleh pihak lawan untuk mengalihkan pandangan terhadap isu-isu besar yang dihadapi pemerintah. Bagi orang Islam menurutnya wajib menerima hukum hudud. Barang siapa menafi atau menolaknya boleh membawa kepada kekufuran. Namun beliau menasihatkan biarlah orang yang faham sahaja yang bercakap tentang hudud. Beliau berdukacita berhubung dengan isu ini, ada pertikaian sesama sendiri yang bukan saja menunjukkan ketidakfahaman, tetapi juga boleh membawa kepada kekeliruan dan kerugian.

YB Dr. Abd. Rani melahirkan rasa sukacitanya, bahawa pada masa yang lepas, orang Cina dan India, tidak mau mendekati orang-orang Islam, khususnya orang Pas, kerana menganggap orang Pas sebagai ekstreem dan sukar didekati, tapi menurutnya persepsi yang bukan Islam terhadap Pas dan pimpinan telah berubah dan kini mereka mendekati dan bekerjasama dalam berbagai aspek. Contoh yang baik dapat dilihat dari kerjasama bagi menghadapi pilihanraya dan berbagai-bagai kegiatan yang lain.


Hari Terbuka Dun Bangi dan Kawasan Serdang bermula jam 12.00 tengahari hingga jam 3.00 petang, tetapi kehadiran ke Kompleks Sukan Seksyen 15, BBB mulai jam 11.00 pagi. Oleh kerana telah disediakan makanan diberbagai gerai, maka jamuan bermula dari jam 11.00 pagi. Tetapi Majlis Rasmi bermula jam 12.00 selepas kehadiran YDP Pas Ustaz Shafie Ngah, Adun Bangi, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Sdr. Mazwan Johar Timbalan YDP, Sdr. Adram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang, Puan Zuryati Yassin Ketua Muslimat Pas Serdang. Turut hadir ialah Tuan Haji Zulkifli Timbalan YDP MPKj, En. Rashidi Timbalan Pegawai Daerah, Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Tuan Dr. Hj Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk Bandar Barui Bangi dan ahli-ahli MPKj.

Jam 12.00 bila majlis dimulakan kehadiran mulai memenuhi ruang hadapan di bawah khemah-khemah. Saudara Shukor Atan Naib YDP Pas yang menjadi Pengerusi Majlis menjemput sudara Azmi Ahmad membaca doa dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ustaz Shafie Ngah yang mengucap terima kasih kepada hadirin. Beliau menyebut menu pada hari ini berbagai yang disediakan oleh 24 cawangan dengan 40 jenis makanan. Para hadirin boleh memilih apa jenis makanan yang disukai. Adun Bangi pula dalam ucapannya menyebut bahawa kita menghadapi tiga raya, iaitu Raya Eidul Fitri, Raya Sambutan Kemerdekaan dan pilihanraya. Menurutnya Raya bagi Pilihanraya adalah penting dalam menentukan pemerintahan Negara akan datang. Beliau menyebut berbagai program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dari Merakyatkan Ekonomi, peruntukan pembangunan jalan dan perparitan, pembinaan Sekolah-sekolah, pemberian pemilikan tanah, skim-skim pinjaman dan berbagai lagi projek yang dijalankan. Menurutnya Selangor menjadi model pemerintahan yang yang akan dipertingkatkan kepada peringkat negera jika Pakatan Rakyat berkuasa di Putera Jaya. Beliau meminta rakyat membuat penialain kejayaan Pakatan Rakyat. Kistimewaan yang didapati akan hilang jika berlakunya pertukaran pemerintahan. Sebaliknya banyak lagi program akan dijalankan jika peluang pemerintahan diberi kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Pihak Pakatan Rakyat akan menjalankan amanah dan tidak mengamalkan rasuah.



YB Teo Nie Ching menarik perhatian hadirin, kerana ini adalah pertama kali beliau muncul di dalam majlis selepas melahirkan anak sebulan yang lepas dan ini adalah kali pertama beliau berucap selepas menjadi seorang ibu. Menurut YB Teo Nie Ching, beliau sukacita dapat menyertai Hari Raya bersama hadirin selepas lama tidak dapat bersama. Beliau menyebut bahawa, tugas kita yang penting selepas ini ialah menghadapi pilihanraya bagi kali ke 13. Kita perlu bekerjasama lebih erat bagi menjaminkan kemenangan. Namun beliau menyatakan, kita kecewa, hingga kini kita tidak tahu bilakah tarikh sebenar pilihanraya. Secara bergurau kata beliau, tarikh ini yang benar-benar tahu ialah Rosmah Isteri Dato` Seri Najib. Beliau berpesan agar semua pihak tidak lalai dari persediaan menghadapi pilihanraya.

Oleh kerana kawasan sambutan Eidul Fitri kebanjiran kehadiran, maka untuk mengurangkan kesesakan disampaikan duit raya kepada kanak-kanak agar mereka dan ibu bapa bersurai lebih awal. Kanak-kanak diminta beratur dan duit raya disampaikan oleh 4 orang, iaitu Adun Bangi, YB. Teo Nie Ching, Ustaz Shafie Ngah dan saudara Adram Musa. Lebih dari RM2,200 menurut saudara Abu Bakar Pengarah Program disampaikan kepada lebih dari 1.100 orang kanak-kanak. Manakala 250 warga emas dan orang kurang upaya disampaiakan bantuan berupa barangan dan beras. Majlis terhenti sementara apabila hujan turun mulai jam 2.00 petang dengan agak lebat, tetapi kehadiran dan jamuan raya disambung semula selepas hujan reda pada jam 3.00 petang. Majlis kembali rancak dengan kehadiran YB Dr. Abd. Rani Osman dan YB Khalid Samad. Kehadiran dijangka mencecah 15,000 dan majlis berakhir pada jam 4.00 petang. Terima kasih
kepada semua yang telibat menjayakan sambutan yang boleh disifatkan amat berjaya.

Sekian. Terima kasih.

September 2, 2012

Jemputlah Datang Beramai-Ramai Ke Hari Terbuka Dun Bangi Dan Kawasan Serdang

Dun Bangi, 14 Syawal 1433 = 01 September 2012 (Sabtu):

Kempen memaklum dan menjemput warga Dun Bangi dan Kawasan Serdang pada hari ini sampai ke kemuncak dengan turun beramai-ramai petugas-petugas dari Pakatan Rakyat mengagihkan kad-kad jemputan, akhbar-akhbar dan risalah-risalah kepada penduduk. Kempen terakhir pada hari ini dilakukan di Pasar Kwantung di Sungai Chua dihadiri oleh 10 petugas Pakatan Rakyat. Sejak dari jam 8.30 pagi petugas-petugas telah tiba dan berdiri kiri kanan jalan masuk utama ke Pasar Kwantung. Pengunjung ke pasar ini kebanyakannya penduduk dari kalangan masyarakat Cina. Bahan-bahan yang diedarkan contoh kad jemputan terdapat tulisan Cina, manakala akhbar Selangor Kini versi Cina diedarkan di samping versi Bahasa Malaysia dan English. Dari survey yang dibuat kebanyakan orang Cina lebih berkecenderungan memilih Selangor Kini versi Cina, tetapi selepas versi ini habis diagihkan, mereka lebih cenderung memilih Selangor Kini dalam Bahasa Malaysia, manakala sebahagian – terutama generasi muda memilih Selangor Times. Apa yang menarik hampir semua orang Cina yang diberi bahan-bahan edaran menerima baik. Jarang daripada mereka yang menolak. Jika mereka telah menerima mereka memaklumkan dengan baik sudah terima. Adun Bangi agak terharu, sebahagian daripada mereka bertanya ``Shafie ada ?`` Bila diberitahu ada, ``Penanya datang dan bersalam atau memberi penghormatan. Sebahagian daripada mereka terang-terang menyatakan sokongan ! Perlu diingat, majoriti tertinggi yang didapat oleh Adun Bangi pada pilihanraya ke 12, pada 18 Mac 2008 adalah dari kawasan Kajang Raya – termasuklah pengundi Cina yang mendapat keperluan harian mereka dari Pasar Kwantung di sini. Berada satu jam setengah di sini sebanyak 1,500 kad jemputan dapat diagihkan. Prinsip kami berada di sesuatu tempat sehingga bahan yang mau diedarkan habis diagihkan.

Dengan turunnya Adun dan pengiring-pengiring dari Pakatan Rakyat sehingga ke kempen terakhir di Pasar Kwantung ini, menurut saudara Abu Bakar Pengarah Sambutan Haru Terbuka Eidul Fitri sejumlah 5,000 kad jemputan telah diedarkan. Semua tempat diedarkan kad jemputan Adun Bangi turun mengetuai penyampaian kad jemputan bermula dengan:

Pasar Malam Seksyen 16 Bandar Baru Bangi pada petang 25 Ogos 2012 (Sabtu)

Pasar Basah, Seksyen Satu Bandar Baru Bangi, pada pagi 26 Ogos 2012 (Ahad)

Pasar Malam Bandar Seri Putera pada petang 28 Ogos 2012 (Selasa)

Pasar Malam Pekan Bangi pada petang 30 Ogos 2012 (Khamis).

Pasar Malam Taman Jasmin pada malam 30 Ogos 2012 (Khamis)


Pasar Pagi Kajang pada 31 Ogos 2012 (Jumaat)

Pasar Pagi Pasar Kwantung 01 September 2012 (Sabtu).

Selain dari Jemputan Rakyat dengan turun ke pasar-pasar, jemputan juga dihebahkan melalui surau-surau dan kepada VIP-VIP dengan menghantar surat jemputan bersekali dengan kad Hariraya. Sesungguhnya tidaklah semesti yang menerima kad hadir, tapi kalau dapat adalah lebih baik. Turun ke pasar-pasar memberi peluang bagi kami bertemu mesra dengan masyarakat disamping memaklum dan menjemput mereka ke Hari Terbuka kami. Ini adalah pendekatan normal yang kami lakukan bila ada kegiatan yang melibatkan jemputan ramai seperti Sambutan atau atau Hari Terbuka Eidul Fitri, Sambutan Tahun Baru Cina, Sambutan Tahun Baru India dan sambutan-sambutan yang lain. Sesungguhnya kami merasa puas dapat berjumpa dengan masyarakat dan merasa lebih puas bila mereka memberi respond dengan mengunjungi Hari Terbuka kami, khusus Hari Terbuka Hariraya Eidul Fitri. Jemputlah datang:

Tarikh: 02 September 2012.
Tempat: Kompleks Sukan, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi.
Masa: Jam 12.00 tengahari hingga 3.00 petang.
Selamat Datang.

Sekian.

September 1, 2012

Menyertai Sambutan Ulangtahun Ke 55 Kemerdekaan Peringkat Negeri

Shah Alam, 12 Syawal 1433 = 30 Ogos 2012 (Khamis):

Sepatutnya Adun Bangi menghadiri acara Ulangtahun Ke 55 Kemerdekaan Peringkat negeri ini mulai dari petang lagi bagi membolehkan Adun menyaksikan pertandingan perbarisan kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian. Namun oleh kerana Adun mempunyai beberapa program pada peringkat Dun, maka Adun menghadiri program-program petang di Dun Bangi terlebih dahulu. Selepas tiga program petang hingga jam 9.30, maka baru Adun bertolak ke Shah Alam bersama saudara Azizi dan saudara Amir Udin.

Tempat berlangsungnya Sambutan Ulangtahun Ke 55 Kemerdekaan pada Peringkat Negeri ini, ialah di Padang Merdeka yang sebenarnya bersebelahan dengan Muzium PADAT. Walaupun tempat parkir ketiadaan, Adun dapat masuk dan parking kereta di anjung hadapan bangunan PADAT. Dari sini berjalan kaki bersama sdr. Azizi dan Amir ke pentas sambutan. Pada masa ketibaan Adun YB Dato` Seri Anwar Ibrahim Penasihat Ekonomi negeri Selangor sedang berucap mengenai konsep kemerdekaan. Beliau memuji kepimpinan Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor yang berjaya memimpin Selangor sebagai sebuah negeri termaju di Malaysia. Beliau menyebut bahawa Selangor adalah model terbaik bagi pemerintahan Federal. Sekiranya rakyat memberi mandate kepada Pakatan Rakyat memerintah pada peringkat Pusat, maka konsep dan model pemerintahan seperti di Selangor akan diperluaskan. Disambut dengan ungkapan Merdeka ! Merdeka ! Merdeka ! dari para hadirin dan tepukan.

Majlis yang dijangka dihadiri lebih kurang 15,000 orang penuh sesak di ruang Padang Merdeka. Turut hadir ialah YB. Speaker Kerajaan Negeri Selangor Dato` Teng Chang Khim, Ahli-Ahli Exco, Adun-Adun, Orang-Orang Besar Daerah dan Pegawai-Pegawai dan kakitangan kerajaan. Berucap selepas YB. Dato` Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim menggalurkan perjuangan kemerdekaan sejak zaman Melaka hingga awal abad 20. Penghormatan seharusnya tidak diberi kepada pemimpin-pemimpin politik yang memerintah semata-mata, tetapi juga kepada mereka yang berjasa, walaupun mereka dari kalangan rakyat biasa. Beliau menyebut antaranya Tun Perak, Tok Janggut, Mat Kilau dan sebagainya. Kemerdekaan bukanlah monopoli oleh sesuatu pihak, tetapi adalah milik rakyat jelata.

Selepas penyampaian ucapan-ucapan Pengerusi menjemput Dato` Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khalid bagi menyampaikan hadiah-hadiah. Pengerusi memaklumkan pertandingan perarakan sejak petang itu disertai 56 kontinjen perbarisan yang datang dari seluruh daerah negeri Selangor. Lima hadiah saguhati dan tiga hadiah utama disediakan. PADAT memenangi satu daripada hadiah sagu hati. Pemenang-pemenang Hadiah Sagu Hati dengan hadiah wang sebanyak RM300 ialah:

Kontinjen Jabatan Penjara Malaysia, Kajang.

  • Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
  • Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Selangor (PADAT)
  • Pejabat Daerah dan Tanah, Kuala Langat
  • Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor

Manakala Hadiah Utama ialah:

Pertama: Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan hadiah RM2,500.

Kedua: Majlis Perbandaran Kelang dengan hadiah RM1,500

Ketiga: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan hadiah RM500.

Selepas itu majlis diisi dengan nyanyian-nyanyian patriotic dan acara-acara bergambar terutama dengan Pasukan Kontinjen Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang pasukannya berjumlah 50 orang berpakaian polis zaman awal Negara menerima Kemerdekaan dengan seluar baju kain khaki berwarna kelabu bersenapang patah dibuat dari kayu. Mereka berbaris segak mengiri Wakil yang menerima hadiah. Mereka menjadi fokus kamera dan ramai yang mengambil kesempatan bergambar bersama mereka. Turut sama menarik perhatian ialah pasukan yang memenangi hadiah kedua yang memilih pakaian berwarna merah garang.

Selepas penyampaian hadiah, majlis bersurai sebelum jam 12.00 malam.

Sekian.