Sungai Ramal Luar, 18 Syawal 1433 = 05 September 2012 (Rabu):
Banjir yang berlaku di Sungai Ramal Luar adalah lebih serius berbanding tempat-tempat lain di Dun Bangi. Sungai Tangkas tempat yang selalu berlaku banjir, kali ini tidak banjir, walaupun Jalan Reko dan Sungai Ramal Dalam juga banjir.Walau bagaimana banjir di Sungai Ramal ini mulai surut dan kembali normal pada sebelah pagi. Tetapi 60 buah rumah terjejas. Rumah-rumah berkenaan berlaku kerosakan perabut, tv, peti sejuk, carpet, pakaian, kenderaan bahkan buku-buku kerana terendam dalam air dan tak sempat diselamatkan.
Mulai pada malam tadi pihak Unit Amal dan pasukannya membuat survey bagi menentukan kerosakan dan tindakan yang patut diambil mulai pagi hari ini. Pihak MPKj dan Kebajikan masyarakat dan JPS telah dimaklumi sejak malam tadi. Beberapa keluarga berpindah antaranya ke Sekolah Leftenan Adnan (17 orang) bagi membolehkan rumah mereka dibersih ada yang bermalam di Bangunan Masjid Lama Haji Mat Saman.
Pagi ini Adun Bangi turun ke Kampong Paya, Sungai Ramal Dalam dan mendapati air telah surut. Ramai pekerja-pekerja sedang bekerja membersih barang-barang yang basah dan rosak yang dikeluarkan oleh pemilik-pemilik rumah seperti carpet, kerusi meja dan almari yang mau dibuang, pakaian-pakaian dan berbagai peralatan. Pihak yang paling ramai yang datang pada pagi ini ialah dari MPKj yang menghantar dua lori pengangkut dengan pekerja-pekerja lebih kurang 20 orang. Turut membantu kerja-kerja mengangkat barang-barang yang mau dibuang dan sebagai sampah ialah 20 orang dari unit Amal yang diketuai oleh saudara Safarin. Pas Kawasan Serdang juga menghantar tenaga yang diketuai oleh Ustaz Shafie Ngah dan juga tenaga dari Pejabat Adun Bangi. Turut menghantar beberapa tenaga ialah dari Islamic Relief Malaysia dan Kumpulan IKRAM.
Adalah didapati air banjir tidak membawa lumpur, oleh itu rancangan awal untuk mendapatkan `water jack` dirasakan tidak perlu. Pihak Pas dan Pejabat Adun Bangi dengan kerjasama Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir mengatur tiga tahap bantuan, iaitu:
Pada sebelah pagi ialah dengan menghantar kepada penduduk yang mengalami kebanjiran di Kampong Paya makanan dan minuman pagi termasuk juga kepada pekerja-pekerja yang sedang melakukan pembersihan. Kerja-kerja pembersihan ini progress hingga ke tengahari. Satu yang mengejutkan kami seorang nenek (nama sengaja dirahsiakan
untuk keselamatan) telah membuang barang-barang emas (rantai emas kasar beserta medal dari emas sempena persaraan al-Marhum suaminya setelah berkhidmat 35 tahun dengan TNB (nama suaminya juga dirahsiakan untuk keselamatan). Nenek yang membuang barang-barang rosak terbuang dengan tidak sedar kotak barang kemasnya turut terbuang. Kemudian beliau teringat dan mencari kembali dalam longgokan sampah dalam lori MPKj. Al-Hamdulillah kotak bagi rantai emas kasar dengan medal emas ini ditemui. Barang kemas ini ditunjuk kepada kami. Adalah ditaksirkan harganya tidak kurang dari RM10,000. Bagi nenek berkenaan barang soveineer ini yang sentimental sifatnya, tentulah lebih mahal lagi bagi dirinya. Nenek ini berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada Adun, walaupun yang menjumpai kembali beliau sendiri.
Pada tengahari pihak Pas dan Pejabat Adun Bangi dengan kerjasama Ketua Kampong menyediakan makanan tengahari. Tetapi untuk menjimatkan tenaga dan agar tidak berulang kali mengunjungi rumah ke rumah, maka penyampaian makanan tengahari disekalikan dengan penyampaian bantuan yang terdiri dari beras, mee dan barangan masak dan makanan yang lain. Barang-barang ini dihantar oleh kerajaan negeri sempena Hari Raya Eidul Fitri. Barang-barang ini di packed di Masjid Sungai Ramal Luar dan selepas solat zohor tenaga kerja sukarela mengagihkan makan tengahari dan bantuan barangan dari rumah ke rumah. Turut sama turun muslimat dan pelajar-pelajar UIAM. Komen yang banyak diberi bahawa perparitan di Sungai Ramal Luar Dalam terutama Kampong Paya perlu diperdalam dan diluaskan – termasuk membersih sungai. Tanpa pembaikan, maka banjir kelak akan berulang.
Selepas bantuan diberi kepada mangsa-mangsa banjir di Sungai Ramal Dalam, maka selepas Asar pasukan sukarela ini bergerak ke Sungai Ramal Dalam. 30 buah rumah terlibat dengan banjir ringan, tetapi terdapat kerosakan dan sampah-sampah yang mau dibuang. Lori MPKj sudah tidak ada, maka dua buah kereta Hilux digunakan bagi mengangkut sampah-sampah keluar dari perumahan sungai Ramal Dalam yang mengalami banjir, terutama di Jalan Nazir. Untuk kerja-kerja pembersihan di Sungai Ramal Dalam sekumpulan pelajar lelaki UIAM yang baru tiba membantu kerja-kerja pembersihan. Turut sama disampaikan bantuan kebajikan bagi mangsa banjir Sungai Ramal Dalam yang layak. Satu peristiwa lucu, kita mendapat maklumat pihak TV 1, Satu Malaysia ada datang untuk membuat liputan, tetapi bila ditanya dan didapati kawasan banjir di Kampong Paya ini di bawah Dun Bangi, bukan di bawah BN, pemberita berkenaan cabut lari dan tak muncul. Kita tak panggil mereka dan kita tidak mengharapkan liputan darinya. Kalau diinterview pun tidak diberi tempat – menghabiskan masa saja. Kita lebih dari tahu tabiat diskriminasi mereka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment