September 8, 2012

Selangor Maju Bukan Semata Diukur Gross Product Dan Perkapita, Tetapi Menyerlah Budaya Tamadun Bangsa - YAB Dato` Menteri Besar Rasmi Pameran Selangor

Muzium Shah Alam, 20 Syawal 1433 = 07 September 2012 (Jumaat):

Pagi ini YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor merasmikan Pameran Selangorku Negeri Idaman, Maju, Sejahtera & Berkebajikan di Pekarangan Muzium Sultan Alam Shah PADAT – Kehadiran YAB diiringi Pasukan RAC yang menunggang motorsikal berkuasa tinggi seramai 50 orang. Hadir sama dalam majlis ialah YB. Dr. Ahmad Yunus Khairi Pengerusi Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, YB Dr. Haji Yaakob Sapari Pengerusi Tetap Permodanan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, YB Teresa Kok Suh Sim Pengerusi Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan,YB. Dr. Halimah Binti Ali Pengerusi Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan, YB. Dr. Shafie Abu Bakar Pengurusi Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan, Puan Azlinda Azman CEO PADAT, S.S.Dato` Setia Tuan Haji Tamyez bin Abdul Wahid Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Pegawai-Pegawai Kerajaan, Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua
Kampong dan para tamu jemputan.

Menurut YAB Dato` Menteri Besar, Kemajuan masa depan berasaskan sejarah masa silam, bahkan melalui sejarah terbina identiti dan jati diri yang dibanggakan. Sebagai contoh katanya, ``Kita berbangga menjadi rakyat negeri Selangor kerana identiti dan jati diri negeri Selangor negeri yang kaya dan maju dengan ilmu pengetahuan. YAB menyebut kemajuan London, New York dan Paris diperkukuhkan dengan kemajuan sejarah dan permuziuman di Bandar-bandar tersebut. Pusat Perdagangan yang maju seperti Abu Dhabi juga berlumba-lumba menghimpun artifek yang menjadi akar warisan dan kemegahan turunan.

YAB Dato` Menteri Besar menyebut, beliau yang pernah terlibat dalam pembinaan perumahan berusaha untuk mendapat ciri seni bina rumah tradisi Melayu bagi membina rumah moden Malaysia, terpaksa membaca dari teks-teks Melayu, tetapi tidak banyak yang didapati. Menurutnya, ``Di sini kita merasa penting kepada catatan dan penulisan. Bukan tidak ada tulisan mengenai seni bina, tetapi kita tidak beri tumpuan kepada mengabadikan dalam tulisan secara sempurna, hingga kita terpaksa membuat kajian dan penyelidikan. Beliau membawa contoh konsep `tangga` dalam seni bina Melayu. Tangga bagi rumah tradisi yang hidup di tepi sungai boleh diangkat dan banyak melahirkan unsur budaya dan bahasa berhubung dengannya.

Tangga kini seperti di Melaka dibuat dari batu, sedang rumah dari kayu. Ia menjadi tempat menyambut tamu dan perhimpunan yang kadang-kadang secara bergurau, katanya, `Tempat mengumpat`. Beliau juga menyebut atap tinggi rumah Melayu dapat menyejukkan dalaman yang tidak memerlukan aircond. Sebagaimana pada zaman moden. Tidak kurang pentingnya dalam memperkenalkan identiti dan rupa jiwa bangsa melalui muzik sebagaimana terkenalnya muzik Beethovan, Mozart, ghazal. keroncong dan sebagainya. YAB Dato` Menteri Besar menyebut tentang kekayaan budaya Malaysia yang bagi orang Melayu mempunyae tnik Jawa,

Banjar, Minang, Kelantan dan sebagainya yang mempunyai dialek dan bahasa yang berlainan, begitu juga mempunyai kelainan dari segi makanan dan berbagai adat. Keadaan yang sama kepada orang Cina yang mempunyai etnik misalnya Hokkian, Hakka, Hun dan sebagainya yang juga bahasa dan budaya makanan mereka tidak sama. Keadaan yang sama berlaku kepada orang India yang mempunyai etnik, Telegu, Tamil, Sikh, Malayanan dan sebagainya yang juga mempunyai bahasa, makanan dan budaya yang berlainan. Beliau berharap aspek-aspek sedemikian dapat dibuat kajian dan diabadikan dalam penulisan bagi memperkaya dan memperindahkan budaya Malaysia, khususnya Selangor.

YAB Dato` Menteri Besar juga menyinggung tentang puisi, khususnya Puisi Kemerdekaan yang beliau amat tertarik dengan puisi-puisi Usman Awang yang mendukung seni untuk masyarakat. Beliau percaya seni dalam apa bentuk dapat mendidik dan membina masyarakat dan meningkatkan rasa kemanusiaan..Sebelum YAB Dato` Menteri Besar Selangor menyampaikan ucapan,YB Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi PADAT mendeklamasikan puisi Merdeka berjudul:Warkah Kemerdekaan Perlu Diperbetulluastafsirkan: Bahawa Kita Berjiwa Merdeka.Sebelum daripada itu YB Dr. Ahmad Yunus menyampaikan ucapan alu-aluan yang menyebut bahawa program pada pagi ini, iaitu Perasmian Pameran Selangorku Negeri Idsaman, Maju, Sejahtera & Berkebajikan.disekalikan dengan Majlis Jalinan Eidul Fitri.

Pameran menurutnya melakarkan sejarah perjuangan kemerdekaan, namun beliau menyatakan sejarah kemerdekaan selama ini digambarkan secara berpihak, tetapi di dalam Pameran Kemerdekaan kali ini kita mengambil pendekatan menyeluruh dengan memeberi ruang kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang selama ini disisihkan. Pameran juga menampilkan Sejarah Selangor dari zaman permulaan hingga terkini. Beliau berharap orang ramai dan pelajar-pelajar dapat datang menghayati mesej Pameran Kemerdekaan yang diadakan di Muzium Sultan Alam Shah sekarang. YAB Dato` Menteri Besar menyebutkan bahawa pameran yang diadakan ini sempena juga dengan usia Muzium Sultan Alam Shah 23 tahun yang dibuka dengan rasminya oleh Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2 September 1989.

Selepas daripada Ucapan Perasmian oleh YAB Dato` Menteri Besar, YAB dihadiahkan dengan skrol puisi yang dibaca oleh Pengerusi PADAT dan juga buku-buku. Kemudian YAB diiringi ke pintu ruang pameran dan merasmikannya dengan memotong reben. Kemudian YAB melihat pameran yang melakarkan sejarah Selangor dan sejarah perjuangan kemerdekaan Negara, juga kedudukan Selangor dalam peta kemerdekaan. YAB mengambil masa hampir sejam menghayati dan membuat ulasan mengenai pameran. Kemudian YAB dan para tamu yang sama menyaksikan pameran beredar ke Jamuan Jalinan Mesra Raya yang sebahagian dari menu jamuan sengaja dipilih makanan dan juadah berciri dan beridentiti Selangor. YAB dan tamu berterusan berada di Pekarangan Muzium Sultan Alam Shah sehingga jam 12.00 tengahari.

Sekian.

No comments:

Post a Comment