Sungai Tangkas, Bangi, 01 Zulkaedah 1433 = 17 September 2012 (Isnin):
Bandar Baru Bangi menjadi rebutan bagi berbagai NGO yang menjenamakan NGO mereka dengan Islam. Sebagai contoh ialah IKRAM, ABIM, Aman Palestin, ISMA, Hizbut-Tahrir, Haluan, ISI dan sebagainya. Mereka mendapati Bangi tempat selesa bagi mereka memperkembangkan idealisme keislaman. Apa lagi dari segi politiknya Bangi adalah di bawah DUN PAS. Pada dasarnya PAS tidak menggugatkan kehadiran NGO.NGO berkenaan selagi tidak membawa masalah, bahkan menganggap kehadiran NGO-NGO berkenaan baik secara langsung atau tidak langsung memperkukuhkan perjuangan Islam di Bangi, di Selangor bahkan di Negara Malaysia. NGO-NGO berkenaan komited dengan perjuangan. Sebahagian besar dari NGO menjadikan Bangi sebagai Pusat bagi cawangan-cawangan di tempat lain. Sebahagian NGO-NGO
berkenaan bukan saja menyewa premis-premis bagi dijadikan pejabat, bahkan antara NGO-NGO berkenaan berusaha membeli aset-aset, khususnya kedai bagi dijadikan ibu pejabat dan asset bagi NGO berkenaan, walaupun hartanah di Bangi lebih mahal dari tempat-tempat yang lain. Lebih menarik antara NGO membangunkan sistem pendidikan sendiri sebagai wadah dan mekanisme dakwah sebagai contoh IKRAM, ABIM, Haluan, bahkan PAS dengan Pastinya.
Dalam melengkapkan kehadiran dan mengukuhkan kedudukan IKRAM yang mempunyai system pendidikannya yang dikenali dengan Sekolah Al-Amin – Rendah dan Menengah, maka IKRAM merasakan perlunya mempunyai pejabatnya sendiri di tengah Bandar Baru Bangi yang terkenal sebagai Bandar Ilmu itu. Jemputan IKRAM pada hari ini ke SRI Al-Amin Sungai Tangkas ini ialah bagi melancarkan derma bagi membaiki dan melengkapkan keperluan pejabat yang baru dibeli di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi, iaitu sebuah bangunan kedai tiga tingkat yang kosnya mencecah RM1.2 juta. Keperluan pembaikan dan peralatan dijangka berjumlah RM100,000. Hadir ke jemputan ialah Tuan Haji Sufyan YDP IKRAM Hulu Langat, Prof. Kamal Nasharuddin Timbalan Ketua IKRAM Negeri Selangor, Tuan Haji Ridhuan Pengerusi Sekolah Al-Amin, En. Fadhli Guru Besar SRI Al-Amin, Puan Hajah Ruhaida Pengetua Sekolah Al-Amin, Sungai Tangkas Bangi dan tamu-tamu jemputan.
Tuan Haji Sufyan berucap mengalu-ngalukan jemputan dan mengucapkan selamat hariraya. Beliau menerangkan tujuan jemputan sebagaimana disebutkan. Menurutnya, ``Keperluan Pejabat di Bandar Baru Bangi dirasakan amat penting bagi melicin dan meningkatkan kegiatan IKRAM di Hulu Langat. Menurutnya kos bangunan telah dapat diuruskan. Namun kami memerlukan peruntukan tambahan bagi membaiki bangunan yang telah diguna bagi memperbaiki dan melengkapkan dengan peralatan-peralatan.``
Adun Bangi yang dijemput berucap selepas melancarkam mumtaj bagi kegiatan IKRAM, berterima kasih di atas jemputan. Beliau menyebut Bangi sebagai kawasan yang menjadi tumpuan NGO-NGO Islam menjalankan kegiatan, menjadi pusat bagi setengah NGO-NGO berkenaan, bahkan setengahnya berusaha memiliki asset seperti pejabat di sini, contoh ISMA dan IKRAM sendiri. Adun Bangi mengalu-ngalukan kehadiran NGO-NGO berkenaan, kerana secara langsung atau secara tidak langsung turut memperkukuhkan kegiatan dan gerakan keislaman baik di Bangi, Selangor, negera, bahkan peringkat antarabangsa dengan pusat kegiatannya di sini. Adun Bangi menyatakan pendapatnya, ``Walaupun setiap NGO mempunyai idealisme perjuangan masing-masing, tetapi alangkah baik jika NGO-NGO berdasarkan Islam ini bersatu dalam ikatan longgar bagi menyatukan tenaga bagi memperkukuhkan perjuangan keislaman di Negara ini.
Semoga harapan ini akan tercapai. Berhubung dengan derma yang memerlukan peruntukan RM100,000 lagi itu pada pendapat Adun tidak bermasalah. Beliau percaya ramai akan turut menderma yang mungkin jumlahnya insya Allah melebihi dari target yang dianggarkan.Selepas itu satu ceramah diusampaikan oleh En. Mohd Imran Saw Abdullah dan diikuti dengan jamuan hariraya.
No comments:
Post a Comment