September 17, 2012

Pertandingan Silamban Anjuran Kelab Silamban Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Selangor

Pekan Bangi, 29 Syawal 1433 = 16 September 2012 (Ahad):

Pertandingan di atas berlangsung di Dewan Orang Ramai Pekan Bangi dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Pertandingan dianjur oleh Kelab Silamban, Negeri Selangor ini disertai oleh 8 Kawasan yang setiap kawasan terdiri dari 10 pasukan (80 pasukan). 40 pasukan dari negeri Selangor dan 40 pasukan dari negeri Johor. Ini ialah kerana kedua-dua negeri giat mempromosikan Silamban. Pengerusi Pertandingan ialah En. Vasu Devan, Setiausaha En. Kanbarasan dan Bendahari En. Kalango. Pembukaan perasmian diberi kehormatan kepada YB. Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat dan YB Dr. Shafie Abu Bakar Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Bangi.

Menurut En. Rasiah dari negeri Sembilan seorang yang terlibat dengan penganjuran pertandingan bahawa peremainan Silamban adalah berasal dari India. Persatuan Silamban mula ditubuhkan pada tahun 1976. Permainan ini masih terhad kepada golongan orang India. Yang bermain mungkin dari anak-anak sejak berumur 6 tahun dan paling tinggi umur ialah hingga 30 tahun.

Permainan Silamban dapat disifatkan sebagai permainan bagi mempertahankan diri. Permainan berlaku antara dua orang yang masing-masing menggunakan sebatang kayu lebih kurang sedepa panjangnya. Pada hujungnya dibalut dengan kain atau bahan lembut yang diikat kuat agar dalam pertandingan jika terkena hujung pada tubuh atau anggota peserta, maka tidaklah begitu sakit. Pertandingan bermula dengan dua orang anak-anak yang bertanding memakai baju putih dan seluar hitam. Kedua-dua peserta memakai mask atau penutup muka untuk mengelak dari kecederaan. Sebagai permulaan Adun Bangi dan YB Dr. Che Rusli bersama membuka silang kayu yang dipegang oleh dua pemain dengan menguakkannya terbuka dengan batang kayu menandakan perlawanan bermula dengan masing-masing mau menusuk lawan dengan kayu dan lawan berusaha mempertahan dan membalas apa yang dibuat lawan. Antara aturan pertandingan bahawa setiap orang boleh mengacah/ memukul lawan ke bahagian tubuh dari bahu hinggalah ke bawah kecuali private part dilarang memukulnya. Adapun bahagian kepala dilarang keras dari memukulnya. Dari pemerhatian Adun pertandingan bagi setiap regu adalah
memakan masa lebih kurang 5 minit seorang. Pengadil terus mengadil dan menyampaikan keputusan sebaik tamat pertandingan. Pertandingan adalah bersifat kalah mati dan yang kalah dikeluarkan dari pertandingan. Dengan demikian peserta menuju peringkat akhir makin berkurangan, Hadiah-hadiah disediakan bagi Johan ialah RM1,500, Naib Johan RM1,000 dan ketiga ialah RM500.

Pertandingan yang Adun saksikan ini boleh disifatkan pada tahap basic dan rendah serta disertai peringkat anak-anak pra-sekolah dan Sekolah. Permainan juga lembut dan terkawal, berbanding dengan permainan pada peringkat orang muda yang lebih agresif dan tangkas – berlaku pukul memukul kayu serta lompat melompat dan mempunyai elemen seni tari yang lebih menarik. Permainan Silamban juga nampaknya tidak lari dari terpengaruh dari permainan Tekwando, sekurang-kurangnya dari segi pakaian dan warna putih (baju). Yang menjadi identiti Silamban ialah menggunakan `batang kayu` dalam permainan. Pendukung Silamban hendaklah berusaha memelihara keasliannya di samping membenarkan tambahan secara kreatif yang boleh menarik perhatian terhadap permainan berkenaan. Kita bersukacita menerima Silamban sebagai satu seni mempertahankan diri rakyat Malaysia di samping seni silat gayung, tai chi, tekwando dan sebagainya.

Ketika berucap merasmikan pertandingan sebelumnya, Adun Bangi berterima kasih kerana memilih Dewan Orang Ramai Pekan Bangi sebagai tempat pertandingan, kerana ianya dapat mempopularkan Pekan Bangi di bawah Dun Bangi. Adun menyebutkan bahawa permainan tradisional ini wajar dipelihara dan dikekalkan agar generasi mendatang dapat mengenali dan memahaminya. Selain dari permainan ia adalah termasuk di bawah seni yang memperlihatkan keindahan permaian dan perlu disebarluaskan sebagai permainan dan budaya masyarakat Malaysia , terutama di kalangan masyarakat India. YB Dr. Che Rusli Che Mat juga memuji pihak kelab yang menganjurkan pertandingan. Ini dapat menarik dan mengawal remaja dari melakukan amalan yang tidak berfaedah dan merugikan masa. Pertandingan dapat menarik ramai pemerhati yang memenuhi dewan, namun setakit ini permainan Selamban ini masih disertai dan didukung oleh masayarakat India. Ianya wajar dipopularkan dan dipelajari oleh semua kaum.

Sekian.

No comments:

Post a Comment