September 28, 2012

Menyampaikan Bantuan Kebajikan

BBB, 11 Zulkaedah 1433 = 27 September 2012 (Khamis):

a) Memperbesarkan Surau


Pada petang Khamis malam Jumaat ini Adun hadir bersolat ke Surau Al-Falah Jalan 6, Seksyen 16 Bandar Baru Bangi. Surau ini telah memohon kebenaran mendirikan Jumaat dan permohonan diluluskan secara sementara oleh JAIS berkuatkuasa mulai 26 Ogos 2011. Berikutan dari penggunaan Surau Al-Falah sebagai surau mendirikan Jumaat didapati surau ini menjadi sempit dan ketidakcukupan ruang dan terpaksa menambahkan ruang. AJK surau berusaha mendapatkan dana bagi menambah ruang mendirikan Jumaat. Bagi menambahkan peruntukan yang diusahakan oleh pihak AJK, permohonan juga dipohon dari Adun bagi mendapat peruntukan tambahan bagi membesarkan surau. Pada malam ini Adun turun ke Surau berkenaan dan menyerahkan cek peruntukan bernilai RM5,000/=. Adun berkesempatan bersama jamaah membaca yasin dan menikmati moreh selepas solat Isya`.

b) Ziarah Pesakit


Sementara itu pada petang Selasa 25 September 2012 Adun bersama beberapa AJK Kebajikan menziarah rumah Encik Zulkifli Muhammad (43) yang tinggal di Apartment Dahlia Blok B – 7 Putera Kajang bersama isteri dan 3 anaknya. Beliau mengalami stroke sebelah tubuhnya hampir lumpuh sejak seminggu lepas dan dimasukkan ke Hospital Kajang dan pulang ke rumah dua hari lepas. Keadaan beliau semakin pulih dan sudah dapat duduk, tetapi tidak dapat bangun bergerak.


Kami dimaklumkan beliau memerlukan tongkat (empat kaki) bagi membolehkan beliau bergerak dan berlatih berjalan. Lantaran itu kami membawa (diurus pembelian oleh saudara Hafiz) tongkt berkenaan. Semasa hadir saudara Zulkifli menangis terharu dengan kunjungan kami. Dengan tongkat itu kami melatih En. Zulkifli berdiri dan beliau dapat bertatih memulakan gerak danbeliau dapat bertatih dengan tongkat di ruang tamu di rumahnya. Beliau kelihatan gembira dapat bantuan tongkat. Kami juga membawa buah tangan berupa bantuan barangan dan juga wang.


En. Zulkifli bekerja sebagai pemandu, manakala isterinya mengasuh beberapa anak kawan di rumahnya. Beliau risau dengan penyakit yang dialaminya beliau tidak dapat meneruskan bayaran rumahnya, sedangkan pendapatan tambahan dari kerja mengasuh isterinya tidak seberapa. Beliau melahirkan cadangan untuk mengeluarkan simpanan EPFnya bagi melunaskan hutang rumah. ``Bila hutang rumah sudah dibayar, senang sedikit dan hidup kami sekeluarga lebih terjamin`` kata En. Zulkifli.

En. Zulkifli dan isterinya berasal dari Kelantan. Kita mendoakan beliau segera sembuh dan dapat kembali bekerja.

c) Menyampaikan Wang Warga Emas Peringkat Kedua


Pada petang 26 September 2012 seramai 28 orang pewaris bagi warga emas yang telah meninggal dijemput hadir ke Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi bagi menerima bayaran peringkat ke dua RM1,500 sebagai tambahan bagi bayaran peringkat pertama sebanyak RM1,000.


Mereka yang dijemput hadir menerima bayaran ini ialah mereka yang menerima bayaran RM1,000 peringkat pertama pada bulan Julai dan Ogos 2012 yang lepas. Pegawai dari Pejabat Daerah Hulu Langat yang datang ke Pejabat Khidmat Masyarakat Adun ialah Encik Rifai bersama pengiring-pengiringnya. Dari pihak Pejabat Adun saudara Shahrum dan Nabilah menguruskan penyampaian bayaran.


Sekian.

No comments:

Post a Comment