September 24, 2012

Meraikan Bakal Haji 1433/2012: Mendoakan Mereka Mendapat Haji Mabrur

Masjid Al-Hasanah, 07  Zulkaedah  1433 = 23 September 2012 (Ahad):


Sudah menjadi tradisi bagi Adun Bangi  juga Pas Serdang setiap tahun mengadakan majlis bagi meraikan para bakal haji. Demikianlah pada hari ini diadakan Majlis bagi meraikan bakal haji bertempat di Dewan Kuliah Masjid Al-Hasanah. Seramai lebih kurang 100 orang bakal haji di Dun Bangi dan kawasan Serdang dijemput ke Majlis keraian di atas, walau bagaimana oleh kerana ada di antara mereka telah berangkat ke Tanah Suci Makkah yang penerbangan terawal bermula dari 17 September 2012, maka jumlah yang hadir 80 orang. Antara mereka tidak dapat hadir kerana meraikan pengunjung-pengunjung ke rumah  mereka, maka lantaran itu tidak semua yang dijemput dapat hadir.


Turut sama hadir bagi meraikan bakal haji ialah Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Tuan Haji Napiah Shahrani Nazir Masjid Al-Hasanah, Tuan Syed Othman Imam Masjid Al-Hasanah, Tuan Haji Ishak juga Imam Masjid Al-Hasanah dan Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan Adun Bangi. Majlis bermula dengan Doa Selamat dibacakan oleh Tuan Syed Othman diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ustaz Shafie Ngah yang mengucap tahniah kepada bakal haji yang terpilih menunaikan haji pada tahun ini. Beliau percaya semua bakal haji telah membuat persediaan secukupnya bagi kesempurnaan amalan haji dengan menghadiri berbagai-bagai kelas pengajaran. Sebelumnya Dr. Kamaruzzaman Yusof mewakili bakal-bakal haji dijemput menyampaikan ucapan. Beliau bagi pihak semua bakal haji berterima kasih kepada Adun dan pihak Pas kawasan mengadakan majlis bagi meraikan bakal-bakal haji. Menurutnya beliau berpeluang menunaikan umrah, tapi baru kali ini dapat menunaikan haji dan bersyukur kepada Allah di atas peluang yang diberi. Beliau berharap melalui pertemuan hari ini dengan bakal-bakal haji insya Allah dapat bertemu lagi kelak di Tanah Suci.


Adun Bangi di dalam ucapannya juga mengucap tahniah kepada bakal-bakal haji yang berpeluang menunaikan haji pada tahun ini. Oleh kerana peluang begitu sukar bagi menyempurnakan rukun Islam kelima, maka berilah tumpuan mendalami segala aspek yang berhubung dengan rukun, wajib, sunat dan yang dilarang dalam haji. Adun menyatakan pemergian haji mengukuhkan iman dan amalan, lantaran selama ini kalau kita beramal tidak menyaksi dengan mata kepala, maka dengan menunaikan haji kita dapat melihat Ka`bah yang kita hadap di dalam solat. Kita mencintai Rasulullah, dengan pergi haji dapat menziarahi Rasulullah, bahkan dapat menghayati dua Tanah Suni yang menjadi tempat dakwah dan jihad Rasulullah dan sahabat-sahabat. Adun mendoakan semoga semua para jamaah bakal haji diberi kekuatan, kesihatan dan mendapat Haji Yang Mabrur.


Majlis yang berlangsung sebelum Solat Zohor itu diakhiri dengan penyampaian cenderamata dari Ustaz Shafie Ngah dan Adun. Selepas dari menghadiri Majlis dan menunaikan Solat Zohor para bakal haji sama menikmati jamuan aqiqah yang dilakukan oleh yang menjalankan aqiqah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment