September 16, 2012

Berhariraya Dari SRA Ke Kompleks Pendidikan Islam Dan Pasti

BBB, 28 Syawal 1433 = 15 September 2012 (Sabtu):

Dari 16 jemputan hari ini yang kebanyakannya untuk berhariraya, tiga daripadanya adalah dari institusi pendidikan yang berkategori Sekolah Rendah Agama (SRA), Pasti yang bersiaft pra-sekolah dan Kompleks Pendidikan Islam Bangi.

Pagi ini Adun memilih hadir terawal ke jemputan SRA bertempat di Kantin SRA Bandar Seri Putra, BBB mulai jam 9.00 pagi bagi menyertai Sarapan Eidul Fitri di Sekolah tersebut. Kesampaian kami disambut oleh Guru Besar Sekolah Ustaz Khairul Amri, dan Encik Mohd Iqbal Pengerusi PIBG, Turut hadir AJK PIBG, Guru-guru, ibu bapa dan murid-murid yang memenuhi kawasan kantin. Mereka sedang memilih kuih raya menyerikan penyertaan raya. Dalam percakapan dengan YDP dan Guru Besar Adun dimaklumkan bahawa SRA Bandar Seri Putra yang mula dibuka pada tahun 2010 itu kini mempunyai seramai 1,600 orang murid.

Kehadiran Adun diberi penghormatan berucap. Adun berterima kasih di atas peluang diberi dan sukacita melihat kerjasama erat antara PIBG, guru-guru Sekolah dan juga ibu bapa. Dengan kerjasama ini memudahkan kegiatan-kegiatan yang diadakan seperti Sambutan Hariraya pada pagi ini dan juga kegiatan-kegiatan yang lain yang terus diadakan dari semasa ke semasa. Adun mendapat maklumat, Sekolah ini meningkat prestasinya dari setahun-ke setahun. Adun berharap SRA Bandar Seri Putra akan menjadi SRA terbaik di Hulu Langat atau sekuarng-kurang di kawasan DUN Bangi yang dapat meningkat imej BBB sebagai Bandar Ilmu, khususnya dalam bidang keagamaan.

Dari Bandar Seri Putra, kembali ke Bangi untuk berhariraya dengan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Pada masa tiba jam 10.30 majlis sudah berlangsug. Terdapat tamu kehormat yang tiba ialah Tan Sri Dato` Mohd. Nor Ismail Pengerusi Koperasi Bandar Baru Bangi, Dr. Tajul Ariffin Noordin Mantan Pengerusi Persatuan Penduduk dan Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatun Penduduk dan AJK Persatuan Penduduk. Tempat diadakan sambutan hariraya pada hari ini ialah di Kompleks Pendidikan Islam Bangi yang bangunan tiga tingkatnya diusahakan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Bangunan yang menelan kos RM7 juta ini baru saja siap, tetapi masih memerlukan peruntukan bagi melengkapkan peralatan. Bangunan ini sudah mula digunakan sejak dua bulan lepas walaupun masih belum dirasmikan penggunaannya. Bangunan di sini bukan saja menempatkan pelajar-pelajar Sekolah agama, kemungkinan juga pengajian peringkat menengah dan lebih tinggi. Ruang legarnya boleh disewakan untuk kegiatan ilmu, sosial dan kenduri kendara. Adun difahamkan pihak Koperasi BBB juga turut menyewa ruang bagi dijadikan pejabat operasinya. Koperasi BBB antara yang berjaya. Kini mempunyai kedai dan hartanah di BBB yang asetnya melebihi RM5 juta.
Adun Bangi diberi peluang bercakap ringkas mengucapkan hariraya kepada hadirin dan mengucapkan tehniah kepada pihak Persatuan Penduduk kerana berjaya menyiapkan Bangunan Kompleks Islam Bangi yang antara tunjangan peruntukan juga adalah dari peruntukan kerajaan negeri Selangor. Adun berharap Kompleks Islam BBB ini menjadi landmark di BBB yang bukan saja dikenali dari segi fizikal, tetapi lebih kepada kegiatan keislaman yang akan terus dijanakan dari Kompleks Islam di sini. Pada kesempatan hadirnya Adun ke sini Adun menghadiahkan buku Bangi Bandar Ilmu kepada Tan Sri Dato` Mohd. Nor, Dr. Tajul Ariffin Noordin, Tuan Haji Sufi Munassir, Tuan Haji Ghazali Abbas dan saudara Jamiri (Timbalan YDP Persatuan Penduduk BBB). Adun juga memaklumkan kepada mereka hasrat Adun untuk menerbitkan buku ketiga (Buku kedua dalam proses penerbitan – Gagasan Bangi – Hasil dari Peraduan Menulis). Adun memohon dan menawarkan kepada tokoh-tokoh terkenal di BBB menghasilkan penulisan dalam hubungan dengan BBB bagi meneritkan buku berjudul `Pemikiran Bangi`.

Daripada Kompleks Pendidikan Islam BBB Adun bergerak ke Cheras Jaya bagi menyertai hariraya yang diadakan oleh Pasti Serdang. Tempat yang diadakan ialah di Pasti Abqari, Cheras Jaya. Hadir sama pada tengahari ini ialah saudara Adram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang dan saudara Shahrul Nizam Pengerusi Pasti Serdang. Dalam majlis ringkas ini juga Adun diberi peluang berucap berterima kasih kepada guru-guru Pasti yang berjumlah lebih kurang 70 orang yang Adun sifatkan amat penting dalam mendidik anak-anak pada peringkat – pra Sekolah. Didikan memberi kesan utama dalam pembentukan jiwa anak-anak. Sebagai mengenang jasa mereka pihak Adun Bangi menyediakan peruntukan tahunan sebagai insentif kepada guru-guru Pasti. Diharap dengan peruntukan ini, walaupun tidak seberapa dapat menjadi galakan bagi guru-guru mengajar lebih bersungguh-sungguh. Kata Adun, ``Sesungguhnya Pasti di Serdang terkenal berdaya maju dengan jumlah murid tertinggi antara Pasti-Pasti di Malaysia dan diharap daya maju ini berlaku di dalam berbagai aspek yang Adun Bangi turut sama berbangga dan bersyukur kepada Allah di atas kemajuan yang dicapai. Adun Bangi menyampaiakan sumbangan insentif kepada guru-guru Pasti di Pasti Abqari, Cheras Jaya di sini, sebelum memohon diri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment