September 15, 2012

YB Iskandar Melawat Rumah Mampu Milik Projek Kesayangannya

BB, 25 Syawal 1433 = 12 September 2012 (Rabu):

Rumah Mampu milik adalah istilah awal yang timbul pada masa YB Iskandar bin Abdul Samad menjadi Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan. Tempat terawal bagi projek Rumah Mampu Milik yang kualitinya lebih baik dari Rumah Kos rendah ini didirikan ialah di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi. Oleh kerana projek Rumah Mampu milik ini pertama didirikan di BBB, maka sudah tentulah ianya menjadi Projek Harapan bagi YB Iskandar dan paling dekat dengan hatinya. Kesempurnaan pembinaan adalah diharapkan dan sebarang kekurangan dan kelewatan tidak menyenangkannya.Setelah projek ini dilancarkan pada bulan Oktober 2011 dan pada masa pelancaran disebut jangkaan masa siapnya ialah pada Disember 2012, maka kehadiran YB Iskandar ke projek Perumahan Mampu Milik ini tentulah sekurang-kurang menimbulkan tanda tanya, adakah kerana projek ini berjaya siap mendahului tarikh jangkaan atau terlewat atau adakah masalah yang lebih besar dari itu ? Adun yang mendapat jemputan pada petng ini hadir di tapak antaranya bersama Tuan Haji Lokman Kontroler PKNS Bangi, En Fairuz yang memberi penerangan tentang perkembangan projek dan pegawai-pegawai PKNS dan jemputan-jemputan. Kami menyambut ketibaan YB Iskandar dalam keadaan tanah becak, kerana hujan sebelumnya.

YB Iskandar sebaik tiba diiringi ke bilik kaven di hadapan bangunan yang sedang didirikan dan di dalam kaven ini diberi penerangan. Dari taklimat dapat difahamkan bahawa Projek Perumahan Mampu Milik ini baru mencapai tahap 50% siap dengan rangka binaan sudah siap dan memerlukan masa bagi `finishing` dan dijangkan siap pada bulan Februari 2013. Ini bererti projek perumahan ini berlaku kelewatan sekurang-kurang selama dua bulan. Inilah agaknya mengapa YB Iskandar turun ke Bangi, kerana mau melihat sendiri projek kesayangannya ini adakah progres menurut jadual atau berlaku kelewatan. Rumah Mampu Milik pegngan bebas 6 tingkat ini terdiri dari tiga blok A, B dan C yang terdiri dari tiga size, iaitu:

a) Keluasan lantai 700 kaki persegi bahagian bawah dikhaskan bagi OKU hanya sebanyak 4 unit sahaja,

b) Keluasan 750 kaki persegi sebanyak 16 unit

c) Keluasan 800 kaki persegi sebanyak 104 unit.

Adalah dijangka harga unit-unit berkenaan antara RM70,000 hingga RM100,000 bergantung pada keluasan lantai. Dimaklumkan bahawa pemilihan pemohon dibuat oleh pihak UPEN dengan syarat-syarat bahawa:

  1. Warga Negara Malaysia
  2. Berumur 18 tahun ke atas
  3. Pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM5,000.00 sebulan
  4. Pemohon (suami isteri) tidak mempunyai sebarang jenis rumah kediaman di Selangor
  5. Berdaftar di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor
  6. Pemohon yang telah memiliki Rumah Kos Rendah selama (5) tahun ke atas boleh memohon Rumah Mampu Milik sebagai rumah kedua, tetapi tertakluk kepada syarat had kelayakan pendapatan pembelian Rumah Mampu Milik
  7. Pemohon bujang yang mempunyai tanggungan keluarga boleh memohon rumah Mampu Milik
  8. Pembelian Rumah Mampu Milik adalah untuk didiami dan bukan untuk disewakan

Pemilihan adalah melalui interview dan tawaran adalah berdasarkan markah yang dicapai menurut Pendapatan bulanan isi rumah, tanggungan, kediaman sekarang, taraf perkahwinan, umur, negeri tempat lahir, tempoh permastautinan di Selangor, orang kelainan upaya, warga emas dan tempoh pendaftaran.

Tawaran dibuat kepada yang layak menurut seturut pencapaian markah, jika ada yang menolak, maka bagi yang mencapai marka tertinggi berikutnya ditawarkan.

Selepas taklimat kami mengiringi YB Iskandar melawat rumah bermula dari unit bagi orang kelainan upaya di bawah yang ternyata begitu selesa – disiapkan awal sebagai unit contoh dengan dua bilik air dan tiga bilik biasa. Marterial bangunan dari batu bata, bukan dari blok simen. Kami juga naik hingga ke tingkat 3 melihat dari unit ke unit begitu selesa dengan adanya anjung bagi tempat berkumpul – tidak perlu turun ke bawah. Pemandangan kelilingan juga amat menarik. Difahamkan pekarangan bagi bangunan-bangunan di sini akan dihijaukan. Pada bahagian hadapan bangunan Rumah Mampu Milik juga akan dibina bangunan-bangunan komersil untuk memudahkan penghuni mendapat barang-barang keperluan berdekatan. Dari lawatan nampaknya YB Iskandar nampaknya berpuashati, walaupun dijangka sedikit berlaku kelewatan.

Sekian.

1 comment:

  1. saya antara yg teawal menghantar borang permohonan dan memenuhi syarat2 yg diberi upen, namun sebagai anak jati b.b.bangi sy terkilan tidak dpt memiliki rumah ini...sy telah menetap di b.b.bangi sejak thn 1980 dan masih menumpang di rumah kedua ibubapa di fasa 2 hingga kini...

    ReplyDelete