September 27, 2012

Meraikan Dato' A. Samad Said Sasterawan Tamu Negeri Selangor

Shah Alam 10 Zulkaedah 1433 = 26 September 2012 (Rabu):


Kemajuan sesebuah negeri dan Negara bukanlah dikira semata-mata berdasarkan kepada per kapita dan jumlah hasil pendapatan tahunan, tetapi konsep kemajuan adalah bersifat menyeluruh yang melibatkan sama kemajuan dari segi nilai seni dan budaya yang mencerminkan identiti, peradaban dan tamadun bagi negeri atau Negara berkenaan. Selangor sebagai sebuah negeri maju, tidaklah saja mementingkan dari segi kemajuan material, tetapi juga seni budaya dan warisan. Di dalam hal ini pendekatan yang diambil negeri Selangor antaranya meraikan Dato` A. Samad Said sebagai Sasterawan Tamu Negeri Selangor. Majlis keraian diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Orkid, PKPS, Shah Alam. Tugas melaksanakan bagi pihak Negeri ialah pihak Exco yang mengambil berat terhadap bidang kebudayaan YB Puan Hajah Rodziah Ismail dan pihak Padat di.bawah Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan YB Dr. Ahmad Yunus Hairi.Hadir bagi meraikan Majlis Keraian ialah YB Dato` Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor, Sasatrawan Negara Dato` A. Samad Said Tamu yang diraikan, Dato` Mohd.Ariff Bin Ab. Rahman Pegawai Kewangan negeri Selangor, YB Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi PADAT, Exco-Exco, Tan Sri-Tan Sri, Dato`-Dato` dan pegawai-pegawai negeri Selangor.



Dato` Seri Anwar Ibrahim ketika berucap meraikan Dato` A. Samad Said – Sasterawan Negara menyatakan, "Sastera dan sasterawan tidak menuntut diiktiraf, tetapi adalah tanggungjawab rakyat mengiktiraf." Tambahnya, "Apa yang membedakan Pakatan Rakyat dari yang lain, bahawa iltizam kita membawa perubahan dan islah baik dalam bidang politik, ekonomi dan budaya. Pengiktirafan terhadap ketokohan Dato` A. Samad Said adalah satu dari sentuhan budaya yang memupuk kekuatan jati diri negeri Selangor sejajar dengan kekutannya dalam bidang politik dan ekonomi."


Dato`Seri Anwar menyifatkan Pak Samad sebagai jurubicara bangsa sejak 1950an semasa di Singapura mengenai kepincangan sosial akibat perang bersama-sama teman-teman sasterawannya seperti Tongkat Warrant (Usman Awang), Keris Mas dan Said Zahari. Dato` Seri Anwar mencadangkan, "Pengalaman A. Samad Said yang dicurahnya lewat buku-bukunya wajar ditelaah dan dimanfaat generasi yang melalui buku-bukunya dirakam pengalamannya secara jujur dan indah.


Dato` Seri Anwar menegaskan, ``Kita bertegas bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara. Dengan kekukuhan bahasa Melayu, kita menggalakkan pengusaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa yang lain dan rakyat seharusnya mampu memnguasai sekurang-kurangnya dua bahasa.``


Sementara itu Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor dalam ucapan perasmiannya menyatakan,

``Dalam masyarakat sesekali kita menemui watak yang menapak lebih ke depan dari yang lain dan menyimpang dari ungkapan klisye. A. Samad Said adalah satu watak yang mendepani masyarakat zaman lewat karya-karyanya baik dalam bentuk novel, cerpen, puisi dan lukisan-lukisannya.``

Dato` A. Samad Said yang lahir pada 9 April 1935 pernah menjadi pengarang akhbar Inggeris dan Melayu, terlibat dalam Asas 50 dan menghasilkan berpuluh karya yang melayakkannya menerima pengiktirafan sebagai Pejuang Sastera, Sea Write Award, Sasterawan Negara. Sejak 2009 bergerak aktif bersama Pakatan Rakyat membela mengenai isu Kedaulatan Bahasa Melayu, PPSMI, Bersih dan Keadilan Dalam Pilihanraya. Pak Samad disifatkan oleh YAB Dato` Menteri Besar, ``Sasterawan Negara sekaligus Sasterawan Rakyat !``

Dato` Menteri Besar Selangor berjajni kerajaan Negeri Selangor memberi kemudahan kepada Dato` A. Samad Said di dalam berkarya dan bersedia menerbitkan buku-bukunya.


Dalam ucapan balasnya, Dato` A. Samad Said mengucap teriima kasih di atas pengiktirafan yang diberi. Beliau memuji kerajaan Negeri Selangor yang banyak memberi kemudahan kepada rakyat melalui berbagai skim. Beliau melahirkan pendapat bahawa beliau menyokong kepada sesuatu perjuangan berdasarkan prinsip. Sebagai sasterawan beliau bukan sebagai pemerhati semata-mata, tetapi adalah terlibat sama membela isu-isu yang dihadapi masyarakat dan turun sama memnghadapi permasalahan yang dihadapi mereka. Denyut nadi masyarakat ini menjadi tema dan persoalan karya-karya Pak Samad yang menurutnya berjumlah 60 buah.

Pak Samad menyindir, bahawa kita didesak untuk lebih hidup dalam dunia iklan dan memaksa kita mempercayai dengan apa yang kita tidak percaya konon, ``Janji Ditepati` dan dikelrukan oleh `Angka Satu` yang diselewengkan dari segi ketepatan dan kejituannya !

Sebagai seorang yang pernah terlibat dengan media, beliau menyelar media yang memutarbelitkan kenyataan dan tidak mempercayai media yang diperalatkan. Sebagai sasterawan beliau membawa misi terhadap semua generasi sebagai tercermin di dalam karya-karyanya yang ditujukan kepada semua lapisan masyarakat dari peringkat dewasa, orang muda, mahasiswa, bahkan kepada kanak-kanak.


Terdahulu dari itu YB Puan Hajah Radziah selaku Exco Penganjur berucap mengucapkan terima kasih di atas kehadiran YB Dato` Seri Anwar dan YAB Dato` Menteri Besar Selangor bagi meraikan Dato` A. Samad Said sebagai Sasterawan Tamu Negeri Selangor. Sebelum majlis bermula Dato` Seri Anwar dan Tan Sri Khalid menikmati pameran karya-karya Pak Samad yang dipamerkan pada bahagian pintu masuk Dewan Orkid PKPS itu. Dato` A. Samad Said menghadiah cenderahati yang berupa lukisannya kepada Dato` Seri Anwar Ibrahim dan juga Dato` Menteri Besar Selangor. Dato` A. Samad Said juga dipakaikan dengan Tanjak Gaya Negeri Selangor oleh Dato` Menteri Besar sebagai penghormatan kepada Dato` A. Samad Said.

Sekian.

No comments:

Post a Comment