September 26, 2012

Jakarta - Tanggapan Sejenak Persinggahan










Kembara menggugah diri itu
Benar-benar memberi pengalaman
Kehidupan adalah perjalanan
Menuju destinasi tujuan
Arus menghanyutkan itu
Tidak selurus diharapkan
Seperti perlepasan ini ke Palembang
Lencong ke Jakarta atasi kelewatan
Sekadar menginjak di Soekarno-Hatta
Internasional Lapangan Terbang
Meski lewat malam masih hangat
Gemerlap neon dan gerak cahaya kenderaan
Masih aktif mengejar larutnya malam
Tiada peluang berjalan tiada masa bermesraan
Sekadar lelap di Hotel Lapangan Terbang
Bimbang kiranya sekali lagi ketinggalan.












Pagi ini mengah diri dapat diredakan
Kuprojek imej diriku Melayu berpakaian
Sesuai ke destinasi Palembang sambutan
Semasa menunggu perlepasan
Kuhayati Jakarta dan seluruh Indonesia
Melalui motif dan imej dihiaspaparkan
Di mana kemungkinan ruang
Indonesia Negara pulau-pulau
Amat berbangga dengan pelayar-pelayar
Kenderaan laut kapal-perahu besar
Bugis-Makasar ke Laut berlayar
Tersusun haluan menepis angin dan gelombang
Di darat gambaran hijau hasil tumbuh-tumbuhan
Pakaian rakyatnya bermotif batik dan beragam
Berumah pasak gadang beranah Minang
Bermuzik asli beralat tradisi peribumi
Turut terpampang motif-motif kepercayaan
Animisma, Hindu, Kristian, Islam
Keindahan alam tarikan pelancongan
Dari Bali ke lokasi-lokasi artifek tinggalan
Demikian secebis tanggapanku di perjalanan
Amat pelbagai Indonesia Benneka Tunggal Eka.




Sejenak Persinggahan di Lapangan Terbang
Cukup publisiti dengan maklumat menyaji diri
Bahan permulaan bagi persiapan lebih mendalam
Lebih intim bila nanti tiba di Palembang
Kini bas mengangkut penumpang ke pesawat
Membelah dingin pagi membawa ke destinasi
Jakarta dalam kabus dan hari mengusap diri
Memberi ruang pada Garuda menginjak diri
Kembali Mencecah landasan Lapangan Terbang
Sultan Mahmud Badaruddin di Darul Salam
Gerbang menyambut kami ke Palembang.


Shafie Abu Bakar,
Jakarta – Palembang,
02 – 03 Zulkaedah 1433
18 – 19 September 2012.

No comments:

Post a Comment