September 4, 2012

Tanah Bangi Subur Dengan Berbagai Benih Idealisme Perjuangan

BBB, 16 Syawal 1433 = 03 September 2012 (Isnin):


Selang sehari berturut-turut Adun Bangi dibuat temujanji dan dijemput oleh dua badan yang kedua-duanya mendakwa berjuang melalui badan masing-masing untuk menegakkan Islam. Pada 30 Ogos 2012 = 12 Syawal 1433 Adun dikunjungi oleh Presiden Hizbut Tahrir saudara Abdul Hakim bin Othman bersama sahabatnya saudara Abu Hafiz yang merupakan AJK Hizbut Tahrir. Kemudian pada 01 September 2012 bersamaan 14 Syawal 1433 Adun dijemput oleh pihak Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada 01 September 2012 bagi merasmikan Pejabat ISMA di Taman Putera Kajang.

Kehadiran Presiden Hizbut Tahrir dan sahabatnya Abu Hafiz ke Pejabat Adun bertujuan kunjungan hormat dan bertukar-tukar fikiran. Dalam percakapan dapatlah difahami, bahawa Hizbut-Tahrir adalah bertujuan untuk menegakkan Islam menurut sistem Khalifah dan tidak bersetuju dengan sistem pilihanraya, kerana menurutnya cara mengundi bukan dari Sunnah Rasulullah. Ketika ditanya, bagaimana hendak memerintah tanpa pilihanraya ? Adakah melalui revolusi, rampas kuasa? Saudara Abdul Hakim tidak dapat memberi jawapan, kerana menurutnya perlu kepada pertemuan khas untuk penerangan. Menurutnya Hizbut-Tahrir ditubuhkan di Palestin oleh Syeikh Taqiyyuddin An-Nabhani dari Quds dan Aqsa Ash-Sharif Palestin. (1996). Menurut saudara Abdul Hakim, Hizbut Tahrir mempunyai cawangan di 40 buah Negara di dunia dan di Malaysia terdapat pejabat bagi setiap negeri. Pejabat di Bangi adalah induk bagi yang lain. Mereka membuat kegiatan dengan pendidikan, ceramah dan dakwah. Saudara Abdul Hakim meninggalkan kepada Adun risalah Saut An-Nahdah yang diedarkan oleh Hizbut Tahrir secara bersiri dari masa ke masa. Sebagai balasan Adun menghadiahkan kepada setiap dari mereka berdua buku "Bangi Bandar Ilmu".


Manakala pada 01 September Adun merasmikan Pejabat ISMA yang baru beralamat di Lot. No. 22, Aras 2, Jalan Putra 3, Taman Putera Kajang. ISMA mempunyai pejabat asal di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi, Majlis Perasmian bermula dengan bacaan Quran oleh seorang pelajar. Ucapan YDP ISMA saudara M. Nor Azid bin Asmangi yang mengalu-ngalukan para hadirin dan menekankan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat. Adun Bangi dalam ucapan mengucap tahniah kepada ISMA yang mempunyai pejabat kedua selepas Pejabat Utama di Seksyen Sembilan yang merupakan Pejabat Pentadbiran utama. Di sana pejabat Presiden ISMA saudara Abdullah Zaik Abdul Rahman. Adun memuji hasrat ISMA yang juga berusaha menegakkan Islam, tetapi Adun melahirkan pendapat alangkah baik berbagai-bagai badan yang bertujuan mau menegakkan Islam ini bersatu dalam ikatan longgar untuk sama menegakkan Islam. Adun bersifat terbuka selama tujuan murni dilaksanakan, tetapi tidak memberi masalah kepada yang lain. Selepas ucapan, Adun menandatangani plug tanda perasmian dan membuat lawatan ke Pejabat yang baru dibuka. Fokus ISMA nampaknya kepada pendidikan dan dakwah bagi banyak peringkat. Yang ditekankan ialah mau Melayu Sepakat, maka Islam Berdaulat. ISMA mempunyai cawangan-cawangan di dalam Negara dan luar negara


Satu yang menarik, bukan saja Hizbut-Tahrir dan ISMA yang memilih Bangi sebagai Ibu Pejabat dan Pusat kegiatan, tetapi banyak lagi badan dan pertubuhan yang memilih dan menjadikan Bangi sebagai pusat operasi mereka. Ini ialah kerana Bangi Bandar Ilmu & Islam yang disuburkan oleh Pas yang mendapat mandat dari rakyat. Badan-badan yang lain ialah:



  1. Aman Palestin yang disertai oleh Dr Hafizi. Pejabatnya ialah di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. Fokus utama bagi membela Palestin dengan memungut derma dan menghantar bantuan dan mendirikan bangunan di Palestin.

  2. Ikram nama yang menggantikan nama JIM. Pejabatnya ialah di Sungai Tangkas Bandar Baru Bangi. Antara tumpuan utama ialah pendidikan seperti Sekolah Al-Amin di Sungai Tangkas Bandar Baru Bangi.

  3. ABIM lahir sejak 1970an dan kini bertapak di Sungai Ramal Dalam. Pendekatan utama ialah pendidikan, di samping intelektual dan dakwah

  4. Excel Bangi, yang pakar dari segi motivasi dan pejabatnya di Seksyen 9 berhadapan dengan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi

  5. Dar Ash-Shifa` yang diasaskan oleh Yang Berbahagia Dato` Dr. Haron Din di Bangi sejak 1980-an. Dar Ash-Shifa` menumpukan kegiatan pada perubatan Islam dan dakwah dengan Pusat Utamanya di Bangi dan kini mempunyai cawangan-cawangan di Selangor dan negeri-negeri yang lain.

  6. Jamaah Tabligh, walaupun tidak berpusat di Bangi, tetapi mempunyai pengikut-pengikut di Bangi dan menjalankan kegiatan-kegiatan yang ketara di Bangi.

  7. ISIUKM adalah badan yang dianggotai pelajar UKM yang bergiat bagi menegakkan Islam terutama di kalangan mahasiswa.

  8. PKPIM yang dianggotai pelajar-pelajar dari berbagai pengajian tinggi. Bangi adalah menjadi salah satu tempat kegiatan bagi mendidik dan membentuk pelajar berjiwa Islam.

  9. Persatuan Alumni UKM (JASA) yang menjadi badan bagi pelajar-pelajar yang baru keluar dari UKM bergiat dan dipimpin oleh bekas pimpinan mahasiswa di kampus. Lebih bergiat untuk kepentingan dan kebajikan bekas pelajar UKM. Ahli-ahli lebih erat pada peringkat permulaan tamat pengajian. Kemudian lebih jauh apabila masing-masing mendapat pekerjaan, kecuali yang komited dengan persatuan (longgar). Biasanya ada perhimpunan dan mesyuarat tahunan dan pemilihan pimpinan. Adun sering dijemput ke majlis sedemikian.

  10. Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang menjadi induk bagi persatuan-persatuan taman di Bandar Baru Bangi. Tujuan untuk memelihara kebajikan penduduk. Berjuang bagi menegakkan wibawa Melayu-Islam.
Jelas terbukti dengan 12 badan yang bergiat di Bangi bahawa Bangi menjadi tempat subur bagi berbagai badan bersifat keislaman menegakkan idealisme keislaman mereka. Bangi bersifat terbuka - sebagai Bandar Ilmu dan Islam yang menggalakkan kegiatan intelektual dan keislaman yang menjadi identiti bagi Bandar Baru Bangi. Namun sebagaimana Adun Bangi berucap semasa membuka Pejabat Baru ISMA di Taman Putera Kajang, Bangi:

"Alangkah elok jika berbagai badan yang semuanya beridealisme menegakkan Islam ini bersatu di dalam 'Ikatan Longgar' bagi menyatukan tenaga dan fikiran bagi kepentingan umat dan Islam itu sendiri."

Bangi terbuka bagi berbagai-bagai badan beridealisme menegakkan Islam sesuai Bangi sebagai Bandar Ilmu dan Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment