September 10, 2012

Budaya Beraya Sebulan Syawal Bermula Di Negeri Selangor

BBB, 22 Syawal 1433 = 09 September 2012 (Ahad):

Satu konklusi yang dapat diambil, bahawa Budaya Beraya sebulan Syawal adalah budaya yang timbul dan berkembang di negeri Selangor, kemudian merebak diikuti oleh negeri-negeri yang lain. Beraya sebulan Syawal bukannlah tuntutan dalam Islam dan bukan pula dilarang, tetapi berkembang hasil dari keperluan kemasyarakatan. Raya Eidul Fitri yang menjadi tuntutan sunat ialah pada hari pertama yang puncaknya ialah Solat Eidul Fitri di masjid-surau yang diikuti dengan memohon maaf dari ayahbonda, ziarah menziarahi sambil menikmati juadah yang disediakan yang juadah berkenaan juga dipengaruhi oleh keadaan dan sosio-budaya setempat. Turut dituntut juga menziarah kubur arwah keluarga yang telah kembali ke Rahmatullah. Hariraya pertama adalah Hariraya Eidul Fitri yang sebenarnya, kerana hari keduanya kebanyakan berpuasa Syawal atau juga dikenali sebagai Puasa Enam. Paling lama sambutan
Eidul Fitri adalah tiga hari, bagi yang belum lagi memulakan sunat puasa Syawal. Ini adalah amalan biasa dilakukan seperti di negeri-negeri di Pantai Timur seperti penulis sendiri alami.
Tetapi bagi negeri seperti Selangor sudah menjadi budaya menyambut raya Eidul Fitri adalah selama sebulan. Tidak jelas bila bermula adat budaya ini, kerana seingat penulis sejak tinggal di Selangor, khususnya d Kuala Lumpur sejak 1970 budaya beraya sebulan Syawal ini telah wujud dan terus diamalkan oleh masyarakat. Mengapa terjadinya sambutan raya Eidul Fitri sehingga sebulan ? Sebagaimana dikatakan di atas, ianya merupakan keperluan masyarakat. Adalah dirasakan dengan beraya satu atau tiga hari tidak mencukupi. Ini ialah kerana sebahagian besar dari penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur adalah merupakan perantau yang meninggalkan kampong halaman kerana mencari rezeki di Selangor. Pada kebiasaan untuk beberapa hari raya,
bahkan sampai seminggu, mereka ini pulang ke kampong asal mereka di luar dari Selangor. Dengan ini mereka tidak dapat beraya dengan penduduk yang mereka tinggal di Selangor dan tidak juga boleh berhariraya dengan teman-teman sekerja seperti di Pejabat dan institusi-institusi yang lain. Apabila mereka pulang mereka ucap mengucap selamat hariraya dan menukar juadah atau membawa makan bersama terutama seperti di pejabat dan di tempat kerja.

Bagi penduduk di taman perumahan dan Bandar mereka mengadakan pertemuan hariraya seperti di masjid, surau, dibalai komuniti, balairaya, padang atau di bangunan-bangunan tertentu. Oleh kerana hari-hari yang dipilih memakan masa hari demi hari, maka pertemuan hariraya ini dirasakan sesuai diadakan dalam masa sebulan bagi bulan Syawal, terutama pada hari-hari hujung minggu – Sabtu dan Ahad, tetapi bagi pejabat-pejabat dan institusi-institusi keperluan bagi mengadakan hariraya membawa kepada pemilihan hari bagi sambutan iaitu pada hari-hari kerja, maka jadilah seluruh hari daripada bulan Syawal itu menjadi pilihan bagi mengadakan sambutan hariraya.

Budaya berhariraya sebulan Syawal ini menjadi mantap dalam mana misalnya bagi masjid-surau memilih malam-malam yang sesuai atau hari minggu, manakala persatuan taman, badan-badan tertentu, induk dan cawangan biasanya memilih sama ada hari Sabtu atau Ahad menyambut hariraya, manakala bagi jabatan, institusi dan sebagainya memilih hari bekerja bagi menyambut hari raya. Hariraya dilihat sebagai hari menyambung silatur-rahim, bergembira dan bermaaf-maafan, sebab itu jemputan yang dibuat ialah terhadap berbagai-bagai lapisan masyarakat, sebab itu seorang pemimpin, ketua dari jabatan dan institusi menjemput terutama kakitangan pekerja dan lain-lain dan juga menerima banyak jemputan dari berbagai pihak, maka pihak yang menerima jemputan, katakan Adun dalam bulan Syawal banyak menunaikan jemputan raya hingga melibatkan belasan jemputan pada satu hari, terutama pada hari-hari minggu.
Hasil dari budaya raya sebulan Ramadhan, ialah melibatkan penyediaan makanan bagi satu-satu tempat sambutan, maka dilihat juadah makanan tidak lagi sama dan biasa, tetapi melibatkan penyediaan mereka yang datang dari berbagai-bagai negeri, maka terhasil juadah dan makanan yang disediakan berpelbagaian. Juadah-juadah utama seperti ketupat, lemang, nasi impit, nasi beriani, laksa yang berbagai jenis laksa, sate, nasi dagang, putu mayang, soto, mei, begitu juga dengan kuih berbagai jenis kuih. Pendek kata hariraya menampilkan juga budaya keunikan berbagai juadah yang disediakan. Keceriaan juga dilihat dari berbagai pakaian yang disukai. Bagi lelaki berpakaian baju Melayu, bagi perempuan berbaju kurung atau kebaya bertudung dan bagi anak-anak lebih berpelbagaian. Akibat dari ziarah menziarahi, maka pada hujung-hujung minggu bagi bulan Syawal jalanraya penuh sesak dengan kenderaan yang antara satu sama lain ziarah menziarahi dengan pakaian raya berwarna warni dan menarik pandangan. Pada satu peringkat sambutan hari raya berlaku di kalangan orang Islam sahaja, tetapi jemputan juga dibuat terhadap yang bukan Islam dan mereka turut berziarah hari raya atau mereka dijemput oleh pemimpin, ketua, pihak AJK penduduk dan sebagainya bagi menghadiri jamuan hari raya. Kini bagi mengadakan jamuan hari raya menjadi mantap dengan penggunaan istilah seperti Hariraya, Hari Terbuka, Rumah Terbuka dan sebagainya yang seolah-olah hariraya menjadi hariraya bagi semua masyarakat Malaysia.

Kini berhariraya sebulan Syawal menjadi identiti budaya bagi masyarakat Umat Islam di Selangor dan berkembang ke negeri-negeri di luar dari Selangor. Ia adalah ciri budaya unik yang berkembang secara positif dan mengeratkan hubungan kemasyarakatan.

Sekian.

1 comment:

  1. Perdana Menteri manakah yang akan menghapuskan budaya beraya sebulan Syawal serta cuti pada kedua Hari Raya Aidil Fitri? Budaya yang lebih baik ialah Hari Raya Pertama ialah hari bekerja biasa tetapi pekerja beragama Islam diberi pelepasan untuk bersolat Hari Raya selama satu jam setengah. Cuti dua hari dipindahkan ke bulan Ramadhan supaya umat Islam lebih banyak peluang beribadat khusus terutama pada 10 hari terakhir Ramadhan atau sehari daripadanya dibawa ke Hari Tasyrik.

    ReplyDelete