September 25, 2012

Pesta Mainan Rakyat Dan Silat Di Daerah Gombak Dirasmikan Dato` Menteri Besar Selangor

Dataran Bandar Baru Selayang, 07 Zulkaedah 1433 = 23 September 2012 (Ahad):

Pihak Exco Kebajikan yang juga memberi perhatian terhadap kebudayaan menganjurkan Festival Sukan Rakyat pada peringkat Daerah Gombak dan Pertandingan Silat pada peringkat negeri Selangor bertempat di Dataran Bandar Baru Selayang, Gombak, Selangor yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang. Pihak YAB Dato` Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim dijemput menyampaikan hadiah dan merasmikan Majlis Penutup pada jam 3.00 petang. Adun Bangi diminta oleh YB Rodziah Ismail mewakilinya untuk hadir ke Pesta di atas, lantaran itu pada jam 2.30 petang Adun Bangi telah tiba di Dataran di atas. Pada masa itu khemah di dataran sudah dipenuhi peserta dan juga jemputan. Turut hadir pada Pesta ini ialah YB Gan Pan Nei Adun Rawang, Dato` Zainal Abidin A`la YDP Majlis Perbandaran Selayang,YB Tuan William Leong Jee Keen Ahli Parlimen Selayang dan En. Norhisham Dahlan Pegawai Daerah Gombak yang baru. YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim tiba untuk perasmian jam 3.00 petang bersama isteri YAB  - Puan Seri Salbiah.

Sebelum ketibaan YAB Dato` Menteri Besar telah berlangsung pertandingan-pertandingan sejak jam 8.00 pagi lagi. Antaranya ialah Pertandingan Silat Cekak Hanafi, Silat dari Persatuan Silat, Silat Seni Gayung, Silat Selempang, Sepak Raga Kain Pelikat. Pasukan silat berjumlah 100 orang manakala jenis pertandingan Permainan Rakyat ialah Baling buah kelapa, Sukan Hantu Bungkus, Pertandingan Mewarna, galah panjang, Congkak, Batu Selimbang, Dam Harimau, dan Kompang.


Dalam ucapannya sebelum menyampaikan hadiah YAB mengingatkan bahawa walaupun kita maju, tapi adat istiadat adalah penting yang menciri dan mengidentitikan kita, bahkan perlu disanjung. YAB membawa contoh Jepun walaupun maju, tapi amat kasih pada pakaian `Kimono` dan menjadi pakaian kebanggaan, demikian mereka menonton `Kabuki`, walaupun ceritanya pada kita amat lambat, perlahan dan perlu kesetiaan dan kesabaran. Kita wajar menghormati dan menghidupkan umpamanya `Main Galah Panjang` dan congkak, memahami seni pertahan diri dengan pantang larangnya. Misalnya perlu kita memahami mengapa Orang Bugis bersilat dengan angin, kerana mereka pelayar yang sentiasa menghadapi cabaran dari angin laut dan ribut, manakala orang Jawa pula suka bergerak secara mengintai dalam permulaan silat, ialah gambaran sifat masyarakat Jawa yang bergerak dalam pohon-pohon yang perlu diintai dalam berjalan. YAB menyebut tentang cadangan kerajaan Negeri membangunkan Pusat Kebudayaan bagi Orang Melayu, Cina dan India yang bertempat di pinggir Sungai Kelang. YAB memuji usaha mengadakan karnival yang disifatkan sebagai menarik. Festival sedemikian menurut YAB wajar diadakan dari daerah ke daerah untuk disertai berbagai masyarakat rakyat. Berikutnya YAB Dato` Menteri Besar merasmikan Majlis Penutup Festival Permainan Rakyat dan Seni Silat.


Sebelum dari itu Encik Norhisham Mohd Dahlan, Pegawai Daerah Gombak mengalu-ngalukan kehadiran YAB Dato` Menteri Besar Selangor yang menurutnya menyerikan majlis. Beliau menyebut, usaha dibuat bagi mengumpul semua pihak yang masih mendukung permainan rakyat di seluruh Gombak dan juga silat seluruh Selangor. Menurut En. Norhisham objektif program ialah:

``Mengetengahkan seni budaya Negeri Selangor, ` memperkenalkan permainan tradisional kepada golongan muda dan menghimpunkan pesilat-pesilat di daerah Gombak dan Selangor.`


Sebelum YAB Dato` Menteri Besar menyampaikan hadiah, pasukan-pasukan pesilat mendemonstrasikan gerak silat masing-masing secara bergilir di atas pentas. Selepas penyampaian hadiah Dato` Menteri Besar dipersalinkan dengan sesalinan selimpang silat dan dipakaikan tanjak yang secara kebetulan warna tanjak adalah sesuai dengan baju Melayu yang dipakai oleh YAB Dato` Menteri Besar (Beliau sebelumnya menghadiri perkahwinan anak Dato` Mufti Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam).


Berikutnya YAB diiringi ke gerai-gerai menyaksi pameran-pameran yang disertai berbagai pihak, bergambar dan membuat sidang akhbar.


Majlis diakhiri dengan minum petang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment