September 9, 2012

Warkah Kemerdekaan Perlu Diperbetulluastafsirkan: Bahawa Kita Berjiwa Merdeka !

Kudus keramat warkah kemerdekaan terakam
Telah lama ditafsirkan secara berpihak
Menafikan mereka yang sama berhak
Sedang sejarah dengan fakta tidak berdusta
Menuntut disusunatur secara saksama
Hari ini mari kita kembali memeriksa nukilan
Tentang ayat, perkataan dan nuktah dihilangkan
Bahkan semua yang dipadam perlu dikembalikan
Untuk disaksamakan dari segi sejarah dan penilaian.


Tentang kasih cinta terhadap buminda
Tiada siapa dapat menyangkal setia
Setiap warga kelahiran mendakapnya penuh sayang
Sebarang gugatan menjatuhkan maruah
Apa lagi pencabulan merampas kemerdekaan
Pasti dipertahan anak watan para pahlawan
Rentetan kewiraan dapat digalur sejak silam
Tentang negarawan bijaksana Tun Perak
Menentang cubaan Portugis menguasai Melaka
dengan tipu helah bijaksana Portugis terpedaya
tentang Tun Seri Lanang mewariskan catatan sejarah
pada turunan anak bangsa berdiri megah.

Gemerlap kekayaan Negara itu jadi tarikan
Dari jauh meredah laut-darat mereka datang
Kemasukan British campur tangan cetus penentangan
Dol Said bangkit menentang British di Naning
Haji Abdul Rahman Limbong dan Syed Abdul Rahman
Menyanggah campurtangan British di Kuala Terengganu
Sedang Tok Janggut menentang British di Kelantan
Tok Gajah, Dato` Bahaman, Mat Kilau di Pahang
Sultan Ibrahim mengalahkan Belanda di Kuala Selangor
Mereka sekata dalam jihad menentang penjajahan.

Jihad-perjuangan Kemerdekaan lebih tajam
Dengan meletusnya dua perang dunia
menjatuhkan imej penjajahan
menaikkan semangat anak watan
Membangkitkan jihad para pahlawan
Berkemampuan menentang penjajahan
Dari kesedaran kaum muda dan tua
Melahirkan Syed Sheikh Al-Hadi Syeikh Tahir Jalaluddin
Mengislahkan masyarakat dengan kesedaran
Kesatuan Melayu Muda melahirkan Ibrahim Yaakob
Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam
Dan kemudian Burhanuddin Helmi
Dengan gerakan orang muda berjiwa radikal
Setelah menyerah kalah Percival kepada Yamashita
Melahirkan leftist MPAJA,
Turut lahir KRIS dan PATA
API Pimpinan Ahmad Boestamam
AWAS Aishah Ghani dan Shamsiah Faqeh
PKMM Mokhtaruddin Lasso, Burhanuddin Helmi
Ishak Haji Muhammad, Aishah Ghani
Abu Bakar al-Baqir, Baharuddin Abdullatif
Mereka pimpinan radikal Melayu
Menciptakan slogan keramat `MERDEKA`
Terakam dari darah, keringat dan air mata
Sebahagian mereka merengkok dalam penjara
Setengah pula meninggal akibat darinya
Namun pengorbanan tidak dikenang bahkan dilupakan
Sedangkan hakikat perjuangan mereka
Jauh lebih mendahului UMNO
Melahirkan slogan `Hidup Melayu`
Sesungguhnya amat jauh perbezaan
Antara `Menerima Kemerdekaan`
Dari memperjungkan kemerdekaan
Menuntut pengorbanan nyawa
Darah, keringat dan air mata
Dan penentangan terhadap Malayan Union
Bukan hanya dari Umno pada Mac 1946
Tetapi dari gerakan secara menyeluruh
41 organisasi politik dan persatuan
Yang Umno masih belum lahir
Dan menumpang kelahiran 11 Mei 1946
Dari percikan semangat PKMM dan cawangan
Mendominasi Umno kemudian elit dan aristokratik
Dan mendapat laluan dari kekuasaan
Atas pertentangan antara elit-conservative
Islamik-radikal membuka ruang kepada
Kelahiran Hizbul Muslimin dan Pas bila diharamkan
Inisiatif Abu Bakar Al-Baqir mewarisi Burhanuddin Hilmi
Jalan kemerdekaan itu begitu berliku dilalu
Pengakhiran diambil kesempatan oleh Umno
Berasaskan parti berdasarkan kaum mereka bersatu
Menerima kemerdekaan di atas perjuangan yang lalu
Pertaruhkan darah keringat dan air mata
Tak seharusnya begitu saja dilupa.

Warkah kemerdekaan sekian lama
terbiar dirakam dakwat biru Umno
Dengan banyak ayat dan tafsiran silap
Seharusnya dipotong dengan dakwat merah
Menyusun kembali kesilapan sejarah
Dengan tinta jelas menyerlah.

Kemerdekaan itu bukan milik pihak tertentu
Tapi seluruh perjuangan lalu
Menitis dalam mangkuk waktu
Dihirup dahaga ketepatan anak zaman
Ditambah sempurna generasi mendatang
Pakatan Rakyat yang terus menggilat zaman
Dengan keupayaan minda, kreatif inovatif
Menjana keupayaan setara kemajuan
Terserlah peringkat antarabangsa dan global
Bahawa kita berjiwa MERDEKA!

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
Syawal 1433
Ogos 2012.

(Puisi di atas dideklamasikan oleh penulis pada Majlis Perasmian Pameran Selangorku oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor pada 20 Syawal 1433 = 07 September 2012 sempena Bulan Kemerdekaan bertempat di Muzium Sultan Alam Shah.)

No comments:

Post a Comment