September 14, 2013

Abdul Malik Bin Abdullah Pengarang Kitab Terawal Dari Tanah Melayu: Hikam Melayu

-->
BBB, 07 Zulkaedah 1434 = 13 September 2013 (Jumaat):


Setakat ini adalah didapati bahawa tokoh `ulama` Abdul Malik bin Abdullah (1633-1726) yang belajar di Makkah selama (1661-1673) telah mengarang Kitab Hikam Melayu yang digunakan sebagai kitab pengajaran beliau kepada pelajar-pelajar dari tanah Jawi di Makkah-Madinah dan juga digunakan selepas perkembalian beliau dari Makkah ke Terengganu. Kitab ini dikarang di sana secara tulis tangan dan disalin oleh pelajar-pelajarnya dan jamaah Haji di Makkah yang masing-masing membawa pulang ke negeri masing-masing. Apabila wujudnya percetakan, maka kitab Hikam Melayu turut dicetak seawal abad ke 20 di percetakan di Makkah, Mesir, Singapura dan Pulau Pinang. Cara mengarang secara tulis tangan ini dilakukan oleh ulama-ulama pengarang yang tinggal di Makkah dan menghasilkan karangan-karangan semasa di sana. Contoh kitab-kitab Shaykh Dawud al-Fatani pengarang pertengahan abad ke 19 juga menghasilkan karangan-karangan di dalam berbagai bidang secara tulis tangan dan beliau mempunyai kumpulan penyalin-penyalin tulis tangan yang disebarkan kepada pelajar-pelajar dan jamaah Haji yang datang ke Makkah. Juga berlaku penyalinan kitab-kitab berkenaan di tempat-tempat yang lain. Kemudian karangan-karangan berkenaan dicetak selepas adanya percetakan.

Kitab-kitab keilmuan  Islam terawal (tidak termasuk karangan sastera seperti Sulalatus- Salatin -Sejarah Melayu, dan seumpamanya) adalah hasil karangan oleh Shaykh Nuruddin ar-Raniri (pada zaman Sultan Iskandar Thani (1636-1641) dengan kitab fiqhnya yang berjudul Sirat al-Mustaqim dan Abdul Rauf Singkel (1615-1690an) yang tinggal selama 19 tahun di tanah Arab yang karangan fiqhnya menurut mazhab Shafie antaranya ialah Mir`at al-Tullab fi Tashil Ma`rifat al-Ahkam al-Shari`ah li al-Malik al-Wahhab. Beliau pulang ke Aceh pada zaman pemerintahan Sultanah Tajul Alam  Safiatuddin Shah (1641-1675). Kitab tersebut dikarang atas per


mintaan Sultanah di atas. Atas permintaan Sultanah tersebut juga Shaykh Abdul Rauf mengarang kitab Kifayat al-Muhtajin – kitab Tasawuf bagi menerangkan persoalan yang berhubung dengan A`yan Thabitah.
(Abdurrauf Singkel Tokoh Shatariyah (Abad ke 17), Dewan Bahasa, Jil IX, Bil. 5 – Mei 1965: 195-199).

Sepanjang yang diketahui setakat ini, bahawa Shaykh Abdul Malik bin Abdullah yang sezaman dengan Shaykh Abdul Rauf Singkel dan berkesempatan sama belajar di Makkah-Madinah dengan Shaykh Ibrahim al-Kurani murid Shaykh Ahmad al-Qushashi, dengan karangan Kitab Hikam Melayunya, beliau adalah merupakan ulama dari Tanah Melayu terawal dari Tanah Batu Bersurat Terengganu itu menghasilkan kitab jawi yang berjudul Hikam Melayu . Kitab Hikam Melayu yang bersifat sharah adalah berdasarkan kepada Matan Hikam Ibn Atai`llah (m.1309M.). Matan Hikam begitu popular menghampiri popularnya kitab Ihya` Ulum al-Din karangan al-Imam al-Ghazali (m.1111M.). Sharah terhadap Matan Hikam dilakukan oleh ramai ulama` baik di dalam bahasa Arab dan juga di dalam bahasa Melayu serta juga bahasa-bahasa yang lain. Adapun Sharah di dalam bahasa Melayu adalah dimulakan oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah. Berhubung dengan kajian terhadap Matan Hikam (MH) ini;

``MH adalah karangan tasawwuf yang terkenal di dalam pengajian Tasawwuf Islam dan tersebar luas di merata Negara Islam. Di Alam Melayu Hikam Melayu (HM) adalah merupakan persuratan tasawwuf Sunni terawal yang ditulis secara sharh yang lengkap dan panjang serta tersebar luas di rantau tersebut, terutama selepas malapnya pengaruh tasawwuf aliran wujudiyyah yang berkembang subur di Aceh. Kelahiran HM bolehlah dianggap berperanan bagi memenuhi kekosongn  karya-karya tasawwuf sunni yang sebelumnya merupakan sebagai alternatif bagi pelajar-pelajar tasawwuf selepas karya-karya falsafah wujudiyyah dicap sebagai menyeleweng. Kehadiran HM bukan sekadar memenuhi kekosongan, tetapi membawa bersama-samanya satu corak penulisan tasawwuf baru jauh berbeza dari bentuk-bentuk penulisan sebelumnya, ia bukan berbentuk puisi sebagaimana dihasilkan oleh Hamzah Fansuri sebelumnya dan tidak pula berbentuk prosa biasa, tetapi ianya berbentuk hikam yang membawa pemikiran mendalam dengan susunan bahasa yang indah menawan. Karangan yang berbentuk sharah itu sendiri adalah merupakan corak baru yang diberi ulasan dan rujukan secara ilmiah jauh mengatasi corak sharah yang dilakukan oleh Shaykh Sham al-Din al-Sumatrani terhadap puisi ruba`I gurunya, iaitu Hamzah Fansuri. Lebih dari itu kandungan HM yang  istimewa itulah sebenarnya yang memperkukuhkan kedudukannya di dalam persuratan tasawwuf berbahasa Melayu. Sejak kelahirannya ianya terus diguna dan disalinkan serta luas dipelajari di alam Melayu. Sejak wujudnya percetakan khususnya di Makkah dan Mesir yang turut juga mencetak kitab-kitab di dalam tulisan jawi sejak awal pertumbuhannya, maka kitab HM telah dicetak oleh beberapa percetakan – luar Negara diikuti oleh percetakan tempatan.``
(Shafie Bin Abu Bakar, Hikam Melayu: Kajian Falsafah Dan Etika, Institut Bahasa, Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1990: XIX-XXI).

Berhubung dengan kepengarangan Kitab Sharah Hikam Melayu, bahawa pada kulit luar bagi kitab ini tersebut ianya adalah dikarang oleh ulama` dari Terengganu, iaitu Tuk Pulau Manis, lagi pula tidak ada pengarang lain yang dikaitkan dengan kitab Sharh Hikam Melayu ini. Masyarakat tradisi di Terengganu, turunannya, khususnya yang berpengajian agama mengetahui tentang kepopularan kitab ini dikarang oleh Tuk Pulau Manis.  Manakala gaya bahasa di dalam Sharh Hikam Melayu adalah gaya bahasa abad ke 17 sesuai dengan zaman keberadaan pengarang dan terdapat istilah-istilah tempatan Terengganu seperti `pesenggeraha` yang bererti `bersedia`. Istilah yang tidak diguna oleh pengarang lain ini nampaknya diguna oleh Tuk Pulau Manis di dalam Sharah Hikam Melayunya dan di dalam sebuah lagi karangannya iaitu `Kifayah`. Ini menunjukkan kedua karangan dikarang oleh pengarang yang sama. Istilah `dusun` yang merujuk kepada kampung diguna oleh pengarang Tuk Pulau Manis di dalam Sharah Hikam Melayu, Kifayah dan sebuah lagi karangannya berjudul `Naql`, Istilah tempatan (Terengganu) yang lain ialah istilah `telaga` yang bermaksud kepada `perigi`, yang juga digunakan di dalam Kifayah. Istilah-istilah yang lain ialah `ditaruhkan` bermaksud `disimpan`,  `erok` bererti tidak betul dari segi ukuran dan kedudukan, `dihela` bermaksud `ditarik ke arah tertentu. Begitulah dengan istilah-istilah tempatan yang lain.

Matan Hikam mengandungi 25 bab yang dibawahnya mengandungi 259 pecahan dengan 42 munajat dan doa serta 3 surat.

Matan Hikam adalah ungkapan yang halus dan mendalam terkeluar dari jiwa yang gemerlap dengan mutiara keilmuan dan kerohanian yang mencakupi bidang-bidang keilmuan, ketuhanan, usuluddin, tasawwuf, keinsanan, kealaman, fiqh, etika, akhlak dan adab. Contoh (Terjemahan Penulis dari matan berbahasa Arab)
:

Bab 1 pecahan 1

Daripada alamat beri`timad di atas amalan, kurangnya harap ketika berlakunya kegelinciran

Pecahan 4

Istirihatkan dirimu dari kerisauan tadbir, apa yang patut diselesai oleh yang lain tentang anda janganlah merisaukan diri anda.

Bab 2 pecahan 26

Menunda-nundakan pekerjaan ketika wujudnya kelapangan menandakan kebodohan diri.

Bab 5 pecahan 53

Janganlah bersahabat dengan orang yang halnya tidak membangkitkan anda taat kepada Allah dan kata-katanya tidak menunjukkan anda kepada Allah.

Bab 6 pecahan 58

Daripada alamat matinya hati tidak berduka dengan luputnya peluang beramal kebajikan dan tidak menyesal di atas apa yang dilaku dari kegelinciran

Bab 7 pecahan 70

Tidaklah merimbun dahan-dahan kehinaan kecuali dari benih ketamakan.

Bab 9 pecahan 85

Sebaik-baik apa yang anda tuntut dari Allah ialah apa yang Dia tuntut dari anda

Bab 25 pecahan 250

Siapa yang menetapkan dirinya sebagai tawadu`, sesungguhnya dia sebenarnya orang yang takabbur, kerana tidaklah yang melakukan tawadu` itu melainkan kerana merasa tinggi diri. Maka apabila anda menetapkan diri anda tinggi diri, maka anda sebenarnya orang yang takabbur.

Demikian petikan pilihan sebahagian bab dan sebahagian pecahan dari pecahan-pecahan yang ada di bawah bab-bab. Tiap bab dan pecahan-pecahan di atas diberi syarah oleh pensharah, termasuk oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah. Contoh sebahagian sharah terhadap bab 1 pecahan satu di atas:

Yakni kurang harapnya tatkala maksiat dan sempurna harapnya tatkala taat dan demikian itu hal segala orang yang jahil yang menilik bagi dirinya amal dan orang yang arif itu tiada sekali-kali menilik bagi dirinya amal.

Dan adalah hal manusia itu atas tiga bahagi

Pertama: Yang berjabat atas amal dan alamatnya itu kurang harapnya kepada Allah Ta`ala tatkala tiada hasil yang dimaksudkannya dan:

Kedua: Yang berjabat atas anugeraha Allah Ta`ala dan alamat itu rujuk ia kepada Allah dalam kesukaan dan dalam kesakitan dan tatkala suka dengan mengata al-hamdulillah dan syukur dan tatkala duka  dengan berlindung dan minta tolong, dan

Ketiga: Berjabat atas bahagian yang telah dahulu dan alamatnya itu tiadalah gundah kerana ketiadaan sebab, maka tiadalah bertambah harapnya kerana sesuatu dan tiada kurang harapnya kerana susuatu, jikalau ditimbang harapnya dan takutnya  necaya bersamaan dalam tiap-tiap hal daripada segala ahwalnya, tetapi adalah ia sentiasa suka.
(Tuk Pulau Manis, Sharh Hikam Melayu, Maktabat wa Matbaat Dar al-Ma`arif, Pulau Pinang, tanpa Tahun: hlm. 2).

Demikianlah huraian selanjutnya yang memakan ruang hampir sehalaman bagi ungkapan dari Bab I Pecahan 1 di atas. Pembicaraan adalah halus dan mendalam yang mungkin sebelumnya tidak terjangka dan dengan ungkapan dan huraian menyerlahkan kepada kita aspek-aspek rohani yang kita tidak nampak dan luar dari persepsi dan tanggapan biasa.

Sekian.

September 13, 2013

Gelombang Kedua Dakwah Islamiyah Dari Hulu Terengganu - Ulama` Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah (Tuk Pulau Manis)

-->
BBB, 06 Zulkaedah 1434 = 12 September 2013 (Khamis):

Gelombang kedua Perkembangan Dakwah Islamiyah ialah dengan kelahiran anak tempatan – Abdul Malik bin Abdullah (1633 -1726M.) sebagai tokoh ulama`, pendakwah dan pengarang kitab-kitab terawal di Tanah Melayu – Setakat diketahui. Sebagaimana disebutkan Pengajian Pondok terawal telah dibangunkan oleh Abdul Qahhar bin Sharif Muhammad di Kampung Pauh, Hulu Terengganu yang tidak jauh dari Kuala Berang dan diteruskan oleh anak Abdul Qahhar, iaitu Abdullah dengan pembantu-pembantu yang lain. Pelajar-pelajar adalah dari sekitar Hulu Terengganu dan tempat-tempat yang lain – termasuk anak Abdullah, iaitu Abdul Malik. Pengajian di sini berterusan sehingga pertengahan abad ke 17. Dalam masa tersebut kegiatan perniagaan dan hubungan dagang terus berlaku antara Hulu Terengganu dengan dunia luar dari Terengganu. Keluarga Abdul Malik selain dari terlibat dengan pengajaran adalah juga sebagai pelayar dan peniaga. Perniagaan menggunakan perahu layar (Perahu Besar) adalah perusahaan dilakukan oleh peniaga-peniaga miritim Terengganu, lantaran negeri tersebut terbuka ke Laut Cina. Pelayar/peniaga sering menjalankan perniagaan hingga ke Patani, Bangkok, Kamboja, Vietnam bahkan hingga ke Cina. Contoh perahu besar dan jenis-jenis perahu yang lain diabadikan di Muzium Negeri Terengganu pada bahagian Muzium Miritim.
(Perayaan Jubli Perak Muzium Negeri Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, 2003: 74).


Barang-barang dagangan pada masa itu dari Terengganu ialah  berbagai-bagai bahan keluaran hutan seperti kayu cengal, kuin, kapur, meranti dan rotan antaranya bagi keperluan ubat dan air wangi seperti gaharu, cendana, tongkat Ali dan kasturi. Bahan-bahan logam dari besi seperti kapak, parang, cangkul dan senjata seperti keris, lembing, tombak dan pedang. Terengganu juga terkenal dengan kehalusan kerja tangan seperti barang-barang pakaian dan hiasan dari emas, perak dan tenunan songket. Manakala barang dari luar pula termasuklah  beras, garam, benang kain tenunan, tempayang dan alat-alat dari tembikar. Keluarga Abdul Malik juga terlibat di dalam pelayaran perniagaan hingga sampai ke Johor dan ke Jawa. Menurut cerita Abdul Malik sendiri turut sama sampai ke Jawa.

Pada zaman remajanya Abdul Malik dididik sebagai seorang pemuda yang luas pengalaman hasil dari penyertaannya dalam kegiatan perniagaan dengan keluarga. Pada zaman beliau ini Aceh telah terkenal sebagai Pusat Ilmu pengetahuan yang melahirkan Hamzah Fansuri (1588-1604), Shaykh Shamsuddin as-Sumatrani (m.1630), Shaykh  Nuruddin ar-Raniri (m.1666) dan Shaykh Abdul Rauf Singkel (1620-1693). Abdul Malik bin Abdullah (1633-1726) dihantar belajar oleh keluarganya di Aceh. Di Aceh bidang yang diminati termasuklah aqidah, fiqh dan tasawuf. Daripada Aceh beliau menyambung pengajiannya di Makkah-Madinah. Pada sebuah risalah bertulisan tangan tercatat nama-nama sahabat sepengajian Shaykh Abdul Malik bin Abdullah semasa di Makkah-Madinah, iaitu Faqih Abdul Qadir Palembang, Faqih Abdul Rahman Batawi (Jawa), Faqir (Faqih) Abdul Samad Kedah, Haji Ibrahim Siantan (Shafie Abu Bakar, Shaykh Abdul Malik Ibn Abdillah (Tuk Pulau Manis) Ulama` Sezaman Dengan Shaykh Abdul Rauf Singkel Dalam Konteks Pengislaman Terengganu,, Latihan Ilmiah di IBKKM, UKM, 1973/74: 41).

Menurut satu catatan risalah menunjukkan bahawa Shaykh Abdul Malik bin Abdullah selain dari bersahabat dengan Haji Muhammad Salih As-Semarani semasa di Makkah, beliau berkesempatan bersama dengan Shaykh Abdul Rauf Singkel. Bahkan Shaykh Abdul Malik dan kawan-kawannya semasa di Makkah  menyebut yang mereka tinggal di rumah Tuan Haji Abdul Rauf yang mungkin dimaksud Haji Abdul Rauf Singkal yang memang sebahagian dari umurnya berada di Yaman dan Makkah-Madianah dan memiliki rumah. Shaykh Abdul Rauf Singkel (m. 1693M.) pulang ke Aceh hanya pada penghujung dari hayat beliau dan agak kurang fasih di Sdalam bahasa Melayu (T. Iskandar, Abdurrauf  Singkel Tokoh Shatariyah (Abad ke 17), Dewan Bahasa, Jil. 1X, Bil. 5, Mei, 1965: 197).

Semasa di Makkah Shaykh Abdul Malik berguru antaranya dengan Shaykh Ibrahim al-Kurani yang juga menjadi guru Shaykh Abdul Rauf Singkel. Shaykh Ibrahim al-Kurani ialah murid kepada Shaykh Ahmad al-Qushashi yang merupakan guru Tariqat Shattariyyah yang juga dikenali dengan Tariqat Qushashiyyah (nisbah kepada nama guru ini) yang diikuti oleh Shaykh Abdul Rauf Singkel yang turut diikuti oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah. (Shafie Abu Bakar, Latihan Ilmiah, 1973/74: hlm. 72).

Shaykh Abdul Malik bin Abdullah berada – belajar dan mengajar di Makkah selama 12 tahun (pulang ke Terengganu sekitar (1673M.). Semasa di Makkah-Madinah bidang yang utama yang dipelajari oleh Shaykh Abdul Malik ialah bidang tasawuf. Sebagaimana disebut beliau mengikut tariqat Shattariyyah daripada antara gurunya, iaitu Shaykh Ibrahim al-Kurani. Beliau amat meminati kitab Hikam karangan Ibn Ata`illah al-Sakandari (m. 1309M.). Kitab yang berasaskan ungkapan-ungkapan yang bersifat kata-kata hikmat. Hikam adalah kata-kata yang amat tinggi nilainya terumus dalam matan yang merupakan ilham suci yang merupakan kurniaan ilmu ladunniyyah dari rahsia-rahsia rabbaniyyah. Tariqat ini diasaskan oleh Abu Madyan Shu`ayb (m.1197M.). Kemudian diperkukuhkan oleh Abu al-Hasan al-Shadhili (m.1258) yang diterima oleh Ibn Ata dari pendukung kedua tariqat tersebut, iaitu  Abu al-Abbas al-Mursi (m. 709H.).

Selain dari mendalami bidang tasawuf, khususnya Hikam, beliau juga mendalami ilmu fiqh menurut mazhab Shafie dan akidah menurut mazhab Ashari yang kesemua ilmu ini kelak menjadi keilmuan-keilmuan utama diajar apabila beliau pulang ke Terengganu.

Sekian.

September 12, 2013

Dakwah Selepas Batu Bersurat


BBB, 05 Zulhijjah 1434 = 11 September 2013 (Rabu):

Pengislaman pemerintah di Kuala Berang diketahui dengan jelas berdasarkan Batu Bersurat Terengganu, ialah Raja Mandalika. Pengislaman Raja Mandalika agak berlainan dari pengislaman pemerintah di tempat lain yang dilegenda dan dimetoskan peristiwa pengislaman, seperti pengislaman Merah Silu di Pasai atau Raja Kecil Besar di Melaka. Pengislaman Raja Mandalika di Kuala Berang, Terengganu atas pernyataan langsung, bahkan pemerintah meminta rakyat menganut agama Islam selepas diisytiharkan yang agama tersebut sebagai agama bagi pemerintahan di Kuala Berang. Biasanya raja-raja yang menerima Islam ditukar nama kepada nama Islam. Misalnya Merah Silu ditukar kepada Sultan Malikus-Salih. Cara menerima Islam dilegenda dan dimetoskan, contoh pengislaman Merah Silu:

Kalakian maka tersebutlah kesah Merah Silu yang telah dirajakan oleh Megat Iskandar menjadi raja dalam negeri Semudera itu; kononnya pada suatu malam di waktu baginda sedang beradu, maka bermimpilah ia melihat seorang berbaju jubah datang kepadanya, seraya orang tua yang tersebut itu memegang dagu Merah Silu dan menutup mata baginda dengan tangannya; lalu orang tua yang tersebut itu pun berkata, ``Hai Merah Silu, ucap olehmu akan kalimah syahadah.``
Maka sahut Merah Silu dalam mimpinya itu, ``Bagaimana hamba hendak mengucap kalimah syahadat itu ?``
Maka ujar orang tua itu, ``Bukakanlah mulutmu. Maka Merah Silu pun membukakan mulutnya, lalu orang tua itu pun meludah mulut Merah Silu. Telah itu maka kata orang tua itu lagi, ``Hai Merah Silu, engkaulah raja negeri ini dan namamu Sultan Malikus Salih.``
(Abdullah Haji Musa Lubis, Kesah Raja-Raja Pasai, Penerbit Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 27).

Mimpi Malikus Salih menjadi benar apabila keesokannya baginda didatangi Shaykh Ismail yang diutus dari Makkah bersama Faqir Muhammad bagi mengislamkan baginda.

Pengislaman Sultan Melaka juga dilegenda dan metoskan sebagaimana tercatat di dalam Sejarah Melayu:

``Telah berapa lamanya Raja Kecil Besar di atas kerajaan, maka baginda bermimpi pada suatu malam, berpandangan dengan keelokan Rasulullah salla`llahu `alaihi wasallam itu. Maka sabda Rasulullah pada Raja Kecil Besar, `Ucap olehmu kalimah syahadat.`
Maka dituruti oleh Raja Kecil Besar seperti sabda Rasulu`llah  salla`llah `alaihi wa sallam itu. Maka sabda Rasulu`llah, `Adapun namamu Sultan Muhammad; esok hari waktu asar matahari, datang sebuah kapal dari Judah, turun orangnya sembahyang di pantai Melaka ini; hendaklah engkau ikut barang katanya.``

Shellabear, W.G., Sejarah Melayu, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 72).

Keesokan mimpi menjadi kenyataan apabila kapal membawa Syeikh Abdul Aziz tiba bagi mengislamkan baginda.

Adapun berhubung dengan Raja Mandalika, tidak diketahui nama Syeikh atau individu yang mengislamkan baginda. Nama baginda juga tidak diubah kepada nama yang mencirikan nama Islam, walaupun sesudah baginda menerima Islam dan mengisytiharkan perlaksanaan Islam dan diikuti pembesar dan rakyat jelata menerima Islam. Hiraki pemerintahan di negeri Terengganu pada masa itu tidak begitu jelas. Tetapi melihat pada gelaran pembesar negeri Pasai yang sezaman dengan negeri Terengganu menggunakan gelaran `Megat` seperti `Megat Iskandar` (Abdullah Haji Musa Lubis, Kesah Raja-Raja Pasai, 1963: 27), sedangkan gelaran Megat ini popular di negeri Terengganu, sebelum wujudnya pemerintah bergelar sultan, adalah dijangka, pemerintah pada zaman tradisi di Terengganu adalah bergelar Megat. Adapun gelaran Megat digunakan selepas kedatangan Islam. Gelaran ini tidak wujud sebelum kedatangan Islam. Contoh Megat Panji Alam (Megat Terengganu) dan Megat Kembar Ali dan pahlawan-pahlawan pengiring yang pergi ke Inderapura bertemu dengan rombongan Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi dan Pengiring-pengiring, terjadi persengkitaan yang menyebabkan Megat Panji Alam dan Megat Kembar Ali dibunuh oleh Hang Jebat dan Hang Kasturi.
(Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1973: 214- 223).
Terdapat juga nama Megat Tarawih yang menjadi Watak Wira dalam cerita Megat Tarawih yang berlatarkan negeri Terengganu. Nama Megat sebagai turunan masih kedapatan di Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

Berhubung dengan tokoh ulama` juga tidak ada catatan atau legenda tokoh yang mengislamkan Raja Mandalika, pembesar dan rakyat. Tapi sudah pasti, walaupun tidak diketahui nama, bahawa penulis ayat (teks) pada Batu Bersurat dan pemahat-pemahat tulisan pada Batu Bersurat adalah tokoh-tokoh ulama atau mereka yang memahami Islam yang rapat dengan ulama yang mengislamkan Sultan. Walau bagaimana kedapatan kuburan tidak jauh dari Kuala Berang (Kuala Por) kuburan yang dipanggil `Tuk Surat` yang ada kemungkinan tokoh ini ada kaitan sebagai orang yang ada hubungan dengan pemahatan tulisan pada Batu Bersurat. Selain daripada itu ada kuburan lama yang dijangka sebagai ulama yang ada hubungan dengan sejarah pengislaman (Kuala Berang) Terengganu itu sendiri. Kuburan ini dikenali dengan kuburan (Tuk Ri).
(Muhammad Salleh Bin Haji Awang (Misbaha), Mengkaji Sejarah Terengganu, Penerbit ? Kuala Terengganu, 1954: Gambar hlm. 50-51).

Walau bagaimana terdapat bukti yang menunjukkan berterusan hadirnya kalangan ulama yang mengajar agama Islam dengan adanya kubur ulama` yang bernama Sharif Muhammad. Beliau hadir ke Hulu Terengganu sama dengan kehadiran ulama-ulama dari Asia Barat ke Aceh yang membawa kepada meningkatnya Aceh dengan ilmu pengetahuan dan keilmuan Islam. Antara ulama` sezaman ke Alam Melayu pada kira-kira awal abad ke 16 ialah seperti Shaykh Abu`l-Khayr Ibn Hajar yang datang dari Makkah ke Aceh yang alim di dalam bidang fiqh dan pengarang kitab Al-Sayf al-Qati` yang membicarakan tentang A`yan Thabitah  (T. Iskandar, Hamzah Fansuri, Pengarang, Penyair, Ahli Tasawuf Abad ke Tujuh Belas, Dewan Bahasa, Jil IX, Bil, 2, Februari, 1965, hal. 53) dan seorang lagi ialah  Shaykh Muhammad al-Yamani yang berasal dari Yaman dan alim di dalam bidang Usul, Juga turut hadir  Shaykh Muhammad Jaylani yang alim di dalam bidang fiqh, usul, mantiq, bayan dan badi`.
(Tujimah, Kitab Asrar al-Insan fi Ma`rifat al-Ruh wa al-Rahman oleh Nuruddin Al-Raniriyy, P.T. Penerbitan Universitas, Djakarta, Tahun ?, hlm. 3).
Mereka mengajar di Aceh yang membawa Aceh berkembang dari segi ilmu pengetahuan.

Sharif Muhammad sebagaimana disebutkan di atas, ialah antara ulama dari Asia Barat. Beliau adalah berasal dari Baghdad dan datang ke Terengganu melalui Yaman dan ke Hulu Terengganu dan mengajar di sana. Ulama` ini berkahwin dengan seorang perempuan tempatan dan menetap di Kampung Batu Belah (kerana di dalam sungai berhadapan dengan kampung tersebut terdapat batu besar yang terbelah dua). Kampung ini tidak jauh dari Kampung Tanjung Baru dan Kampung Pauh. Di Kampung Batu Belah didirikan surau tempat pengajaran. Sharif Muhammad meninggal di Batu Belah pada pertengahan abad ke 16. Anaknya  Abdul Qahhar meneruskan tradisi pengajaran yang dimulai bapanya, tetapi berpindah ke Kampung Pauh tidak jauh dari Kampung Batu Belah. Beliau mendirikan pondok pengajian di Kampung Pauh yang diteruskan oleh anaknya Abdullah apabila Abdul Qahhar meninggal di Kampung Pauh.

Sejak dari penerimaan agama Islam oleh Raja Mandalika di Hulu Terengganu pada akhir abad ke 7H./13M. Islam terus berkembang bukan saja di Terengganu, Pasai, Melaka, Aceh dan Patani, tetapi sudah meluas di Alam Melayu.

Sekian.

September 11, 2013

Fo-lo-an, Batu Bersurat & Keislaman



Fo-lo-an = Kuala Berang
Sezaman dengan Langkasuka
San-fo-chi = Seriwijaya
Melakar sejarah sendiri
Menerima aksara Jawi
Terakam pada Batu Bersurat
Era membawa perubahan
Penerimaan Islam.

Bayangkan
Kuala Berang bumi berkat
Selepas Pendakwah mendarat
Pertama Raja Mandalika mengucap Syahadat
Diikuti Bendahara, menteri, pegawai, rakyat
Diiringi doa selamat pendakwah kesyukuran
Bergetar dada langit-bumi dengan penerimaan
Berguguran daun-daun ke tanah kerelaan
Sungai-sungai mengalir tenang.

Bayangkan,
tanah selama ini sunyi dari seruan
Pertama kali kumandang azan
Dari anjung Istana Raja Mandalika
dijawab sama hidupan dan tumbuhan
khusyuk tawaduk dengan sembahyang
berikutan dari penerimaan
istana, masjid, langgar, surau
makmur dengan pengajian
membaca al-Qur`an mempelajari tulisan
didatangi pelajar tempatan dan luaran
meluaslah pengajian dan tulisan
keluar dari Kuala Berang.

Kuala Berang strategik kedudukan
Dengan Sungai Terengganu tenang
Menjadi kuala Sungai Berang
Kuala pula bagi Sungai Tersat
Indah lebar ruang mendarat
Pusat kegiatan perniagaan
Menurut Chao-Ju-Kua
Catatan dalam Ling-wai-Tai-ta
Pedagang mendapat bahan dagangan
Hasil hutan terkenal cendana gaharu
Kayu laka bagi membuat terompah
Gading gajah terkenal indah
Berbagai lagi hasil keluaran
Bertukar barang dengan emas
Perak suasa bahan tembikar
Gula gandum sudah berkisar

Dari awal abad ke 08H./14M.
Kuala Berang bukan sekadar didatangi
Untuk bertukar barangan perniagaan
Tapi lebih penting pengajian
Tanah Berkat Kuala Berang
Sesungguhnya sama memberi saham
Menyebarkan Islam.

Allahu Akbar !

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
05 Zulkaedah 1434
11 September 2013.

September 10, 2013

Era Baru Perkembangan Islam Di Alam Melayu


BBB, 03 Zulkaedah 1434 = 09 September 2013 (Isnin):

Perkembangan Islam di Alam Melayu pada akhir abad 12M/7H. membawa perubahan besar terhadap pegangan keagamaan dan perubahan dari masyarakat yang tidak menggunakan tulisan kepada yang menggunakan tulisan (Jawi) dan masyarakat yang tidak mementingkan ilmu kepada pembelajaran ilmu.

Kalau pada peringkat permulaan Rasulullah s.a.w. diutus mendakwahkan Islam di Makkah, masyarakatnya bergelumang dengan syirik dalam mana digambarkan di sekeliling Ka`bah terdapat berhala-berhala. Menurut Ibnu Ishaq berdasarkan Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, tentang Amr bin Luhayyi bin Qam`ah ( moyang Bani Qam`ah) yang mengamalkan perbuatan syirik. Dia membuat patung-patung, memotong telinga binatang untuk Tuhan-Tuhan mereka. Ibn Hisham turut meriwayatkan tentang kesyirikan Amr bi Luhayyi beliau membawa pulang berhala Hubal dari Ma`b dari Daerah Balqa` ke Makkah dan meminta orang ramai menyembahnya, akhirnya:

``…penyembahan dan kemusyrikan telah tersebar di Jazirah Arab. Mereka telah meninggalkan akidah tauhid yang telah dibawa oleh Nabi Ismail a.s. begitu juga akidah yang dibawa Nabi Ibrahim a.s. Akhirnya mereka tenggelam dalam kesesatan.``

(Johari Yaman, Ustaz, Mengenali Rsulullah s.a.w. Nadi Minda Resources, Rawang, Selangor, 2009: 25-26).

Dalam hubungan dengan masyarakat di Hulu Terengganu, sebagaimana yang berlaku di Sumatera zaman Kerajaan Sriwijaya, bahkan Foloan dikatakan berada di bawah pengaruh San fo chi (Sumatera)  dan juga kerajaan Langkasuka di sebelah utara masyarakat di Hulu Terengganu digambarkan berada di dalam pengaruh Hindu Buddha.

Paul Wheatley menggambarkan masyarakat kerajaan Foloan (Kuala Berang) sebagaimana berikut;

``The Kingdom of Fo-lo-an can be reached in four days from Ling-ya-ssu-chia; one can also travel by land. Two Buddhas flew into the country, one which six, the other with four, arms. When pirate ships are about enter the regions they are inevitably driven back by the wind. This is popularly ascribed to the influence of the Buddhas. The Buddhist temples are tiled with bronze and ornamented with gold. Each year the full moon of the sixth months is kept as the Buddha`s birthday, with processions, music and cymbals. Foreign merchants take part in the celebrations.``

(Wheatley, Paul, The Golden Khersonese, Pustaka Ilmu, University of Malaya Press, Kuala Lumpur, 1966: 68).

Untuk membasmikan syirik yang bertapak di Makkah, Baginda berdakwah kepada pegangan tauhid. Selepas mendapat tentangan dan terpaksa berhijrah, antaranya ke Madinah dan berdepan dengan peperangan-peperangan, baharulah Makkah dapat dibebaskan dengan pembukaan kota itu ( Johari Yaman, Mengenali Rasulullah s.a.w., 2009: 511- 516).

Berhubung dengan pengislaman Raja Mandalika dan penduduk-penduduk Foloan, tidak ada sumber tercatat bagaimana permulaan dakwah dilakukan. Namun dari catatan-catatan sejarah menunjukkan daripada abad ke 10 ke tiga belas jalan laut dari Negara-negara Islam dari Timur Tengah adalah menjadi lumrah jalan dagang mereka ke India, ke  kepulauan Melayu hingga ke Cina. Pada masa tersebut lahir pengembara dan pencatat sejarah pelayaran muslim antaranya Sulaiman al-Mahri, Mas`udi, Biruni, Abu Dulaf, Ibn Battutah, Abu Zaid, Ibn Khurdadhbih, Buzurg, Idrisi, Abul Fida, Ibn Yunus, Ibn Said, Ibn al-Majid, Ibn al-Faqih, Ibn Rustah dan lain-lain. Ini bererti kehadiran mereka atau yang mengikuti mereka atau yang mempunyai jaringan hubungan dengan mereka berperanan menyampai atau disampaikan dakwah, termasuklah penduduk tempatan.

Apa yang menarik penerimaan Islam Raja Mandalika di Terengganu tidak dibungai dengan metos dan legenda seperti pengislaman Merah Silu di Pasai dan Pengislaman Raja Kecil Besar Melaka (Iskandar). Dapatlah dijangka penerimaan Islam di Foloan di Terengganu adalah secara aman damai, iaitu melalui dakwah secara rasional yang diterima dari ulama atau pedagang yang mahir dengan keilmuan agama Islam. Baik pemerintah dan pembesar-pembesar dan ulama-pedagang adalah dari kalangan ilmuan. Mereka menerima Islam secara penerangan dan perbincangan (dakwah). Adapun kalangan pegawai-pegawai dan rakyat jelata adalah mengikut apa yang diterima raja dan diarah sama menerima sebagaimana tercatat pada Batu Bersurat Terengganu.

Pengenalan huruf Arab (al-Qur`an) kepada Jawi (nisbah kepada Jawa sebagaimana dikenali orang Arab terhadap kawasan Alam Melayu), ialah melalui pembelajaran al-Qur`an bagi menyempurnakan ibadat. Pada masa itu sudah ada kertas dan naskhah al-Qur`an. Pembelajaran berlaku di istana dihadiri raja dan juga pembesar-pembesar. Mereka tidak saja mengenal huruf dan belajar membaca, tetapi juga mempelajari cara menulis. Kepentingan menulis juga digunakan bagi urusan perdagangan dan surat menyurat sebagai rekod catatan dan perhubungan.

Bagi masyarakat awam dan rakyat, maka tradisi mengaji al-Qur`an bermula di surau dan masjid. Guru-guru mengajar di institusi-institusi berkenaan. Selain daripada itu, ibu bapa atau keluarga yang sudah mahir membaca al-Qur`an mengajarnya di rumah yang dipelajari anak-anak dan turut disertai anak-anak jiran. Guru-guru al-Qur`an yang lebih berwibawa diketuai oleh imam-imam atau mereka yang bertugas mengembangkan agama Islam atau lebih khusus sebagai pendakwah. Kaedah pembacaan dan penulisan berasaskan al-Qur`an dan pengembangan ilmu keislaman berterusan sehingga ianya menjadi budaya dalam masyarakat khususnya di Foloan dan Terengganu dan meluas ke tempat-tempat yang lain.

Sebagai kesannya orang di Terengganu pandai membaca al-Qur`an dan juga pandai menulis. Dalam lawatannya ke Terengganu Abdullah bin Abdul Kadir Munshi menulis di dalam Hikayat Abdullahnya sebagaimana berikut:

``Shahadan dalam negeri Terengganu itu tiadalah tempat orang mengajar bahasa Melayu, melainkan ada enam tujuh anak-anak dalam satu-satu rumah mengaji Qur`an sahaja. Kalakian maka adalah bahasa mereka itu bahasa Melayu, tetapi bunyinya bahasanya itu berlainan daripada bunyi Melayu dan changgong pada telinga, dan pelat mereka itu hampir-hampir seperti pelat Kedah. Maka kata kita `tuan` katanya `tuang`, maka kata kita `Allah`, katanya `Alloh`, kata kita `jangan`, katanya `jangang`, kata kita `bulan`, katanya `bulang`. Tetapi petuturannya sahaja demikian, maka apabila ia menyurat betullah hurufnya seperti kita adanya. Tetapi adalah sedikit orang dalam antara mereka itu yang pandai menulis, lagi pun bagus bekas tangannya menulis Arab seperti Qur`an dan kitab-kitab bahasa `Arab, maka jarang yang dalam bahasa Melayu. Maka sebab itu kebanyakan terpuji Qur`an Terengganu itu dalam negeri lain-lain. Shahadan di antara mereka itu adalah dua bahagi, yang tiada tahu mengaji, dan sebahagi yang tahu, dan empat bahagi yang tiada tahu membaca surat Melayu dan sebahagi yang tahu.``
(Abdullah Bin Abdul Kadir Munshi, Kesah Pelayaran Abdullah, Malaysia Publications Limited, Singapura, 1965: 32 – 33).

Keintimam masyarakat di Terengganu dengan al-Qur`an sebagaimana disebut Abdullah separuh daripada mereka pandai membaca al-Qur`an adalah hasil warisan mempelajari al-Qur`an secara tradisi sejak menerima Islam. Abdullah memuji tentang kebaikan dan kebagusan orang Terengganu membaca al-Qur`an. Kita kira tradisi sedemikian masih berterusan. Adapun daripada kemahiran menulis, walaupun disebut Abdullah hanya satu perlima sahaja daripada mereka itu yang tahu menulis, tetapi nisbah ini pada zaman tradisi adalah tinggi dari segi celik huruf, tahu membaca dan menulis berbanding dengan tempat yang lain pada masa itu. Sebenarnya kebagusan tidak saja pada pembacaan al-Qur`an, tetapi masyarakat di Terengganu juga mewarisi kepandaian dan keelokan dari segi menulis Jawi.

Budaya memahir diri dengan membaca al-Qur`an dengan elok dan menulis Jawi dengan cantik ini berikutnya berkembang luas, bukan saja di Foloan (Kuala Berang) dan Negeri Tertengganu, tetapi tradisi ini menjadi media dakwah bagi memperkembangkan Islam ke seluruh Alam Melayu.

Sekian.

September 9, 2013

Penerimaan Tulisan Jawi - Istilah Dan Persoalan

-->
BBB, 02 Zulkaedah 1434 = 08 September 2013 (Ahad):

Penerimaan tulisan Jawi terawal sebagaimana terbukti pada Batu Bersurat Terengganu adalah amat istimewa dan amat menarik dari segi sejarah penulisan dan pengislaman di Alam Melayu. Tidak ada tulisan Jawi lebih awal daripada yang terdapat di Batu Bersurat Terengganu.  Bahkan lebih jauh ke belakang didapati, walaupun ada penulisan mengenai Islam, tetapi  masih belum lagi menggunakan tulisan jawi. Kata Teuku Iskandar;

``Daripada prasasti Terengganu ini nampak bahawa penggunaan huruf jawi sudah lebih lama dikenal, kerana pemahat prasasti itu telah mahir dengan penggunaan tulisan Jawi. Walaupun pada tahun 1303 di Terengganu telah digunakan tulisan Jawi naman dalam persuratan di Pasai masih lagi digunakan tulisan Pallava. Pada batu nisan seorang puteri terpahat dalam tulisan Pallava sebuah puisi dengan tarikh Juma`at, 14 Dhulhijjah 791H/1389M.
(Teuku Iskandar, Kesasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, Jabatan Kesusasteraan Melayu Universiti Brunei Darussalam, Brunei, 1995: 110).

Apa yang mengkagumkan bahawa huruf-huruf yang diterima bagi tulisan Jawi ini tidak saja dari tulisan bahasa Arab yang huruf abjadnya sebanyak 28 huruf, tetapi mana-mana penyebutan di dalam bahasa Melayu yang tidak kedapatan dalam huruf Arabnya, sudah ada huruf pelengkap yang sama ada dipinjam dari Parsi atau Urdu atau ditambah hasil dari genius dan kreatif penulis dan pemahat tempatan. Contoh huruf-huruf Melayu, bukan dari Arab pada Batu Bersurat tersebut:

Nga, Ga. Ca, nya.

Contoh banyak digunakan dalam tulisan pada Batu Bersurat seperti:

Dengan  =  Huruf Nga
Meneguhkan = Huruf Ga
Bicara    =  Huruf Ca
Dendanya = Huruf nya

Dengan penyesuaian dan penambahan huruf bagi melengkapkan ejaan bahasa Melayu, menandakan tulisan jawi telah lama digunakan secata mahir bagi penulisan dan diikuti pahatan pada Batu Bersurat.
Tulisan pada Batu Bersurat ini tidak sepenuhnya menurut tanda bacaan (baris atas, bawah, hadapan) sebagaimana di dalam tulisan Arab, tetapi lebih cenderung kepada ejaan menurut bunyi, walau tidak sepenuh:

Ejaan menurut baris       Contoh

Diwata,  raya, hamba, agama, fardu, raja, bagi, tahun

Ejaan menurut Bunyi – Contoh:

Bicara, berbajikan, itu, lalu, keluarga, benua, merdeka, palu, bhumi dan lain-lain.

Ini menunjukkan bahawa tulisan jawi tidak sepenuhnya menurut baris-baris di dalam bahasa Arab. Bahkan dalam pembelajaran bahasa dan penulisan Tulisan Jawi tidak menggunakan baris  sebagaimana di dalam bahasa Arab.

Dilihat kepada kata-kata pada Batu Bersurat Terengganu, didapati jumlah kata-katanya ialah sebanyak 255 perkataan, iaitu dijumlahkan dari:
1)  Permukaan A     =    96    perkataan
2)  Permukaan B     =    67    perkataan
3)  Permukaan C     =    41    perkataan
4)  Permukaan D     =    51    perkataan

Jumlah perkataan    =   255   perkataan

(Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha), Mengkaji Sejarah Terengganu, Jilid I, Penerbit, Kuala Terengganu, 1954: 31 – 35).

maka kata-kata berasal:


Sanskrit:
Darma maraksa, Dewata Mulia Raya, agama, raja, Mandalika, tamra, sasanakala, bhumi, benua, titah, menteri, bendara (15/255)

Arab:
Rasul Allah s. a. w.,  arwah, sahabi, Islam, fardu, Juma`at, Rajab, syartan, ingkar, laknat
(14/255)

Tempatan: (Sebahagian perkataan berulang)
Meneguhkan, benar, bicara, hamba, sebelah, penentu, berbajikan, menduduku, bulan, baginda, ratus, hutang, denda, Hembalang, sepeha, tahun, lalu, keluarga, emas, tugul, balacara, asa, orang, merdeka, bujan, palu, rautan, beristeri, perempuan, pinggang, sepuluh tengah tiga, tujuh, sepeha, tetua, bersuami, anak, cucu, pamainku, langgar, acara, segala, isi, anak.
Tahil (bahasa Cina)


Dari segi penggunaan istilah dan kata, sebahagian besar perkataan adalah istilah tempatan, di samping istilah Sanskrit, Arab dan Cina, Istilah terbaharu pada masa itu ialah dari agama Islam.
Dari segi bahasa zaman Batu Bersurat Terengganu mencerminkan digunakan oleh satu masyarakat yang sudah bertamadun yang bahasanya sudah lengkap untuk tulisan dan berkomunikasi. Bahasa Melayu di Terengganu pada masa itu bersedia menerima istilah Islam, sebagaimana bahasa tersebut pernah menerima istilah-istilah bahasa Sanskrit. Bahasa Melayu pada masa itu juga sudah lengkap dari segi nahu dan tatabahasa – umpamanya dari segi nama-nama, ganti nama, perbuatan-perbuatan, haraf-haraf, penambahan seperti – mereka, dengan, yang, pada, kan, bagi, di, di dalam, ber, pe, itu, ini, telah, me, nya, ke, jika, atau, tengah, hendak, ia, siapa, tidak. Pendek kata bahasa yang diperturunkan adalah bahasa yang standard dan lengkap peraturan dari segi peraturan bahasa.

Apa yang tercermin dari kandungan di dalam Batu Bersurat adalah ditujukan kepada masyarakat bertamadun yang nukleusnya dari pemerintah, menteri, pegawai,penjaga keamanan, penguatkuasa, masyarakat,  keluarga yang masing-masing mempunyai norma dan nilai dari segi pentadbiran, kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Masyarakat di Hulu Terengganu pada masa itu selain dari merupakan masyarakat tani, sebahagian dari mereka bergiat di dalam perniagaan, Penggunaan angka-angka dan nombor-nombor adalah lumrah di dalam masyarakat ini.  Penggunaan nombor seperti tujuhratus dua, keempat, kelima, seratus, sepuluh tengah tiga, tujuh, lima dan sepaha, Masyarakat juga mengira peredaran masa dari hari, bulan dan tahun. Lihat bertapa kreatif dari segi penggunaan angka seperti sepuluh tengah tiga 10 1/3, sepeha (1/4)

Dari segi sistem perniagaan menunujukkan peniaga-peniaga berinteraksi dengan orang India, Arab, Cina (guna istilah tahil bagi timbangan) juga bilangan sepaha, sepuluh tengah tiga dan dari sa ke puluh, ratus dan ribu.
Ini semua menunjukkan bahawa masyarakat pada masa telah bertamadun, mereka tidak saja berniaga secara barter, tetapi juga menggunakan nilai emas dan timbangan.

Perkara yang di bawa di dalam Batu Bersurat Terengganu:

1)      Perisytiharan Islam di bawa Rasulullah s.a.w. dengan sokongan sahabat-sahabat bahawa Islam adalah agama Rasmi di negeri Terengganu pada zaman pemerintahan Raja Mandalika
2)      Tarikh perisytiharaan ialah pada hari Jumaat, bulan Rajab, Tahun Sartan 702H.
3)      Semua pemerintah, raja, pegawai dan rakyat diminta patuh di atas arahan memeluk agama Islam
4)      Mereka yang berhutang perlu melunaskan hutang
5)      Orang yang berzina dikenakan hukum rejam – bagi yang sudah berkahwin
Dirutan  dan didenda bagi yang belum berkahwin. Berbagai jenis denda dikenakan mengikut kategori.
6)      Mereka yang membuat keterangan palsu juga dikenakan denda menurut kategori
7)      Mereka yang ingkar, tidak menurut undang-undang dan tidak membayar denda akan menerima hukum dan dilaknat Allah.

Sesungguhnya Batu Bersurat Terengganu menjadi bukti kukuh tentang kehadiran Islam di Alam Melayu, khususnya di Terengganu dan penerimaan tulisan Jawi menandakan permulaan Tamadun dan peradaban baru yang dibawa oleh Islam sebagai sumbangan berharga bagi masyarakat umat di Alam Melayu, khususnya di Terengganu.

Sekian.

September 8, 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013 - 2025) Rasional Semasa

-->
BBB, 01 Zulkaedah 1434 = 07 September 2013 (Sabtu):


Kita menganggap (PPPM 2013-2015) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga selaku Menteri Pelajaran Malaysia adalah Rasional Perkembangan Pendidikan Semasa. PPPM yang dirangka sejak setahun lepas tidaklah dapat dikatakan sebagai satu yang `Amat Istimewa` terjelma dari genius gemblengan pemikiran pakar-pakar pendidikan semasa. Ilmu adalah dinamik yang terus bertambah dan memerlukan kepada perubahan pendidikan sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa. Perubahan pendekatan sebenarnya bukan baharu, ianya telah dilakukan sejak dari Penyata Razak, Rahman Talib, Hussein Onn, Mahathir dan kini PPPM semasa Muhyiddin. Apa yang diharapkan ianya bukan sekadar perubahan semata-mata kerana berlakunya perubahan pimpinan, tetapi ada dinamika yang melonjakkan kualiti pendidikan di Malaysia.

Apakah yang ditawarkan oleh PPPM 2013 – 2025 ?
Tidak ada yang dapat kita katakan sebagai `Revolusi Pendidikan Di Malaysia`, tetapi dapat kita katakan sekadar `Pengekalan dan Penambahbaikan` semata-mata. Kita bersetuju antara intipati PPPM ialah menjamin pendidikan bahasa etnik menurut Akta 1996 (Seksyen 28), tetapi pihak kerajaan tidak berani menurut syor pakar-pakar akan perlu diwujud hanya satu aliran persekolahan bagi kepentingan perpaduan tanpa menghalang pembelajaran bahasa-bahasa etnik di dalam aliran tersebut. Ketidakberanian ini semata-mata kerana perkiraan politik.

Sesuatu yang wajar, ialah penambahan waktu pembelajaran bahasa Melayu, terutama di sekolah-sekolah bukan aliran kebangsaan, sebagaimana wajar diberi penekanan terhadap bahasa Inggeris dan mewajibkan pelajar-pelajar lulus bahasa berkenaan dalam peperiksaan SPM mulai 2016. Pembelajaran bahasa ketiga juga digalakkan seperti bahasa Arab, Perancis dan lain-lain lantaran bahasa Ilmu, Kadazan dan Dusun lantaran sebagai bahasa etnik. Tetapi apakah mekanisme penggalakan disediakan ? Semua pelajar dikehendaki mengambil matapelajaran agama Islam atau moral bagi membina akhlak dan nilai pelajar. Sejauhmanakah pendekatan yang disediakan bagi menghadapi nilai dan situasi masyarakat yang makin mencabar ?

 Objektif utama bagi PPPM seharusnya ialah `Membina Insan` yang antaranya berkemampuan berfikir pada tahap tinggi. Bagi menjayakan hasrat murni ini perlu disempurnakan keperluan-keperluan seperti jumlah guru-guru yang berkualiti, pentadbiran yang cekap, Guru Besar dan Pengetua dilantik berdasarkan kecekapan, bukan dari segi kelamaan kerja, infra-struktur dan peralatan yang sempurna, mendapat kerjasama yang erat dari pihak PIBG dan juga kerjasama dari pihak pendidikan swasta.

Sekali lagi kita kira semua yang disebutkan adalah merupakan keperluan dan rasional semasa bagi meningkatkan prestasi pendidikan yang berkualiti tinggi. Kita nampak antara yang kurang diberi penekanan ialah kurikulum pendidikan dan menghasilkan bahan keilmuan dan bacaan bagi peringkat rendah dan menengah bagi memenuhi keperluan pembelajaran dikatakan berprestasi tinggi berkenaan. Ada disebutkan bahawa guru-guru akan dipilih dari 30% lulusan terbaik di pengajian tinggi, pemilihan calon guru-guru terbaik ini tidak mencapai objektif terbaik, jika tidak disempurnakan dengan latihan terbaik beserta dengan ganjaran yang baik yang meletakkan mereka ke tahap yang dihormati masyarakat.

Perlu juga diberi perhatian tentang `Pendemokrasian` dari segi pendidikan. Ini bukan saja mereka yang berkelayakan akan sama mendapat peluang, tetapi konsep demokrasi juga bererti memberi peluang dan bantuan kepada yang layak tetapi miskin, pertimbangan juga diberi kepada pelajar dari Sekolah yang kekurangan peralatan dan kekurangan guru tapi menunjukkan prestasi yang baik, perlu mendapat pembelaan, bahkan konsep demokrasi juga melibatkan pelajar yang kurang cemerlang hendaklah disalurkan kepada aliran-aliran yang bersesuaian yang dapat memberi manfaat bagi dirinya dan juga mesayarakat.

Menyebut tujuan pendidikan antaranya melahirkan pelajar-pelajar mampu berfikir pada tahap tinggi,  tetapi seharusnya tidak kepada maksud melahikan pemikir, ilmuan, pencipta dan pereka sahaja, tetapi satu aspek yang penting ialah melahirkan golongan karyawan yang kreatif mempunyai kemampuan seni yang tinggi yang memberi identiti hasil dari kreativiti mereka seperti melahirkan pujangga yang karyanya memberi kesan pada masyarakat, arkitek yang rekacipta seninya dibanggakan, seniman yang hasil kerjanya disanjung, pejuang kemanusiaan yang membela kemanusiaan dan terhadap alam sekitar, mereka tahu dan menyedarkan masyarakat tentang nilai keindahan dan berusaha mengekalkannya, menjaga keaslian dan keklasikan sesuatu yang dapat membentuk rasa kemanusiaan dan keharmonian masyarakat dan sama berusaha mengekalkannya sebagai warisan generasi kini dan akan datang, apa lagi jika warisan berkenaan bertaraf dunia dan sejagat.

PPPM harus sedar dan memberi perhatian terhadap pentingnya nilai budaya murni yang harus dipupuk dan dikekalkan. Sedar atau tidak, bahawa semua pihak hidup dalam lingkungan budaya, keluarga, masyarakat dan Negara. Kita hidup selesa dalam aman damai adalah merupakan nilai budaya yang tidak dapat dibeli dengan nilai material. Nilaikanlah keamanan yang kita kecapi dalam Negara kita yang aman tenteram berbanding dengan Negara yang bergolak dengan perang, berbunuh-bunuhan, persengkitaan kaum dan hilang nilai kemanusiaan. Sebab itu pendidikan budaya, nilai kemanusiaan, seni dan kreativiti hendaklah ditanamkan dalam pendidikan, agar masyarakat akan terus dapat menikmati keamanan dan kebahagiaan.

Akhirnya PPPM juga haruslah mendidik pelajar dengan kebebasan memberi pendapat dan ketelusan maklumat. Mereka tidak seharusnya dikongkong dengan satu pendapat dan pandangan, tetapi digalakkan memberi pendapat dan mengkritik secara wajar. Mereka juga perlu diajar mengenai ketelusan dan kebenaran maklumat yang boleh dipersoalkan jika difikirkan tidak wajar. PPPM haruslah membentuk pelajar tidak bersifat pasif, sebaliknya digalakkan bersifat kritis.

Kurikulum dan Pembelajaran yang dibawa oleh PPPM hendaklah  bertujuan melahirkan individu dan masyarakat yang bersifat dinamik sebagai persediaan untuk menyambung pengajian kepada peringkat yang lebih tinggi dan menghadapi gerbang dunia langit terbuka atau terus berkhidmat di tengah masyarakat sebagai rakyat yang berjasa.

Sekian.