July 5, 2014

Tapak Masjid Di Seksyen Satu BBB Wujud Sejak BBB Dibuka, Tiada Usaha Serius Bangunkan Tapak

-->
BBB, 06 Ramadhan 1435 = 04 Julai 2014 (Jumaat):

Dari segi pendekatan Takmilah menggunakan elemen sejarah, termasuk biografi sama ada pada pengarang, pencipta, pada bahan atau hasil dan juga pada khalayak, bahkan pada semua skima dalam takmilah akan dapat membantu menerangkan persoalan yang dibicarakan dan mengukuhkan konsep Takmilah yang digunakan dalam pendekatan. Sejarah bukan saja menjelaskan, tetapi memberikan kedudukan istimewa bahan yang berkaitan dengan persoalan yang dibicarakan dan ianya dilihat semakin purba di dalam pandangan dan makin tinggi dalam penilaian. Contoh Masjid Kampung Laut, Nilam Puri antara masjid tertua di Kelantan dan Masjid Tuk Tuan di Kemaman antara masjid tertua di Terengganu begitu istimewa di dalam sejarah berhubung dengan masjid dan seni bina. (Kedua-dua berbumbung tiga tingkat bagi atap) (Othman Mohd. Yatim, Warisan Kesenian Dalam Tamadun Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 30).


Di dalam konteks di atas, pendekatan sejarah bagi Masjid Al-Umm yang sebelumnya ialah Surau Al-Umm digunakan. Tapak bagi Masjid BBB di atas lot 5117 Jalan 1/4A, Seksyen 1, 43650 BBB telah sedia wujud sejak plan pembangunan BBB dimulakan. BBB boleh disifatkan sebagai saudara kembar bagi UKM. Bila tapak UKM dikenalpasti pada tahun 1972 dan pecah tanah dilakukan oleh Y.A.B Tun Razak Perdana Menteri Malaysia yang juga Canselor Pertama UKM pada tahun 1973 dan pembangunan dimulakan, maka kawasan BBB mula dibangunkan pada tahun 1975 dengan jangkaan BBB menjadi pemangkin bagi kemajuan UKM.

Pembangunan di BBB bermula di kawasan yang kini dikenali dengan Seksyen Satu. Kawasan terletak di dalam lingkungan lembah banjaran Bukit Bangi. Pada peringkat permulaan perumahan dibangunkan adalah sebanyak 120 buah rumah yang terdiri dari 40 buah semi D (Tapak masjid bersebelahan sebelah kiri rumah semi D), 36 buah rumah teres dua tingkat – sebanyak 2 baris dan selebihnya rumah teres satu tingkat type A & B. Kesemuanya merupakan perumahan terawal yang merupakan sebahagian dari Seksyen Satu BBB. Pada peringkat permulaan BBB dihuni – penerimaan kunci pada 30 November 1977, soal keperluan kepada surau, lebih-lebih lagi masjid tidak timbul, kerana tidak begitu ramai penghuni mendiami BBB hingga ke akhir tahun 1977 berkenaan. Solat Jumaat pada peringkat permulaan secara lebih selesa ialah ke Masjid Kajang. Namun begitu solat Jumaat di UKM diadakan pada peringkat permulaan secara berpidah-pindah tempat dari hadapan anjung bangunan Pentadbiran UKM ke ruang legar tepi kantin UKM bersebelahan kedai buku UKM dan Perpustakaan Tun Seri Lanang sebelum siapnya bangunan Masjid UKM (siap 16 April 1982).


Namun pada awal 1978 keperluan kepada surau di BBB terasa, pada peringkat permulaan solat berjamaah diadakan dari rumah ke rumah, misalnya pada 19 April 1978 diadakan usrah di rumah Penulis dihadiri Tuan Haji Ya`kob, saudara Mohd. Kassim, En. Banhawi, En. Yusof dan Encik Salleh (Tuan Haji Omar Jaafar sebagai Ketua tidak hadir kerana uzur). Rumah Penulis mendapat beberapa kali giliran. Usrah diadakan secara mingguan, bergilir-gilir dari rumah ke rumah dari masa ke masa. Usaha bagi mendapatkan surau berlaku berikut dari awal tahun 1978 mulai ada jawatankuasa kebajikan. Jawatankuasa diadakan bertujuan untuk menguruskan soal aduan rumah yang baru dimiliki seperti retak, bocor, soal perparitan, air, api dan sebagainya. Ini membawa kepada tertubuhnya Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi melalui mesyuarat pada 4 Februari 1978 bertempat di Kedai 1 Tingkat Jalan 1/1A BBB. YDP yang dilantik ialah Tuan Haji Omar Jaafar dengan Setiausahanya ialah Tuan Haji Salleh Kassim. Tuan Haji Omar ialah Pegawai Tadbir bahagian Pembangunan di UKM dan beliau adalah Ahli Majlis Daerah Hulu Langat (MDHL) sebelum dinaik taraf kepada MPKj. Antara kegiatan ialah mengadakan Majlis  Kesyukuran Penduduk BBB dengan menjemput Timbalan Menteri Besar Selangor pada masa itu, iaitu Dato` Ahmad Razali (Adun Dengkel) dan Naib Canselor UKM dan juga sambutan Maulid al-Rasul pada Sabtu malam 4 Mac 1978.

Perlu disebutkan dengan kedudukan Tuan Haji Omar Jaafar selaku Timbalan Pendaftar UKM dan mewakili UKM dan juga BBB selaku Ahli Majlis Daerah Hulu Langat beliau mempunyai pengaruh dan beliau juga ahli usrah yang kami adakan secara mingguan dari rumah ke rumah untuk tujuan berjamaah, kerana ketiadaan surau, maka beliau yang juga selaku YDP Persatuan Penduduk BBB yang pertama dilantik beliau telah berusaha mendapatkan sebuah rumah kosong PKNS di BBB bagi dijadikan surau. Permohonan beliau atas nama Persatuan Penduduk BBB diberi perhatian. Sebuah rumah semi D beralamat No. 6 Jalan 1/3G telah diberi kepada penduduk BBB sebagai surau.


Pemberian surau ini selepas lebih kurang setahun dari perpindahan penghuni awal Bandar Baru Bangi (30 November 1977 – terima kunci) dan pemberian ini juga sempena hampir tibanya bulan 1 Ramadhan 1398 (6 Ogos 1978). Maka sempena menyambut 1 Ramadhan 1398, maka penduduk BBB yang terdiri dari 120 buah rumah itu sebahagian dari mereka turun bergotong royong membersih surau dalam dan luar pada 5 Ogos 1978 yang esoknya (6  Ogos 1978 = 01 Ramadhan 1398) ialah permulaan berpuasa. Bayangkan betapa gembiranya kami penduduk BBB yang sudah hampir setahun menghuni di BBB tidak mempunyai surau dan terpaksa berjamaah secara berusrah, mendapat sebuah surau yang agak istimewa – sebuah rumah semi D yang pada masa itu berharga RM70 ribu. Mulai dari 01 Ramadhan 1398 itu berkumandanglah azan di BBB hingga kini. Surau itu diberi nama Surau Al-Umm bermaksud `Ibu` atau `Induk` lantaran ini adalah surau pertama bagi penduduk BBB.


Hingga ke masa itu walaupun diketahui sudah ada tapak untuk masjid belum timbul cadangan untuk membangunkan masjid di Seksyen Satu BBB. Penduduk umumnya menggunakan Masjid UKM untuk bersolat Jumaat, khususnya selepas terbina dan siapnya Masjid UKM (16 April 1982).  Keadaan ini berterusan sehingga tahun 2000, iaitu apabila BBB mempunyai Masjid sendiri (Masjid Al-Hasanah).

Sekian.

July 4, 2014

Kerja Berjamaah Diperlukan Bagi Membangunkan Masjid

-->
BBB, 05 Ramadhan 1435 = 03 Julai 2014 (Khamis):


Kejayaan hasil penulisan kreatif bergantung kepada kemampuan – bakat, ilmu dan kreativiti individu seseorang penulis. Akhirnya bukan setakat hasil, tetapi menjadi identiti penulis berkenaan. Misalnya Nyanyi Sunyi yang bernada lembut bertolak dari cinta makhluk kepada makhluk membawa kepada cinta kepada Khalik adalah menjadi identiti kepada Raja Penyair Amir Hamzah. Asrar Khudi yang bersifat intelektual dan falsafah menjadi identiti kepada penyair Iqbal yang mendambakan sebuah Negara Islam Pakistan, tetapi meninggal (1947) sebelum Negara berkenaan menjadi realiti (1948). Karya-karya berkenaan adalah hasil perseorangan penyair-penyair berkenaan. Keadaan yang sama di dalam bidang-bidang kreatif yang lain misalnya novel Di Bawah Lindungan Ka`bah oleh Hamka, Sebuah Lampu Antik cerpen Harun Haji Salleh dan sebagainya. Karya-karya kreatif tidak boleh dihasilkan oleh lebih dari seorang apa lagi beramai-ramai. Lantaran karya kreatif bergantung pada bakat, pengalaman, penguasaan bahasa, cita rasa seni dan kreativiti seseorang. Jika dihasilkan oleh lebih dari seorang, maka terjadilah kecamuk elemen-elemen berkenaan, kerana ilham, persepsi tema dan gaya pengucapan berlainan, maka hilang keaslian dan identiti. Puisi dan penulisan kreatif yang lain berjiwa keislaman adalah contoh yang baik bagi kesempurnaan Teori Takmilah yang bertolak dari pengarang berjiwa keislaman yang menghasilkan karya berunsur keislaman yang tercerna di dalamnya nada-nada kerohanian, bersifat ilmu meningkat dari aras kealaman kepada juruspandang keislaman yang mengagung dan menghayati keindahan cipta Tuhan dan karya ini memberi impak yang baik bagi khalayak dengan roh keislaman.

Dalam hal mendirikan masjid, aspek cipta lebih bertolak dari skima akal yang meningkat kepada skima keislaman dalam mana mendirikan masjid adalah merupakan tuntutan Islam bagi mendirikan tuntutan Islam dan menegakkan syiarnya dengan membesar Allah yang bersifat dengan sifat yang sempurna. Berbeza dengan cipta penulisan karya kreatif sebagaimana telah dibincangkan di atas, mendirikan masjid, walaupun terlibat dengan elemen seni terutama dari segi architecture, hiasan dalaman, landscaping dan seni taman tidak dilakukan secara perseorangan. Menyebut masjid saja tergambar dan terpandang kepada kita jamaah yang mengihya`kan masjid. Bahkan dari peringkat awal untuk mendirikan masjid melibatkan jamaah yang kerja dan urusan di dalam Islam adalah sememangnya dituntut secara berjamaah. Segala urusan yang melibatkan jamaah hendaklah dilakukan dan diambil keputusan secara bermesyuarat. Firman Allah bermaksud:

Dan urusan mereka dijalankan secara permesyuaratan
(al-Shu`ara`: 38).

FirmanNya lagi bermaksud:

Dan bermesyuaratlah dengan mereka di dalam satu-satu persoalan. Apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada Nya.
(Ali Imran: 159).

Jika timbul keperluan mendirikan masjid dengan ahli kariah yang bertambah, maka anak kariah yang diketuai oleh ketua kampung, imam dan AJK surau yang telah ada sebelumnya dan pemimpin-pemimpin setempat perlu dipanggil bermesyuarat bagi mengambil keputusan perlu atau tidaknya mendirikan masjid. Keadaan yang sama jika sekiranya masjid mau didirikan di pekan dan sebagainya. Keadaan mungkin sedikit berlainan jika cadangan mendirikan masjid dicadang atau diambil oleh pihak pemerintah. Kerajaan mempunyai kewangan, agensi dan pentadbiran dan kerja mungkin lebih cepat disiapkan. Andainya pihak yang bermesyuarat bersetuju, maka perlu ditubuhkan Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid dan urusan-urusan berikut perlu diambil tindakan.

Paling penting adakah wujud tanah yang hendak dijadikan tapak pembinaan masjid berkenaan. Keluasan normalnya yang sebaik-baiknya 5 ekar. Adakah tanah tersebut sudah dimiliki, jika tanah kerajaan perlu dipohon dan digazetkan. Sebelum daripada itu perlu, jika di negeri Selangor misalnya mendapat keizinan dari JAIS dan kebenaran dari Pejabat Tanah Daerah dan jika berada di dalam kawasan perbandaran, perlu mendapat kebenaran dan kelulusan dari pihak Majlis Perbandaran Tempatan. Semua ini memakan masa yang mungkin bertahun lamanya.

Andainya urusan di atas dilaksanakan atau dalam proses kelulusan, maka perlu kepada pihak arkitek, biasanya melibatkan firma yang akan merangka pelan bangunan sebagaimana yang diingini oleh pihak AJK yang biasanya mengalami perubahan, pembaikan, penambahan dan sebagainya. Pelan ini sendiri perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan dan pihak-pihak yang berkait dengan keperluan kelulusan yang melibatkan berbagai jabatan untuk keselamatan, misalnya dari pihak bomba, elektrik, JKR, Alam Sekitar, Saliran dan sebagainya.

Keperluan yang paling besar yang boleh menggagalkan pembinaan atau berjaya ialah kewangan. Jumlah kewangan yang diperlukan bergantung kepada kos tanah, sebesar manakah bangunan masjid yang mau didirikan dan kos mendirikan masjid berkenaan. Ia mungkin melibatkan kos sebanyak RM7 juta yang kapasitinya dapat memuatkan seramai 2,500 jamaah secara serentak. Dari manakah kewangan mau didapati ? Cara mudah ialah mendapat peruntukan kerajaan negeri, tetapi tidak begitu mudah. Kerajaan biasanya tidak wajar melayan kesemua permohonan, kerana ia melibatkan jumlah peruntukan yang besar, jika dilayan semua akan memohon peruntukan sedemikian. Jika pun dapat adalah tambahan dari peruntukan sebagai bantuan dan galakan, misalnya dengan menjanjikan bantuan dolar to dolar. Dalam kata lain dengan hasrat dari ahli kariah mau mendirikan masjid, bahkan surau, AJK perlu memikirkan cara mendapat peruntukan kewangan bagi mendirikan masjid. Satu cara ialah mendapat tunjangan dari pihak koporat atau hartawan bagi membiayai kos mendirikan masjid. Jika cara ini didapati lebih mudah dari segi kewangan. Cara biasa ialah mendapat dan memohon derma dari orang ramai. Untuk memungut derma perlu mendapat kelulusan, jika di negeri Selangor ialah melalui JAIS dan berusaha mendapat keizinan perlepasan cukai dari pihak Jabatan Hasil Dalam Negeri. Untuk mendapat derma pihak AJK terpaksa bekerja kuat menggunakan berbagai cara dan pendekatan bagi mendapat derma berkenaan. Biasanya untuk pembinaan tidak mesti menunggu semua jumlah RM7 juta didapati baru hendak mula dibangunkan.  Dengan RM2 juta misalnya pembinaan sudah boleh dimulakan, iaitu dengan jangkaan dalam masa pembinaan derma terus dapat dipungut dan dengan harapan orang ramai melihat pembangunan bermula, mereka berkeyakinan dan orang ramai makin bersemangat untuk menderma.

Keperluan sebelum kerja pembangunan bermula ialah menentukan arah kiblat yang dijalankan jika di Selangor oleh pihak MAIS melalui Jabatan Mufti dan setelah urusan selesai yang paling penting ialah melantik kontrektor membangunkan masjid menurut pelan arkitek yang telah dipersetujui. Lantikan kontrektor perlu dilakukan oleh AJK dengan cara teliti dan melalui interview terhadap pemohon yang memasuki tender yang diiklankan. Kontrektor dipilih perlu dilihat pada kemampuannya, sejarah pembinaan yang telah dilalui, kemampuan kewangan, mudah berurusan dan sebaik kontrektor dari kalangan orang Islam kerana yang mau didirikan ialah `Rumah Allah` yang pembinaannya perlu sesuci yang boleh. Selain dari arkitek dan kontrektor bagi memastikan pembinaan menurut yang dicadangkan perlu dilantik perunding kejuruteraan awam, perunding kejuruteraan mekanikal dan elektrikal dan perunding ukur bahan. Bagi pihak Pembinaan Masjid pula adalah pihak induk yang menentukan polisi, memonitor dari segi pembangunan di tapak, teknikal dan AJK Induk  mengawal dan memastikan pembangunan menurut spesifikasi yang ditentukan dan tidak berlaku kecacatan dan segala dipastikan berjalan lancar dan menurut jadual yang ditentukan.

Sekian.

July 3, 2014

Masjid: Istilah Dan Asal Kata

-->
BBB, 04 Ramadhan 1435 = 02 Julai 2014 (Rabu):

Seorang pengarang atau pengkarya, sebenarnya tidak menghasilkan karyanya secara asli dari dirinya sepenuhnya. Sebelum berkelayakan menjadi pengarang atau pengkarya dia adalah berada di dalam kategori khalayak yang belajar di dalam berbagai-bagai keilmuan dan pengalaman sehingga melayakkannya menjadi pengarang atau pengkarya. Selepas dari berkelayakan pun dia masih lemah dan bergantung pada pengalaman orang terdahulu yang menghasilkan istilah dan bahasa yang mempunyai makna dan maksud tertentu. Dia mengisinya dengan ilmu, pengalaman, intuisi ilham seni dan menyusunnya dengan gaya bahasa sendiri, contoh:

Petang Condong

Petang condong tiba di usiaku
Membawa warna lembut ke wajahku
Serta mengubah pandanganku
Pada gerak dan tindak
Dan jalan yang kupilih
Pada sikap dan tanggap
Dan fikiran yang kuatur.

Petang turun perlahan
Membawa tenang ke dalam langkahku.

Kerana usiaku kian melengkung
Maka hidupku harus sederhana.

1990.
(T. Alias Taib, Petang Condong, Pustaka Cipta Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1996: 88).

Secara sendirian kata-kata dalam Petang Condong tidak ada yang baharu dan tidak ada yang sukar, tetapi dari kemampuan penyair berimaginasi, menggunakan elemen matafora seperti `petang condong`, `warna lembut ke wajahku` `petang turun perlahan` dan `membawa tenang ke dalam langkahku` , membawa mood lembut dan rasa keinsafan, khususnya tentang larutnya usia diri. Sifat kreatif penyair T. Alias Taib berjaya membawa suasana insaf  dan ketenangan diri. Namun dalam bahasa biasa penggunaan bahasa merupakan `kitarkata` yang digunakan di dalam berkomunikasi, tetapi tidak menambah apa-apa.


Namun ada kata-kata merupakan istilah yang berat dengan makna, mempunyai sejarah panjang dan mempunyai fungsi penting di dalam sejarah dari segi pendidikan dan peradaban. Misalnya seperti perkataan falsafah, tauhid, adab, tamadun dan sebagainya.
Antara istilah yang bersejarah. kaya dan mendalam dari segi makna ialah istilah:

                                                 MASJID
Penggunaan istilah `Masjid` diwarisi dari sejarah generasi sebelum lagi.
Istilah `Masjid` antaranya diguna oleh Rasulullah s.a.w.  antaranya dari penerimaan wahyu seperti peristiwa Isra` Mi`raj (Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa) dan ayat-ayat yang terdapat di dalam Al-Qur`an. Terdapat di dalam al-Qur`an sebanyak 28 tempat yang menyebut perkataan masjid (termasuk jamaknya masajid). Antara terbanyak di dalam surah al-Baqarah enam tempat (144,149, 150, 191, 196, 217), al-Taubah tujuh tempat (7, 17, 18, 19, 28,107, 108), al-Isra tiga (1, 1, 7), al-A`raf dua tempat (29 dan 31), al-Hajj dua tempat (25 dan 40) dan al-Fath dua tempat (35 dan 37) dan surah-surah yang lain ialah al-Ma`idah (2), al-Anfal (34), al-Kahfi (21) dan al-Jinn (18).

Menurut Tafsir al-Azhar bahawa masjid tertua ialah Masjidil Haram yang didirikan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang mendahului Masjid al-Aqsa. Ini bererti berubah kiblat dari Masjidil Aqsa bererti perkembalian kepada kiblat yang asal.
(HAMKA, Tafsir al-Azhar, Jilid 1,Pustaka Nasional PTE Ltd., Singapura, 2001:334).

Antara ayat-ayat menyebut `masjid dan masajid`:
Ayat Al-Qur`an bermaksud:


Janganlah engkau bersolat di masjid itu selama-lamanya. Kerana sesungguhnya Masjid (Quba` yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau bersolat padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya, dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
Maka adakah orang yang mebangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka ? dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang zalim.
Al-Taubah: 108-109.

FirmanNya lagi bermaksud:
Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, dia mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan dia tidak takut melainkan kepada Allah, semoga mereka itu tergolong di dalam kalangan mereka yang mendapat pertunjuk (Al-Taubah: 18).

Nama masjid sebagai `ismu makan` (nama tempat, tempat sujud) adalah dari akar kata sa – ja – da, iaitu perlakuan yang paling merendah diri dalam rukun fi`li di dalam solat, lantaran itu nama bagi tempat bersolat dinamakan `masjid` (tempat sujud) kinayah bagi semua ibadat yang dilakukan di masjid. Ini bererti masjid walaupun dari segi maknanya tempat solat, tetapi masjid digunakan sebagai tempat bagi aktiviti berbagai ibadat, pengajian, pendidikan dan kegiatan kebajikan juga kemasyarakatan.

Dari perbincangan di atas dapat difahami bahawa masjid telah wujud sejak zaman Nabi Allah Ibrahim a.s. Ka`bah yang dikenali dengan Masjidil Haram telah didirikan oleh Nabi Ibrahim a.s. Konsep masjid itu diwarisi Rasulullah s.a.w. Baginda sendiri mendirikan masjid-masjid zaman Madinah, termasuk dalam penghijrahan ke Madinah, iaitu mendirikan Masjid Quba` dan Masjid Al-Madinah.

Masjid seharusnya didirikan atas dasar taqwa untuk bersolat dan beribadat.

Sekian.

July 2, 2014

Masjid Keutamaan Rasulullah: Kesempurnaan Dan Keindahan Makhluk Relatif Dari Segi Takmilah

-->
03 Ramadhan 1435 = 01 Julai 2014 (Selasa):

Dua prinsip utama dalam Takmilah yang meningkatkan kualiti pada pengkarya dan karya yang memberi kesan pada khalayak ialah aspek estetik dan akli (ilmu). Sebuah karya dihasilkan pengkarya yang kental dengan estetik dan diperkukuhkan dengan nilai-nilai ilmu lebih tinggi nilainya daripada sesebuah karya biasa. Telah disebutkan bahawa perjalanan kualiti bagi sesuatu hasil adalah perjalanan bertolak dari tahap paling rendah kepada yang Paling Sempurna. Piawaian tertinggi ini adalah `Puncak Sempurna` yang tidak mungkin sampai oleh yang tidak sempurna. Namun ada sempurna pada yang tidak sempurna secara nisbi dalam menuju tahap-tahap sempurna dan betapa sempurnanya pada tahap perjalanan ini sebenarnya masih tetap tidak sempurna. Pada tahap ini sempurnanya adalah ketidaksempurnaan. Contoh syair Melayu yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri diterima sempurna dan diberi kedudukan sebagai hasil syair ruba`I terawal di dalam bahasa Melayu oleh Hamzah Fansuri. Contoh puisi:


Hamzah nin asalnya Fansuri
Mendapat wujud di tanah Shahr Nawi,
Beroleh khilafat ilmu yang `ali
Daripada Abdu `l-Qadir Sayyid Jilani.

Persoalan yang boleh ditimbul mencabar ketepatan misalnya dari segi penggunaan bahar dan suku kata, ciri estetika, mengenai Hamzah Fansuri yang mengaitkan dirinya dengan Fansuri dan Shahr Nawi dan di manakah dimaksudkan dengan Shah Nawi itu. Ini adalah aspek-aspek yang boleh ditimbul dan dibahaskan dan merupakan aspek-aspek takmilah bagi puisi berkenaan.

(Syad Muhammad Naguib Al-Attas, The Mysticism Of Hamzah Fansuri University of Malaya Press, Kuala Lumpur, 1970: 11).

Menariknya puisi di atas selain dari sebagai karya puisi syair rubai terawal dihasilkan oleh penyair terawal dalam bahasa Melayu yang membawa makna yang dalam, puisi di atas dihasilkan oleh ulama falsafah Melayu-Aceh yang samar-samar dari segi latarbelakang yang menjadi lebih menarik dikaji dari segi takmilah.

Takmilah boleh dilihat dalam seni yang lain – contoh seni bina. Misalnya sebuah rumah orang asli yang terbina di pinggir bukit dari bahan alam kelilingnya daripada kayu-kayu bulat, berdinding pelupuh (buluh) dan beratap rumbia. Sudah tentulah ianya tidak sempurna berbanding dengan rumah-rumah biasa, tetapi di dalam ketidaksempurnaannya ianya mempunyai nilai estetik dari segi binaan yang mencerminkan kehidupan masyarakat orang asli dalam lingkungan alamnya. Ianya sudah tentu tidak sempurna di dalam konteks perbandingan, tetapi sempurna dan bernilai estetik di dalam ketidaksempunanya. Ianya menarik untuk diabadikan. Hal sedemikian boleh dilihat pada bahan-bahan muzium purba. Misalnya hasil tembikar lama yang pecah dan terserpih bahagian-bahagiannya, tetapi dia menarik perhatian lantaran nilai estetiknya, dari segi kepurbaan, kenadiran dan dekorasi yang ada padanya yang memperlihatkan kebudayaan dan keberadaan pada zamannya. Selain daripada itu dapat dilihat dari segi peradaban di dalam perjalanan mencari sempurnanya manusia. Semuanya tidak sempurna, tetapi semuanya himpunan bahan dan maklumat yang membantu menyempurnakan manusia di dalam ketidaksempurnaannya.


Dari segi sejarah, peradaban dan tamadun Islam, peristiwa Hijratul Rasul s.a.w. dari Makkah ke Madinah adalah antara peristiwa penting di dalam sejarah dan perkembangan Islam, kerana tindakan dan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. strategi hijrah merupakan era penting bagi perkembangan agama Islam dengan terdirinya Negara Madinah dan perluasan Islam. Di dalam Hijratul Rasul, satu keutamaan yang diberi perhatian oleh Rasulullah s.a.w. ialah mendirikna `masjid`.

Selama 13 tahun Rasulullah dibangkitkan menjadi Rasul dan semasa era Makkah, Baginda tidak mempunyai peluang untuk mendirikan masjid, kerana sekatan dan tekanan kuffar Qurasy. Tugas menunaikan solat yang difardukan selepas Rasulullah s.a.w. menerimanya melalui Isra` dan Mi`raj dilakukan di mana kesempatan, sama ada di Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam, di rumah dan di zawiah-zawiah bangunan. Walaupun solat Juma`at telah sama difardukan, maka kesempatan untuk mendirikan secara berjamaah tidak ada di dalam keadaan tertekan oleh musuh.

Betapa perhatian dan pentingnya masjid, di dalam peristiwa Hijratul Rasul s.a.w. Rasulullah s.a,w. berkesempatan membina dua masjid dalam perjalanan Hijrah Baginda,
Dalam perjalanan Baginda singgah di Quba` beberapa malam dan selama berada di sini Rasulullah sempat mengasaskan masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah yang disifatkan oleh Allah sebagai `Masjid yang dibina di atas Dasar Taqwa (Al-Taubah: 108). Bayangkan Masjid Quba` yang dibina secara asas dengan menggunakan bahan setempat dari batang, pelepah kurma dan batu-batu yang tentunya amat sederhana, tetapi ianya dihasilkan di atas kecintaan yang selama diharap untuk didirikan, tetapi terhalang.
Dengan terdirinya masjid pertama ini kalangan Muhajirin dan Ansar secara simbolik melahirkan syiar perpaduan mereka melalui ibadat paling utama itu – solat. Kali pertama solat dapat didirikan secara berjamaah dalam keadaan aman dan damai. Sifat berjamaah ini berlaku lagi, walaupun tidak didirikan masjid, semasa Rasulullah s.a.w. berada di perkampungan Bani Salim bin `Auf, Rasulullah bersama-sama yang hadir mendirikan solat Jumaat di perkampunga tersebut. Ini pula adalah solat Jumaat pertama didirikan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam Islam dan menyampaikan khutbah. Betapa keamanan penting, hatta bagi mendirikan solat Jumaat. Dua peristiwa penting ini begitu bermakna di dalam sejarah umat dan kekal menjadi `monument` yang terakam di dalam jiwa dan minda umat.


Puncak dari pendekatan yang dilakukan Rasulullah apabila Rasulullah dan pengiring-pengiring tiba di perumahan kaum Ansar dalam mana masing-masing mengharapkan Rasulullah s.a.w. singgah di rumah mereka dan akhirnya unta yang ditunggangi sampai ke rumah Bani `Adi bin Najjar. Mereka adalah keluarga Rasulullah di sebelah ibunya Aminah. Unta singgah di halaman rumah Abu Ayyub al-Ansari. Di situ Rasulullah s.a.w. berhenti dan di tapak itulah Baginda memilih bagi membina Masjid Nabawi Rasulullah s..a.w. sebagaimana diisyaratkan oleh ayat Al-Qur`an bermaksud:

``Dan katakanlah , ``Wahai Tuhanku !`` Turunkanlah daku di tempat turun yang berkat dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat.`` (Al-Mu`minun: 29).

Tanah yang dijadikan tapak masjid, meskipun mau diwaqafkan, tetapi melalui rundingan dengan penjaga dua anak yatim yang memilikinya Rasulullah membayarnya dengan harga yang berpatutan. Adalah disebutkan bahawa tanah itu merupakan tanah kubur lama di dalam ladang kurma. Kuburan dipindah, tanah diratakan dan polol-pokok kurma ditebang bagi tapak masjid. Kerja-kerja pembinaan dilakukan dengan menggunakan bahan-bahan dari pokok kurma dan batu-batu setempat. Tiangnya dari batang kurma, atapnya dari pelepah-pelepah kurma dan lantainya dari batu-batu setempat dan tingginya melebihi ketinggian orang berdiri. Masjid adalah hasil dari kerja yang sama dilakukan oleh Rasulullah. Sejak itu dan dan dengan perubahan yang berlaku masjid barakah ini berfungsi hingga kini.

(Johari Bin Yaman, Mengenali Rasulullah S.A.W. Nadi Minda Resources, Rawang, Selangor, 2009:226 -230).

Puisi, permuziuman dan seni bina masjid yang dibina oleh Rasulullah adalah merupakan bahan yang dicetuskan dan masjid adalah oleh Rasulullah yang berkait dengan puncak tertinggi dalam skima takmilah (Allah). Pembinaan masjid memberi impak tertinggi kepada khalayak ummah secara horizontal dan memuncak tertinggi kepada Ilahi secara vertical yang memartabatkan diri dan ummah itu sendiri.

Sekian.

July 1, 2014

Rasulullah, Persediaan Kerasulan - Bijaksana Dan Kreatif

-->
BBB, 02 Ramadhan 1435 = 30 Jun 2014 (Isnin):

Merujuk kepada skima Takmilah yang mempunyai tujuh tahap itu, tahap tertinggi tahap `Kesempurnaan Ilahi`, manakala pada tahap bawah tahap `Ketidaksempurnaan Insani` yang mengingini kesempurnaan. Tahap bawah (kanan) adalah tahap terpenting di dalam skima dan pergerakannya. Tahap ini jika di dalam bidang penulisan dikenali sebagai `pengarang` dan pada tahap kreativiti yang lain ialah `insan kreatif`` itu sendiri. Untuk berada pada tahap pengarang yang mungkin dikenali sebagai penyair, cerpenes, novelis , pengkritik dan sebagainya tidak semudah sebagaimana mungkin dijangka. Kepengarangan terbina di dalam masa yang panjang yang antaranya bermula dari tradisi lisan, membawa kepada tradisi tulisan  yang berkembang menurut bidang-bidangnya membawalah kepada moden. (Sahlan Mohd. Saman – Shaiful Bahri Md. Radzi, (Penyunting), Persuratan Melayu, Tradisi Ke Moden, Penerbit Universiti Kebangsaan, Bangi, 2014: 17-99). Dia mungkin penyair, cerpenis, novelis, dramatis dan pengkritik. Satu hal yang perlu, dia adalah seorang yang berilmu, mungkin lulusan universiti di dalam bidang penulisan kreatif atau jika tidak lulus universiti mempunyai keilmuan yang diusahakan. Mungkin ilmu dan pengalamannya lebih baik dari seorang yang lulus universiti, tetapi yang paling penting dia mesti menulis di dalam bidangnya. Penulisannya mungkin tidak semudah diterima dan terpaksa berjuang di dalam bidang penulisan dan selepas ditolak, tetapi terus berdegil dan menulis akhirnya hasil tulisannya diterima. Menjadi pengarang terkenal tidak setakat menulis, tetapi mengambil masa yang panjang untuk membuktikan kualiti penulisannya di kalangan khalayak. Dengan mutu penulisannya dia mungkin diterima khalayak sebagai seorang `Sasterawan Negara` dan sebagainya.


Kepimpinan juga adalah melalui kreativiti. Ada pendekatan yang diambil yang membawanya kepada kejayaan. Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. adalah seorang pemimpin, tetapi oleh kerana dia seorang Rasul, maka sering digambarkan kepimpinannya sebagai `campur tangan dari atas` - Allah, sehingga kelihatan baginda sebagai `dipandu secara automatic` dari atas. Tanpa menafikan hakikat – demikian juga pada semua, `Muhammad` sebagai manusia berjihad menempuh rintangan, ugutan, ancaman bunuh, peperangan dan diplomasi sebelum berjaya menyempurnakan dakwah keislaman (al-Ma`idah: 3) dan mendirikan Negara Islam di Madinah.

`Muhammad` sebagai insan bukan di luar dari skop manusia yang dilahirkan oleh seorang ibu `Aminah` dan seorang ayah `Abdullah` hidup dalam suasana budaya Arab beriklim panas padang pasir, mendapat kasih sayang seorang ninda `Abdul Muttalib` selepas kematian bapanya dan digalang ganti kasih sayang oleh bapa saudaranya Abu Talib selepas nindanya meninggal. Dari didikan mereka berdua dan dengan keinsafan tentang dirinya yang yatim piatu memurni dan menginsafkan jiwa Muhammad dan menjadi sebagai seorang yang berperibadi tinggi.

Muhammad tidak terlepas dari lingkungan budaya mesyarakat Arab yang pada masa kecilnya mengembala kambing dan pada masa remajanya mengikuti bapa saudaranya Abu Talib berniaga ke Sham dan kemudian secara sendiri membawa dagangan Saydatina Khadijah bt. Khuwailid berulang alik berniaga ke Sham.

Tanpa menafikan kehendak Tertinggi terhadap Muhammad, tetapi interaksi Muhammad dengan tokoh-tokoh perniagaan dan ilmuan, lebih dari interaksinya dengan pedagang-pedagang yang datang ke Makkah mendedahkan Muhammad yang sempurna akal dan jiwa bukan saja dengan kemahiran perdagangan, tetapi juga hikmat dan kebijaksanaan, misalnya interaksi Muhammad dengan Pendita Buhaira semasa di perjalanan bersama bapa saudaranya Abu Talib dan interaksi dengan tokoh-tokoh peniaga, rahib dan ilmuan dalam pemergian perdagangan kali kedua ke Sham lebih mematang dan membijaksanakan Muhammad. Muhammad menjadi orang yang dipercayai Khadijah sehingga melamarnya menjadi suaminya dan dipercayai masyarakatnya sehingga di dalam pertikaian untuk meletakkan kembali Hajarul Aswad di penjuru Ka`bah Muhammad menjadi orang kepercayaan menyelesaikan pertikaian dengan adil dan memberi puashati kepada semua pihak. (Zulkifli Mohd. Yusoff, Noor Naemah Abd. Rahman, Biografi Muhammad bin Abdullah, PTS Islamika  Sdn. Bhd. Batu Caves, Selangor, 2011:31-38).


Selepas Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul Baginda mengambil tindakan bijaksana membentuk kumpulan jamaah Islam awal iaitu Saydatina Khadijah isteri Baginda sendiri, Zaid bin Harithah, Ali bin Abi Talib, Abu Bakar diikuti Uthman ibn Affan, Zubair bin Awwam, Sa`ad bi Abi Waqqas, Abdul Rahman bin Auf dan Talhah bin Ubaidillah yang disifatkan mereka sebagai `al-sabiqun al-awwalun` (Zulkifli Mohd Yusoff, Naimah Abd. Rahman, Bigrafi Muhammad bin Abdullah, 2011: 47).

Rentetan perjuangan Rasulullah dan dakwah mencermin kebijaksanaan dan kreativiti Baginda dengan menjalankan dakwah secara rahsia dan terbuka, berhijrah ke Habasyah, mengatur strategi perutusan ke Madinah (Bai`ah al-`Aqabah – Pertama dan Kedua) dan seterusnya berhijrah ke Madinah.

Dalam kata yang lain perutusan Rasulullah s.a.w. membawa agama Islam berdepan dengan banyak halangan dan rintangan. Dengan kebijaksanaan Baginda mengatur strategi semasa di Makkah, termasuk membuka pusat dakwah dan pendidikan di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam dapat menarik antaranya yang sebelumnya `musuh` seperti Umar Ibn Al-Khattab dan Abu Zar Al-Ghifari, bergabung di dalam jamaah Islam. Dari ketrampilan strategi dan kreativiti mengatur dakwah dan perancangan Islam makin mendapat kekuatan. Sesungguhnya di dalam apa bidang jua termasuklah penulisan perlu ada ilmu dan kebijaksanaan, lebih dari itu ada kretiviti dan perlaksanaan yang dapat membawa kepada kejayaan.

Sekian.

June 30, 2014

Teori Takmilah, Aplikasi Pada Masjid Al-Umm

-->
BBB, 01 Ramadhan 1435 = 29 Jun 2014 (Ahad):

Menyambut Ramadhan 1435, di hari yang berkat ini Penulis sengaja memilih dan mulai menulis membicarakan Masjid Al-Umm yang sedang dalam pembinaan dengan menggunakan Teori Takmilah sebagai aplikasi pendekatan. Penggunaan teori ini kepada seni bina, khususnya masjid, bukan merupakan permulaan, tetapi sesudah melalui perjalanan panjang yang membawa kepada penemuan-penemuan.

Teori Takmilah terawal dikemukakan pada 1992 sebagai Teori Sastera Islam yang menyedari Kesempunaan Pencipta dan Keindahannya yang mendamba hamba sebagai makhlukNya yang lemah dan kekurangan rindu kepada Kesempurnaan dan KeindahanNya (Shafie Abu Bakar, Takmilah: Teori, Falsafah Dan Prinsip, dlm. Mana Sikana, Teori Sastera Dan Budaya Dalam Kajian Akademik, JPM, UKM, Bangi, 1997: 125). Sesungguhnya tiada siapa yang tidak mau kepada yang sempurna dan indah dan setiap yang kita lakukan kita maukan hasil yang sempurna, indah dan baik, bahkan adalah menjadi budaya yang terpuji jika kita melakukan sesuatu kerja yang menghasilkan sesuatu hasil yang sempurna, indah dan terpuji. Demikianlah Teori Takmilah dihasilkan sebagai mekanisme menggalak, menilai, dan menghasilkan hasil-hasil sastera yang bernilai, bermutu, indah dan baik menurut skima Islam sebagai Teori Sastera Islam. Kita menghasilkan Teori Takmilah lantaran kecintaan terhadap Ilmu dan tidak mau kita selamanya bergantung kepada teori luar dalam melihat sastera, khususnya sastera Islam. Kita juga tidaklah mengharapkan apa-apa sanjungan dari mana-mana pihak di atas usaha membina Teori Sastera Islam ini, walau bagaimana pihak Persatuan Sasterawan Numera Malaysia memberi pengiktirafan di atas usaha membina Teori Takmilah ini dengan menobatkan Penulis sebagai Tokoh Persuratan Dunia Nusantara Melayu Raya (Numera) bagi tahun 2013 pada 20 November 2013 dari Malaysia bersama penulis terkenal Indonesia Profesor Dr. Abdul Hadi W.M. dari Indonesia dan Profesor Madya Dr. Victor Pagadaev  dari Rusia kerana peranan mereka memperkembangkan bahasa Melayu di dunia. Terima kasih di atas pengiktirafan.


Setelah lebih dari dua dekad tumpuan Teori Takmilah terhadap Sastera Islam. Dalam seminar bertemakan ``Teori Takmilah: Perluasan Dan Penafsiran`` yang diadakan di UPSI di bawah anjuran Persatuan Penulis Budiman Malaysia dengan kerjasama UPSI dan DBP pada 27.3.2014 yang penulis adalah salah seorang pembentang kertas kerja, Maka dalam seminar itu Penulis membentangkan kertas kerja berjudul, `Perluasan Teori Takmilah`. Dalam kertas kerja ini Penulis menampilkan gagasan sebagai dimensi baru yang memperluaskan skop Teori Takmilah, kata Penulis:


``Penulis tidak mau mengulangi apa yang Penulis katakana mengenai Teori Takmilah, sebaliknya melalui pengalaman, perhubungan dan pendedahan dengan berbagai episode hidup dari tanggapan estetik hinggalah kepada politik terbuka pandangan yang melihat bahawa Teori Takmilah tidak hanya boleh digunakan bagi menghurai, menilai dan mengkaji terhadap bahan-bahan sastera sahaja, tetapi dapat diperluaskan kepada bidang-bidang lain. Selain dari sastera yang menggunakan berbagai medium bahasa, maka seni-seni yang lain juga yang tidak menggunakan medium bahasa mempunyai fungsi yang hampir sama dengan sastera …
Kalau penghayatan sastera menggunakan medium bahasa maka seni yang lain yang tidak menggunakan bahasa, tetapi penghayatan, misalnya melalui penglihatan dan pengertian (kefahaman) dapat dinilai dan diaplikasi dengan Teori Takmilah.``
(Shafie Abu Bakar, Perluasan Teori Takmilah, dlm. Abdul Halim Ali (Penyelenggara), Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Tanjung Malim, 2014: 22-23).


Sebenarnya banyak ayat Qur`an mengisyarat kepada kepentingan pembacaan secara minda terhadap `Aayaat-Aayaat`. Antaranya firman Allah: Bermaksud:

``Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan silih bertukar malam dan siang adalah
Aayaat (tanda-tanda) yang dapat dibaca oleh para ulu al-albab.`` (Ali Imran: 190).
Dan lagi firmanNya yang bermaksud:

``Sesungguhnya mereka yang tidak beriman dengan aayaat-aayaat Allah, mereka itu tidak mendapat pertunjuk Allah.`` (Ali Imran: 104).

Semasa membentangkan kertas kerja di UPSI Penulis telah membicarakan secara ringkas lima bidang seni yang dapat diaplikasi dengan Teori Takmilah, iaitu sastera, khat, seni bina masjid, seni suara dan lagi muzium dari segi Takmilah. Berikutnya melalui blog Penulis menambahkan lima bidang yang lain, iaitu seni Al-Qur`an, landscaping dan seni taman, perfileman, seni lukis, grafik dan animasi dan seni kraf, anyaman juga tenunan. Kesemuanya sepuluh bidang dan mungkin boleh ditambah lagi.

Penulis memberi perhatian terhadap seni bina – seni bina masjid, kerana secara kebetulan Penulis kini sebagai Pengerusi Induk bagi jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Keterlibatan Penulis sebagai Pengerusi Jawatankuasa banyak memberi kefahaman terhadap keperluan, pembinaan dan aspek seni pembinaan Masjid Al-Umm. Dengan keterlibatan secara langsung ini dan kefahaman yang ada dan dengan bantuan dan kerjasama ahli jawatankuasa diharap Penulis dapat menulis dengan lebih menyeluruh dan lepih tepat. Diharap dengan tulisan ini bukan saja  dapat mendokumentasikan aspek pembinaan Masjid Al-Umm, tetapi juga mengukuhkan Teori Takmilah yang diperluaskan kepada Seni Bina – Masjid.

Sekian.

June 29, 2014

Masjid Hendaklah Dibina Secara Bersih, Jangan Ada Sesuatu Yang Boleh Menghilangkan Kepercayaan Masyarakat - Dato` Dr. Haron Din

-->
BBB, 30 Sya`ban 1435 = 28 Jun 2014 (Sabtu):

Sempena kehadiran Ramadhan esok hari dan harapan agar Masjid Al-Umm dapat digunakan pada Ramadhan akan datang (1436H./2015M.), AJK Induk Pembinaan Masjid Al-Umm membuat temu janji bagi melaporkan kegiatan Pembinaan Masjid Al-Umm dan Pengisian kepada Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung dan Penasihat Masjid Al-Umm.


Sebagaimana ditentukan masa pada pagi ini jam 10.00 pagi, maka AJK Pembinaan Masjid Al-Umm, antara yang hadir, iaitu Dr. Shafie Abu Bakar Selaku (Pengerusi) dan AJK, Tuan Haji Mohd Nor bin Haji Mohd Yasin (Bendahari), Tuan Haji Suib bin Maulud (Setiausaha), Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud, Tuan Haji Ghazali bin Hussin dan saudara Adham bin Anuar hadir bertemu dengan Dato` Dr. Haron Din di rumahnya bagi memberi laporan berkenaan dengan perkembangan pembinaan Masjid al-Umm.

Antara pesanan utama yang disampaikan oleh Dato` Dr. Haron Din bahawa,
``Pembinaan masjid hendaklah secara bersih baik dari segi fizikal, mau pun pengurusan,`` tambah Dato` Dr. Haron Din, ``Jangan ada sesuatu yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat, terutama dari segi pungutan kewangan.`` Kata Dato` Dr. Haron Din. Beliau membawa contoh sambil menunjukkan gambar-gambar masjid yang dibinanya di Perlis, bahawa beliau mempastikan pekerja-pekerja yang membina masjidnya adalah orang Islam. Menurutnya, pada bulan Ramadhan tahun lepas, beliau mempastikan bahawa pekerja-pekerja pembinaan yang sebahagian besar dari Myammar Muslim mereka adalah berpuasa. Pada sebelah petang ada shift dari pekerja yang memasak untuk mereka berbuka. Masjid yang didirikan oleh Tuan Guru di Perlis telah siap.


Berbalik kepada Masjid Al-Umm, Tuan Guru mau pekerja-pekerja seperti memasang tile masjid kelak hendaklah dilakukan oleh pekerja-pekerja muslim. Pada bulan Ramadhan ini jangan ada dari kalangan mereka yang tidak berpuasa. Dato` Dr. Haron Din juga mencadangkan agar pihak AJK berusaha mendapat waqaf dari pihak-pihak tertentu untuk dijadikan asset masjid dan perjalanannya lebih berdikari.

Berhubung dengan progress pembinaan Masjid Al-Umm Tuan Guru dimaklumkan bahawa setakat 31 Mei, 2014 status pembinaan oleh Syarikat Tekad Nusantara adalah 11.23%, iaitu 0.34% lebih cepat dari jadual asal (10.89%). Setakat ini pembinaan memakan masa 173 hari daripada 532 hari. Pembinaan dipantau oleh AJK Teknikal dan Tapak yang melaporkan perkembangan dari masa ke masa kepada AJK Induk, khususnya di dalam mesyuarat bulanan yang diadakan. Adalah dijangka, jika tidak ada masalah, maka Masjid Al-Umm akan dapat digunakan pada bulan Ramadhan 1436 akan datang insya Allah.

Berhubung dengan pengisian di Masjid Al-Umm bila siap kelak, Penulis menyerahkan kepada Ybhg. Tuan Guru satu salinan kertas kerja ``Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu – Integrasi Berbagai Institusi Berindukkan Masjid Al-Umm`` yang dibentangkan di dalam Bengkel Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu dianjurkan oleh Persatuan Pemuda Prihatin pada 16 Sya`ban 1435 = 14 Jun 2014 bertempat di Puri Pujangga, UKM. Kertas ini diterima oleh AJK Induk dalam mesyuaratnya pada 26 Sya`ban 1435 = 24 Jun 2014 untuk dijadikan kertas panduan.

Dato` Dr. Haron Din bersetuju bagi mengadakan kerjasama secara integrated antara pusat-pusat pengajian dan keilmuan, terutama di `Wadi Ilmu` Bandar Baru Bangi, seperti antara Masjid Al-Umm, Dar Al-Shifa`, Surau Al-Nur dan Kmpleks Pendidikan Islam (KPI) Bangi. Bila Penulis menyebut antara rancangan mengadakan Pengajian Masjid, Tahfiz, Pengajian Pondok dan Pengajian secara berpekeg yang antara bidang keilmuan melibatkan aqidah, fiqh, tasawuf, Qur`an, Hadith, tafsir, bahasa `Arab, Ekonomi Islam, kesihatan, penulisan, bahasa Melayu dan Inggeris dan kemahiran Seni (contoh khat, graphic dan animasi). Tuan Guru tidak menafikan cadangan, tetapi mengingatkan:


``Jangan terlampau ghairah untuk mengadakan pengajian pada peringkat tinggi, sedangkan dari pengalaman yang kita lalui, ramai masyarakat yang tidak betul membaca Al-Qur`an, seperti Al-Fatihah juga tahiyyat dan tidak tahu mengenai hukum hakam yang basic !`` Mereka perlu bertalaqqi dengan guru-guru secara langsung.
Tuan Guru merujuk kepada ayat Al-Qur`an berkenaan `Talaqqi` , bermaksud:

Dan sesungguhnya  engkau (wahai Muhammad) diberikan menyebut dan menerima Al-Qur`an dari sisi Allah Yang Amat Bijaksana, lagi Amat Mengetahui (Al-Naml: 6).
Tuan Guru mau pengajaran disediakan dari peringkat basic disampaikan kepada semua pihak yang memerlukan tanpa mengira kedudukan.

TG menyebut bahawa ada kesilapan pada sistem pendidikan kita dari peringkat rendah lagi. Contoh anak-anak diajar guru tak terlatih menyebabkan anak-anak tidak dapat membaca dengan betul. Beliau mau kemampuan guru dipertingkatkan, supaya pengajian yang diterima tidak salah. Pembelajaran secara talaqqi bagi Al-Qur`an – khususnya pembacaan Fatihah dan tahiyyat dipastikan betul dari segi pembacaan.

Tuan Guru bersetuju diadakan kerjasama antara institusi penting di sini dan pelajar-pelajar berkelayakan boleh memilih dan menghadiri kursus pilihan. Contoh menurut Tuan Guru kuliah-kuliah di Darul Shifa` bekerjasama dan dihadiri pelajar-pelajar dari Pusat Dakwah Serantau, Sungai Merab,  Institut Perguruan Islam Bangi, pelajar-pelajar UKM, UM dan UIA. Mereka menerima ijazah bila mencukupi syarat dan memenuhi keperluan unit. Bila ditanyakan tentang jumlah keluaran Dar al-Shifa` setakat ini. menurut Tuan Guru jumlah bagi semua cawanngan setiap negeri, termasuk Brunei menghampiri 10,000 orang.

Berhubung bagaimana cara mengintegrasi kursus pengajian, maka Bengkel Pengisian Pengajian Masjid Al-Umm secara integrasi akan diadakan. Menurut saudara Haji Suib Maulud, Setiausaha, tarikhnya ialah pada 21 September 2014, tempatnya akan ditentukan kemudian.

Sekian.