BBB, 05 Ramadhan 1435 = 03 Julai 2014 (Khamis):
Kejayaan hasil penulisan kreatif bergantung kepada kemampuan
– bakat, ilmu dan kreativiti individu seseorang penulis. Akhirnya bukan setakat
hasil, tetapi menjadi identiti penulis berkenaan. Misalnya Nyanyi Sunyi yang
bernada lembut bertolak dari cinta makhluk kepada makhluk membawa kepada cinta kepada
Khalik adalah menjadi identiti kepada Raja Penyair Amir Hamzah. Asrar Khudi
yang bersifat intelektual dan falsafah menjadi identiti kepada penyair Iqbal
yang mendambakan sebuah Negara Islam Pakistan, tetapi meninggal (1947) sebelum
Negara berkenaan menjadi realiti (1948). Karya-karya berkenaan adalah hasil
perseorangan penyair-penyair berkenaan. Keadaan yang sama di dalam
bidang-bidang kreatif yang lain misalnya novel Di Bawah Lindungan Ka`bah oleh
Hamka, Sebuah Lampu Antik cerpen Harun Haji Salleh dan sebagainya. Karya-karya
kreatif tidak boleh dihasilkan oleh lebih dari seorang apa lagi beramai-ramai.
Lantaran karya kreatif bergantung pada bakat, pengalaman, penguasaan bahasa,
cita rasa seni dan kreativiti seseorang. Jika dihasilkan oleh lebih dari
seorang, maka terjadilah kecamuk elemen-elemen berkenaan, kerana ilham,
persepsi tema dan gaya
pengucapan berlainan, maka hilang keaslian dan identiti. Puisi dan penulisan
kreatif yang lain berjiwa keislaman adalah contoh yang baik bagi kesempurnaan
Teori Takmilah yang bertolak dari pengarang berjiwa keislaman yang menghasilkan
karya berunsur keislaman yang tercerna di dalamnya nada-nada kerohanian,
bersifat ilmu meningkat dari aras kealaman kepada juruspandang keislaman yang
mengagung dan menghayati keindahan cipta Tuhan dan karya ini memberi impak yang
baik bagi khalayak dengan roh keislaman.
Dalam hal mendirikan masjid, aspek cipta lebih bertolak dari
skima akal yang meningkat kepada skima keislaman dalam mana mendirikan masjid
adalah merupakan tuntutan Islam bagi mendirikan tuntutan Islam dan menegakkan
syiarnya dengan membesar Allah yang bersifat dengan sifat yang sempurna.
Berbeza dengan cipta penulisan karya kreatif sebagaimana telah dibincangkan di
atas, mendirikan masjid, walaupun terlibat dengan elemen seni terutama dari
segi architecture, hiasan dalaman, landscaping dan seni taman tidak dilakukan
secara perseorangan. Menyebut masjid saja tergambar dan terpandang kepada kita jamaah
yang mengihya`kan
masjid. Bahkan dari peringkat awal untuk mendirikan masjid melibatkan jamaah
yang kerja dan urusan di dalam Islam adalah sememangnya dituntut secara
berjamaah. Segala urusan yang melibatkan jamaah hendaklah dilakukan dan diambil
keputusan secara bermesyuarat. Firman Allah bermaksud:
Dan urusan mereka dijalankan secara permesyuaratan
(al-Shu`ara`: 38).
FirmanNya lagi bermaksud:
Dan bermesyuaratlah dengan mereka di dalam satu-satu
persoalan. Apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada Nya.
(Ali Imran: 159).
Jika timbul keperluan mendirikan masjid dengan ahli kariah
yang bertambah, maka anak kariah yang diketuai oleh ketua kampung, imam dan AJK
surau yang telah ada sebelumnya dan pemimpin-pemimpin setempat perlu dipanggil
bermesyuarat bagi mengambil keputusan perlu atau tidaknya mendirikan masjid.
Keadaan yang sama jika sekiranya masjid mau didirikan di pekan dan sebagainya.
Keadaan mungkin sedikit berlainan jika cadangan mendirikan masjid dicadang atau
diambil oleh pihak pemerintah. Kerajaan mempunyai kewangan, agensi dan pentadbiran
dan kerja mungkin lebih cepat disiapkan. Andainya pihak yang bermesyuarat
bersetuju, maka perlu ditubuhkan Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid dan urusan-urusan
berikut perlu diambil tindakan.
Paling penting adakah wujud tanah yang hendak dijadikan
tapak pembinaan masjid berkenaan. Keluasan normalnya yang sebaik-baiknya 5
ekar. Adakah tanah tersebut sudah dimiliki, jika tanah kerajaan perlu dipohon
dan digazetkan. Sebelum daripada itu perlu, jika di negeri Selangor misalnya
mendapat keizinan dari JAIS dan kebenaran dari Pejabat Tanah Daerah dan jika
berada di dalam kawasan perbandaran, perlu mendapat kebenaran dan kelulusan
dari pihak Majlis Perbandaran Tempatan. Semua ini memakan masa yang mungkin
bertahun lamanya.
Andainya urusan di atas dilaksanakan atau dalam proses
kelulusan, maka perlu kepada pihak arkitek, biasanya melibatkan firma yang akan
merangka pelan bangunan sebagaimana yang diingini oleh pihak AJK yang biasanya
mengalami perubahan, pembaikan, penambahan dan sebagainya. Pelan ini sendiri
perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan dan pihak-pihak yang berkait
dengan keperluan kelulusan yang melibatkan berbagai jabatan untuk keselamatan,
misalnya dari pihak bomba, elektrik, JKR, Alam Sekitar, Saliran dan sebagainya.
Keperluan yang paling besar yang boleh menggagalkan
pembinaan atau berjaya ialah kewangan. Jumlah kewangan yang diperlukan
bergantung kepada kos tanah, sebesar manakah bangunan masjid yang mau didirikan
dan kos mendirikan masjid berkenaan. Ia mungkin melibatkan kos sebanyak RM7
juta yang kapasitinya dapat memuatkan seramai 2,500 jamaah secara serentak.
Dari manakah kewangan mau didapati ? Cara mudah ialah mendapat peruntukan
kerajaan negeri, tetapi tidak begitu mudah. Kerajaan biasanya tidak wajar
melayan kesemua permohonan, kerana ia melibatkan jumlah peruntukan yang besar,
jika dilayan semua akan memohon peruntukan sedemikian. Jika pun dapat adalah
tambahan dari peruntukan sebagai bantuan dan galakan, misalnya dengan
menjanjikan bantuan dolar to dolar. Dalam kata lain dengan hasrat dari ahli
kariah mau mendirikan masjid, bahkan surau, AJK perlu memikirkan cara mendapat
peruntukan kewangan bagi mendirikan masjid. Satu cara ialah mendapat tunjangan
dari pihak koporat atau hartawan bagi membiayai kos mendirikan masjid. Jika
cara ini didapati lebih mudah dari segi kewangan. Cara biasa ialah mendapat dan
memohon derma dari orang ramai. Untuk memungut derma perlu mendapat kelulusan,
jika di negeri Selangor ialah melalui JAIS dan berusaha mendapat keizinan
perlepasan cukai dari pihak Jabatan Hasil Dalam Negeri. Untuk mendapat derma
pihak AJK terpaksa bekerja kuat menggunakan berbagai cara dan pendekatan bagi
mendapat derma berkenaan. Biasanya untuk pembinaan tidak mesti menunggu semua
jumlah RM7 juta didapati baru hendak mula dibangunkan. Dengan RM2 juta misalnya pembinaan sudah
boleh dimulakan, iaitu dengan jangkaan dalam masa pembinaan derma terus dapat
dipungut dan dengan harapan orang ramai melihat pembangunan bermula, mereka
berkeyakinan dan orang ramai makin bersemangat untuk menderma.
Keperluan sebelum kerja pembangunan bermula ialah menentukan
arah kiblat yang dijalankan jika di Selangor oleh pihak MAIS melalui Jabatan
Mufti dan setelah urusan selesai yang paling penting ialah melantik kontrektor
membangunkan masjid menurut pelan arkitek yang telah dipersetujui. Lantikan
kontrektor perlu dilakukan oleh AJK dengan cara teliti dan melalui interview
terhadap pemohon yang memasuki tender yang diiklankan. Kontrektor dipilih perlu
dilihat pada kemampuannya, sejarah pembinaan yang telah dilalui, kemampuan
kewangan, mudah berurusan dan sebaik kontrektor dari kalangan orang Islam
kerana yang mau didirikan ialah `Rumah Allah` yang pembinaannya perlu sesuci
yang boleh. Selain dari arkitek dan kontrektor bagi memastikan pembinaan
menurut yang dicadangkan perlu dilantik perunding kejuruteraan awam, perunding
kejuruteraan mekanikal dan elektrikal dan perunding ukur bahan. Bagi pihak
Pembinaan Masjid pula adalah pihak induk yang menentukan polisi, memonitor dari
segi pembangunan di tapak, teknikal dan AJK Induk mengawal dan memastikan pembangunan menurut
spesifikasi yang ditentukan dan tidak berlaku kecacatan dan segala dipastikan
berjalan lancar dan menurut jadual yang ditentukan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment