July 25, 2014

Pembangunan Masjid: Lakaran Awal Panduan Mencari Bentuk Masjid Al-Umm - Proses Takmilah

-->
BBB, 26 Ramadhan 1435 = 24 Julai 2014 (Khamis):

Pembicaraan lepas ialah keperluan dan pra-syarat bagi pembinaan masjid,
iaitu melalui:

1) Tahap permohonan Tapak

Janji Adun Bangi untuk mendirikan Masjid Al-Umm mulai diusahakan selepas kemenangan Pilihanraya ke 12 (Mac 2008). Surat dihantar oleh Setiausaha Surau Al-Umm Tuan Haji Hussin Yunos melalui pihak JAIS dan mendapat jawapan dari pihak Pejabat Tanah Ruj. PTD UL. 16/3/5.2008(3) bertarikh 24 Mei 2008 tentang tindakan yang diambil.


Tahap penting dan menggembirakan AJK Pembinaan ialah Kelulusan Tapak Masjid  seluas 2 ekar di atas tapak lot 51177 , Jalan 1/4A, Bandar Baru Bangi dan diwartakan. Kelulusan oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor (Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim). Surat Pejabat Tanah ditujukan kepada JAIS Bil. PTD.UL 16/3/194-2006(9) bertarikh 1 September 2009. Diikuti jawapan dari pihak JAIS, tiada halangan didirikan masjid. Surat JAIS Bil.(16) dlm. JAL.SEL.BKP/03/016/5/22 bertarikh 17 November 2009. Pada bulan Jun 2011 pihak JAIS secara jelas memberi kebenaran membina Masjid di atas tapak berkenaan.

2. Tahap Pembentukan Ahli Jawatankuasa Pembangunan

Berikutan dari pewartaan tapak dan kebenaran mendirikan Masjid Al-Umm di atas tapak berkenaan Penulis selaku Adun Bangi pada masa itu menjemput Pengerusi-Pengerusi dan wakil-wakil surau sekelilng Masjid Al-Umm dan YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi Dr. Tajul Ariffin Noordin sejumlah 30 orang bermesyuarat bagi melantik ahli jawatankuasa pembinaan dan pengisian Masjid Al-Umm pada 4 Fabruari 2010. Perlantikan telah dibuat sebagaimana pernah ditulis sebelum ini. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi dilantik, Tiga AJK Kerja juga dilantik, iaitu bahagian Pelan, Binaan dan Landscaping, bahagian Dana dan bahagian Pendidikan. Kos bagi pembinaan Masjid Al-Umm dibuat anggaran dalam mesyuarat berkenaan ialah RM10 juta (Sebelum dari itu angka yang disebut RM7 juta).

Semua AJK menjalankan tugas dengan baik, kecuali bahagian Pelan, Binaan dan Landscaping yang dilantik tanpa hadir dan tidak pernah hadir selepas itu.

3. Tahap Memungut Derma

Tumpuan kerja pada peringkat ini, ialah memohon keizinan dari pihak MAIS kebenaran memungut derma. Pihak MAIS memberi kebenaran memungut derma pada 10 Februari 2012 dengan Rujukan MAIS/E/MAL/03-2/001/03-1/34. Seramai 10 orang diberi tauliah untuk memungut derma iaitu,

  1. YB. Dr. Shafie Abu Bakar
  2. Mohd Ghazali Abas
  3. Husin Haji Yunos
  4. Mohd Nor Haji Mohd Yasin
  5. Ahmad bin Haji Hasbullah
  6. Omar bin Jaafar
  7. Mohd Kalok bin A. Latiff
  8. Mohd. Said Bin Mohd Yunus
  9. Dr. Tajul Ariffin Noordin
  10. Abdul Rahman bin Daud

Usaha juga dibuat bagi mendapat pengecualian Cukai Pendapatan bagi mereka yang menderma dan memerlukan pengecualian cukai.

Selepas mendapat kebenaran memungut derma dari pihak MAIS ini, usaha yang penting dilakukan yang pernah disebutkan ialah mengadakan Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi yang telah berlangsung pada Sabtu 19 Mei 2012 bertempat di Medan Letak Kereta Jalan ¼ berhadapan dengan tapak Masjid al-Umm Bandar Baru Bangi. Hasil dari pelancaran ini sejumlah RM150,000 dapat dipungut. Selepas itu pemungutan dilakukan dengan berbagai cara antaranya melalui penempatan tabung derma di masjid dan surau-surau, selain dari usaha melalui mereka yang ditauliahkan.


Kerja-kerja menjadi lebih lancar apabila Setiausaha Kerja Mohd. Adham bin Anuar dilantik mulai 16 April 2012 dan Pejabat Masjid Al-Umm mulai digunakan bertempat di sebuah warung di Medan Usahawan berdekatan dengan tapak Masjid Al-Umm. Beliau bersama Tuan Haji Abdul Rahman menguruskan tabung-tabung derma di masjid-masjid dan surau-surau.

4. Tahap Pembersihan Tapak

Selepas urusan di atas dijalankan, maka tahap seterusnya sebagai fasa kedua ialah masuk kepada tahap pembangunan Masjid Al-Umm.

Pembangunan tapak dapat dikira dari pemberbersihan sebahagian daripada tapak masjid. Kerja bagi pembersihan tapak ini dilakukan beberapa kali. Pembersihan awal dilakukan oleh Syarikat Tuan Mohd Said bin Mohd Yunus pada peringkat awal penubuhan AJK (2010), tetapi hanya sebahagian. Pembersihan dilakukan bila hendak dilakukan pelancaran Derma Tabung Masjid Al-Umm dan diikuti dengan pembersihan menjelang Lawatan Tapak dan Kenduri Kampung oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor dan pembersihan menyeluruh dan memagarinya dengan zink sebelum memilih kontrektor pembinaan Masjid Al-Umm.

Sehingga Majlis Pelancaran Tabung Derma Masjid Al-Umm pihak AJK Pembinaan Masjid Al-Umm belum dapat menggambarkan apakah bentuk Masjid Al-Umm yang akan dibangunkan, tetapi untuk menyediakan buku Pelancaran Derma, maka salah seorang AJK yang dilantik iaitu Yang Mulia Tuan Haji Raja Fuaddin bin Raja Ahmad seorang arkitek dengan Syarikat Arkitek Urusbina Sdn. Bhd. beribu pejabat di Perlis ditugas melakarkan gambaran Masjid Al-Umm yang bakal dibina. Lakaran ini juga digunakan pada buku cenderamata Majlis Pelancaran Derma Tabung Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi.

5. Tahap Proses Mentakmilah Bentuk Masjid

Lakaran ini tentulah mengambil kira dengan keluasan tapak, anggaran peruntukan pembinaan dan keperluan masyarakat setempat. Lakaran yang dibuat oleh Syarikat Urusbina ini tentulah dipengaruhi oleh faktor `interarkitektualiti` yang sedia ada dalam senibina masjid, kalau pun tak ada sebarang kreativiti dan inovasi yang mengistimewa dan membedakannya dari senibina masjid-masjid yang lain yang dapat menjadi identiti bagi masjid Al-Umm.

Berdasarkan lakaran ini juga menjadi asas perbincangan AJK  selanjutnya di dalam mesyuarat-mesyuarat bagi mencari pelan dan bentuk sebenarnya bagi Masjid Al-Umm.
Ianya juga merupakan proses `Takmilah` bagi pembinaan fizikal Masjid berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment