BBB, 09 Ramadhan 1435
= 07 Julai 2014 (Isnin):
Tajuk di atas adalah merupakan cerminan proses pencarian ketepatan
dan kesempurnaan antara membina surau atau masjid bagi menggantikan Surau
Al-Umm. Kita berdepan dengan antara prinsip penting Teori Takmilah bahawa
kesempurnaan, ketetapan dan kebenaran tetap ada. Ia mencerminkan Hakikat Tertinggi.
Menuju kepadanya adalah merupakan kewajipan. Dalam Teori Takmilah bahawa `Jalan
Ilmu` dan `Jalan Estetik` baik sendirian, tetapi seharusnya secara serentak
menuju kepadanya. Mungkin dalam perjalanan ada kekhilapan, tetapi usaha
mestilah dilakukan bagi mengatasi cabaran, bahkan sebagai jihad bagi mencapai
objektif tertinggi berkenaan.
Hingga Tahun 2000 Bandar Baru Bangi berkembang pesat,
taman-taman baharu muncul, setiap taman mempunyai surau sendiri yang dibina
oleh penduduk sendiri atau oleh syarikat pemaju. Keliling surau Al-Umm sendiri
muncul surau-surau seperti Surau Al-Nur, surau Damai, Surau Al-Ehsan, Surau Al-Ittihad,
Surau Al-Istiqamah, Surau Al-Ridhwan dan Surau Al-Mawaddah. Jamaah yang dari
tempat ini dulu menggunakan Surau Al-Umm tidak lagi datang ke Surau Al-Umm,
kerana sudah mempunyai surau sendiri. Manakala taman-taman yang lain mempunyai
surau masing-masing. Jumlah surau-surau di BBB saja melebihi 40 buah dan di
bawah Dun Bangi melebihi 100 buah (Shafie Abu Bakar, Bangi Bandar Ilmu,
Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, Bangi, 2012: 176: 183).
Dengan pertumbuhan taman-taman dan pertambahan surau-surau,
maka surau Al-Umm digunakan oleh penduduk Jalan 1/3 sahaja. Dari satu segi
pertambahan ruang tidak begitu diperlukan. Sememangnya setakat ini untuk
berjamaah dan mengadakan berbagai-bagai fungsi sambutan keagamaan ruang masih
cukup, kecuali awal Ramadhan kelihatan sesak, tetapi tidak sangat terdesak.
Walau bagaimana memikirkan bahawa bangunan surau adalah pemberian sementara
oleh pihak PKNS, lagi pula ianya berbentuk rumah berdekatan, bahkan bersambung
dengan rumah-rumah kediaman, kurang dari tempat pakir dan dari tapaknya menurun
curam dari pinggir bukit, maka kedudukannya kurang bersesuaian. Dengan melihat
kepada surau-surau baru yang dibina secara berasing di atas tapak khas surau
lebih selesa dan lebih mudah mengadakan berbagai-bagai kegiatan, apa lagi
memang diketahui pihak PKNS berhasrat untuk mengambil balik rumah pemberian
sementara dan menggalakkan untuk membina bangunan tersendiri, kerana sudah ada
tapak, maka hasrat mendirikan surau sendiri bagi kawasan Seksyen satu,
khususnya 1/3 & ¼ turut timbul sejak 1980 dan AJK Surau Al-Umm yang
dipengerusikan oleh Tuan Haji Omar Jaafar telah ditubuhkan dan penghimpunan
dana telah dilakukan, tetapi hasrat yang boleh disifatkan kurang bersemangat ini
terhenti begitu sahaja. Namun sedekad selepas itu hasrat inginkan sebuah surau
bersendirian di atas tapak yang disediakan oleh PKNS timbul kembali. Pengerusi
Surau pada masa itu Tuan Imam Supaat bin Abdul Rahman telah bermesyuarat dan
Setiausaha Tuan Haji Husin Yunos mengambil langkah positif telah menulis surat kepada pihak JAIS
memohon kebenaran membina surau di atas tapak yang disediakan. Pihak JAIS telah
memberi keizinan mendirikan surau (Surat JAIS (2) dlm. JAIS. Sel.9189 3/5/10
bertarikh 30 Ogos 1996. Namun keizinan yang diberikan ini tidak dapat
diterjemahkan kepada realiti dan surau Al-Umm baru yang dihasratkan tidak dapat
dibangunkan.
Di dalam perkembangan pesat Bandar Baru Bangi menjelang
tahun 2000 yang mempunyai penduduk lebih kurang 70,000 orang dengan hanya
sebuah masjid didirikan, iaitu Masjid Al-Hasanah mula digunakan 2001, maka
didapati sebuah masjid sahaja tidak mampu menampung keperluan penduduk yang
terus bertambah, akibatnya dari perkembangan lanjutnya beberapa surau yang
mempunyai jamaah dan penduduk yang ramai memohon agar dibenarkan surau-surau
mereka didirikan jumaat. Surau-surau yang mendapat kebenaran ialah:
1) Surau
Al-Nur, Seksyen Satu
2) Surau
Al-Sabah, Seksyen Tiga
3) Surau
Pusat Islam, Bangi Perdana, Seksyen 3
4) Surau
Al-Kauthar, Seksyen 4
5) Surau
Al-Hidayah, Seksyen 5
6) Surau
Al-Falah, Jalan 6.
7) Surau
Al-Hidayah, Sungai Tangkas
8) Surau
Al-Syakirin, Taman Tenaga
9) Surau
Al-Mujahidin, Taman Surada
10) Surau
German Malaysian Institute
Ini membuktikan bahawa kawasan BBB memerlukan lebih masjid.
Walau bagaimana ada surau yang sebenarnya sudah layak bertaraf masjid dan layak
dipanggil masjid, tidak mau menerima taraf masjid. Alasan paling utama bahawa
anak kariah mau kebebasan dari segi mengendalikan pentadbiran dan perjalanan
suarau mereka. Jika surau mereka diangkat taraf menjadi masjid, maka kebebasan
mereka hilang dan pihak JAIS menguasai pentadbiran masjid.
Dalam hubungan mengenai pembinaan tapak masjid atau surau
Al-Umm, persoalan kebebasan turut timbul, bahawa jika masjid dibina, maka pihak
anak kariah dan AJK akan kehilangan kuasa. Urusan pentadbiran akan diambil alih
oleh pihak JAIS, tetapi jika pembinaan surau dilakukan di atas tapak tanah yang
dicadangkan, maka ianya terlampau dekat dengan surau, iaitu surau Damai dan
Surau al-Ehsan, kerana lokasi ini terpinggir dari Seksyen Satu dan bersempadan
dengan Seksyen 2, lagi pula tanah dua ekar yang disediakan sebagai tapak agak
luas dengan keperluan surau bagi kawasan 1/3 dan ¼, kerana tempat-tempat lain
sudah mempunyai surau masing-masing, lantaran itu ada yang berpendapat
alang-alang bina biarlah bertaraf Masjid bagi menampung keperluan masjid yang
memang kekurangan bagi sebuah Bandar seperti Bandar Baru Bangi. Soal
pentadbiran terpulang kepada pihak yang berkenaan. Namun ada yang membangkitkan
juga bahawa jika sudah ada Surau Al-Nur yang mendirikan Jumaat, maka apa perlu
lagi mendirikan masjid. Namun kalau kita hadiri solat jumaat di Surau Al-Nur,
surau ini juga tidak dapat menampung keperluan ruang bagi jamaah yang makin
bertambah, sebab itu ianya memerlukan kawasan yang lebih luas.
Persoalan-persoalan di atas sebelum ini menjadi pertimbangan
dan halangan bagi usaha untuk mendirikan surau atau masjid di tapak yang
disediakan. Tetapi keputusan perlu diambil. Usaha menuju kesempurnaan dan
kebenaran bagi semua pihak perlu diambil.
Walau apa pun kita seharusnya bersyukur, bahawa dengan
bertambahnya surau-surau di Bandar Baru Bangi melebihi 40 buah surau dengan
Masjid Al-Hasanah sebagai induk mencerminkan semaraknya Bangi dengan surau-surau.
Tiap-tiap surau bergiat dengan ibadar dan keilmuan yang mencerminkan imej Bangi
Bandar Ilmu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment