July 27, 2014

Professional Dan Artistik-Estetik Perlu Dalam Menyempurnakan Pelan Masjid

-->
BBB, 28 Ramadhan 1435 = 26 Julai 2014 (Sabtu):


Tempoh menunggu kelulusan plan arkitek bagi pembinaan adalah tempoh bagi memperkasakan pentadbiran dan perancangan juga tempoh bagi menggandakan jumlah pungutan derma. Pembinaan Masjid Al-Umm yang agak besar dan moden tidak cukup dengan hanya wujud sebuah jawatankuasa sebagaimana untuk membina sebuah surau biasa. Ianya memerlukan tenaga professional dan kalangan mereka yang mempunyai sentuhan seni. Dilihat kepada Teori Takmilah dalam skemanya terdapat dua alur yang dilalui pengkarya yang memberi impak pada khalayak, iaitu jalur akal (Ilmu) dan jalur estetik (seni) dalam perjalanan menuju ke puncak Takmilah. Dua jalur ini dilihat merupakan keperluan dalam pembinaan masjid yang dari segi fizikalnya memerlukan keilmuan (engineering) dari segi pembinaan dan sekaligus secara asimilasi memerlukan elemen estetik bagi menyempurnakan bentuk lahir fizikal sebagai sebuah masjid dan paling penting sesudah siapnya masjid secara fizikal memerlukan pengisian kepada tenaga yang dapat menyampaikan pengajaran secara ilmiah dan secara serentak juga pengisian kerohanian yang dapat ditimba dari keilmuan dan ibadat yang masjid menjadi wadahnya.

Sebagaimana telah disebut setelah AJK Pembinaan Masjid ditubuh sejak 4 Februari 2010 berikutnya berlaku pemantapan-pemantapan. Dalam mesyuaratnya pada 21 Mac 2012, Tuan Haji Omar Jaafar AJK Pembinaan Masjid Al-Umm mencadangkan ditubuhkan AJK Teknikal yang terdiri dari professional dan AJK ini ditubuhkan sebagaimana berikut:

1)  Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad  Pensyarah UKM - Pengerusi
2)  Ar. Raja Fuaddin Ahmad   Tetuan Arkitek Urusbina
3)  Ir. Mohd Safari Ahmad  Tetuan Safari Ingenuers
4)  Mohd Ashri Yusuf  Tetuan May Consult
5)  Abdul Razak Ab. Rahman  Tekad Nusantara
6.  Ir. Hj. Ghazali Hussin – Mantan Engineer di IKRAM
7.  Perunding Azfar  - Mechanical & Electrical
(Turut disertai dalam mesyuarat wakil-wakil dari AJK Induk).

AJK Teknikal ini terletak di bawah Jawatankuasa Induk yang mengadakan mesyuarat secara bulanan dan melaporkan segala perkembangan dan masalah kepada AJK Induk yang juga mengadakan mesyuarat secara bulanan selepas mesyuarat AJK Teknikal. AJK Teknikal mulai bermesyuarat sejak pertengahan Ogos 2012.

Perubahan yang berlaku lagi ialah Perlantikan Setiusaha baru, iaitu Tuan Haji Suib bin Maulud pada pertengahan Ogos 2013 menggantikan Tuan Haji Hussin Yunos yang meminta untuk menjadi AJK biasa, kerana tekanan tugas-tugas yang dihadapinya. Berundur mulai pertengahan Ogos 2013. Manakala Tuan Haji Omar Jaafar menarik diri kerana masalah-masalah peribadi (Berkuatkuasa akhir 2013). Begitu juga Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad diminta tidak menganggotai AJK Induk sebagaimana sebelumnya, kerana dikatakan untuk mengelak dari `conflict of interest`. Beliau terus berada di dalam AJK Teknikal (Terbaru beliau berundur Julai 2014 dengan menggantikan tempatnya pegawai Urusbina alasan ada komitmen dengan projek baru yang memerlukan keterlibatannya). Terima kasih kepada semua yang memberi khidmat.

Antara contoh tugas AJK Teknikal memastikan segala pelan arkitek dilaksanakan dengan betul dan sebarang perubahan diperhalusi. Memperbaiki apa yang dikomen pihak jabatan-jabatan yang berkait dengan kelulusan. Yang paling penting usaha bagi mendapat kelulusan pelan yang disifatkan telah begitu lama dan masih dalam penungguan, menyiapkan dokumen untuk kelulusan masuk tapak pembersihan tapak dan memagarnya, membincang berkenaan butiran-butiran yang berhubung dengan bangunan dan spesifikasi berkenaan, menguruskan dokumen berkenaan pemilihan (interview) dan perlantikan kontrektor, mempastikan tugas-tugas yang dilaksanakan oleh consultant-consultant yang dilantik, mencadangkan perlantikan penyelia yang diperlukan kepada AJK Pembinaan. Membuat pengakuan tuntutan bayaran berbagai tugas pembinan kepada AJK Pembinaan untuk dibincang bagi bayaran dan sebagainya.

Dengan adanya Jawatankuasa Teknikal, maka tugas-tugas yang berhubung dengan pelan pembangunan dan keperluan yang berhubung dengan teknikal dapat dikenalpasti dan dapat dikendalikan dengan cara professional. Ini lebih dapat melicinkan pentadbiran dan perjalanan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment