BBB, 01 Syawal 1435 = 28 Julai 2014 (Isnin):
Satu prinsip Takmilah yang sepatutnya telah disebut sejak
dari awal, sebagai Teori Sastera Islam dan Seni-Seni Islam yang lain, bahawa
segala prinsip Islam dan hukum-hukumnya adalah menjadi prinsip dan hukum bagi
Takmilah. Teori ini mestilah mendukung dan tidak mencanggahinya. Sebagai contoh
Islam menggalakkan syura di dalam membuat keputusan (Al-Shura: 38 & Ali
Imran: 159), maka prinsip membuat keputusan melalui Shura adalah menjadi
prinsip bagi Takmilah. Dengan bermesyuarat mampu mencapai natijah yang lebih
baik, maka ianya menepati dengan konsep Takmilah yang seharusnya sentiasa
bergerak kepada yang lebih baik di dalam menuju Takmilah.
Prinsip Islam yang menjadi dokongan Takmilah dapat dilihat
di dalam merangka dan penyediaan pelan bagi Masjid Al-Umm. Membina sebuah
bangunan yang mahal harga yang melibatkan firma arkitek yang dilantik,
melibatkan perunding-perunding dan kontrektor yang kerja-kerja mereka dibayar
menurut kadar sepatutnya, maka pembinaan seharusnya menurut pelan arkitek yang
disediakan oleh firma arkitek yang dilantik. Di dalam hal pembinaan Masjid
Al-Umm sememangnya pihak Firma Arkitek Urusbina diberi tugas bagi menyiapkan
plan arkitek. Tetapi jika dilihat pada lakaran gambaran awal bagi Masjid Al-Umm
dengan lakaran gambaran akhir, maka amat jauh berbeza dari segi dua bentuk
lakaran gambaran.
Lakaran Gambaran awal semacam sebuah surau sahaja.
Manakala lakaran gambaran akhir memang kelihatan sebagai
sebuah masjid – Masjid Al-Umm. Mengapa terjadi sedemikian ?
Ini berlaku, kerana jawatankuasa Induk dan Teknikal yang
terdiri dari para professional terus bermesyuarat dan terus membuat
cadangan-cadangan pembaikan pada pelan Masjid Al-Umm. Antara hasil yang utama dan
penting natijah dari perbincangan demi perbincangan ialah mengubah plan Masjid
Al-Umm dari dua tingkat kepada tiga tingkat.
Keputusan diambil berdasarkan faktor-faktor berikut:
1) Tanah
seluas dua ekar (sebenarnya 1.89 ekar) kecil bagi sebuah masjid (seeloknya 5 –
8 ekar). Masjid perlu kepada ruang jamaah yang luas dan tempat parkir yang
banyak.
2) Masjid
Al-Umm tidak mempunyai keluasan yang ideal berkenaan dan tidak mempunyai ruang
untuk pembesaran pada masa akan datang.
3) Untuk
mengelak masalah pembesaran pada masa akan datang, maka adalah lebih baik untuk
jangka panjang masjid Al-Umm perlu dibina sebanyak tiga tingkat yang
membolehkan Masjid menampung jumlah jamaah yang lebih ramai.
4) Masjid
Al-Umm mempunyai program akan datang sebagai Induk Wadi Ilmu di Bangi Bandar
Ilmu yang memerlukan ruang bagi kegiatan terutama bagi bidang pendidikan dan
pengajian.
5) Ruang-ruang
masjid dapat menyediakan keperluan bagi kegiatan keilmuan dan kemasyarakatan.
Hasil dari perbincangan melibatkan perubahan pelan arkitek
yang terpaksa diubah bagi kelulusan pembinaan (ini antara faktor kelewatan
lulus pelan). Perubahan:
1) Tingkat
Utama (Tingkat Tengah), ialah:
Ruang solat utama, tempat wudhu` utama
dan tandas (di belakang berasingan), tempat jenazah (berasingan), bilik mesyuarat,
bilik imam dan bilik tamu.
2) Tingkat
Atas
Ruang solat wanita, bilik mesyuarat (2),
kelas tahfiz, bilik IT dan bilik Sumber
(perpustakaan).
3) Tingkat
Bawah
Ruang sebaguna, ruang seminar, bilik
Akad Nikah, bilik peralatan dan bilik persediaan kenduri.
(Ruang-ruang di atas boleh
diubahsuai).
Adalah dijangka ruang masjid al-Umm
dapat memuatkan jamaah seramai 3.000 orang secara serentak.
Dengan pertambahan lapisan Masjid
Al-Umm dari dua tingkat kepada tiga tingkat, maka anggaran kos bagi membina
masjid ini meningkat dari jumlah asal RM10 juta kepada RM12 juta.
Tanpa merendahkan Firma Arkitek
Urusbina, dapat dikatakan bahawa pelan arkitek Masjid Al-Umm bukan merupakan
idea dan rekacipta Firma Arkitek Urusbia sepenuhnya. Bahkan dapat dikatakan
bahawa pelan dan bentuk senibina Masjid Al-Umm adalah hasil gabungan idea, rekacipta
dan senibina jawatankuasa-jawatankuasa pembinaan (induk), teknikal dan
perunding-perunding bersama dengan Firma Urusbina. Sebenarnya ianya tidak
menunjukkan kelemahan-kelemahan mana-mana pihak, tetapi mengunggulkan prinsip
syura yang menghasilkan natijah-natijah yang lebih baik. Diharap Masjid Al-Umm
menjadi masjid yang lebih baik. Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment