July 12, 2014

Masalah Mendepani Bagi Mendirikan Masjid Dan Surau

-->
BBB, 13 Ramadhan 1435 = 11 Julai 2014 (Jumaat):

Permasalahan ramuan yang penting di dalam penulisan. Permasalahan menghidupkan penulisan. Bagaimana mengolah, menghurai dan meleraikan terpulang kepada kreativiti penulis. Ianya menentukan kejayaan di dalam penulisan kreatif. Bagi mendirikan masjid atau surau juga mendepani masalah yang perlu dihadapi dan mengatasi bagi kejayaan.
Bagi mendirikan masjid, bahkan surau memerlukan kewangan bagi membiayai pembangunan. Penulis selaku Adun Bangi (2008-2013) yang juga selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu semasa itu banyak pengalaman mengenai permohonan dan pembinaan masjid dan surau.

Ada beberapa cara membiayai pembangunan masjid.

Pertama ialah dibangun dengan biayaan kerajaan sepenuhnya. Jika sedemikian tiadalah masalah sangat bagi penduduk contoh Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi yang dibiayai kerajaan sepenuhnya, tetapi biayaan kerajaan mesti melalui procedure, permohonan perlu dimasukkan dalam perancangan kerajaan. Misalnya melalui Rancangan Malaysia Ke 10, 11, 12 dan sebagainya dan menunggu giliran. Kadang-kadang penungguan tidak berkesudahan. Misalnya penduduk menunggu pembinaan Masjid yang dijanjikan di Bandar Bukit Mahkota berhampiran Bandar Seri Putera, hingga kini, walaupun tapak sudah ada masjid yang ditunggu belum menjadi kenyataan.


Cara kedua adalah melalui pembinaan oleh pihak koperat sepenuhnya. Cara ini memang berlaku. Kita mendengar pihak koporat membiayai pembinaan masjid misalnya dilakukan oleh koporat terkenal, iaitu Yayasan Al-Bukhari yang memang terkenal banyak melakukan kerja-kerja amal seperti pembinaan Masjid Al-Bukhari di Kedah.

Cara ketiga ialah melalui pembiayaan oleh pihak individu yang biasanya terkenal sebagai orang yang kaya, tetapi tidak semestinya seorang itu kaya, namun atas inisiatif dan pengaruhnya ia dapat menjanakan kewangan bagi pembinaan. Sebagai contoh Dato` Dr. Haron Din membina masjid di Perlis atas biayanya dan masjid itu baru siap pembinaan. Menurut maklumat ada dua masjid yang pelan bersamaan dibina di Perlis, tetapi kos bagi masjid yang dibina oleh Dato` Dr. Haron Din jauh lebih murah berbanding dengan masjid yang dibina dengan biaya kerajaan.

Cara keempat ialah pembinaan dengan cara mendapat derma dari orang ramai dan mendapat janji dari pihak kerajaan membantu antaranya secara `dolar to dolar`. Kaedah ini dialami oleh Masjid Al-Umm.

Cara kelima ialah mengharapkan derma sepenuhnya dari orang ramai. Kaedah ini bergantung pada inisiatif dan kesungguhan Ahli Jawatankuasa Masjid yang ditubuh. Kaedah ini antara contohnya dilakukan oleh pihak AJK Pembinaan Masjid Bandar Seri Putera. Bagi melakukan kerja kebajikan ini sejak dari 2008 Penulis sebagai Adun Bangi yang Bandar Seri Putera termasuk di bawah Dun Bangi melancarkan pungutan derma bagi masjid ini bertempat di Sekolah Agama Seri Putera yang baru dibuka – berdekatan dengan tapak masjid. Al-hamdulillah berdasarkan kerja kuat AJK Masjid (Al-Mustaqim) hampir siap dengan kos sebanyak RM7 juta.

Walau bagaimana terdapat beberapa kes pembinaan masjid yang masih tidak berjaya dibangunkan. Misalnya Penulis sebagai Adun meminta pihak pentadbiran surau al-Hidayah West Country memohon pembinaan Masjid Al-Hidayah, West Country dan permohonan telah dibuat dan jawapan Kebenaran Membina Masjid Al-Hidayah diluluskan oleh JAIS Ruj. (58) dlm. Jal. Sel. BPM/01/025 bertarikh 18 Ogos 2008 yang diharap penduduk menggunakan sumber peruntukan sendiri. Arahan juga dibuat oleh pihak JAIS bagi menghubungi Jabatan Mufti bagi penentuan arah kiblat. Penulis dilantik menjadi Penasihat Satu. Surat dari AJK Pembinaan Masjid Al-Hidayah bertarikh 15 September 2008. Masalah yang dihadapi oleh AJK Pembinaan masjid, walaupun sudah mendapat kebenaran, ialah kurang daya inisiatif dan lemah semangat, walaupun berkali-kali selaku Penasihat Adun ingatkan kepada pengerusi pada masa itu saudara Abdul Rahim bin Sujak supaya mengambil tindakan lanjut, tetapi tidak bergerak. Pada awal tahun ini pihak AJK baharu berusaha membangunkan Masjid Al-Hidayah dengan pelancaran dilakukan oleh Adun Bangi Y.B. Ustaz Shafie Ngah. Dan pada awal Ramadhan baru-baru ini kecoh bazaar Ramadhan yang dibuka atas tapak masjid bagi mendapat dana masjid diruntuhkan oleh pihak MPKj. Pihak Adun dipersalahkan kerana tidak mempertahankan usaha penduduk. Kita harap usaha bagi membangunkan masjid itu tidak terbengkalai lagi.

Semasa Penulis menjadi Adun Bangi juga pihak AJK Surau Al-Muhajirin Taman Melor, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi mau membangun kembali surau yang agak kecil di situ. Penulis selaku Adun yang memang rapat dengan surau itu mencadangkan terus membina Masjid di tepi tasik berdekatan sebagai Masjid Terapung. Projek memang dijalankan dan persediaan tapak dilakukan dan keizinan dari pihak berkuasa dibuat. Jika menurut pihak Pengerusi AJK Pembinaan Tuan Haji Abdul Aziz Abu Bakar ada pihak Koperat yang menaja sepenuhnya pembiayaan pembinaan masjid berkenaan, tetapi hingga kini masjid berkenaan belum menjadi kenyataan.


Selain daripada masjid ada surau-surau juga menghadapi masalah. Misalnya Surau Nur al-Iman di Balakong yang pernah Penulis selaku Adun lawati mengadu bumbung surau berkenaan reput dan hampir runtuh. Penulis cadang dibaiki bumbung dengan biaya peruntukan Adun Bangi, apabila diruntuh memerlu kepada pembaikan hampir menyeluruh bumbung reput yang akhirnya membawa kepada pembesaran surau secara menyeluruh. Masalah kos menyeluruh berjumlah RM70,000 tidak dapat diselesaikan. Projek ini dikaitkan dengan Penulis sebagai Adun dan terpaksa mencari dana bagi menyelesaikan kos berkenaan. Walau bagaimana akhirnya setelah kami berusaha mencari dana surau dapat diselesaikan dengan sempurna. Al-Hamdulillah. Berbeza dengan surau al-Faizin Tun Perak juga di Balakong. Masalah pembinaan memakan masa terlampau lama dan Penulis selaku Adun dan Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu melancarkan perasmian pembinaan sebanyak dua kali. Kesukaran untuk mendapat dana oleh kerana tidak ada kesepakatan antara AJK surau lama dengan yang baharu, menyebabkan gangguan dan tertangguhnya pembinaan. Walau bagaimana pada akhir tempoh Penulis menjadi Adun Surau Al-Faizin ini dapat disiapkan. Pembinaan Surau Kajang Prima juga banyak masalah. Masalah paling utama adalah penentangan sebahagian penduduk bukan Islam dan ada juga yang Islam, tidak mau surau didirikan di tanah lapang kawasan permainan. Perkara ini diangkat kepada pihak Menteri Besar dan Penulis turun berkali-kali menguruskan permasalahan. Pada satu peringkat dicadangkan agar dibinakan masjid dilokasi yang strategic di tepi kedai Kajang Prima. Namun akhirnya surau didirikan di atas tanah rezab SILK Highway.


Apa yang dipaparkan di atas setakat kawasan Hulu Langat, banyak lagi contoh boleh dibawa di luar dari Hulu Langat, bahkan di peringkat negeri. Penulis memaparkan contoh-contoh sebagai reality yang dihadapi di dalam pembinaan masjid dan surau, bukan untuk mengungkit-ngungkit peristiwa lepas. Sekurang-kurangnya sebagai tauladan dan panduan dalam usaha membangunkan masjid dan surau.

Dari segi polisi Penulis sebagai Adun Bangi pada masa itu dan juga pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu menggalakkan pembinaan masjid dan surau dan memberi sokongan permohonan yang berkelayakan. Sememangnya pertambahan terutama surau banyak berlaku terutama di Dun Bangi semasa Penulis menjadi Adun.

Sekian.

No comments:

Post a Comment