BBB, 19 Ramadhan 1435 = 17 Julai 2014 (Khamis):
Tajuk dan persoalan di dalam tajuk di atas adalah contoh
yang baik bagi pembicaraan Takmilah, kerana ianya melibatkan semua jalur di
dalam skema Takmilah baik dari Pengkarya/penghasil secara horizontal melalui
hasil kepada khalayak melalui akli dan rohani atau vertical dari Pengkarya
melalui lima tahap (takamul, akmal, kamil, kamal kepada takmilah) juga melalui
jalur seni (estetika, intuisi/wijdan, ihsan, ahsan dan jamal) dan melalui jalur
ilmu, Islam, Rasul, Qur`an dan Allah yang bersifat Kamal dan Jamal) juga semua
jalur di atas bergerak serentak melengkapkan Takmilah.
Merujuk kepada masjid tradisi pada peringkat awal di
Malaysia dan Alam Melayu selalu dirujuk kepada Masjid Kampung Laut, Nilam Puri, Kelantan dan Masjid
Tuk Tuan, Kemaman Terengganu (Othman Mohd. Yatim, Warisan Kesenian Dalam
Tamadun Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur , 1989: 30).
Bentuk-bentuk masjid di Kelantan dan Terengganu yang
berbumbung bertingkat 4 lapis (dengan bahagian bawah) – beratap tumpang juga
adalah merupakan bentuk masjid awal seperti Masjid Demak (dikatakan tertua kedapatan
di Alam Melayu – Awal abad 16). (Abdul Halim Nasir, Mosque Architecture In The
Malay World, Universiti Kebangsaan Malaysia , Bangi, 2004: 36-39).
Apa yang menarik perhatian di samping ketuaan dan kepurbaan
masjid di Kg. Laut dan Demak ini, ialah seni binanya yang unik berbumbung 3
tingkat (4 dengan lantai bawah).
Ianya meluas bahagian bawah (Demak 112 x 90 meter) dengan
atapnya makin kecil ke atas bagai payung empat segi berlapis – terkecil
bahagian atas dengan tunjuk langit pada kemuncaknya. Bentuk sedemikian bukan
dibina secara sewenang-wenang, tetapi mempunyai falsafah keilmuan dan
kerohanian Islam itu sendiri. Bahawa adalah kedatangan Islam ke Alam Melayu
antaranya dibawa oleh tokoh-tokoh sufi contoh Hamzah Fansuri di Aceh dan Wali
Songo di Jawa. Mengenai kedatangan Islam ini kata Syed Naguib Al-Attas:
``Islam came to the Archipelago couched in Sufi metaphysics.
It was through tasawwuf that the highly intellectual and rationalistic religious
spirit entered the receptive minds of the people.``
(Syed Naguib al-Attas, Preliminary Statement On A General
Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago, Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1969: 5).
Pengaruh world view keislaman pada masa itu melihat bahawa
mendekati dan memahami keislaman adalah melalui kefahaman apa itu syariat,
tariqat, hakikat dan ma`rifat. Ungkapan yang dinisbahkan kepada Imam Malik sering
dirujuk bermaksud:
`Siapa yang berfiqah tanpa bertasawuf membawa kepada fasiq
Siapa bertasawuf tanpa berfiqah membawa kepada zindiq
Dan siapa yang menghimpun antara keduanya dia tahqiq.
Bagi menguasai ilmu keislaman secara menyeluruh mestilah
mempelajari asas keilmuan lahir iaitu syariat, tetapi tidak boleh sampai kepada
hakikat, melainkan melalui tariqat dan melalui hakikat boleh sampai kepada
ma`rifat. Pegangan yang dominant pada masa itu tidak saja dalam rangka falsafah
fikiran semata-mata, tetapi mengalir dan mempengaruhi budaya dan seni juga.
Contohnya terpengaruh pada seni bina Masjid Demak dan Kampung Laut di Kelantan
dan masjid-masjid lain yang berbentuk sedemikian. Agak menarik bentuk
sedemikian lahir hanya di alam Melayu, tetapi tidak di tempat-tempat lain di
Timur Tengah dan sebagainya.
Pegangan dan keyakinan terutama pada abad 16 – 17 ini yang
termanifestasi di dalam seni bina masjid ini sesuai dengan iklim setempat,
praktikal, berestetika dan beridentiti tempatan dan Alam Melayu. Bangunan
sedemikian adalah mesra alam. Misalnya bangunan Masjid Kampung Laut tiangnya
tidak ditanam dalam tanah, tetapi dilapik dengan pelapik hingga masjid ini
suatu masa dulu berada di tepi sungai dan diancam hakisan dapat diangkat dan diabadikan
di Nilam Puri.Tingkat bawah dilambangkan dengan syariat adalah ruang kegiatan
ibadat, solat dan sebagainya, manakala tingkat tariqat, hakikat dan ma`rifat
dibedakan dengan ruang dan tingkat makin mengecil ke atas melambangkan makin
sukar dan halus persoalan kerohanian yang tidak mudah dicapai semua pihak,
khususnya pada peringkat ma`rifat. Bentuk bertingkat ini adalah functional,
atap-atap bertingkat dapat memecahkan aliran air hujan yang turun, tetapi
fungsi utama ruang terbuka bagi setiap tingkat merupakan ventilation yang
membolehkan menjadi ruang keluar masuk angin yang mendinginkan ruang dalam
masjid dan menyamankan jamaah yang berada di dalamnya. Selain daripada itu
ianya juga dapat memanfaatkan ruang terbuka berkenaan untuk dimasuki cahaya matahari
dan mengurangkan kegelapan dan meminimaiskan kegunaan lampu atau kandil.
Dari segi estetik bentuk sedemikian memang cantik, mesra
alam, ianya sebagai pohon besar yang di bawahnya melebar dan makin tinggi makin
mengucup kecil bagai pokok-pokok yang lain
yang mungkin berada disekeliling masjid dan amat mengharmonikan. Selain
dari estetika lahiri, ianya juga melambangkan estetika rohani yang
menggambarkan perjalanan kualiti jiwa yang rohani dari peringkat syariat yang
lahir kepada yang lebih khusus bagi perjalanan (tariqat) menjadikan yang
berkemampuan dapat meningkat dari segi kualiti rohani kepada martabat hakikat
dan puncaknya ialah ma`rifat. Dengan suasana jiwa yang sedemikian membentuk
kehalusan jiwa, mesra dan cinta kepada Ilahi.
Sesungguhnya seni bina masjid tradisi seperti Masjid Demak
dan Kampung Laut ini menghimpunkan elemen lahiri, amalan fizikal dan rohani
dalam menuju ke peringkat Tertinggi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment